Nazri Aziz yang selamanya dikenali kawan rapat dan sepermainan Najib Razak terus melakukan perang saraf (psywar) ke atas Muhyiddin Yassin, mahukan timbalan presiden Umno itu keluar dari Umno. Tampaknya Nazri ada pelan dan perancangan tersendiri dalam usaha untuk memberi ketenangan kepada rakan baiknya itu (Najib), dan sekaligus mengurangkan tekanan dalaman terhadap Umno yang kini kian parah dan lelah.
Muhyiddin Yassin |
Nazri Aziz |
Sungguhpun Muhyiddin tidak menggerakkan serangan terhadap Najib secara terbuka, tetapi keberadaanya yang sekali sekala mengkritik Najib dengan mengungkit hal-ha belum beres (fatal) itu memedih dan menyakitkan Najib dan Umno. Kebenaran yang dituturkan Muhyiddin mulai ditelan oleh orang ramai.
Mungkin media massa milik Umno tidak memberi liputan meluas terhadap apa yang Muhyiddin katakan, kalau sekalipun benar dan bermutu, tetapi media sosial lain sangat mengambil berat dan menjadikan bahan laporan utama terhadap setiap isu yang Muhyiddin perkatakan tentang Najib dan masalahnya. Tengok sahaja twiter milik bekas TPM itu, sekali beliau membuat twiter puluhan ribu dijawab dan mendapat komen khasnya daripada anak-anak muda.
Sebagai orang yang sejalur dan membesar di era Najib, teman sepemainan dan mempunyai minat yang sama, Nazri tentu merasai apa yang berlaku dan sangat bimbang dengan situasi itu. Kalau kawannya itu jatuh maka dia juga akan terpelanting. Maka sesuatu perlu diambil tindakan segera dan tidak boleh dibiarkan. Mungkin menteri itu dapat membaca apa yang akan berlaku kepada Umno kalau masalah yang ada sekarang ini tidak dibendung. Muhyiddin boleh dianggap sebagai kura-kura dalam tindakannya, tetapi dia tetap berjalan dan melakukannya tanpa berhenti. Ini yang ditakuti oleh Nazri.
Nazri mungkin hafal cerita bagaimana sang Arnab yang angkuh dan sombong berlawan berluma lari dengan kura-kura yang hamble dan dilihat lemah akhirnya perlumbaan itu dimenangi oleh kura-kura.
Maka wajar kalau telinga Nazri berasa pedih dan sesak nafas dengan tindak tanduk Muhyiddin. Ahli Umno hari ini bukan lagi seratus peratus akur dan tunduk kepada apa yang diperkatakan oleh pucuk pimpinan parti, tetapi mereka ada neraca dan mirzam sendiri untuk membuat penilaian dan keputusan.
Bukan semua apa yang disuapkan mereka menerusi media eletronik dan cetak milik kerajaan ditelan bulat-bulat macam baung menelan tahi di pengkalan. Zaman tunduk dan patuh tanpa soal sudah mulai terhakis dalam Umno apabila ia dimeriahi oleh generasi muda yang cerdik. Anak muda dalam Umno mahu sesuatu yang dinamik.
Keadaan itu kian jelas hari ini. Penerimaan sokongan terhadap Najib kini sudah berbelah bahagi. Jika dilihat kepada luahan dan cemuhan generasi muda menerusi media sosial menunjukkan Najib berada pada tahap yang sangat teruk dan paling diragui. Setiap kenyataanya disinggung dan diperlecehkan. Lebih teruk ada yang berani melukis gambarnya dengan ilusi yang buruk dan huduh. Kekurangan sambutan kepada Najib ini terbukti bila mana majlis meraikan 40 tahun Najib bergelumang dalam politik yang diadakan dua tiga hari lepas katanya tidak mendapat sambutan seperti diharapkan.
Melihat kepada realiti inilah Nazri tiba-tiba bangkit menyerang Muhyiddin bagaikan lelaki yang baharu pulang dari perantauan. Bagi Nazri, Muhyiddin ada saham dalam mewujudkan keadaan tidak kondusif terhadap bosnya itu. Misalnya pengungkitan hal-hal belum beres dan menjadi pertanyaan umum seperti isu 1MDB dan derma RM2.6 billion, dua isu yang mula menghilangkan kepercayaan Muhyiddin kepda Najib, masih berlaku. Orang ramai termasuk ahli Umno sendiri masih menunggu jawaban Najib berhubung perkara itu seperti mana disoalkan oleh Muhyiddin. Soalan Muhyiddin merupakan soalan rakyat.
Justeru, Nazri yang dikenali dengan sikap keras, ego dan merasakan dialah lelaki paling macho di negara, serta merasakan dia adalah orang kanan Najib selepas ketiadaan Jamaluddin Jarjis, memulakan perang saraf untuk menghalau Muhyiddin dari Umno. Istilah ajing mengigit kaki yang dianologikan ke atas Muhyiddin satu istilah yang bukan pekerti dari ahli parti Umno yang bersopan santun dan beradab.
Istilah itu adalah paling teruk dan sangat tidak bermoral. Ia bagi memberi gambaran betapa marah dan bencinya Nazri kepada Timbalan Presiden Umno itu.
Mulanya Nazri mendesak Muhyiddin agar melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden Umno. Cara dia mendesak Muhyiddin itu seolah-olah Umno adalah hak dan harta mak bapaknya. Dia lupa bahawa Umno milik lebih 3 juta ahli. Setelah menyedari itu, Nazri mengubah haluan dengan mencadangkan kepada MT agar menggantung jawatan Muhyiddin sebagai timbalan presiden.
Menurut tafsirannya MT ada kuasa untuk membuat keputusan itu selepas terlebih dahulu Muhyiddin dihadap ke Jawatankuasa Disiplin parti. Sekali nampak cadangan Nazri itu seakan mudah dan ia sudah pun diplotkan begitu. Apakan jawatankuasa disiplin bersedia mengikut skrip yang diaturkan itu? Kalau ia berlaku seperti mana dibayangkan Nazri itu, maka sekali lagi Umno yang sudah terhakis kepercayaan dan integriti khasnya dibawah pimpinan Najib ini menjadi lebih "sipol". Maksud sipol di sini tidak berjenis.
Bagaimana pun psywar yang digerakkan oleh Nazri itu mendapat reaksi dari beberapa orang pimpinan Umno lain yang menyatakan sokongan dan cadangan itu sebagai satu tindakan meredakan bara dalam Umno. Antara yang bercakap menyokong cadangan Nazri ialah, Ahmad Shabery Chik, Azalina Othaman Said, Idris Jusoh, Rahman Dahlan serta beberapa orang lagi. Salleh Said Kruak yang terkenal sebagai pembodek baharu Najib masih belum bersuara. Umum faham dengan telatah pimpinan-pemimpin berkenaan yang ada kalanya berkokok dalam keadaan mengigau, kerana ada sebab yang mengisbabkan.
Mereka yang bersuara menyokong cadangan Nazri untuk menghalau Muhyiddin itu, kalau diamati ianya bukan lahir dari dhamir mereka sebenar. Mereka terpaksa bercakap mengikut gendang dipalukan Nazri untuk tidak dikatakan tidak menari lagu yang sama. Setengah daripada cukup faham apakah natijah kalau tidak berbunyi saat gendang dipalu walaupun ia tidak berirama. Misalnya Azalina tidak mahu peristiwa sebelum ini berulang kepadanya. Parah weh kalau berulang.
Makanya kalau Nazri berharap dengan ada sokongan terhadap cadangannya itu bagi dilihat dan untuk mempengaruhi oleh jawatankuasa disiplin parti maka ia sesuatu yang sangat dangkal dan merendah-rendahkan kredibiliti jawatankuasa berkenaan yang seharus bebas dan telus.
Dalam pada itu, penggantungan jawatan Muhyuddin, atau dalam kata lain bertujuan untuk menghalaukan Muhyiddin dalam mesyuarat MT, ia tidak akan menyelesaikan masalah dihadapi Najib dan Umno. Ketiadaan Muhyiddin dalam MT, walaupun tanpa suara, tetapi isu yang berbangkit 1MDB, dana RM2.6 billion dan lain-lain tidak akan senyap begitu sahaja.
Mungkin ahli MT lain, seperti Annuar Musa yang baharu mendapat jawatan ketua penerangan, atau Ahmad Maslan sebagai pengarah IT Umno, akan senyap, akur dan tunduk, serta angkat jempol sokong 200% cadangan Nazri itu, tetapi apakah ahli di luar yang menunggu jawaban tuntas dari mulut Najib berhubung isu yang dibangkitkan akan senyap?
Segala isu berbangkit dan keburukan Najib dan Umno boleh ditudung dalam MT dengan cara mengambil tindakan ke atas Muhyiddin, atau mereka dianggap api dalam sekan, tetapi yang nyata kebusukkan tetap berbau di luar sana dan dihidu oleh rakyat. Selagi apa dinamakan bangkai itu tidak dibuang atau dikambus, maka wap busuknya tetap akan menerawang dan menyocok lubang hidung.
Pendeknya selagi Najib tidak menjelaskan dengan sendiri segala isu yang dibangkitkan itu, maka ketenangan dalam Umno dan juga ketenangan untuk Najib yang diharapkan Nazri itu tidak akan membuahkan hasil. Sebaliknya tindakan Nazri itu jika ia disokong oleh MT, Umno akan dilihat sebuah parti diktator kalau pun tidak bersifat komunis. [wm.kl.3:14 pm 25/02/16]
No comments:
Post a Comment