Salah satu foto susana di Pirake K Kangsar. Pix wall Fb |
Di Kuala Kangsar empat calon bertanding, Dr Najihatusolehah Ahmad (Pas), Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah), Mastura Mohd Yazid (BN), dan seorang calon bebas.
Manakala di Sungai Besar, Dr Rani Osman (Pas), Azhar Abdul Shukur (Amanah) dan Budiman Mohd Zohdi (BN).
Selepas 12 hari berkempen, ketiga-tiga parti yang bertanding atau meletakkan calon yakin akan memperolehi kemenangan. Masing-masing dakwa mendakwa kononnya mereka akan menang berdasarkan kajian dan analisa yang dibuat. Ada dakwaan yang tidak masuk akal sama sekali, misalnya konon Pas akan menang besar di kedua-dua Pirake itu.
Parti Amanah Negara (Amanah) yang pertama kali bertanding juga mengatakan keyakinan mereka berdasarkan sambutan kepada kempen dijalankan. Amanah dikatakan kempennya mendahulu BN lebih 2 peratus? Kempen terakhirnya, diberitakan memberangsangkan, khususnya di Sungai Besar. Amanah berharap undi Cina dan orang atas pagar sebagai undi tegarnya. Amanah belum ada pengundi fundalmental. Untuk rekod undi Cina di Sungai Besar 31%, Melayu 66% dan India 2%.
Taburan peratusan pengundi di Kuala Kangsar pula Cina 24%, Melayu 68% manakala India 7%.
Berdasar perangkaan itu, sukar untuk Amanah menguasai Pirake itu kerana ia belum ada pengundi tegar atau pun fundamental. Berbeza dengan Pas, parti agama itu sudah ada undi tegarnya. Berdasarkan kepada PIRAUM (Pilihan Raya Umum) lalu, Pas meraih 18,296 undi di Sungai Besar dimana berkurangan 200 undi sahaja untuk menafikan BN. BN menang dengan majoriti 399 undi.
Di Kuala Kangsar pula Pas meraih undi sebanyak 13,136 undi. Sebusuk-busuk pun Pas sudah ada undi tegarnya di kedua-dua kerusi itu sekitar 50%. Kalau 50% undinya lari kerana berlaku perpecahan, Pas masih lagi memiliki sokongan sekitar 9,148 di Sungai Besar manakala sebanyak 6,568 di Kuala Kangsar. Berdasarkan unjuran itulah menjadi salah satu sebab Pas berkeras untuk bertanding dikedua-dua Pirake itu tanpa mahu berkongsi kerusi dengan Amanah atau PKR.
Berdasarkan hakikat itu, saya tetap yakin Pas tidak akan hilang deposit dalam Pirake itu.
Apa yang diperhatikan sepanjang kempen berlangsung Pas dan Amanah saling cabar mencabar di antara satu sama lain. Kedua-dua menjadikan Pirake itu sebagai medan untuk memburuk-buruk antara satu sama lain dan melepas dendam kesumat. Semangat ukhwah dan Islamiah yang diterbiah dan diamalkan selama ini terlupa terus. Politik sebeginilah boleh merosakkan persadauraan dan ia haram dari sisi agama?
Berbeza dengan BN yang mengambil sikap defensif dan "tasamuh". Hehe... Mungkin juga parti itu cemas menghadapi pilihan raya itu, bimbang dihukum pengundi, maka mereka tidak begitu galak dan "mangak" seperti biasa. Dengan segala macam masalah dan pergolakan dalam parti itu kini menyebabkan pemimpin mereka "beku mulut" untuk bersuara lantang. Kekalahan di kedua Pirake itu memberi tekanan mental yang berat kepada mereka. Justeru BN nampak tenang menghadapi Pirake ini.
Atau BN telah menukar tektik dan strategi menswastakan tugas menghangatkan Pirake itu kepada Pas dan Amanah. BN membiarkan Pas dan Amanah menimba tasik dan ikannya nanti akan dipungut olehnya. Begitulah juga yang disifatkan oleh banyak pemerhati apabila melihat pertembungan antara bekas pemimpin Pas dengan kepimpinan baru Pas kini. Dalam soal ini BN lebih pintar dan licit.
Apa yang berlaku kepada Pas dan Amanah, saya tampak seperti gelagak dua beradik yang berbalah dan tidak tinggal serumah lagi setelah ketiadaan orang tua. Mereka berpatah arang dengan darah daging sendiri kerana terhasut dan beremosi lebih. Mereka boleh berkawan dengan orang luar, tetapi bukan dengan adik beradik sepusat sepusing. Misalnya Pas baik dan mesra dengan Umno, Amanah pula baik dan mesra dengan DAP. Ini biasa dalam masyarakat Melayu. Pas dan Amanah ditulangi oleh orang Melayu.
Budaya dan fiil jelek Melayu itu terbawa dalam politik yang tidak sepatut berlaku kerana politik merupakan game penuh berstrategi memerlukan kecekapan, kebijaksanaan dan juga inteligensi yang lebih. Senjata utama dalam politik bukan tiang bendera, maki hamun, mentakfir (hukum agama) tetapi akal dan idea.
Keharmonian politik yang dicipta atau pun ditelorkan menerusi Pakatan Rakyat sebelum ini sudah termusnah apabila Pas tidak lagi sedia meneruskannya dengan alasan-alasan dan keyakinan tersendiri. Ketiadaan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemenjaraan Anwar Ibrahim telah membuka lorong berkenaan.
Seperti saya tegas awal-awal, kali ini saya tidak turun dan menyaksi dari dekat kedua Pirake itu. Saya telah tutup jendela dan pintu politik untuk Pirake itu. Saya loya dan muak dengan cara dan gelagat Melayu berpolitik. Jadi saya hanya menjadi pemerhati bisu. Maklumat dan apa-apa perkembangan hanya dipantau di media sosial dan juga infomasi daripada rakan-rakan, yang bertanya kahabr saya lantas bercerita hal Pirake itu.
Melihat apa yang digambar dalam media massa dan rakan-rakan itu, saya berasakan Pirake itu tidak ada apa-apa yang mengejutkan. Ia berkeadaan status quo, ertinya BN akan dapat mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan. Laporan dan catatan dalam media sosial tidak boleh diambil kira kerana ia dibuat dengan penuh sentimen, bias dan tidak adil.
Lantaran itu bagi saya Pirake itu masih berjalan secara normal dan biasa-biasa sahaja, yakni tidak ada apa-apa kejutan akan berlaku, jauh sekali untuk melihat kedua-dua kerusi itu terlepas daripada BN. Baik di Sungai Besar maupun di Kuala Kangsar, BN akan menang. Masalah dihadapi BN muasir ini tidak dapat diambil kesempatan oleh pembangkang yang juga bermasalah.
Ada pandangan dan analisa mengatakan kehadiran Dr Mahathir Mohamad berkempen dalam Pirake itu boleh memberi kejutan disaat-saat akhir. Pandangan itu dibuat menerusi satu kajian. Pihak yang mengkaji ada alasan dan dapatan tersendiri. Namun logik akal saya, Dr Mahathir tidak dapat memberi apa-apa sumbangan untuk menjadikan Pirake itu satu kejutan. Kedatangan Dr Mahathir hanya memeriahkan keadaan sahaja. Walau pun deklarasi rakyat untuk menjatuhkan Najib Razak dijadikan modal, tetapi ia belum cukup untuk membuka mata pengundi khasnya dari saluran satu untuk bertindak.
Orang Melayu di Sungai Besar dan Kuala Kangsar mempunyai sentimental value yang tinggi kepada Umno. Tidak mudah untuk mereka menolak BN. Hanya berharapkan kepada pengundian saluran 3 dan 4, - orang muda, tetapi persennya masih belum mencukupi. Mungkin kalau 10 atau 15 tahun lagi, pengundi Melayu sudah makin tipis dengan perasaan taksub kepada Umno.
Bagaimana pun Pirake itu akan memberi implikasi tersediri kepada BN. Sekiranya BN mendapat undi rendah daripada undi Amanah dicampur dengan Pas, ia bererti BN kalah. Kemenangan yang diperolehi hari ini, adalah kemenangan tidak tulen, dan boleh dianggap kemenangan secara tektikal sahaja.
Natijah itu menyebabkan BN akan termenung panjang. Kemerosotan undi BN, katalah ianya lari hingga 40 persen berbanding undi diraih dalam Piraum dahulu, ia memberi petanda buruk kepada BN. Keadaan itu membolehkan pembangkang berangan-angan dan menyimpan harapan besar untuk menakluki kerusi berkenaan di masa akan datang.
Sudah parti dalam Piraum akan datang, suasana yang berlaku hari ini, pertandingan tiga penjuru tidak akan berlaku lagi. Sitausi itu juga mungkin membuka jalan "mustaqim" kepada pembangkang khas Pas untuk kembali bertaut semula dengan pembangkang atas masalahah untuk menjatuhkan BN. Saya ada sedikit keyakinan begitu dengan syarat Pas tidak lagi diterajui Guru Abdul Hadi Awang dan Guru Haron Din.
Atau pu berlaku istidraj disebalik itu. Pas akan sahih berijab kabul dengan Umno. Kemungkinan yang tidak mustahil itu memudahkan pengundi untuk membuat pilihan antara dua bukan antara tiga seperti hari ini. Sama ada Pas bersama pembangkang atau BN ia satu tindakan sangat dialu-alukan.
Apa ditunggu dan dinanti-nati kini berapakah undi akan diraih oleh Amanah? Ini yang mustahak untuk dinilai kerana ia parti baharu dan belum ada pengundi akar umbi seperti Pas dan BN. Pas sudah ada undi akar umbinya kerana ia sudah beberapa kali bertanding. Undi diraih oleh Pas dalam Piraum lalu adalah boleh dikira undi akar umbi.
Kalau 10 peratus daripada undi itu akan berpihak kepada Amanah, bermakn Amanah akan mengutip, sekitar 3,000 hingga 5,000 undi. Undi itu cukup untuk mengelakkan Amanah hilang wang deposit dan ia akan menjadi benih dan baka bagi memberi nafas kepada parti compingan Pas itu hidup.
Sepintas lalu melihat kepada apa dilaporkan dalam beberapa portal berita, saya bercanggah pendapat dengan apa yang dilaporkan. Ada portal berita yang terlebih memberi laporan dan bersikap bias dengan memberi sokongan kepada parti tertentu yang mereka sokong. Sebagai pemerhati bebas dan rasional saya tidak mengambil kira segala laporan dan catatan beremosi itu kerana ia tidak memberi gambaran hakikat sebenar.
Saya tidak tampak akan berlaku kejutan di kedua-dua Pirake itu, apa lagi untuk melihat BN tertumus. BN akan menang, manakala Amanah dan Pas hanya menang kempen sahaja. Pirake itu sama seperti Pirake lain ia sebagai sebuah pesta sosial yang berbeza sedikit daripada pesta menuai ataupun hari Gawai atau Asyura. Rakyat tidak mendapat manfaat dan apa-apa pembaharuan demokrasi untuk merubah hidup.
Sementara itu peratus keluar mengundi juga akan menjadi indikator kedudukan kepada parti yang bertanding. Sekiranya peratus mengundi tinggi, hingga cecah 90% ia memberi peluang baik kepada Amanah atau Pas mendapat undi memberangsangkan. Sebaliknya kalau peratus undi rendah, dibawah 65% ia mencemaskan BN. Peratus undi rendah boleh dikira pengundi tidak berminat dengan Pirake itu, sama ada mereka protes kepada BN dengan sebab-sebab tertentu atau pun "serabut perut" dengan lagak dan ulah pembangkang.
Kita tunggu proses pengundian sedang berjalan dan keputusannya tidaklah mendebarkan saya. [wm.kl.12:34 t/hari 18/06/16]
No comments:
Post a Comment