Monday, October 26, 2015

TPPA bunuh minat Mustapa untuk tawan Kelantan

SENDU SENJA

Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed akhir-akhir ini seakan kurang bercakap dan memperdulikan kepada Umno Kelantan kerana banyak tertumpu kepada Perjanjian Perkongsian Trans - Pasifik (TPPA). Beliau seakan mendapat tekanan dan tugas khas daripada Najib Razak agar menyegerakan menyelesaikan proses menanda tangani perjanjian perdagangan tersebut.

Mustapa Mohamed
Penambahan seorang lagi menteri dan timbalan menteri MITI, menampakkan akan kesungguhan Najib mahukan TPPA disegerakan. Penambahan itu juga memberi konotasi seolah-olah Mustapa sangat perlahan dengan kerjanya dan tidak memuaskan hati Najib? Apakah begitu atau pun Mustapa berhati-hati mengadakan perundinagan demi perundingan bagi memastikan apabila dilaksanakan kelak TPPA tidak menyusahkan negara serta membebankan rakyat?

Mustapa tentu mengambil pengajaran daripada pelaksanaan cukai GST yang mana telah memberi beban sara hidup kepada rakyat dan sekaligus menjejaskan reputasi kerajaan sendiri. Walaupun dalam bajet dua tiga hari lepas Najib menyatakan pelaksanaan GST sangat sesuai dengan keadaan harga minyak turun tetapi hakikatnya GST menyengat rakyat dan tidak disenangi oleh rakyat.

Dr Muhammad Agus
Apabila Najib menambahkan seorang lagi menteri di MITI, (Menteri Perdagangan Antarabngsa dan Industeri) seharusnya Mustapa sudah mulai rasai yang dia diperhati oleh Najib dan mungkin PM tidak berpuas hati dengan kerjanya. Kerana menginsaf itu menyebabkan beliau kini menumpukkan kepada TPPA sehingga seakan tidak peduli kepada Kelantan. Kealpaan Mustapa ini sesuatu yang merugikan.

Walhal di Kelantan ketika ini adalah saat baik kalau Umno ingin merampas negeri itu daripada Pas. Kita tidak nampak apakah usaha atau strategi Umno untuk menawan Kelantan dalam pilihan raya akan datang. Gerakan Gelombang Merah yang suatu waktu dulu melambung tinggi tetapi begitu perlahan kini. Gelombang Merah seakan tidak mempedulikan kepada isu-isu panas yang berlegar di sekitar kerajaan Kelantan yang sangat didahagai rakyat seperti isu pembangunan, mangsa banjir dan juga penyelewengan dalam pengurusan tanah dan lain-lainya.

Kalau Mustapa atau Umno percaya Kelantan hanya dapat dibangunkan apabila negeri itu berada dalam tangan Umno, makanya Mustapa dan Umno kena berusaha ke arah itu. Lainlah kalau Umno ada pelan tertentu bersama Pas untuk membangun Kelantan. Munasabahlah kalau Mustapa tidak menyerang pentadbiran Kelantan.

Kerajinan Mustapa menjaja TPPA kini semakin jelas dan ketara. Di Kedah semalam dia mempromosikan TPPA kononnya akan memberi manfaat besar kepada rakyat negara ini (ahli perniagaan). Apabila TPPA terlaksana kelak syarikat dari Malaysia berpeluang memasarkan barangan keluaran mereka diserata dunia.

Beliau lantas memberi unjuran tahun lepas syarikat Malaysia melabur ke luar negara bernilai RM520 juta berbanding dengan pelaburan syarikat asing di negara ini RM470.

Jelas promosi itu untuk menyakinkan orang ramai agar menerima cadangan kerajaan untuk menantatangani TPPA. Perundingan akhir mengenai perkata itu sudah diadakan di Allanta Amerika Syarikat baru-baru ini.

Mungkin bagi mereka yang kurang memahami hal ehwal ini akan menerima dakwaan Mustapa itu tetapi bagi mereka yang tahu menilai sejauh mana mutu atau kualiti barangan kita serta persaingan dengan dunia luar, dan keupayaan kita dalam dunia dagang tahu bahawa dakwaan itu hanya retorik semata-mata.

Penjelasan Mustapa itu masih kabur bagi rakyat. Sekiranya mengambil kira apa yang dinyatakan oleh rakan saya Pensyarah UKM Dr Muhammad Agus Yusuf TPPA mengerukan. Menurut Agus TPPA akan memberi beberapa kesan tidak baik jika ia dilaksanakan kelak. Anyaranya:

i. Hampir 80% harga ubat akan menjadi mahal, sehingga mencecah 1000% dari harga sekarang. Ini kerana ubat generik yang lebih murah tidak boleh dijual lagi kerana Malaysia terikat menggunakan ubat patented (asli) yang dihasilkan syarikat famarkeutikal dari luar negara. Kesannya akan menyukarkan pesakit berpendapatan rendah dan sederhana kerana kos untuk mendapatkan ubatan menjadi sangat tinggi. Bayangkan jika seorang guru menghidap penyakit barah yang memerlukan ubat bernilai RM7000 sebulan, mampukah mereka untuk membayar kos perubatan semahal itu? Apakah nasib ramai rakyat di negara kita nanti?

ii. Syarikat gergasi akan bebas berniaga di negara kita menyebabkan usahawan-usahawan kecil terpaksa bersaing dengan syarikat gergasi dari luar negara. Ini seolah-olah meletakkan kepentingan syarikat asing mengatasi kepentingan rakyat kita. Ini juga seperti memberi kuasa kepada negara maju seperti AS, Singapura dan Australia untuk mencereboh ekonomi negara kita.

iii. Kerajaan boleh disaman oleh pelabur luar di tribunal antarabangsa yang berpangkalan di Washington dan Geneva jika terdapat dasar-dasar kerajaan yang boleh merugikan hak pelabur luar dan menghalang aktiviti perdagangan mereka. Ini tentunya menjejaskan bidang kuasa kerajaan dalam menentukan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara.

iv. Petani kita terpaksa bersaing dengan hasil pertanian luar negara. Lebih merisaukan lagi ialah TPPA bakal memberi kesan buruk ke atas industri padi negara apabila beras dari AS yang menerima subsidi yang tinggi dipasarkan di negara ini. Ratusan ribu keluarga petani padi di negara ini akan terjejas jika TPPA dimeterai.

v. TPPA juga menyebabkan bidang pelaburan dan khidmat undang-undang dan pelbagai khidmat profesional tempatan yang lain terpaksa berhadapan dengan persaingan pasaran terbuka. Mampukah industri perkhidmatan kita berhadapan dengan kemasukan syarikat gergasi ini?

vi. TPPA melanjutkan perlindungan hakcipta bahan-bahan rujukan dari 50 tahun selepas kematian penerbit kepada 120 tahun. Ini bermakna segala bahan-bahan rujukan yang kini percuma dan telah didigitalkan akan menjadi terhad kepada pengguna. Ini juga bermakna segala bahan rujukan wajib dibeli atau wajib dibayar sewa, sekaligus menghadkan kemudahan ilmu kepada rakyat yang kurang mampu.

Sehubungan itu Agus mencadangkan beberapa langkah dan tindakan yang penting sekali meminta agar dokumen perjanjian itu yang berbentuk rahsia didedahkan seluas-luasnya kepada pakar untuk dibahaskan dan pengetahuan rakyat jelata.

Dokumen mengenai TPPA menurut Mustapa bagaimana pun akan dibawa ke parlimen untuk dibahaskan pada waktu terdekat ini. Ahli Parlimen akan memberi ruang lebih luas untuk membahasnya dan tindakan itu adalah molek.

Saya yakin ia akan dibahas dan diperhalusi bagi memastikan TPPA itu tidak menjadi bebanan kepada rakyat dan negara seperti mana cukai GST serta beberapa polisi lain yang sudah nyata membebankan rakyat. Ia mustahak untuk dihalusi sebab kalau sudah ditandatangani ia tidak mungkin dapat ditarik balik lagi dan TPPA itu akan meletakkan kita dalam karung dimasukkan asap.

Pun begitu kalaulah Parlimen menolaknya, tetapi kerana TPPA adalah agenda Najib ia tetap akan diluluskan juga. Sekiranya parlimen menerima TPPA, maka jelas Najib sudah terikat dan tidak dapat mengelak dari menolaknya mungkin kerana sudah ada sesuatu yang meletakkan dia bak telor di hujung tanduk. Kita tahu TPPA adalah projek Amerika.

Bagaimana pun di sini saya hendak ingatkan Mustapa sekali lagi, TPPA bakal memberi masalah kepadanya. Kalau tidak kena gaya TPPA akan menjadi legasi untuk orang mengingatkan beliau sebagai seorang menteri MITI yang meninggalkan kesan buruk kepada negara. Dalam hal-hal mengenai dasar perdagangan sebegini apa lagi yang dijuarai kuasa dunia jangan mudah mengikut retaknya kerana apabila sudah ke dalam sukar untuk melepaskan diri.

Kita tidak mahu pelaksanaannya nanti akan memenjarakan rakyat dalam satu lagi bentuk kesengsaraan hidup yang kita cipta sendiri. Cukuplah yang sedia ada kita sudah tidak larat untuk memikulnya, mari pula yang ini. [wm.kl.7:28 pm 26/10/15]

No comments:

Post a Comment