Wednesday, November 18, 2015

Husam sedia debat dengan Mustapa Ali

KENYATAAN AKHBAR

Husam Musa yang kini berada di Cina kerana menjalani rawatan lanjutan dirinya, memberi kesanggup untuk berdebat pada bila-bila masa sahaja dengan Mustapa Ali. Dalam satu kenyataan Husam sebagai menjawab pelawaan dan cadangan Mustapa agar berdebat dengannya, Husam berkata, Mustapa boleh tetapkan tarikh dan masanya.

Husam menyifatkan perdebatan itu sebagai satu ruang terbaik baginya dan perkembangan kini, kenyataan-kenuataan oleh Haron Din dan Mustapa menyokong apa dakwaanya bahawa Pas ada rancangan untuk bekerjasama dengan Umno.

Bukti telah terserlah, ulas Husam.
Dalam kenyataan yang dikirimkan ke blog ini juga Husam memperli Abdul Hadi Awang yang meminta beliau bersumpah atas dakwaanya tanpa diikuti sama oleh Hadi, disifatkan Husam sebagai meminta bergusti seorang diri.

"Mana boleh bergusti seorang diri, takkan saya hendak tumbuk bayang," begitulah analogi Husam.

Berikut kenyataan penuh Husam Musa.

DATO MUSTAFA: SAYA TANYA ANDA JAWAB

Sifatnya rawatan pemulihan, seharusnya santai dan relaks.
Mode bersantai menjadikan respon saya lambat sedikit.

1. Cabaran Bersumpah

Cabaran TGHH agar saya bersumpah SOLO saya kira adalah petanda kejayaan saya.

Kalau gusti sebagai analogi, jika lawan sudah meminta pesaingnya bergusti se orang diri, fahamlah penonton apa konsekuennya.

Sukan gusti memerlukan regu.

Mustahil boleh ditentukan siapa pemenang hanya dengan menumbuk bayang se orang diri, sedangkan regunya hanya menonton di luar tali.

Jika fiqh mengenai li'an dan fiqh pendakwaan baik bersaksi atau tanpa saksi digunakan, kedua pihak perlu bersumpah.

Saya tidak berniat memalukan Presiden saya, tetapi hanya ingin menonjolkan satu fakta sepanjang perundingan belakang tabir antara Pas - Umno sejak Tok Guru masih hidup lagi.

Jemputan untuk saya masuk gelanggang gusti se orang diri tanpa regu sudah cukup untuk menjadi penutup isu ini dengan kebenaran memihak pada saya. 2014 - Presiden Pas ada mencadangkan kerajaan Pas-Umno dibentuk di Selangor dengan tiga Adun Pkr menyertai Pas. Noktah.

2. Cabaran Debat Dato Mustapa Ali

Saya bersetuju untuk debat terbuka dengan siapa saja, termasuk Cik Gu Pa.
Sedikit sebanyak, adalah juga pengalaman saya berdebat lebih kurang.
Berpeluang berdebat dengan guru politik sehebat beliau tentunya satu penghormatan pada saya.
Beliau boleh menentukan tarikh dan tajuk debat terbuka itu. Seumpama : Saya Tanya Anda Jawab.

Merujuk cadangan beliau tujuan debat itu juga antara lain menentukan duduk cerita perjumpaan Pas - Umno di Selangor dua hari selepas Pru 2008.

Rasanya bila matahari sudah keluar, petunjuk bintang tidak lagi mustahak.

Maksud saya, dengan kenyataan, qarinah atau bukti dan perkembangan terbaru, bukti lama sungguh pun kekal berguna, ditelan oleh bukti baru yang lebih besar. (Rujuk kenyataan terbaru Mursyidul Am tentang kerjasama Pas-Umno).

Bintang digunakan untuk menentukan kedudukan timur barat di gelap malam. Munculnya matahari, petunjuk bintang tidak lagi berguna kerana demikian cerahnya sinar matahari hinggakan bintang seakan sirna.

Pertemuan Pas-Umno 2008 itu akan kekal dalam sejarah - terpulang kepada pengundi Selangor menilaikannya.

Arah perbincangan dalam perjumpaan 2008 itu berubah kerana perundingnya telah berjaya diubah.
Tetapi fakta adanya perundingan di saat tidak munasabah seperti itu akan kekal sampai bila-bila.
Cadangan Cik Gu Pa untuk turut memanggil YB Khalid Samad dengan sendirinya membenarkan dakwaan saya adanya pertemuan itu, bukan menafikannya.

Ada pun pertanyaan beliau sama ada saya menjadi alat Dap, saya pertanyakan kembali kepada Cik Gu: Adakah Cik Gu kini sedang menjadi alat Umno sekali lagi?

Ada apa-apa ke Cik Gu telah dapat ?

Sanggupkah Cik Gu menanggung akibat tidak berterus terang dengan ahli selama ini?
Alat siapa Cik Gu?

3. Kenyataan Terbaru Mursyidul Am Mengenai Kerjasama Pas-Umno
Saya merujuk kepada laporan media seperti keratan di bawah.
Sekalipun kenyataan ini belum lagi bertaraf seterang matahari, tetapi ia lebih mudah difahami.

Paling tidak, seterang bulan purnama.
Mengikut Islam, sekecil hilal ( bulan sabit) pun sudah boleh dijadikan dalil untuk memulakan ibadat sebesar puasa, ini kan pula bulan purnama.

Sudah cukup bagi yang prihatin, untuk mengambil pedoman.
Kenyataan itu menunjukkan, perundingan kerjasama antara Pas-Umno MEMANG WUJUD.
Jadi atau tidak, belum pasti, pertama. Kedua, bentuknya belum muktamad.
Sebagai ahli Pas, saya lebih menghargai ketelusan sebegini.

Ia lebih mulia dari usaha belakang tabir yang boleh menimbulkan kekeliruan ahli parti. Ketiadaan info kepada setengah ahli menimbulkan perbalahan yang berlarutan.
Mereka berpencak silat dengan mata tertutup kerana maklumatnya disembunyikan, tapi bunyi dan desirnya telah wujud sejak 2008.

Itu mungkin sebabnya Islam melarang memperdaya pengikut. Memperdaya bermakna pengikut tidak diberi tahu arah sebenar mereka dibawa sehingga sampai satu waktu, mereka tidak lagi boleh berpatah balik.

Apa yang diperlukan Pas kini ialah ketelusan.

Samaada bila kerjasama itu akan dimuktamadkan dan bentuknya, tentu bergantung kepada banyak faktor, seperti kata Mursyidul Am, termasuk faktor strategi masa dan keadaan.

Niatnya ada. Usahanya ada. Penafian dulu kini sudah meningkat menjadi pengakuan, sedikit demi sedikit seperti menyuntik ubat bius oleh doktor pakar.

Kini, terpulang kepada ahli Pas dan masyarakat awam menilai, membaca dan bertindak balas.

Pas tidak boleh menghalang orang ramai membuat tafsiran sendiri, membuat bacaan politik dan bertindak balas sewajarnya.

Alhamdulillah, usaha kecil saya untuk Allah bukakan rahsia pergerakan belakang tabir selama ini dengan menyebut namaNya 'Al Khabir' sedikit sebanyak berhasil.

Allah Maha Mengetahui rahsia tersembunyi dan tindakan terang semua hambaNya.

Saya berterima kasih kerana Mursyidul Am memberikan pencerahan yang sudah lama dinantikan.

4. Pemuda Kelantan Kepingin Menjadi Tuan Rumah
Ahlan wasahlan.

Oleh kerana statusnya adalah Pemuda Negeri, sebaiknya lingkaran regu dan maudhuknya bersifat negeri.

Pemuda boleh aturkan saya berdebat atau berforum dengan mana-mana pimpinan kerajaan negeri yang ada.
Baik tajuk berkerajaan mahu pun tajuk politik.

Baik isu yang telah saya bangkitkan atau belum.

Saya bersedia.

Husam Musa

Bodhi Island, China
18 November 2015
6 Safar 1437 H
[wm.kl.10:09 am 18/11/15]

No comments:

Post a Comment