Friday, September 23, 2016

Mursyidul Am: memang Hadi layak

SESUDAH SUBUH

Muka depan harian Sinar.
Sebelum Subuh ada isyarat mesej menerusi Whatsaap masuk ke dalam telefon saya. Bila dibuka terpapar print skrin muka hadapan surat khabar Sinar harian edisi Pantai Timur terbitan hari ini.

Di bawahnya disertakan dengan sebaris kata-kata yang sinikal mencuit jantung; "Apa sudah berubah pulak ke, tiba-tiba sokong Hadi?" Nama pengirim biarlah saya rahsiakan.

Mulanya saya sedikit tergaman dan kurang fahaman dengan mesej itu. Bukan sekali saya menerima mesej yang sinikal begitu bahkan banyak kali dengan viarasi tersendiri bila setiap kali saya melontarkan idea dan pandangan yang kontradik dengan perkembangan semasa.


Selepas saya baca berita berkenana baharu saya tahu kedudukannya. Pengirim itu mempersoalkan kenyatan saya disiarkan akhbar tersebut yang mahukan Abdul Hadi Awang menjadi Mursyidul Am kerana beliau paling layak. Baginya pandangan saya itu tidak disetujui dan menganggap semacam saya sudah mahu membodek Hadi. Lebih prejudis dia menganggap saya berubah. Berubah apa?

Saya hanya bercakap mengikut kata hati saya dari pemikiran saya sendiri. Saya tidak boleh ditundukkan oleh sesiapa, baik Dr Mahathir, Najib maupun Husam Musa. Pengamatan saya kepada sesuatu atau dalam membuat penilaian dan huraian politik berdasarkan kepada sejarah dan pengalaman. Saya tidak berkata secara iseng-isengan. Bodek bukan budaya dan tradisi amalan saya.

Kalau orang tidak bersetuju dengan pandangan itu terserah. Tetapi bagi saya Abdul Hadi memang layak dan tepat untuk menduduki jawatan itu. Beliau ada beberapa kelebihan yang tidak dimiliki oleh tokoh agamawan lain dalam Pas. Yang ada semuanya sudah tiada.

Ini diukur kepada keilmuan dan kedudukannya masa kini. Hari ini tokoh paling senior dalam parti agama itu ialah beliau. Siapa lagi? Dan darjat tertinggi yang dipegangnya ialah sebagai Naib Presiden Persatuan Ulama Sedunia. Jawatan itu menyebabkan beliau ada kelas dan standard tersendiri. Belum ada mana-mana agamawan dari Malaysia diberi kepercayaan untuk memegang jawatan berkenaan. Pemberian itu satu pengikhtiarafan kepada perjuangan Pas.

Pengalaman dan keilmuannya juga telah meletakkan beliau sebagai salah seorang pemimpin kerohanian. Cuma ketika itu apabila Nik Aziz dan Haron masih ada, aura kerohanian pada Tuan Presiden ini tidak begitu menyerlah. Kedua cekrawala dalam Pas itu, Nik Aziz dan Haron menaunginya. Nah, hari ini setelah naungan itu tidak ada maka tersemburlah daya kerohanian Abdul Hadi.

Tokoh-tokoh lain yang disebut boleh mengambil tempat Allahyarham Dr Haron Din itu, seperti Mahfodz Muhammad yang kini menjadi Ketua Urusan Dewan Ulamak atau Ahmad Yakob yang kini menjadi timbalan Mursyud Am bukan tidak layak tetapi kapastiti dan iltizam yang dimiliki Abdul Hadi menyebabkan beliau lebih layak.

Seperti saya kata dalam kenyataan disiarkan akhbar berkenaan, Abdul Hadi ada keistimewaan yang serasi dengan perjuangan Pas dan melayakkan beliau berada di situ. Beliau seorang pembaca sirah (penelaah) yang hebat. Sejarah dan falsafah perjuangan Islam dan para Nabi dan ambiyak ada dalam dirinya. Punya sandaran fekah dan tasauf yang utuh.

Selain itu beliau juga seorang yang berani dan mampu membuat itjihad mengenai sesuatu yang tidak ada dalam hukum dan perlu kepada penetapan hati dan jiwa. Di sini kehebatan Abdul Hadi yang tidak boleh dinafikan.

Ini boleh disaksikan di sepanjang penglibatannya dalam Pas lebih 30 dekad lalu. Nah bertolak dari situ bagi saya, beliau adalah layak untuk memenuhi jawatan itu, menjadi seorang pemimpin kerohanian (spiritual leader) baharu dalam Pas selepas ketiadaan Nik Abdul Aziz dan Haron Din. Sesungguhnya Abdul Hadi lebih tanggung menjadi pemimpin kerohanian daripada mengetuai badan ekskutif yang menentukan hala tuju, dasar dan wawasan siasah Pas.

Saya tidak mahu menjelaskan bagaimana dengan kedudukanya sebagai presiden, Pas mungkin ada caranya sendiri bagi mengatasinya. Cuma saya hendak sebut disini, sekiranya Abdul Hadi bersedia memanggung jawatan tertinggi itu, maka secara automatik jawatan presiden diserahkan kepada timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man,

Kalau ini berlaku saya melihat Pas akan dilihat lebih profesional dan mungkin ada perubahan-perubahan dari segi teknikal, pendekatan politik yang dibuat selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip, dasar Islam dan itjihad politik yang dipegang oleh Mursyidul Am baharu itu selama ini. Presiden baharu tentu ada idea lain yang lebih bertepatan dan anggun dengan perkembangan semasa.

Di penghujung titik posting ini saya hendak katakan bahawa tidak timbul saya bertukar haluan, tiba-tiba menyokong Hadi atau sesiapa, kerana bagi saya kebenaran dan kemunasbahan itu adalah pelita penyuluh saya dalam berjuang menerusi akal dan tulisan. Sejarah saya dalam menyata sokongan dan kebencian kepada seseorang adalah subjektif ia bukan rigid. [wm.kl.8:55 am 23/09/16]

No comments:

Post a Comment