Tuesday, March 15, 2016

Pengagihan wang royalti: Apakah Maik lebih besar daripada kerajaan negeri?

CATATAN SORE 

Semalam telah berlangsug penandatangan pengagihan wang ehsan di antara Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan sebagai jabatan dan agensi pelaksana wang ehsan. Kadar pengagihan ialah 50 - 50. Wang ehsan itu adalah hasil royalti petrolium yang diperolehi di perairan Kelantan.

Kerajaan Pusat diwakili oleh Ketua Setiausaha Perbendaraan, Irwan Seriga Abdullah manakala Maik oleh Pengerusinya Azlan. Perdana Menteri Najib Razak dan Tengku Mahkota Kelantan menjadi saksi penandatangani itu.

Tidak disebut pula berapa jumlah wang yang diagihkan itu. Perjuangan rakyat Kelantan selama ini nampaknya telah membuahkan hasil. Kesekian lama rakyat Kelantan, terutamanya menerusi Ngo "R" memperjuangkan untuk mendapat hak mereka.

Kes tuntutan royalti itu juga dibawa ke mahkamah. Kerajaan Pusat berkeras untuk tidak membayarkan kononnya Kelantan tidak berhak ke atas hasil petrolium. Berbagai helah dan alasan diberikan untuk menafikan hak rakyat Kelantan.

Apabila pengaihan royalti itu dilaksanakan, ini menunjukkan kerajaan Pusat akhir akur dan mengakui yang Kelantan berhak menerima hasil petrolium itu.

Cuma apa yang menjadi kemusykilan kenapa pengagihan wang itu dilantik antara Maik dengan JPP dan bukan dengan Kerajaan Negeri? Kenapa ia tidak langsung dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri bagi membolehkan wang itu dibelanjakan secara menyeluruh untuk pembangunan dan kebajikan di Kelantan. Apakah di Kelantan kedudukan Maik lebih atas daripada Kerajaan Negeri?

Cara itu juga menunjukkan Kerajaan Pusat khasnya Najib Razak tidak percaya kepada keupayaan pihak Kerajaan Negeri.

Apakah kerana Maik itu institusi yang dikuasai Istana maka ia diagihkan kepada Maik? Apakah Maik akan mengagihkan pendapatan itu kepada institusi dan agensi-agensi lain. Atau Maik menjadi prokasi kerajaan dalam hal ini?  Atau pun pengagihan kepada Maik itu disebabkan kerajaan Pusat menghormati Istana Kelantan bukannya kerajaan Kelantan?

Kalau begitu dimana terletaknya maruah dan air muka Kerajaan Negeri?

Perkara paling terdesak di Kelantan kini ialah mengenai pendidikan. Kewangan Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang membangunkan sekolah agama berada dalam situasi yang kritikal. Sepatutnya wang itu juga diagihkan langsung kepada YIK kalau pun tidak dimasukkan ke dalam perbendahraan negeri. Apakah Maik akan membantu YIK dalam bidang berkenaan?

Biarpun pengagihan itu menunjukkan perubahan sikap kerjaaan Pusat, tetapi mekanisme pengagihan itu masih menampakkan ia tidak ikhlas dan semacam ada motif lain yang tersirat. Tanpa memberi wang itu langsung kepada kerajaan negeri ini bermakna, konsep "ta'awun" yang dirancangkan antara Pas dengan Umno masih belum terlaksana sepenuhnya.

Mungkin kerajaan negeri sudah berpuas hati dengan apa yang berlaku itu, tetapi sedarlah mekanisme yang diperlakukan itu tidak tepat dan mengikut semangat Federalisme dalam Jadual ke-9 sepenuhnya. Maik bukan kerajaan tetapi hanya sebuah institusi.

Walaupun ia adalah hak Maik langsung, Kerajaan Negeri kena mengawal penggunaan wang berkenaan melalui auditnya. Pastikan wang royalti dimanfaatkan oleh semua rakyat dan bukan institusi sahaja. Ingat wang itu hak kerajaan dan bukan hak Maik. Maik sebagai sebuah institusi menerima peruntukan daripada Kerajaan Negeri.  [wm.kl.2:30 pm 15/03/16]




No comments:

Post a Comment