Thursday, February 18, 2016

Zahid sang peniup serunai dengan tedung

CATATAN TENGAHARI

Sedari dulu hingga sekarang kalau bercakap mengenai Ahmad Zahid Hamidi orang tidak akan lalai daripada memperkatakan suatu kehebatan yang ada kepada anak Jawa Bagan Datoh ini, yakitu mempunyai PR (public relation) yang cukup baik. Saya ingin menambah, bukan sahaja PR yang baik yang menjadikan beliau disenangi, tetapi satu lagi kebolehan konsisten Zahid ialah licit memuji alias membodek.

Dalam politik, Zahid juga play safe, atau boleh juga dikatakan bijak bermuka-muka. Zahid seorang yang tahu kelemahan dirinya dan dia mengatasi kelemahan dirinya dengan cara tersendiri tanpa pun memerlukan modal dan menunjukkan kualiti. Satu lagi modal Zahid ialah menggambarkan dia seorang agamawan?  Terma-terma atau istilah yang digunakan berbau padang pasir, atau hamis-hamis unta.

Salah satu kelicitan Zahid ialah membodek siapa yang menjadi bosnya. Satu masa Zahid mempunyai dua bos serentak, Anwar Ibrahim dan Najib Razak. Kedua orang inilah menjadi tempat pergantungannya dan Zahid berjaya dalam politiknya sehingga berada pada takah yang ada kini. Zahid menyangkut baju politik kepada dua tokoh ini kerana dia tahu costume politik tidak seberapa sangat.

Semasa melancarkan buku diterbitkan sempena 40 tahun Najib Razak berkucah dalam politik, Zahid  meneruskan tradisi pengampuan dan pembodekan kepada ketuanya, Najib. Ada dua kekaguman yang mengenai Najib yang diangkat oleh Zahid semasa berucap meluncurkan buku berkenaan. Pertama ialah mengenai kesabaran tinggi Najib sebagai seorang pemimpin yang dilukiskan sebagai cukup hebat.

Zahid menceritakan macam mana Najib tenang menghadapi situasi gawat apabila pemandunya membrek kereta dengan mengejut sehingga PM itu tersungkur, bagi mengelak sekumpulan kambing. Saya pernah mendengar cerita ini daripada mulut Zahid. Waktu itu ceritanya bukan kambing, tetapi lembu. Tetapi versinya sama, cuma bertukar jenis haiwan sahaja. Biasalah orang politik. Mungkin untuk 40 tahun lagi haiwan yang hendak dilanggar itu gajah atau harimau pula, biar nampak lebih hebat.

Najib yang dalam perjalanan ke Pekan terlelap, tiba-tiba tersedar apabila tersungkur kerana henjutan brek kereta yang kuat. Menurut Zahid, Najib hanya biasa sahaja dan bertanya, kenapa? Selepas mengetahui keadaanya Najib hanya mengomen tanpa pun mengenakan apa-apa tindakan terhadap pemandunya itu.

Sikap Najib itu mengkagumkan Zahid menyebabkan dia menilai bos itu sebagai seorang yang penyabar dan sekaligus sifat demikianlah menyebabkan Najib berada ditempatnya kini.

Perkara kedua diangkat oleh Zahid untuk menunjukkan kehebatan Najib ialah, Najib menjaga kebanjikan bekas ketua-ketua pemuda di zamannya. Najib tidak melupai mereka dan semua ketua-ketua pemuda diingati dan diberi tanggungjawab. Sudah pasti juga diberi habuan. Ini termasuklah Zahid sendiri yang tidak dilupai oleh Najib termasuklah bersedia memberi jawatan TPM.

Apa yang diceritakan Zahid itu tidak boleh ditolak. Itulah hakikat dan sifat yang ada kepada Najib. Beliau seorang yang sememangnya tenang, baik dan pemurah sangat.

Secara peribadi kalau sesiapa mengenali Najib, dia mengambil perhatian kepada setiap orang dikenali. Saya sendiri pernah tersua dengan Najib dan beliau meminta saya ke pejabatnya kalau ada apa-apa? Ceritanya apabila timbul salah faham mengenai saya oleh Najib. (Tetapi saya tidak ke pejabatnya). Apa hendak dinyatakan bahawa Najib seorang yang peka dengan keadaan apa lagi kalau keadaan itu membabitkan dirinya.

Pengalaman saya itu bagi mengiya apa yang Zahid daulatkan terhadap Najib. Najib memang seorang prihatin, berperwatakan lemah lembut dan baik.

Tetapi apakah cukup dengan memberi dua gambaran kebaikan budi dan saksiah Najib itu untuk melayakkan Najib menjadi seorang perdana menteri? Apakah itu kretria yang perlu ada kepada seseorang perdana menteri tanpa memiliki keistimewaan dan integriti lain lagi?  Kalau hanya itulah sahaja kretrianya ia terlalu cetek. Dangkal sangatlah penilaian Zahid terhadap Najib.

Seorang pemimpin besar perlu memiliki kehebatan dan keunikan lebih daripada itu. Bukan sahaja sifat peribadinya tetapi pemikiran dan wawasan, itu paling penting. Penting juga agendanya untuk masa depan negara. Selebihnya apakah track record yang ada kepada Najib. Najib perlu diukur dalam skala yang lebih besar sesuai dengan kedudukannya kini, bukan setakat dia sabar atau pun tidak marahkan driver.

Mungkin kalau setakat menjadi ketua pemuda Umno apa diangkat Zahid boleh diterima, tetapi bukan sebagai PM. Zahid perlu sedar Najib kini adalah perdana menteri yang sedang diperhati dan dinilai oleh dunia bukan oleh bahagian-bahagian Umno sahaja. Lantaran itu Zahid harus meletaklkan Najib dalam gelanggang dan medan yang luas.

Sesiapa tidak marah kalau Zahid ingin memanggungkan Najib, tetapi biarlah ianya berasas dan logik. Jangan kerana hendak membodek dan mengambil hati Najib maka ia dinilai dengan subjek yang remeh temeh dan boleh diketawakan dunia.

Zahid juga perlu mengukur kebolehan dan darjah yang ada kepada Najib waktu ini, setelah Najib menjadi PM bukan lagi bersenandung dengan kisah-kisah lama. Najib adalah perdana menteri bukan ketua pemuda Umno lagi. Apakah Zahid lupa dengan beberapa kelemahan dan kecacatan yang jelas dan nyata ada kepada Najib. Kelemahan atau beberapa isu tertentu membabitkan integriti Najib menjadi perhatian dan ukuran orang terhadapnya.

Antara isu-isu yang mengelilingi Najib kini dan sedikit sebanyak mencalarkan integritinya sebagai perdana menteri seperti isu dana RM2.6 billion dan juga kemasukan wang ke dalam akaunnya. Isu ini cukup mencabar wibawa Najib. Mungkin wang itu tidak besar tetapi sikap diambil Najib tidak mahu menjawabnya telah mencacatkan Najib. Kewibawaanya akan dipersoalkan selama-lamanya.

Najib tidak pernah menjawab secara pasti dan berdolak dalik perkara berkenaan. Dia lebih menyerahkan kepada orang lain untuk menjawabnya, termasuk juga Zahid. Tindakan dilakukan oleh Peguam Negara yang menggunakan kuasa yang ada kepadanya mengarahkan SPRM menututp siasatan berhubung perkara itu telah mencemarkan Najib sebagai perdana menteri. Dan tindakan itu mengilankan banyak orang.

Ini tidak termasuk beberapa kejutan lain yang berlaku dalam pentadbiran negara khasnya SPRM. Gangguan terhadap siasatan oleh SPRM terhadap kes membabitkan Najib sehingga ada pegawai SPRM dikenakan tindakan, ia memberi gambaran ketidaktelusan Najib sebagai perdana menteri. Kejadian itu disuluh Najib sebagai menggunakan kuasa untuk melindungi dan menyelamat diri sendiri.

Hal-hal atau kejadian seperti inilah yang sepatutnya dinilai sama oleh Zahid sebelum beliau tergamak mengangkat Najib dengan bahasa pujian dan sanjungan.

Mungkin Zahid sudah melupai Anwar dan tidak mengharap Anwar memberi syufaat politik kepadanya lagi. Zahid sudah boleh mendabit dada bahawa kedudukan atau pencapaian politiknya sudah setanding dengan Anwar, sama-sama menjadi timbalan perdana menteri. Namun dalam membuat perbandingan dan penilaian antara kedua bos beliau itu, Anwar dan Najib, Zahid harus adil. Tanpa membandingkan sama Anwar penilaian Zahid akan dilihat tempang.

Apakah beliau mengira Najib sudah mengatasi rekod perjuangan Anwar? Sekiranya Zahid masih waras dia dapat membuat penilaian mampan antara kedua orang ini. Mungkin Zahid boleh mengatakan Najib sahabat atau bos paling hebat dan berjasa kepadanya, tetapi tidak untuk meletakkan Najib berada atas Anwar pada bila-bila masa sahaja.

Satu sahaja juzu boleh dijadikan perbandingan, Najib sepanjang 40 tahun penglibatannya dalam politik tidak pernah melalui ujian segetir Anwar. Jadi Najib tidak boleh diikhtiraf sebagai pejuang bangsa kerana beliau tidak melalui ujian itu seperti mana Anwar. Ertinya pengikhtirafan Zhid kepada Najib itu adalah satu pengikhtirafan kosong dan palsu tanpa berasaskan fakta dan hakikat sebenar. Jadi pelambungan Zahid terhadap Najib itu akan diketawakan, dan ia tidak ubah seperti peniup serunai dengan ular tedung sahaja. [wm.kl.1:06 pm 18/02/16]

No comments:

Post a Comment