Tuesday, November 29, 2016

Umno - Pas perlu sanding sebelum Piraum

SESUDAH SUBUH

Warna sama gambarkan citarasa yang sama.
Esok akan bermula persidangan agung Umno (PAU). Seperti biasa apa yang dinanti-nantikan ialah ucapan dasar presiden, Mohd Najib Razak. Dalam ucapan itulah Najib akan mengemukakan apa-apa gagasan dan pendekatan baharu parti setelah membuat penilaian keseluruhan perkembangan parti Melayu itu serta masa depan negara dalam tempoh setahun lepas.

Rumusan atau lontaran apa-apa idea daripada Najib itu memberi gambaran itulah yang perlu diperdebatkan kemudian dikonsensuskan dalam perhimpunan kali ini.

Melihat kepada lautan politik yang bergelora dan kedudukan orang Melayu hari ini, ucapan dasar pada PAU kali ini juga menyuntik semangat dan nekad bagi memperkemas dan memperkukuhkan parti dikira penting. Yang lebih penting bagi Najib ialah berhubung dengan Umno itu sendiri kerana ia boleh menentukan masa depannya.

Ucapan dasar kali ini penting memandangkan ucapan dasar akhir sebelum Piraum - Pilihan raya umum, ke-14 kelak. Makanya intipati dan mauduk ucapan dasar itu ke arah menghadapi Piraum ke-14. Bolehlah dikatakan PAU ini persiapan ke arah itu.

Umno akan mengadakan perhimpunan agung seterusnya pada tahun hadapan, dimana ianya melibatkan pemilihan pemimpinnya. Perhimpunan agung Umno tahun depan begitu mustahak sekali dan memerlukan persediaan yang rapi baik dari segi rohani dan jasmani.

Adalah dijangka PAU akan datang diadakan selepas Piraum ke-14. Piraum ke-14 diramal akan diadakan tahun depan sebelum PAU.

Najib (Umno) akan cuba mengelak mengadakan pemilihan parti sebelum Piraum bagi memastikan pilihan raya akan didapati dengan tenang. Selalunya bila diadakan pemilihan akan adalah retak dan pecah situ dan sini yang mana keadaan itu membimbangkan Umno.

Tambahan pula pemilihan dalam Umno pada tahun depan, atau pemilihan akan datang dikira sengit. Kekosongan jawatan TPM yang ditinggalkan Muhyiddin Yassin dan kekosongan di dua kerusi Naib Presiden dijangka menjadi perebutan hangat. Kini pun sudah ada gerakan dilakukan oleh tokoh-tokoh tertentu untuk mengisi kekosongan itu.

Justeru bagi mengelakkan  timbul sesuatu keadaan tidak menyenangkan Umno, "merunyaikannya" bagi menghadapi Piraum maka pemilihan itu akan diadakan selepas pilihan raya.

Lantaran itu ucapan dasar Najib lusa sangat penting yang akan menjadi amanat dan sekaligus menjadi azimat kepada perwakilan untuk perkemaskan parti, memadukan ukhwah bagi persediaan hadapi Piraum.

Berhubung hal ini saya mengira ada beberapa perkara yang mungkin dibentang Najib dalam ucapannya nanti. Perkara-perkara itu termasuklah menjawab masalah berbangkit daripada tindakannya sendiri, iaitu seperti penubuhan parti serpihan Umno yang baharu PPBM, dibawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan lai-lain. Penubuhan PPBM disebabkan tindakan beliau memecat Muhyiddin, Shafei dan Mukhriz dari Umno.

Pastinya Najib akan mengulas panjang lebar mengenai PPBM dan memberi gambaran parti itu tidak akan bertahan lama dan Umno tidak tergugat dengan perwujudannya. Adalah diduga beliau akan mengheret PPBM itu merupakan dendam kesumat Dr Mahathir ke atasnya, dalam kata lain PPBM akan diceritakan sebagai alat Dr Mahathir membelasahnya.

Di celah-celah itu nanti Najib juga akan menghimbau mengenai usaha bekas Naib Presiden Shafei Afdal yang menubuhkan Parti Warisan Sabah. Beliau sudah pasti mendapat maklumat daripada para panglimanya di Sabah mengenai sejauh mana Warisan dapat mengugat Umno di sana. Orang-orang seperti Salleh Said Keruak, Rahman Dahalan dan lain-lain barang kali sudah menyiapkan skrip lengkap dan panjang mengenai Shafei di Sabah kepada Najib, yang memberi jaminan kewujudan Warisan tidak memberi apa-apa bekas.

Dalam menghadapi dua masalah itu -- PPBM dan Warisan, presiden Umno itu akan menyuntik semangat dan memberi formula-formulanya untuk mengadapinya. Dari itu nanti beliau pasti mengharap perwakilan dapat bersama dengannya bagi meremehkan kewujudan PPBM dan Warisan. Pastinya para jurucakap dalam PAU itu yang dipilih sedemikian rupa akan berucap mengkritik tindakan Dr Mahathir dan Shafei dalam masa sama memberi pujian dan sanjungan tinggi kepada Najib.

Tidak mustahil juga mungkin akan ada satu deklarasi menyatakan sokongan kepada Najib daripada perwakilan sebagai membalas Deklarasi Rakyat hendak jatuhkan Najib yang dipelopori oleh Dr Mahathir bersama pemimpin oposisi dan beberapa NGO yang diadakan awal tahun lalu. Walaupun Najib berpuas hati menganggap deklarasi rakyat itu gagal, di mana Majlis Raja-Raja sendiri katanya, menolak, tetapi deklarasi daripada perwakikan sangat diperlukan dan penting bagi Najib.

Isu lain yang mungkin disentuh Najib dalam ucapan dasar nanti ialah mengenai pelaburan Malaysia di China. Beliau akan menjelaskan bahawa hubungan perdagangan Malaysia dengan China bukan tindakan untuk menjualkan Malaysia ke negera berkenaan seperti mana didakwa.

Najib akan menjelaskan tohmahan sesetengah pihak, permenterai 14 perjanjian - pemberian beberapa projek besar kepada syarikat China yang bernilai RM144 billion, salah satunya pembinaan keretapi laju (ECRL) bukan usaha menjual Malaysia untuk mendapat wang bagi menjelaskan hutang 1MDB, tetapi ia adalah demi masa depan negara.

Sekali lagi semasa memberi penjelasan ini beliau akan mengimbau usaha dilakukan ayahandanya Razak Hussein mengadakan hubungan diplomatik dengan China 40 tahun lalu diteruskan olehnya sebagai kesenimbungan hubungan berkenaan. Najib akan cuba memberi tahu perwakilan bahawa beliau sama hebat dan berpandangan jauh seperti almarhum bapaknya.

Bagaimana pun perkara penting dalam ucapan Najib nanti yang menjadi tumpuan dan ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh para perwakilan tetapi pemerhati politik dan juga pihak pembangkang, mengenai status hubungan Umno dengan Pas. Apakah kesudahan dan kesimpulan yang akan diambil oleh perwakilan berkaitan hal itu. Najib dipercayai akan membentangkan agenda Umno - Pas ini kepada perwakilan.

Iya sebenarnya Najib tidak perlu menyembunyikan apa yang terbetik dan terselindung dalam hatinya. Beliau harus melepaskan perkara itu kepada perwakilan.

Umum sudah mengetahui akan keadaan Umno dengan Pas pada waktu ini. Mereka diumpamakan bangsawan dan janda yang sedanag berasyik masyhok. Umno bolehlah dianggap seorang saudagar dan bangaswan manakala Pas pula janda yang baharu ditinggalkan suami setelah meminta cerai apabila tergilakan saudagar bangasawan.

Apakah Najib akan memberi isyarat jelas kepada perwakilan mengenai hasrat Umno dan Pas itu. Dengan berselindung di sebalik keperluan RUU 355 untuk memartabatkan Islam, Najib boleh menjadikan persidangan kali ini menentukan sikap dan pendirian ahli Umno sama ada wajar berkerjasama atau tidak dengan Pas.

Hakikatnya kini kedua-dua parti itu saling perlu memerlukan di antara satu sama lain. Umno memerlukan Pas untuk membantunya dalam memperkuatkan kedudukannya sebagai tunggak parti pemerintah. Manakala Pas juga demikian, ia perlu bergantung harap dengan Umno selepas berpisah dengan parti-parti pembangkang lain. Situasi hari ini Pas seakan sudah tidak bersama PKR, DAP dan Amanah lagi apabila mengumumkan pelan politik untuk bersendirian.

Orang yang faham dengan falsafah politik Pas tahu ke mana hujung jatuh kenyataan Pas itu. Sebagai seorang  perempuan bergelar janda yang mempunyai tanggungjawab untuk membesar anak-anak dan jaga rumah tangganya, Pas memerlukan seorang lelaki gantang bagi melindungi. Dalam hal ini Umno adalah si gantang itu yang paling sesuai.

Begitu juga dengan Umno, penghijrahan undi kaum Cina kepada oposisi menyebabkan ia memerlukan tenaga dan kekuatan tambahan baharu. Dalam hal ini Umno memerlukan Pas sebagai penampungnya. Pendeknya kedua pihak sangat terdesak kini dan sekiranya mereka mengambil keputusan bersama ia adalah tepat.

Justeru kenapa tidak dalam PAU kali ini Najib membuka agenda itu kepada perwakilan. Beliau perlu mendapat mandat daripada perwakilan. Ia juga perlu dibawa agar ahli Umno lebih jelas dan faham kenapa Umno perlu bekerjasama dengan Pas. Keterbukaan itu juga memudahkan tindakan balas daripada Pas.

Walaupun Pas kini sangat "gelenyar" untuk bernikah dengan Umno, tetapi sebagai perempuan dia lebih mempunyai rasa malu. Kesopanan masih ada kepada Pas sebab itulah mereka berdolak dalik dengan menggunakan perkataan-perkataan yang kabur untuk bekerjasama dengan Umno seperti ta'awun dan sebagainya.

Kedua tidak perlu takut untuk mempercepatkan proses persandingan. Seperti mana saya katakan kalau kita yakin dengan cara kita, dengan jihad dan iltizam demi bangsa dan agama kenapa harus kita perlu takut dan malu dengan mana-mana pihak. Pada masa bangsa lain bersatu secara simbolik dan dapat duduk semeja memikirkan kepentingan mereka, kenapa Pas dan Umno menjadi "malu-malu" dan begitu menjaga hati pihak lain. Sikap tolak ansur dan terlalu menghormati demi menjaga hubungan selama ini mungkin tidak sesuai lagi.

Untuk menjustifikasikan penyatuan Umno dengan Pas kali kedua Najib boleh mengguna pakai pendekatan dan falsafah politik bapaknya Razak Hussein dengan Mohd Asri Muda dulu. Kejayaan Razak meletakan Pas sekamar dengan Umno dalam rumah bernaam BN, boleh diulang kembali. Jika ini berlaku ia tidak memelikkan kerana sejarah itu sering kali berulang.

Kalau Umno mengambil tindakan ini banyak pihak yang suka dan mengalu-alukannya.Istimewanya orang Melayu dan rakyat Malaysia yang sudah lama menangihi kedamaian politik.

Konsensus atau persepakatan perwakilan untuk menerima Pas sebagai regu politik Umno yang diambil dalam PAU lusa juga cukup penting bagi Pas. Pastinya kata itu akan disambut dengan senang oleh Pas. Mereka akan membalasnya secara rasmi dalam Muktamar parti itu yang akan diadakan hujung tahun ini.

Musim sekarang musim "hujan" dan "dingin" adalah elok kalau Umno - Pas mengesahkan pernikahan kedua mereka. Untuk melaksanakan itu Umno tidak payah melakukan "cina buta" kerana Pas sudah pernah berkahwin lain dan kini sudah bercerai.  [wm.kl.8:09 am 29/11/16]

No comments:

Post a Comment