Saturday, March 18, 2017

Ceramah Perdana di Cherang belum cukup gugatkan Pas?

PEMERHATIAN

Sebahagian khalayak. Foto Pemuda Amanah.
Tiga hari saya balik ke Kelantan, bermula 15 hingga 17 Mac 2017. Balik khusus untuk meninjau dan melihat sendiri suasana politik di negeriku yang terkenal dengan minat dan gila politik yang tiada tolak bandingnya. Kebetulan pula pada tarikh itu kunjungan Dr Mahathir Mohamad ke Kelantan, selepas 73 jam Najib Razak ke Kelantan.

Najib semasa di Kelantan mengumum atau merasmikan beberapa projek yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan. Duduk bersama dengan Najib, Ahmad Yakob dalam satu majlis perasmian UTC di Kelantan yang digambarkan sebagai tercanggih di Malaysia.

Yang di luar melihat kunjungan Najib itu sebagai biasa, tetapi saya melihat ia bukan biasa. Apa lagi apabila mendengar kenyataan Najib yang berlunak dengan kerajaan Kelantan dan juga Pas. Najib tidak pun membayangkan Umno akan berlawan bermati-matian dengan Pas dalam Piraum akan datang. Kenyataan itu cukup memberi mesej jelas bagi yang memahami gerak badan politik.

Bahkan Najib tidak mahu menggunakan konotasi "rampas Kelantan", walaupun sejak 27 tahun lalu itulah konotasi yang berlegar dalam kepada orang Umno Kelantan. Dalam konvensyen Umno Kelantan tahun lalu bergema slogan "PRU 14, Milikkkkk Kita". Berulang kali slogan itu bergema dalam dewan persidangan.

Bererti Umno optimis akan menjadi kerajaan di Kelantan dalam Piraum akan datang. Beberapa faktor kenapa Umno optimis sudah dijelaskan sebelum ini. Salah satu ialah dengan ketiadaan Nik Aziz.

Bagaimana pun apabila Najib berlunak dengan Pas, menjatuhkan semula pendang yang dihunus, menyarungkan semula keris ke dalam sarung yang kesekian lama sudah ditarik keluar, ia memberi senario lain di Kelantan. Sedikit sebanyak kelembutan berstrategi Najib tunjukkan itu melemahkan semangat pejuang Umno. Mungkin Mustapa Mohamed sendiri jadi "terkanyal".

Sikap lunak Najib itu menyebabkan tuduhan dan telahan yang dilempar selama ini yang Pas akan bekerjasama dengan Umno menjadi nyata. Pentafsiran politik yang tidak ada kepentingan dan muslihat politik sangat memahami aksi Najib dan Ahmad Yakob itu.

Selain daripada sikap lunak dan manis ditunjukkan Najib itu, celaan Najib kepada Dr Mahathir yang menuduh bekas PM itu mendera Kelantan selama ini saya kira menarik dan ini menyebabkan kunjungan Dr Mahathir ke Kelantan itu akan menjawab celaan Najib itu.

Bagi saya kedatangan Dr Mahathir ke Kelantan 15 hingga 16 Mac lalu masa tepat dan relevan untuk menilai gelora politik Kelantan hari ini di mana Piraum kini benar-benar berada di ambangnya.

Kebetulan juga kedatangan Dr Mahathir bersama Siti Hasmah Mohd Ali, sebaik beliau mengesahkan bahawa PBBM menyertai Pakatan Harapan. Jadi ceramah perdana melibatkan beliau di padang bola Chabang 4, Cherang malam itu adalah perasmian PBBM bersama Pakatan Harapan.

Walaupun ceramah Perdana Malam itu tidak melibatkan sebuah lagi parti dalam Pakatan Harapan (PKR Kelantan), namun penyertaan Saifuddin Nasution Ismail yang juga Setiausaha Agung PKR dianggap mewakili PKR. Saya juga terheran sendiri kenapa tiada pemimpin PKR Kelantan dibawah khemah Vvip?

Kerana senario dan tempoh itu ceramah tersebut menjadi perhatian umum. Para pemerhati ternanti-nanti untuk melihat dan mengetahui sambutan kepada ceramah berkenaan. Dalam politik salah satu indikaktor untuk melihat apakah parti itu kuat atau disenangi rakyat ialah kehadiran pendengar. Saya sendiri pula akan membuat ukuran awal apakah sudah ada getar rasa rakyat Kelantan untuk menukar kerajaan. Di ceramah itu nanti akan memberi gambaran awal apakah ada gelombang baharu di Kelantan?

Sebelum balik saya menulis dalam Facebook, mensasarkan ceramah perdana berkenaan dikira berjaya kalau kehadirannya mencecah 5,000. Jumlah itu sudah mencukupi di peringkat permulaan ini, sebagai pembuka tali air untuk arus deras mengalir selepas ini.

Sebelum ini rata-rata ceramah di Kelantan, baik anjuran Amanah, PBBM atau PKR sekitar 1,000 hingga 2,000 orang sahaja. Kalau yang dianjurkan oleh Pas, kehadirannya sangat ketara sekali kurangnya, di bawah 1,000. Kecuali ceramah di perkarangan stadium khalayak agak ramai sedikit itu pun kerana menumpang nama Husam Musa.

Justeru cukup bagi saya mensasarkan angka berkenaan pada ceramah perdana di Cherang itu.

Berada ruang tersudut.

Saya tiba ke tempat ceramah malam itu pukul 9:45 malam. Saya mengambil tempat agak tersudut, ke belakang. Saya berada kira-kira 60 meter dari pentas utama berhadapan skrin gergasi. Saya sengaja mencari posisi begitu.

Selalunya saya suka berada berhampiran pentas utama untuk sempat bersalaman dengan penceramah yang hadir dimana semuanya saya kenal dan mereka mengenali saya.

Tetapi tidak kali ini. Saya lebih selesa berada di kejauhan... mahu menjadi pemerhati yang benar dan jujur, liberal tanpa bias untuk memberi kesimpulan yang tepat terhadap apa yang berlaku. Rakyat dan juga semua parti perlu mendapat maklumat yang benar untuk memudahkan mereka melakukan tindakan susulan untuk kebaikan masing-masing daripada gambaran saya berikan. Kita jangan tertipu dengan laporan atau gambaran yang terlalu bias sehingga merugikan.

Dari posisi itu saya mahu melihat ke seluruhan suasana ceramah malam tadi. Mahu melihat gelagat mereka yang hadir. Mahu melihat wajah mereka dan juga mendengar apakah komen-komen spontan mereka setiap kali mendengar hujah dari penceramah.

Selalunya orang ramai akan memberi reaksi dan ulasan spontan. Mereka juga akan berbisik-bisik menambah atau membantah apa-apa yang diucapkan penceramah ketika itu juga. Tepokkan, sorakkan dan takbir menunjukkan mereka tersentuh dengan hujah disampaikan.

Dari sini kita dapat mengenali atau mengetahui keadaan sebenar. Apa yang sedang berladum dan bergolak dalam diri orang ramai. Ini sebab kenapa saya suka turun ke lapangan untuk membuat penilaian terhadap sesuatu peristiwa.

Bulan merangkak

Kebetulan dari tempat duduk saya nampak jelas dari arah Timur bulan sedang merangkak keluar dari kelambunya. Perlahan-lahan bulan merangkak naik seakan-akan mahu sama meraikan majlis itu. Sebatang pokok besar dan redang seakan cuba menghalang cahayanya memijar ke seluruh ruang. Keadaan ketika itu menjadi berbalam-balam.

Seluruh kawasan padang bola tidak berpagar yang dihiasi dengan lampu kalimatan sedarahana cahayanya, berbaur dengan cahaya bulan menjadikan keadaanya indah dan harmonis sekali. Sekali pandang suasana macam sebuah pesta seperti di zaman kanak-kanak dulu. Di sekeliling padang bola itu, dipenuhi dengan gerai peniaga yang menjual pelbagai barangan. Inilah suasana di tempat ceramah-ceramah Pas di Kelantan sejak berdekad lalu. Ceramah Pas menjadi buruan peniaga kerana orang ramai. Terlintas dijati apakah peniaga juga sudah berhijrah ke ceramah Amanah?

Untuk memenuhi keperluan orang ramai sebuah kelir besar di pasang di sebelah kiri pentas. Sekali melihat kepada kelir gergasi itu mengenangkan saya pada tahun-tahun 70an dulu sewaktu persembahan wayang pacak diadakan. Dulu wayang pacak, atau wayang "public relation" ini sangat popular. Setiap kali wayang ini diadakan, padang atau lokasi terbuka akan dipenuhi dengan orang ramai. Wayang pacak ini juga menjadi alat hiburan orang kampung yang ketika itu belum ada kemudahan telivisyen. Nampaknya peralatan lama ini muncul kembali.

Bulan yang baharu beberapa hari selepas purnam penuh itu terus merangkak perlahan dengan setianya. Ia bergerak mengikut putaran masa. Semasa Zaid berceramh bulan masih lagi tidak menyeburkan wajahnya sepenuhnya kerana terlindung.

Keadaan padang masih lenggang. Hanya berhampiran pentas utama di sebelah kanan dan kiri orang penuh sesak. Ada yang berdiri dan ada yang duduk. Di tengah-tengah terutamanya di sebelah posisi saya masih ada banyak yang kosong. Melihat kepada suasana itu kalau ia sampai ke akhir, ceramah itu boleh dianggap tidak berjaya.

Beberapa waktu kemudian susana mulai berubah. Cahaya bulan juga sudah semakin tinggi. Bulan sudah mahu melepas pucuk pokok itu. Ketika ini pentas dikuasai Saifuddin Nasution Ismail Wajah-wajah yang hadir tampaknya berbagai versi dan wajah. Saya ternampak ada sekelompok anak-anak muda Cina, yang lain ada orang veteran berkupiah puteh, aksesori kepala yang disukai orang parti agama. Dari kalangan orang dewasa ramai yang berkupiah putih.

Kaum muslimat tidak begitu menonjol. Mereka yang mengikuti live streamyx pula setiap saat bertamnbah dari ratusan sudah mencecah kepada lebih satu ribu. Namun suasana masih lagi sejuk tidak ada laungan tabir atau pun tepok sorak. Hanya sesekali apabila Saifuddin mendedahkan kelemahan kerajaan Kelantan dibanding dengan kehebatan kerajaan Pulau Pinang majikannya terdengar suara yang mengulum kekaguman.

Apa dijelas Saifuddin benar, kenapa kemajuan dan pencapaian di Pulau Pinang jauh berbanding Kelantan atau di zaman negeri itu dibawa pentadbiran BN, ialah kerana kerajaan negeri itu menunjukkan kepimpinan yang berwibawa telus dan bertanggungjawab. Salah satu fakta yang boleh dijadikan buah fikiran apabila Saifuddin menyebut hutang Pulau Pinang dengan kerajaan Pusat sekarang ini tinggal RM69 juta sahaja berbanding dengan sebelum ini sebanyak RM800 juta.

Begitu juga dibandingkan negeri lain kedudukan hutang Pulau Pinang jauh lebih rendah. Dengan kedah RM2,03 juta, Sarawak RM250 juta, Sabah RM260 juta manakala Kelantan RM1,300 juta.





Selepas Saifuddin, Husam Musa mengambil giliran. Sebagai orang yang sedang diberi perhatian atau sosok utama yang mencetus angin perubahan di Kelantan kini, syarahannya menjadi tumpuan. Malam tadi Husam tidak begitu galak menyerang kerajaan Kelantan, melainkan cuba memberi sanjungan kepada Dr Mahathir Mohamad. Husam membela Dr Mahathir yang dituduh Najib sebagai pemimpin yang pernah mendera rakyat Kelantan.

Husam membangkitkan Dr Mahathir pernah meluluskan geran untuk pembangunan air di Kelantan bernilai RM600 juta. Selain itu pernah membenarkan tanda tangan persefahaman usahsama menaikan petroleum dan gas di antara KUBB dengan PKINK. Dan bagi Husam apa paling berti sebagai tanda nkepedulian Dr Mahathir kepada Kelantan dan juga negara ialah sanggup jelajah ke seluruh negara untuk menjatuhkan Najib walaupun sudah berusia 92 tahun.

Malam tadi Husam berceramah dalam keadaan gear free. Beliau tidak banyak atau mengulangi kritikan kepada kerajaan Kelantan sebelum ini. Bahkan, Adun Salor itu memberi peluang kepada Pas untuk memikir kembalikan keputusan mereka sebelum ini untuk bersendiri dengan memingirkan diri kepada Umno.

Tawaran Husam itu walaupun bukan serius namun boleh dimahasabahkan Pas, sekiranya Pas ingin kembali damai ia ada titik mula di situ. Soalnya apakah Pas sedia sedangkan orang yang dianggap menghuruhara keyakinan rakyat kepada kerajaan Pas Kelantan kini adalah Husam.

"Kita harap Pas berfikir balik untuk bersama kita bagi menjatun kerajaan BN. Ia masih boleh di adjust lagi," kata Husam dengan nada lebih tulus. Bagaimana pun secara berseloroh beliau mengenakan syarat, masa hendak bentuk kerajaan nanti parti Amanah hendaklah diberi Exco.

Ada munasabah ajakan Husam itu tetapi saya tidak fikir ia akan diterima disebabkan sudah ada ikatan kemas di antara Pas - Umno yang melibatkan pemimpin kebangsaan tertentu. Hal ini saya yakin dan percaya tidak diketahui oleh para pemimpin bawahan Pas di Kelantan terutamanya mereka yang bertegas tidak mahu bekerjasama dengan Umno.

Akhrinya tibalah kepada giliran Dr Mahathir. Umum saya rasa berdebar menanti apakah jawaban Dr Mahathir ke atas dakwaan Najib yang beliau mendera kerajaan Kelantan dan rakyat Kelantan.  Pendengar mahu riwayat itu daripada Dr Mahathir sendiri. Husam sebelum menutup ucapannya berharap sangat Dr Mahathir akan menjawab Najib, mendedahkan bagai mana Umno sejak berdekad lalu telah menganiaya rakyat Kelantan kerana perbezaan ideologi politik.

Apa diharap malam itu tidak menjadi kenyataan. Dr Mahathir tidak pun menjawab tuduhan Najib itu sebaliknya mengulang keburukan Najib sebagai perompak, pencuri dan penyangak. Dr Mahathir masih mengulangi perkataan-perkataan immoral yang sama ke atas Najib. Cara beliau menghentam Najib tidak sedikit pun berubah nada dari sejak awal dia mulai hentam sampai ke malam itu.

Saya sendiri kecewa dengan apa yang berlaku. Bagi saya Dr Mahathir tidak payah lagi mendendangkan mengenai kejahatan Najib dalam kaca matanya. Tuduhan Najib pengkhianat, pencuri, perompak, penyangak rasanya tidak wajar lagi. Benar, Dr Mahathir menggunakan teori kalau sesuatu keburukan itu diulang-ulang mengatakan ia baik ia akan menjadi baik. Begitu juga sebaliknya. Pada ceramah itu bagi saya lebih baik Dr Mahathir apologis kepada rakyat Kelantan pada sepanjang dia menjadi PM dahulu.

Perkara yang menarik juga untuk beliau jawab ialah mengenai surat beliau kepada Nik Aziz berhubung hasrat Kelantan hendak laksanakan hukum Hudud. Dr Mahathir perlu membuat justifikasi kepada suratnya itu yang masih hidup sampai ke hari ini seperti Amanah Banggul Peradong. Saya ia tidak disebut.

Tetapi mengenai serangannya kepada Najib malam itu dengan mengulangi perkataan sadis itu tidak banyak memberi keuntungan kepada Pakatan Rakyat, apa lagi di Kelantan. Sepanjang Dr Mahathir membaham Najib hanya segelintar sahaja bersorak dan melaung "Hidup Tun..hidup Tun.." sementara yang lain hanya membisu.

Saat Dr Mahathir rancak membelasah Najib, sepasang suami isteri duduk berdekatan dengan saya, bangun meninggalkan padang bola itu. Sekejap kemudian ada sepasang suami isteri lain ikut sama bertindak demikian. Apakah mereka kecewa dengan pidato Mahathir malam itu kerana tidak menjawab dakwaan Najib yang dia mendera Kelantan? Boleh jadi. Atau juga mereka mahu keluar awal untuk mengelak jem.

Mengenai jumlah kehadiran saya ditanya beberapa orang mengenali saya sebagai penulis dan pemerhati politik. Mereka mahu tahu berapa ramai jumlahnya. Saya rasa masing-masing dapat membuat congakan sendiri cuma mahu membandingkan apa yang mereka congak dengan congakkan saya.

Saya tidak menjawab secara tepat cuma saya mengatakan, jumlah yang hadir malam ini boleh tambah setengah kali ganda daripada yang ada. Ruang kosong atas padang bola yang lapang itu masih ada. Dalam pengamatan saya ada kelemahan pihak penganjur ceramah itu kenapa ia bagi saya tidak memuashati.

Mungkin iklannya tidak meluas, tidak ada kerjasama erat dengan sebuah lagi parti pembangkang. Begitu juga tajuk iklan atau bunting ceramah berkenaan tidak merangsangkan orang ramai. Sepatutnya tajul yang dipakai bukan Ceramah Perdana, tetapi "Ceramah Dr Mahathir Jawab Najib".

Tanpa ada perkataan itu ia menjadi umum menyebabkan orang menganggap ia tidak mempunyai apa-apa signifkn dan keunikannya ceramah itu.

Justeru bagi saya dengan kadar kehadiran pada malam 15 Mac itu pada angaran saya sekitar 5,000 belum cukup untuk gugatkan Pas Kelantan. Kehadiran itu belum sampai menggerakkan naluri rakyat Kelantan untuk menjatuhkan kerajaan Kelantan. Lainlah kalau kehadirannya mencecah 10,000.

Dan ini tentulah menyeronokkan Pas dan isu ini boleh Pas gunakan dalam siri-siri penerangannya selepas sidang DUN Kelantan 20 hingga 20 Mac ini. Apapun, kita perlu melihat kepada pusingan seterusnya ceramah kombinasi Amanah, PPBM sekali lagi dengan kali ini ia akan jadi menarik lagi kalau melibat PKR secara menyeluruhnya.

Orang sedang menanti akan ada pentas meletakkan Dr Wan Azizah, atau Nurul Izzah Anwar bersama Husam Musa dan Dr Mahathir Mohamed. Kalau ada saya pasti akan turun. [wm.kl.4:13 pm 18/03/17]

Catatan: Kepada penjengok blog Merah Tinta, minta maaf kerana lewat mencatat laporan ini, demam sikit.

1 comment:

  1. Tulisan tuan banyak meleret...
    Mungkin teknik salah....
    Tapi yg pasti PH semakin kehadapan berbanding PIGS yg mundur kebelakang

    ReplyDelete