Wednesday, November 2, 2016

Husam sedari awal kerosakan alam angkara pembalakan.

BUKU LAMA


   
ISU kemusnahan sadis alam sekitar di Kelantan terutamanya di bahagian hulu sangat membimbangkan. Apa dikesalkan kemusnahan itu disebabkan aktiviti rakus penuh bernafsu dijalankan manusia yang dizahirkan sebagai khalifah di atas muka bumi ini.   

Kerosakan itu bukan sahaja merosakan alam sekitar dan mengacam habitatnya, flora dan fauna serta haiwan tetapi ia juga bakal mengancam nyawa manusia sendiri.

Kejadian banjir "emas" akhir tahun 2014 adalah indikator atau isyarat awal kepada semua pihak di Kelantan tentang nasib dan kemusnahan alam Kelantan di masa depan akan mengancam jiwa manusia.
Salah satu punca mengapa alam Kelantan rosak dan jahanam ialah disebabkan kegiatan perlombongan, peladangan dan pembalakan yang dijalankan tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Spesikasi pembalakan dan pelombongan tidak dipatuhi. Walaupun ada undang-undang dan peraturan tetapi ia nampaknya tidak dipatuhi.
 
Hari ini misalnya pembukaan hutan simpan kekal (HSK) untuk peladangan telah melebihi had yang ditetapkan. Demikian juga dengan pembalakan ia telah melewati kouta yang diizinkan. Kesan dari kerakusan dan ketamakan itu menyebabkan penjagaan dan pengawalan alam semula jadi tidak terkawal lagi.
 
Hari ini disebabkan kerakusan manusia itu kesannya sedikit demi sedikit dirasai. Kelestarian alam sekitar musnah. Ia bukan sahaja memusnahkan perkampungan Orang Asli tetapi turut sama merosakan hutan simpan, kawasan tadahan hujan dan juga lokasi-lokasi indah tempat rekreasi atau riadah seperti air terjun, jeram yang indah ataupun gunung dan gua bersejarah.

Beberapa jeram dan air terjun indah telah musnah. Pusat Arkeologi gua Cha yang berusia 10,000 tahun juga dikatakan diambang kemusnahan. Semua itu menjadi mangsa kerakusan manusia melakukan pembalakan haram. Begitu juga dengan perkampungan Orang Asli juga turut menjadi korban. Terdapat 40 kampung dan penempatan Orang Asli antara di Tohoi, Pasik, Bering, Simpon sedang diancam kemusnahan.

Fenomena menyesalkan itu menyebab berlaku tunding menunding jari di antara satu sama lain. Kerajaan Kelantan sebagai penanggungjawab rasmi seakan tidak mahu mengakui kelemahan mereka. Berbagai-bagai alasan diberikan kononnya kegodolan melampau bukit bukau disebabkan berlaku pembalakan haram. Ia langsung tidak ada punca dengan projek pembukaan hutan untuk perladangan dan dan projek Ladang Rakyat.


Apabila kerosakan dan perbuatan rakus itu didedahkan, kerajaan menafikan dan masih menegakkan benang basah atau memusing "kisaran rang" lama, bahawa tidak ada kerosakan. Kononnya alam sekitar di Kelantan masih selamat dan terpelihara. Kejadian banjir membawa lumpur kuning dijawab dengan mengatakan ia angkaran hujan lebat melebihi daripada kadar biasa.

Mereka tidak cuba menyelidi kenapa air disebabkan hujan itu boleh membawa lumpur dan mencari sebab-sebab lain kenapa berlaku bencana banjir luar biasa. Cerita "bangau oh bangau" sekali lagi digunakan dalam mengelakkan dari bertanggungjawab dalam masalah ini.

Menyalahkan orang lain.

Ironisnya kesalahan kerosakan alam sekitar dicampakkan kepada pihak lain. Kerajaan yang ada sekarang langsung tidak mahu mengaku dan sebagai melolos diri melemparkan kesalahan itu kepada orang lain. Misalnya pembukaan tanah hutan berleluasan disebabkan oleh polisi yang cacat kononnya disokong Husam Musa semasa menjadi Exco. Tindakan ini sebagai meletakkan kesalahan itu kepada Husam yang kini bangkit menyatakan kebimbangannya dengan kemusnahan alam sekitar.

Tuduhan jahat mudah dilemparkan tetapi sukar untuk dibuktikan. Rakyat di luar sana yang tidak berfikir akan menerima tuduhan itu kerana Husam kini bukan bersama Pas lagi apabila beliau dipecat kejam. Apa paling dikehendaki dengan tuduhan melulu itu agar orang di luar sana melihat pemecatan Husam kerana tokoh itu khianat.

Husam terkilan dengan tuduhan itu dan cuba menjawab semasa persidangan DUN beliau bangun mempertahankan diri. Mungkin tindakan Husam itu akan dilihat sebagai suatu tindakan bertanggungjawab tetapi ada sesuatu yang menjadi bukti bahawa Husam tidak terlibat dengan apa dikatakan itu. Husam beriya-iya membangkitkan permasalahan itu bukan setelah beliau kini tidak berada dalam kerajaan tetapi lama sebelum ini semasa beliau dalam kerajaan lagi dia telah membangkit isu itu.

Husam menyedari penyelewengan pembalakan di Kelantan sejak lama dalulu. Sebaik beliau menjadi Exco tahun 2004, beliau sudah mula bertindak membendungnya. Salah satu tindakan ialah mengawal kelulusan balak agar tidak melebih kouta dibenarkan. Serentak itu juga bagi menjana kewangan negeri menerusi kelulusan kawasan balak beliau ubah sistem anugerah kawasan balak.
Setelah dibuat kajian pemberian kawasan balak secara anugerah ia merugikan kerajaan negeri maka beliau mencadangkan supaya pemberian itu dihentikan dan sistem tander terbuka diperkenalkan. Tindakan Husam ini menimbulkan rasa tidak senang kepada para pembalak menyebabkan beliau dikecam. Ketegasan Husam ini menunjukkan beliau mengambil berat kepada kewangan negeri dan juga mengawal hutan agar tidak diceroboh menerusi industri pembalakan.

Tindakan Husam itu ada saya rakam dalam buku, "Balak Balak: Igauan dua anak Musa". Buku ini diterbitkan Mac2005. Buku ini sudah menjadi sejarah tetapi ia masih relevan untuk dibaca berikutan apa yang meletus kini.

Jadi adalah tidak benar kalau mengatakan Husam jadi prihatin mengenai pembalakan dan kerosakan alam sekitar di Kelantan selepas beliau tidak menjadi Exco dan gagal menjadi MB. Itu adalah tuduhan busuk kepadanya oleh mereka yang bukan sahaja cemburu tetapi membencinya. Tegasnya Husam bukan bertindak kerana takdir itu tetapi kerana rasa tanggungjawabnya (akauntibiliti) dan sayangnya kepada negeri Kelantan Darulnaim serta kasihnya kepada Nik Aziz sebagai MB.

Kerana buku ini penting bagi menjawab permasalahan mengenai balak ini ada yang mencadangkan agar buku ini diulang cetak. Tetapi kekangan kewangan serta kelembaban industeri buku sekarang ini saya tidak bercadang untuk mengulang cetak. Tetapi kepada sesiapa berminat untuk memilikinya buku ini masih ada dua tiga naskah dalam simpanan saya. Jika berhasrat untuk memiliki dan menelaahnya boleh Whatsaap ke nombor telefon 013 2336776 atau 019 2336996 untuk penjelasan dan pengirimkan. Siapa cepat dia dapat. [wm.kl.12:32 pm 02/11/16]

No comments:

Post a Comment