Thursday, February 9, 2017

Jangan tunggu Anwar menangis baru kita hafal kesedihannya

PROLOG SENJA

Anwar tetap tersenyum dan melambai tangan.
Esok 10 Februari genap dua tahun Sdr. Anwar Ibrahim menjalani hukuman penjara lima tahun yang dikenakan ke atasnya atas sabit dakwaan liwat II.

Tidak terasa detik dua tahun itu berlalu. Ia bagaikan sekejap sahaja. Mungkin kalangan kita tidak terfikir pun yang Anwar berada dalam penjara sudah 730 hari bersamaan 17,520 jam.


Jika tempoh itu digunakan untuk mengelilingi dunia mengikut teori Phileas Fogg, bangsawan Inggeris yang mengeliling dunia dalam masa 80 hari, bermakna tempoh itu membolehkan kita mengelilingi dunia sebanyak 9 kali.

Masa berlalu itu tidak terasa, kerana beliau setiap hari berkomunikasi dan berintraksi dengan kita. Kerana Anwar sentiasa terdampar di hati kita; (gagasan dan idealisme perjuangannya) maka kita tidak perasan yang jasadnya terpenjara sehingga ada kala ia menjadi kurus kering. Kita kejam untuknya!

Kita mendengar suaranya. Kita mendengar kata-kata semangat darinya. Kita mendengar pesanan tidak habis-habis agar membela rakyat dan berikan keadilan kepada rakyat Marhean. Kita mendengar seruannya agar bersatu, kuatkan saf dan istiqamah menentang kezaliman dan ketidakadilan. Suaranya bergema dan meluncur bersama sinar mentari di siang hari, bersama sinar rangbulan di malam hari.


Kandati pun dibalik tembok beliau tidak pernah rehat barang seminit dari membela rakyat. Dia tidak lenguh dan putus asa berbicara perihal rakyat, nasib rakyat yang ditekan dan ditindas. Bebanan hidup dialami rakyat kini kerana kenaikan kos sara hidup, menjadi lagu nyanyiannya untuk mengulit rakyat supaya bangkit membela diri. Anwar tidak berhenti menyuarakan itu kerana dia peka dan obses dengan masalah itu.

Itu sebab kita berasakan dia tidak terasing sunyi dari kita semua.

Saking kerana memberi kepedulian kepada rakyat, Anwar terlupa kepada dirinya sendiri yang terkurung. Selagi dia dapat menyaksikan penderitaan dan kesusahan rakyat, dia lupa kepada kesakitan dan penderitaannya sendiri.

Barangkali kita tidak pernah terfikir beliau tidak menjamah makanan atau menghirup air apabila terkenangkan ada rakyat yang tidak cukup makan atau terpaksa mencatu makanan di luar penjara disebabkan kemelesetan ekonomi, kejatuhan nilai ringgit atau kerana diberhentikan kerja disebabkan syarikat tutup setelah masalah ekonomi.

Justeru beliau bangkit memperkatakan apa sahaja tanpa menghirau keseksaan dan kesepian hidupnya. Dari isu sebesar GST, skandal 1MDB, penjualan Malaysia kepada China, hingga kepada isu gaji pengawal penjara yang perlu dinaikan agar seimbang dengan tekanan perbelanjaan seharian diperjuangkannya.

Itulah Anwar. Tidak pernah berasa terhalang dengan kekejaman yang diterimanya.  Penjara tidak pernah menjadikan beliau putusa asa dan surrender.

Jika orang bertanggungjawab menyumbatnya ke dalam penjara berfikir dengan tindakan itu ia akan mematikan langkah Anwar, atau dia akan surrender ia adalah salah. Tindakan itu memperbodohkan diri sendiri. Anwar tidak akan konjol dalam penjara, dia tidak mudah mati akal dalam penjara kerana PENJARA BUKAN PUSARA.

Kadang kadang bagi orang yang insaf dan berjiwa lembut, berasa sedih dan anih dengan Anwar. Kerana asyik memperjuangkan rakyat, beliau sampai terlupa untuk membela dirinya sendiri.

Seluruh hidup dan dirinya digadaikan demi rakyat, sehingga ada kalanya ahli keluarganya terkilan? Inilah kekuatan dan azimat utuh yang dimilikinya. Dan inilah jiwa seorang pejuang sama sekali tidak akan menunjukkan kelemahan, kesedihan ataupun kesunyiannya kepada orang bawah. Sedia menggadai segala hak demi orang lain.

Iya, kita tidak pernah terdengar dari mulutnya; tolonglah bebaskan aku. Buatlah sesuatu untuk aku keluar dari ruang pegap berbatu ini. Atau pun Anwar memesan kepada isterinya, anak-anaknya atau sesiapa agar berusaha membebaskannya. Tidak.

Kerana kita tidak dengar suara dan rintihan itu menjadikan kita rasa Anwar tidak terseska dalam penjara. Menjadi kita rasa dia suka berada dalam penjara. Bahkan ada juga orang berpendapat beliau senang berada dalam penjara, kononnya untuk memberi kerihatan sepenuhnya kerana berada di luar dia akan keletihan berjumpa dengan rakyat tanpa kira masa. Dimelodikan juga kononnya penjara menjadi transit kepadanya sementara keluar untuk memimpin negara.

Kononnya Anwar betah berada dalam penjara bagi mengelakkan kepenatan berjuang untuk rakyat. Dengan berada dalam penjara Anwar dapat sedikit kerehatan. Pandangan itu salah, ia adalah kemahuan orang yang serong dan curang kepadanya.

Sebagai manusia naluri Anwar mahu dan perlu kepada kebebasan untuk merealisasikan cita-cita perjuangan. Namun pun begitu kaedah kebebasannya perlulah ada prinsip dan bermaruah. Misalnya, walaupun ada ruang dan peluang untuk memohon Pengampunan di Raja, beliau tidak bersedia berbuat begitu atas alasan dan hujah dia tidak bersalah, melainkan direkayasa kesalahannya. Pun begitu beliau tidak menolak kalau ada usaha itu daripada orang lain (rakyat), atas alasan kerana pemenjaraanya disebabkan kepincangan undang-undang dan keadilan yang diterimanya tidak saksama. Pengampunan itu didambakan.

Kita memahami itu dan apakah kita melakukannya?

Sebagai pejuang kita dapat merasakan Anwar tidak betah berada dalam penjara. Dia berasa salah dan berdosa berlamaan dalam penjara kerana tugasnya membela rakyat belum selesai. Kebejatan yang bersepah di luar, kerakusan penguasa meratah dan menghirup hak rakyat inilah menjadi dia bersalah dikurung begitu. Dia memberontak dari dalam dan menyesal kerana tidak dapat memperjuangkan hak rakyat dengan seluas-luasnya.

Iya dia masih boleh bertutur dan memberi arahan berisyarat walaupun disekat. Masih boleh berkata-kata meskipun tangan digari dan dikawal oleh puluhan pengawal setiap kali dibawa keluar penjara. Tetapi sejauh mana dan sekuat mana suara yang dilontarr membela rakyat itu bergema dan bertalun ke luar. Ia terhad. Dan keadaan itu seolah-olah persis orang meminum air tetapi hausnya belum hilang.

Hakikat inilah menyebabkan kita rasa jiwanya memberontak dan meronta-ronta untuk segera bebas. Suara dan aksinya dalam keterbatasan tidak sampai meruntuhkan kerakusan dan kebejatan penguasa. Sedangkan di luar makin merebak dan meluas kedrujanaannya.

Jika kita faham dan arif pergolakan jiwa Anwar itu menyebabkan kita jujur akan bertanya diri kita sendiri. Apakah yang telah kita semua lakukan untuk kebebasannya? Apakah usaha yang telah kita gerakan untuk itu. Anwar tidak berharap segala pengorbanannya untuk Malaysia dibalas. Tidak. Tetapi sebagai rakyat dan pendokong yang mengharap kepimpinanya seharusnya kita insaf dan sedar akan perkara ini?

Mungkin kita secara individu tidak dapat melakukannya. Tetapi mereka yang ada kuasa, diberikan sedikit kemudahan, kedudukan, semisalnya memegang tampuk kerajaan, menjadi wakil rakyat, yang mana suara mereka bertenaga dan didengar, ada hubungan dengan "Dewa" atasan mungkin boleh menyuara mendesak serta melakukan apa sahaja untuk kekebabsan Anwar. Soalnya apakah dilakukan?

Kita yang kerdil ini, rakyat Marhaen hanya cukup berdoa sahaja atau menjadi pengikut (peserta) kepada apa-apa gerakan pembebasan yang akan digerakcetuskan oleh mereka yang ada kuasa dan ruang itu.

Setiap daripada kita yang rindukan keadilan, kebebasan dan sebuah negara Malaysia yang selamat perlu bertanya secara jujur apa yang kita buat untuk Anwar. Beliau sudah mengorbankan diri untuk kita dan negara terlalu banyak. Seluruh kehidupannya disedekahkan kepada rakyat. Apa yang beliau tidak lakukan lagi, semua dilakukan, darahnya sudah mengalir, air matanya, usah diceritakan. Kesedihan dan kesenduan keluarganya juga tidak terhitung banyaknya.

Jika dikumpul setiap titik air mata keluarganya dan orang-orang yang mengasihi dan simpati dirinya gugur sejak dari mula Anwar melangkah ke medan juang awal tahun 1970-an, mungkin sudah terbentuk sebuah tasik air mata di Malaysia ini. Sayang kita semua tidak mengumpulnya dan tidak tahu membayang kesedihan itu kerana tertipu di sebalik wajah riang dan ceria Anwar. Air mata yang mengalir dan titisan darahnya yang membasahi bumi untuk rakyat, dibiarkan kering begitu sahaja, tanpa kita menyentuh dan merasai akan sejuk dan hangatnya darah itu. 

Sebenarnya kita berlaku zalim kepada seorang yang memburu keadilan sehingga sedia mengorbankan seluruh hidupnya. Kita berdosa. Jika kita sayang dan kasih kepadanya, kita tidak cukup setakat mengenang sejarah hitam perjuangan, mengingati bagaimana dia dibelasah sehingga lebam mata oleh Rahim Noor dan pengsan, bagaimana dia dan keluarganya diaibkan dengan perkara tidak bermoral, atau mengingatkan dia hilang segala hak sebagai warganegara yang berkhidmat, sebaliknya kita harus bangun memperjuangkan segala sunnahnya itu.

Kalau Dr Mahathir Mohamad sanggup berjabat salam dengan Anwar meskipun tidak melapaz kata maaf, tetapi aksi dan jiwa besar beliau itu sungguh mencabar sejauh mana kasih dan kesanggupan kita untuk membela membebaskan Anwar.

Esok genap dua tahun Anwar dipenjara, nah bangkit dan ayuh bangun kita semua melakukan sesuatu untuk kebebasan dan kesejahteraan sang wira bangsa negara itu. Paling lemah, kita berdoa di hujung sejadah kalau pun tidak berani dan sedia untuk turun berhimpun menggoyang pintu penjara. Jika kita mengikhtiraf jasa dan perjuangannya maka kita kena tebus dan jangan biarkan kita berdosa kerana mengabaikannya.

Bebas Anwar, adalah membebaskan kita dari belenggu keseksaan yang kita sedang deritai kini. Dan jangan tunggu Anwar menangis baru kita hafal kesedihannya. [wm.kl.6:19 pm 09/012/16]

7 comments:

  1. post yang membuat kita terharu.... perjuangan yg tiada penghujung....

    ReplyDelete
  2. YA allah..moga ko berikanlah kekuatan kpd ds anwar dan kelorge.."BEBASKAN ANWAR'

    ReplyDelete
  3. Hanya mereka yang berjiwa tulus yang merasai kesaduan pengkesahan ternukil, pengorbanan tanpa mengharap simpati dan balasan demi pengiltizaman tuntutan Pencipta mendobrak kezaliman untuk membela umat.

    ReplyDelete
  4. Semoga segala pengorbanan beliau sentiasa di bantu Allah..kami semua merindui pengorbanan, kesungguhan, fikiran & hikmah beliau..rasanya belum ada rakyat malaysia kini yg setanding dgn beliau

    ReplyDelete
  5. Walaupun jasad terpenjara..tapi Allah memberi kemuliaan kpd beliau..tidak pernah rakyat melupakan beliau..semoga dsai tabah dgn dugaan dunia..

    ReplyDelete
  6. DSAI mengajar ku erti PERJUANGAN

    Lawan Tetap Lawan!!!

    ReplyDelete
  7. Ya Allah kau rahmatilah hamba mu ini.

    ReplyDelete