Tuesday, November 3, 2015

Debat yang tidak bawa manfaat

SUSUPAN TENGAHARI

Setuju sangat dengan pandangan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang debat mengenai 1MDB di antara Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Ketua Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy tidak akan menyelesaikan masalah melain ia memberi pencerahan dan maklumat kepada umum.

Jalan penyelesaian terbaik untuk menuntasi skandal itu kata Khairy ialah dengan menyerahkan kepada PAC untuk menyudahkan siasatannya. Beliau percaya dengan prosedur PAC sahaja isu itu dapat diselesaikan.

Di sini saya nak tambah sedikit, bukan sahaja setakat itu tetapi kerajaan perlu membebaskan siasatan tersebut tanpa ada campur tangan dan halangan. Pasukan khas yang dibentuk sebelum ini terdiri daripada pihak SPRM, PDRM, Bank Negara dan juga Jabatan Peguam Negara untuk menyiasat segala transksi ke dalam akaun 1MDB termasuk wang derma kepada Najib Razak dan perkara-perkara lain perlu dihidupkan semula.



Pun begitu saya secara peribadi tidak percaya ia dapat diselesaikan kerana sudah ada niat agar skandal itu jangan diselesaikan apabila pasukan khas itu telah dirombak dan diganti dengan orang baru yang bersimpati dengan Najib. Pertukaran Peguam Negara itu satu hal sangat jelas.

Dan skandal itu tetap menjadi hantu dan momok kepada rakyat negara ini apa lagi bagi pihak pembangkang, apabila pasukan penyiasat khas itu dibubar. Najib dan pembelanya tidak boleh mempertahankan skandal berkenaan kerana pembubaran pasukan itu memberi isyarat dan erti jelas berhubung perkara itu.

Pendeknya selagi Najib ada kuasa, kuasa itu tidak akan diberikan untuk menyiasat ke atas dirinya hatta demi kepentingan negara sekiranya ia menjejaskan dirinya. Kalau pun siasatan dibuat ia bertujuan untuk menutup rapat rahsia skandal itu bukan dibuka kepada umum. Jadi matlamat debat itu sia-sia saja. Penjelasan Arul Kanda nanti hanya sebagai seal kepada sesuatu yang belum terungkap lagi tetapi sudah dihidu umum.

Lantaran itu ia membuang masa sahaja dan mencuri tidur rakyat negara ini dan pegawai kerajaan. Yang boleh manfaat dari debat berkenaan ialah Tony Pua. Apa pun hujah yang akan dinyata dan dikatakan Arul Kanda itu kelak orang akan "jeh" tolak begitu sambil ia akan dianggap ianya sudah diprogramkan.

Katanya RTM bersedia untuk menyiarkan secara langsung debat berkenaan. Penyiaran itu sudah tentu bagi menunjukkan menteri yang menjaganya sanggup berbuat apa sahaja asalkan kedudukannya selamat dan walafiat.

Demikian juga rancangan atau tepat ajakan seorang  ahli jawatankuasa kerja Pas yang hendak berdebat dengan Husam Musa di atas tajuk kejatuhan kerajaan Pas di Kedah dan juga kejatuhan kerajaan Pas di Terengganu. Debat itu juga tidak ada faedah besar kepada pembangunan dan politik negara ini. Malahan ia lebih busuk daripada debat Tony Pua dan Arul Kanda itu.

Kejatuhan kerajaan Pas Terengganu dan kerajaan Pas Kedah bukan perkara perlu didebatkan tetapi ia patut dibincang, difikir kemudian diambil iktibar agar tidak berlaku di kemudian hari, ataupun bagi mengelakkan ia tidak berulang di Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Apabila lokasi debat itu ditetapkan dan tajuk juga dipilih oleh sebelah pihak nampak sangat tujuan debat itu bukan bertolak dari niat baik, tetapi dari hati yang busuk. Cara ia dipelawa juga tidak menunjukkan ada elemen keikhlasan bagai menangani masalah yang timbul berhubung debat berkenaan. Debat dicadangkan itu bukan penyelesaian kepada masalah (kelemahan) Pas, tetapi lebih untuk menunjukkan keberanian bagi orang yang mengajak. Ia juga satu idea yang dangkal dari orang yang rasa bertaraf antarabangsa.

Saya tidak pasti apakah ajakan dari orang parti agama itu sudah disahut oleh Husam atau tidak. Molek kalau Husam tidak ikut "erel" dengan ajakan itu. Apa yang didedah dan ditimbulkan Husam dalam surat-suratnya sehingga merangsangkan orang Pas itu untuk pelawa debat itu sudah terjawab, ia sebagai benar.

Misalnya mengenai pertanyaaan Husam tentang YIK menunggaki hutang sampai berbelas-belas juta. Perkara ini sudah pun disahkan oleh Exco Kelantan kelmarin. Menurut Exco berkenaan tunggakan yang tertimbun kini mencecah RM14 juta. Ia satu kesengsaraan kewangan kepada YIK yang sebelum ini berkali-kali dinafikan.

Penjelasan dan pengakuan itu sekaligus menampakkan kerajaan Kelantan (YIK) baik, telus dan bertanggungjawab. Tetapi apabila ia menggunakan alasan, syarikat yang menjalankan perniagaan dengan YIK tidak mematuhi syarat sehingga YIK bermasalah, menjelaskan YIK hendak letak ke salahan dan kelemahannya ke atas belakang orang.

Perkara ini tidak sesenang itu, kesalahan dan kelemahan YIK hendaklah diakui dengan jujur tanpa cuba menyalahkan pihak lain. Meletakkan kesalahan kepada syarikat yang menjalankan usaha sama (JV) dengan YIK bukan boleh dilakukan seperti meletak "igu" dan "gerap" ke atas bahu lembu atau kerbau.

Penjelasan Exco berkenaan menggambarkan akan kelemahan tadbir urus orang yang bertanggungjawab terhadap YIK itu sendiri. Siapa lagi kalau bukan Mohd Amar Nik Abdullah.

Jadi mengenai pelawaan orang Pas untuk berdebat dengan Husam Musa itu elok tidak diteruskan, dan Husam tidak perlu respon kepada pelawaan itu yang sudah awal-awal lagi ia dibuat bukan bertolak dari keikhlasan. Biarlah orang yang mengajaknya itu menunjukkan keberanian dan kebenarannya dengan cara demikian. Bebudak memang begitu.

Lagipun saya bimbang kalau berlaku debat itu dan kedua pihak tidak dapat mengawal perasaan maka lebih banyak lagi tembelang Pas akan terburai. Apa-apa boleh jadi. Saya sangat bimbang apakah ada dalam pengetahuan Husam Musa mengenai ada seorang Exco Kelantan yang dikatakan bawa wang berjuta ringgit dalam dua guni. Wang itu baru dikeluarkan dari sebuah Bank di Kota Bharu? [wm.kl.12:47 pm 11:47 pm 03/11/15]

No comments:

Post a Comment