Thursday, December 17, 2015

Membaca politik Azmin Ali?

ULASAN

MB Selangor Mohamed Azmin Ali (foto)  kini sudah bergelar Dato' Seri. Dia juga khabarnya baru mendapat seorang menantu. Tiada paparan majlis perkahwinan anaknya itu secara mewah. Dua peritiwa itu tentu menggembirakan MB berkenaan. Apa lagi dalam temuramah akhbar dengan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah sempena hari keputeraan baginda, Sultan Sharifuddin ada menyebut fasal bekas dua MB Selangor yang konotasinya kurang menyenangkan.

Bekas MB itu, Muhamad Mohd Taib disebut atau diceritakan pernah berbohong dengan Almaruh Sultan sebelum ini, manakala bekas MB Abdul Khalid Ibrahim juga ditegur kerana menukar fungsi asal PKNS.

Kedua teguran itu tanpa menyebut kelemahan Azmin, (belum lagi?) merupakan satu hadiah kepada Azmin. Azmin tentu gembira dan rasa senang dengan perkara itu dan boleh menganggap dirinya masih belum ada apa-apa masalah dengan Istana, atau tidak melakukan "ulah" yang menyebabkan Istana terkeduh hati. Apa lagi dia baru menerima anugerah tertinggi membawa gelaran Dato' Seri, keadaan Azmin masih berbulan madu dengan pihak Istana.

Atas kesukacitaan Azmin itu saya penulis marhaen juga mahu mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada sdr Azmin dan isteri atas dua keseronokan itu. Pun demikian, ini bukan bermakna untuk saya tidak menulis serba sedikit berhubung perkembangan atau cakap-cakap mengenai MB itu yang berlaku ke belakangan.

Saya sudah berjanji dua tiga hari lepas akan cuba membuat sedikit sorotan dan komenter mengenai diri MB berkenaan tepatnya tentang sikap beliau dalam mendepani krisis dihadapi parti-parti pakatan DAP dan Pas seperti mana yang dipersoalkan.

Reaksi atau ulasan saya ini ialah ekoran beberapa orang termasuk juga pimpinan tertinggi parti pembangkang dan pimpinan PKR peringkat negeri sendiri ada bertanya saya perihal Mohamed Azmin Ali berhubung sikap politiknya yang dianggap semacam "lari cheses" sedikit.

Mereka rata-rata ingin mengetahui apakah MB Selangor itu "inginkan" atau motif politiknya dengan sikapnya terhadap pembangkang, khsnya DAP dan Amanah yang dianggap berbeza dengan pendirian sepatutnya. Azmin dalam berhadapan dengan kemelut antara parti-parti ini bersikap persis play safe. Penerimaan atau pun ulasan-ulasan Azmin mengenai krisis yang melibatkan Pas dengan DAP dan juga tertubuhnya Amanah seakan tidak sekata dengan majoriti pimpinan Pakatan yang lain, sebaliknya memberi keronokkan ke sebelah pihak lain.

Lebih mengejutkan lagi kenyataan dan pendirian diambil Azmin berbeza dengan rakan pimpinan dalam PKR yang lain ini termasuklah kontras dengan Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail, dengan Naib Presiden Rafizi Ramli, Nurul Izzah dan juga dengan Pengarah Pilihan Raya PKR Saifuddin Nasution Ismail.

"Apa sebenarnya berlaku kepada Azmin, Ti... pelik nampak gaya dan gelagatnya ke belakangan ini?" begitu aju seorang pimpinan PKR peringkat negeri Kelantan tatakala datang menziarahi saya. "Takkan demo tidak tahu, apa yang berlaku di sebaliknya?" Tekan pemimpin itu berserekap jarang dengan saya. Dia mengira saya tahu apa yang berlaku di Selangor?

"Apa sebenar yang Azmin mahukan sheikh?" tanya pula bekas pimpinan tertinggi Pas. "Betulkah dia ada agenda yang istimewa?" Lanjut pimpinan Pas itu yang kini sudah jadi pemimpin parti pembangkang, dengan bersungguh lagi. "Atau enta fikir macam mana dengan Azmin ini. Kita kurang senang dengan sikapnya. Boleh percaya ke dia ni?" Pertanyaan itu menyebabkan saya terkejut. Apabila timbul soal "boleh percaya ke" ia sesuatu yang berat. Bahawa telah ada persepsi buruk kepada Azmin.

Pertanyaan-pertanyaan itu meresahkan saya dan kekok untuk saya menjelaskan. Sebab apa yang berlaku itu didasarkan kepada persepsi dan bukannya kenyataan. Ia ditambah pula dengan teori-teori politik yang tidak mustahil boleh berlaku dan dibayangkan akan terjadi.

Memang beberapa kenyataan Azmin mengenai perbalahan Pas dengan DAP dan juga penubuhan Amanah kemudian perwujudan Harapan Baru tidak begitu kondusif. Azmin menunjukkan sikap kurang setujunya dengan semua masalah atau perkara itu. Dengan mengambil kita Azmin seorang ahli politik yang berhemat, bijak mengeksploitasikan keadaan menyebabkan sikapnya menjadi tanda tanya. Gerak badannya dalam hal ini disangsikan.

Semacam sikap Azmin ada kontradik dalam hal ini. Dalam masa puak Amanah dan DAP mahukan Azmin mengambil sikap tegas dengan Pas, Azmin mengeluarkan kenyataan yang Pas diperlukan dan merupakan rakan dalam kerajaan di Selangor. Azmin mengambil sikap membela Pas. DAP dan Amanah kurang gemar dengan pendirian Azmin itu kerana mereka sudah pun memutuskan hubungan dengan Pas. Apa yang patut bagi mereka, Azmin perlu sama melupai Pas atau setidak-tidanya menunjukkan kecenderongan bersimpati dengan Amanah.

Mereka yang fasih politik memahami dilema kecil Azmin dalam berhadapan desakan Amanah dan DAP. Lebih kejam dari itu Amanah dan DAP, mahukan Adun Pas yang menjadi Exco dipecat dan diganti. Demikian juga penjawat politik yang disandang oleh orang-orang Pas ditukar. Ada desakan yang boleh dianggap suara terpencil dari DAP Selangor membuat desakan dan asakan demikian kepada Azmin.

Amanah  tentu menyokong desakan DAP kerana sebagai seteru Pas, Amanah suka kalau Pas tidak lagi bersama PKR dan diganti dengan mereka. Tujuan kewujudan Amanah itu pun sebenarnya untuk menjadi pengganti kepada Pas. Tetapi hasrat itu tidak disetujui oleh Azmin. Sikap inilah menyebabkan Amanah menjadi konfius, dan mempersoalkan pendirian Azmin kepada pihak mana sebenarnya yang dia sayangi.

Apa yang didakwa dan berlaku ke atas Azmin itu disedari dan diketahui pemerhati politik. Bukan sahaja DAP dan Pas tidak senang dengan Azmin, tetapi dalam kalangan PKR juga tidak bersetuju dengan Azmin yang dilihat lebih berpolitik untuk kepentingan diri daripada kepentingan Pakatan Rakyat, atau Harapan Baru.

Mereka yang sebelum ini menentang Azmin kerana tidak suka dengan stail dan gelagat serta politik terlalu profesional Timbalan Presiden PKR jadi semakin menyesali sikap Azmin.

Dalam konteks ini saya secara peribadi melihat penuh keadilan apa yang berlaku dan dilakukan oleh Azmin itu. Pemahaman secara politik hendaklah dibuat. Kenapa dan mengapa Azmin bersikap demikian, harus difikirkan kepada kedudukannya. Sebelum Azmin dihukum ataupun ditohmah dengan sesuatu semua orang harus menjadi Azmin Ali yang memegang jawatan MB.

Apabila orang memahami kedudukan Azmin itu mereka akan faham kenapa Azmin bersikap play safe. Langkah Azmin itu bijak sebenarnya dan itulah yang perlu diambil oleh beliau. Azmin kena mengukuhkan kedudukannya sebagai MB terlebih dahulu sebelum mengambil kira hal orang lain apa lagi bersifat kepentingan diri atau puak. Kerana paksi baginya ialah jawatan MB. Jawatan itu lebih penting dari segala-galanya, kerana kalau jawatan itu sendiri lemah maka beliau juga akan lemah.

Dalam hal ini Azmin memerlukan seberapa banyak sokongan kepada kerajaanya. Justeru perbalahan DAP dengan Pas dan kewujudan Amanah yang dilihat memberi masalah kepadanya tidak digemari. Azmin tidak ada masa untuk memecahkan kekuatan sesama sendiri. Dari konteks ini saya setuju dengan sikap terbuka dan tidak menujukkan berpihak yang dipamerkan Azmin itu.

Sejak awal menjadi MB lagi saya menyatakan Azmin harus menumpukan kepada kerajaan Selangor daripada memikirkan soal parti. Tugas dan tanggungjawab mengendung kerajaan Selangor adalah berat dan mencabar. Bukan sahaja untuk dia menunjukkan kemampuan dan kebolehannya, memenuhi kehendak rakyat, tetapi juga membersihkan ansir-anasir yang mahu menngoncangkan kedudukannya. Penggambilan kerusi MB oleh Azmin daripada Khalid Ibrahim itu dalam keadaan bergolak dan panas.

Peninggalan Khalid tempoh hari bukan begitu sahaja melainkan meninggalkan masalah buatnya. Apa lagi orang yang sepatutnya menjadi MB bukan Azmin tetapi Dr Wan Azizah Wan Ismail. Situasi itu menyebabkan Azmin terpaksa berhadapan dan mengambil hati dua pihak bagi memastikan dia dapat menjadi MB dengan baik dan mendapat sokongan padu.

Mereka yang setia dengan Khalid terutamanya yang mencari makan dengan bekas MB itu perlu dibersihkan Azmin kerana mereka ini akan menjadi masalah. Walaupun suara mereka seperti nyamuk tetapi cukup menganggu tidur Azmin. Dan ternyata halangan ini berjaya dihadapinya. Sedikit demi sedikit Azmin berjaya meredakan atau melumpuhkan serangan hendap terhadapnya oleh mereka yang simpati dengan Khalid.

Selepas setahun menjadi MB perlahan-lahan Azmin menunjukkan kemampuan dan kewibawaanya. Beberapa masalah yang belum selesai dan ditinggalkan Khalid dapat diatasi dengan baik. Perkara paling pokok dan boleh disifatkan kejayaan Azmin ialah apabila beliau berjaya mencairkan rezab Selangor yang bernilai berbillion ringgit yang dibekukan oleh Khalid Ibrahim.

Kejayaan lain menyelesaiakan masalah air dimana penswastaan air yang menguntung syarikat kroni kini telah kembali menjadi milik kerajaan Selangor semula.

Dalam masa sama kemampuan Azmin juga terserlah apabila beliau berjaya mengkekalkan hubungan baik selaku MB dengan pihak Istana. Pengekalan dan kejayaan ini sangat penting bagi Azmin demi stabiliti kerajaannya. Perlembagaan tubuh kerajaan Selangor benar-benar dihayatinya oleh. Azmin harus dan telah menjaga sebaik mungkin hubungan beliau dengan pihak Istana. Bertolak dari sini juga Azmin cuba menonjolkan kepimpinan Islam dan Melayu di Selangor yang sejiwa dengan kehendak Istana.

Jadi apa masalah Azmin sekarang ini? Yang didesas desuskan dan sehingga ada yang bertanya saya ialah mengenai sikap Azmin dengan Amanah dan DAP tadi disamping sikap baik beliau dengan Pas. Kedua, ialah mengenai usaha-usaha dijalankan oleh pendokongnya untuk mengukuhkan kedudukan Azmin. Dan ketiga, ini satu andaian semata-mata, bahawa Azmin diramalkan akan melupai bosnya, Anwar Ibrahim apabila sampai masanya nanti dan beliau kini sedang giat membina kekuatan sendiri.

Saya telah menjelaskan kenapa Azmin bersikap demikian dalam melayan DAP dan Amanah itu. Bagi saya tindakan Azmin itu adalah sangat baik dan itulah cara berpolitik yang bijaksana. Sesiapa pun yang berkedudukan seperti Azmin akan mengambil sikap berbaik-baik dengan sesiapa sahaja, kerana Azmin tahu dia tidak boleh mempunyai musuh yang ramai. Apa lagi Pas yang berjiwa Melayu dan Islam sepertinya lebih "ngam" berbanding dengan DAP. Bagi Azmin Pas adalah pemangking kerajaan dipimpinnya.

Apa juga diperkatakan kini ialah tindakan atau tingkah laku orang-orang Azmin yang dikatakan terlebih dalam tindakan. Mereka ini bertindak menjadi panglima kepada Azmin dan merekalah yang menjadi pagar memperkuatkan Azmin. Dalam masa sama, mereka bersikap rakus dengan mencantas mana-mana orang yang dianggap tidak sebulu dengan Azmin. Kelakuan orang-orang Azmin menjadi masalah kepada Azmin.

Perkara ini sudah menjadi sebutan. Kumpulan ini sedang membina pengaruh untuk Azmin. Langsung daripada itu ada yang membuat telahan bahawa ia adalah persiapan untuk masa depan bagi Azmin bertanding merebut jawatan presiden PKR daripada Dr Wan Azizah. Pemenjaraan Anwar Ibrahim selama lima tahun dikatakan bukan sahaja menggembirakan Umno dan Najib Razak tetapi ia turut sama diseronoki Azmin. Azmin meletakkan takdir dirinya di atas apa yang menimpa Anwar ini.

Sejauh mana benar dan tidaknya, ia diukur kepada sikap Azmin dalam menghadapi nasib malang Anwar yang terkurung dalam penjara kini. Azmin dikatakan membisu dan tidak berbuat apa-apa kempen untuk membebaskan Anwar. Walaupun kempen itu tidak akan mengubah keputusan mahkamah, sekurang-kurangnya mereka yang simpati kepada Anwar mahu MB Selangor itu menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden bergerak bersama presiden untuk mendesak kerajaan Malaysia membebaskan Anwar.

Persoalan lain tentang Azmin, dan ini paling menakut dan mengejutkan ialah, berdasarkan kepada filsafat politik itu tidak ada yang mustahil, Azmin juga mungkin tidak akan mempedulikan kepada nasib Anwar. Mungkin dalam perhitungannya Anwar sudah berakhir dalam politik dan tempat itu perlu diganti olehnya. Atas kesimpulan itu maka beliau berhak membuat percaturan baru politiknya dan juga politik PKR di masa depan. Bagi mensukseskan ini Azmin boleh melakukan apa sahaja termasuk perkara yang tidak dijangkau oleh pemikiran biasa.

Berdasarkan ini salah satu telahan, tidak mustahil kalau PKR juga nanti akan mengikut jejak Pas untuk bersama Umno. PKR dibawah Azmin kelak tidak mustahil akan meninggalkan DAP secara total seperti mana Pas, dan ketika itu akan wujudlah satu persepakatan baru. Kalau ini berlaku ia tidak merugikan asalkan Azmin diberi jaminan untuk terus kekal sebagai MB Selangor. Cukup dulu setakat ini. [wm.kl.6:21 pm 17/12/15]

No comments:

Post a Comment