Wednesday, February 3, 2016

Berapa lama pula Ahmad Bashah mampu bertahan sebagai MB?

ANALISA 

Pergolakan dan kemelut politik dalam Umno Kedah yang dilihat berakhir hari ini apabila Mukhriz Mahathir telah mengumum meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan serentak itu nama Ahmad Bashah Md Hanapiah (foto) diumum sebagai penggantinya, bukan merupakan titik nokhtah kepada segala-galanya di negeri Jelapang Padi itu.

Pelantikan Ahmad Bashah bukan bererti dunia politik Umno Kedah akan aman dan tenang, sebaliknya selepas ini ia akan memulakan babak baharu yang lebih menarik dan dramatik. Kalau sebelum ini, Mukhriz bermati-matian untuk menjaga kedudukan dan maruah politiknya dari "jatuh berdebuk", selepas ini giliran Bashah pula berbuat demikian. Malahan Bashah mempunyai tugas berat untuk mempertahankan diri dan kedudukannya.

Esok jika tidak ada aral merintang Ahmad Bashah dijangka akan menghadap Jemaah Pemangku Raja di Istana Anak Bukit untuk mengangkat sumpah menjadi MB Kedah yang baharu. Tahniah kepada Bashah kalau jadilah?

Kenapa kemelut Umno Kedah dikatakan tidak mudah lengsai? Mukhriz sendiri dilaporkan beliau tidak akan mendimkan diri terhadap "kezaliman" yang menimpa dirinya. Kenyataan bekas MB itu perlu dilihat beliau akan bertindak lebih jauh dan agresif daripada sebelum ini. Apa diucapkan Mukhriz itu sebagai signal balas dendam akan berlaku.

Dan rasanya semua orang dapat menjawab persoalan ini serta mencari justifikasinya, ini kerana proses penggantian MB Kedah itu tidak berjalan dengan tertib dan berlaku di luar tradisi kekeluargaan Umno. Di samping ada yang seronok dengan apa yang berlaku, tetapi ada yang terhiris dan sakit atas apa yang terjadi. Cara dan tindakan Ahmad bersama gengnya menyingkirkan Mukhriz akan meninggal kesan dan luka kepada Mukhriz dan penyokongnya. Lainlah kalau transisi itu berjalan dengan lendik dan teratur.

Ada beberapa insiden di sebalik transisi itu kenapa ia meninggal kesan buruk. Selain ia meragukan ia juga dikira anih dan tergesa-gesa. Misalnya keputusan untuk menggugurkan Mukhriz itu tidak dibuat secara kolektif di kalangan pimpinan Umno Kedah apa lagi mendapat persetujuan rakyat sebaliknya lebih kepada tindakan memerangkap dan peralat sesetengah ketua-ketua Umno bahagian.

Kenyataan berupa penafian dari beberapa pimpinan Umno Kedah di peringkat awal berhubung sidang akhbar diadakan Bashah menjelaskan realiti itu. Bahawa ia tidak dibuat secara kolektif dan proses memaksa agar bersetuju dengan tindakan itu dilakukan kemudian.

Justeru kerana ianya tidak benar dan salah, maka Mukhriz dan penyokongnya tidak akan membiarkan Bashah dan gengnya berlalu begitu sahaja. Rasa sakit hati atas tindakan yang dianggap melukakan itu pasti akan didendami. Rasa tidak puas hati pasti akan dihemburkan dan upacara pembalasan dendam kepada Bashah pasti akan dilakukan. Proses membalas dendam ini mungkin berjalan memakan masa, dimana kalau ia tidak tercapai dalam waktu terdekat sehingga ke musim pilihan raya.

Mungkin Mukhriz dan pengikutnya boleh senyum dengan apa yang berlaku, serta melapazkan ucap redha, tetapi tidak di dalam hati. Apa yang bergelora dan menggarut tangkai hati tidak siapa tahu. Dunia politik itu sendiri tidak ada kunci yang mengikat kata agar ia senantiasa berada atas paksi awalnya?

Hakikat yang berlaku kini kerajaan pimpinan Bashah nanti adalah kerajaan yang tidak kuat dan ia boleh goyang bila-bila masa sahaja. Seperti mana dijelaskan Mukhriz hilang sokongan di Dewan Undangan Negeri Kedah apabila tidak mendapat sokongan Ahli Dewan yang dibezakan beberapa suara sahaja. Difahamkan tidak semua Adun Umno seramai 20 orang menyokong Ahmad Bashah. Yang pastinya dua Adun, Adun Jitra Aminuddin Ommar dan Mukhriz tidak bersetuju dengan Bashah.

Sekiranya kesemua Adun pembangkang seramai 15 orang mengambil pendirian untuk tidak menyokong Bashah dan mereka bergabung dengan Mukriz dan Aminuddin, ini bermakna oposisi mempunyai 17 kerusi. Jumlah itu cukup untuk meletakkan sokongan Ahli Dewan kepada Bashah sangat lemah apabila hanya dibezakan dua atau tiga suara sahaja dimana seramai 18 kerusi menyokong Bashah.

Sekiranya benar seperti mana dilaporkan dua orang Adun mengambil keputusan berkecuali semasa diminta sama ada menyokong atau tidak Bashah sebagai MB benar, keadaan ini mengawatkan lagi kerajaan Bashah. Ia akan meletakkan Bashah sebagai MB seperti telor di hujung tanduk. Situasi ini menjadi Bashah sebagai MB yang boleh memejamkan mata tetapi tidak akan pernah didatang mimpi indah dan damai.

Bayangkan apa berlaku kalau dua Adun yang berkecuali itu tiba-tiba suatu waktu mengubah pendirian menyatakan penolakan mereka kepada Bahsah? Apa akan berlaku kalau diadakan usul undi tidak percaya kepada bakal MB itu. Bukankah bermakna oposisi kini mempunyai 19 kerusi di mana mempunyai satu majoriti? Kedudukan itu sudah cukup untuk menyembamkan Bashah dari kerusi MB.

Berpegang kepada senario ini dan segala kemungkinan boleh berlaku, menyebabkan kedudukan Bashah sebagai MB Kedah dilihat tidak begitu teguh. Kerajaan yang akan dibentuk nanti merupakan kerajaan yang cukup lemah dan sangat terdedah kepada pakatan yang boleh mengugurkannya dan mengecaikan kerajaan Umno Kedah fasa kedua itu. Bila-bila masa sahaja Adun yang tidak mendapat pembahagian ghanimah yang cukup boleh beronar.

Sebab itu dikatakan bahawa kemelut dan pergolakan Umno di Kedah itu tidak akan berakhir dengan perkembangan hari ini. Dan ia lebih parah lagi sekiranya Umno mengambil keputusan memecat Mukhriz daripada Umno sebagai jalan selamat atau mengelakkan Mukhriz mengamuk dalam rumah sendiri (Umno) dengan harapan Umno Kedah tenteram dan aman.

Tindakan memecat Mukhriz akan membuka jalan pertikaian lebih teruk lagi. Ia juga boleh disifatkan Umno membakar sampah bawah rumah. Sudah pasti kalau Mukhriz diambil tindakan dipecat, akan ada pemimpin lain yang juga akan diambil tindakan sama. Lebih "mengsamrawitkan" lagi apabila ia melibatkan Adun. Kedudukan Adun khususnya dari Umno di Kedah hari ini sangat bernilai. Berapa nilai mereka tidak terhitung. Sebanyak mana nilai mengekalkan kerajaan BN di Kedah maka setinggi itulah nilai mereka.

Kecualilah dalam usaha memperkuatkan kerajaan Kedah dibawah pimpinan Bashah itu, Umno mengatur kerjasama (ta'awun) dengan Pas. Sekiranya Umno berjaya membawa sokongan lapan (8) Adun Pas ia menjadikan kerajaan pimpinan Bashah bukan sahaja kuat tetapi juga merupakan kerajaan yang mendapat majoriti 2/3.

Persoalannya apakah ada denai-denai ke arah itu di Kedah Umno akan berkerjasama dengan Pas, dan Pas sedia pula untuk ke arah itu? Kita kena tunggu sehingga terbentuk kerajaan Ahmad Bashah. [wm.kl.7:20 pm 03/02/16]

No comments:

Post a Comment