Sunday, March 12, 2017

Politik Kelantan: Menggorek harapan Umno terajui Kelantan

ANALISA (BHG 1)

Mustapa dan Ahmad ubah stail politik lama.
Tiga persoalan yang terpendam dalam minda umum apabila menjengok atau "merasar" (menganalisa sambil membayangkan) politik di Kelantan hari ini. Lebih tepat lagi mencari jawaban apa yang akan berlaku dalam Piraum ke-14 nanti. Persoalan paling popular ialah apakah Pas masih mampu mempertahankan kerajaan yang ditinggalkan oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sehubungan itu apakah Umno pula berjaya
menubuhkan kerajaan di Kelantan setelah diratah Pas 27 tahun. Sementara persoalan yang tidak kurang menjadi perhatian ialah sejauh manakah kemampuan Parti Amanah Negara (Amanah) memainkan peranan atau menjadi kuasa penentu dalam pilihan raya itu nanti dan membawa politik baharu di negeri Cik Siti Wan Kembang

Dalam hal ini saya tidak mudah untuk meletakkan Amanah bakal menjadi peneraju kerajaan baharu di Kelantan atas beberapa faktor yang ada kepada parti tersebut. Bagi saya Amanah memiliki keistimewaan dan keunikan lagi.

Sebelum itu saya hendak beri sedikit pandangan dan mendedahkan analisa hasil hipotesis yang saya buat terhadap kemampuan Umno. Selepas ini baru akan mencongak kejutan bakal dilakukan oleh Amanah dan juga nasib bakal dialami Pas yang dianggap ampuh di Kelantan.

Atas kertas Umno berpeluang

Atas kertas, dengan mengikut sunnah dan sejarah politik yang pernah berlaku di Kelantan sebelum ini, Umno berpeluang besar untuk membentuk kerajaan berbanding dengan Pas dan Amanah. Perpecahan dalam Pas dengan wujudnya Amanah, adalah peluang besar untuk Umno menjulang piala dalam Piraum ke 14 nanti di Kelantan. Itu yang dilihat oleh semua dan andaian ini saya rasakan ia sekata.

Dengan mengambil dua sejarah lampau, di mana perpecahan parti utama memberi keuntungan kepada parti lawan, teori itu boleh digunapakai dalam penilaian ini dan ia memberi kelebihan kepada Umno.

Dalam tahun 1978 apabila parti Pas berpecah sehingga wujud Berjasa, kerajaan Pas 18 tahun gugur dan syahid. Tahun 1990 pula, apabila Umno Kelantan berpecah sehingga tertubuhnya Semangat 45, kerajaan Umno berusia 12 tahun tumbang tanpa memenangi walaupun satu kerusi, baik Dun dan Parlimen.

Jadi kali ini Pas yang menguasai Kelantan 27 tahun berpecah dua ia telah membuka senario baharu di Kelanan. Kemalangan ini akan memberi potensi besar kepada Umno. Persoalannya apakah perpecahan dalam Pas itu berjaya diambil kesempatan oleh Umno untuk menang di Kelantan seperti mana tahun 1978 dulu. Sejauh manakah kebijaksanaan Umno untuk memasang lukah dipergentingan kali ini. Inilah yang menarik untuk ditinjau.

Hari ini Umno memiliki 12 kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen.  Kerusi DUN menjadi milik Umno ialah di 1. Pengkalan Kubur (Tumpat), 2. Kok Lanas (Ketereh), 3. Gual Ipoh (Tanah Merah), 4. Selising, 5. Semerak (Pasir Puteh), 6. Bukit Bunga, 7. Air Lanas, 8. Kuala Balah (Jeli), 9. Dabong, 10. Nenggeri, 11. Paloh dan 12. Galas (Gua Musang).

Manakala kerusi parlimen ialah Jeli, Ketereh, Machang dan Tanah Merah.

Dari segi jumlah, Umno merlukan sekitar 10 hingga 15 kerusi lagi untuk menang dengan majoriti mudah. Sekiranya Umno berjaya tambah 15 kerusi dalam Piraum akan datang dan mengekalkan kerusi yang ada, bermakna Umno akan ada 27 kerusi, di mana jumlah itu sudah cukup membolehkan Umno membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Diperhatikan kepada majoriti diraih Pas dalam pilihan raya lalu, terdapat 10 kerusi marginal dimana Pas menang dengan majoriti dibawah 1,000. Kerusi ini berpotensi untuk diraih oleh Umno dengan mudah dengan memperkirakan perpercahan dalam Pas, apa lagi jika berlaku pertandingan tiga penjuru, Pas - Umno dan Amanah, Umno dijangka mudah menguasai kerusi-kerusi berkenaan.

Persoalan kini apakah petunjuk dan indikator yang Umno boleh menambah kerusi dan mengekalkan kerusi yang ada. Apakah lonjakan yang berlaku dalam Umno serta kemajuan terbaharunya yang boleh dikira parti itu sudah berada dalam keadaan siap sedia dan kondusif waktu ini?

Perpecahan Pas bukan faktor utama

Untuk melihat keadaan ini secara realistik, kita jangan melihat perpechan dalam Pas sebagai faktor utama menguntungkan Umno. Umno perlu mengenepikan faktor itu sebagai membuka peluang kepadanya dan tidak menjadikan parti itu over confident. Perlu ada perkembangan dan perubahan lain dalam Umno untuk menjadikan kejayaanya nanti rasional. Perpecahan dalam Pas hanya sebahagian bonos sahaja kepada Umno.

Yang perlu diinsafi, persepsi dan suasan politik di Kelantan hari ini sudah berbeza. Persepsi rakyat kepada politik bukan seperti dahulu lagi. Kalau dahulu rakyat terpesona dan ghairah dengan agama, tetapi keghairahan itu sudah berkurangan. Ini berlaku kerana perubahan sikap dan budaya dalam Pas itu sendiri sejak parti itu menjadi kerajaan.

Setelah 27 tahun Pas memerintah rakyat sudah dapat mengenali politik dan hati budi politik pemimpinnya. Sikap berkerjaan dan memiliki kuasa menyebabkan Pas tidak lagi menjadi parti humble lagi. Beberapa kelemahan kerajaan Pas apa lagi setelah empat tahun persalinan MB sangat menjelaskan akan perbezaan itu. Walaupun perubahan itu dari satu sudut positif tetapi dalam sudut pentadbiran dan perpaduan Pas ia sangat negatif.

Keadaan dan kesedaran ini ditambah oleh kesedaran pengundi. Kehadiran pengundi muda yang lebih terbuka, waras dan tidak mudah terikat dengan dogma-dogma bangsa dan agama, merubah suasana dan tanggapan politik. Jadi jangan hairan kalau dogma agama dan fahaman politik "animinsme" bangsa yang dijadikan daya tarikan tidak dipedulikan oleh orang muda. Mereka tidak mudah respons kepada fenomena itu seterusnya menyokong mana-mana parti yang galak menggunakan elemen berkenaan.

Semua pihak perlu mengetahui tarikan golongan muda untuk menyokong sesebuah parti politik tidak sangat berpegang kepada idealisme tetapi mereka berpolitik mengikut trend.

Orang muda ada pilihan sendiri dan mereka juga ada hisab sendiri. Apakah pilihan orang muda? Salah satu ialah sesuatu yang ada kepentingan langsung dengan kehidupan mereka, yang mereka boleh lihat dan rasa. Misalnya peluang perkajaan dan kemudahan prasarana dan pembangunan untuk negerinya.

Mereka akan senantiasa membuat ukuran dengan perkembangan dan pembangunan di negeri lain dengan negeri mereka. Apakah dalam perbandingan itu nanti mereka temui perubahannya. Perubahan atau akidah politik begini adalah realistik.

Apakah dalam soal menyediakan peluang pekerjaan ini telah dilakukan oleh Umno sebaik mungkin di Kelantan. Berapa banyakkah pengangguran di Kelantan dapat dikurangkan. Kita tidak pernah medengar atau diberikan statistik unjuran atau pun kajian dibentangkan oleh Umno mengenai perkara ini. Berapa pengurangan jumlah pengangguran berlaku ekoran pembangunan dibawa ke Kelantan?

Tidak dinafikan dalam aspek lain, dari segi pendidikan Umno berjaya meletakkan Kelantan setanding dengan negeri-negeri lain. Boleh dikatakan semua bentuk dan kelas institusi pendidikan wujud di Kelantan. Dari kolej komuniti IPTA dan IPTS hingga kepada penubuhan Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Tetapi itu bukan sesuatu yang membantu Umno kerana generasi muda dan pengundi berpendidikan sedar itu adalah tanggungjawab sosial mana-mana kerajaan.

Ertinya kalau Umno tidak dapat membentangkan pencapaian-percapaian itu orang muda tidak akan tertarik dengan Umno. Mereka akan menganggap Umno dua kali lima sahaja dengan kerajaan Pas. Sementara itu kekurangan jumlah dan nilai pembangunan di Kelantan pula akan dianggap ia kesalahan Umno yang selama ini mendiskriminasikan Kelantan.

Makanya pembangunan yang ada akan dianggap suatu gantian (qodha) oleh Umno yang menganiayai Kelantan selama ini. Bahkan jika dibangktikan mengenai pembangunan sebagai modal pilihan raya, kononnya Umno banyak membawa pembangunan di Kelantan mereka akan marahkan Umno.

Jadi pembangunan itu tidak akan membantu sangat Umno kerana ia tidak merujakan rakyat.

Pun begitu perlu juga ditinjau apakah pembangunan untuk Kelantan yang dibawa oleh Umno. Ini penting untuk dilihat sejauh mana ia dapat menarik minat orang muda. Sejauh manakah dalam hal ini Umno ada nilai tambah dan daya tarikan tersendiri. Perubahan polisi dan uslub politik diambil Mustapa Mohamed berlaku anjakan paradigma dalam politik di Kelantan. Umno sudah tidak lagi meneruskan dasar "apartheid" di Kelantan seperti di zaman Annuar Musa.

Penerima dan sikap kerajaan Pusat terhadap Kelantan akhir-akhir ini tidak seperti beberapa dekad sebelum ini. Inilah rahmat dan kebaikan Umno dibawah Mustapa Mohamed dan Pas dibawah Ahmad Yakob yang mempraktikan politik wasatiyyah.

Beberapa projek mega sangat diperlukan oleh Kelantan telah dibawa dan setengahnya sudah pun dilaksanakan di Kelantan. Ini termasuk yang telah menjadi kenyataan pembinaan lebuh raya, Kota Bharu - Kadok, pembesaran lapangan terbangan Tuanku Islam Petra Pengkalan Chepa serta janji-janji industeri Petroleum dan pembinaan pelabuhan Suplly Base di Tok Bali. Pembangunan kesihatan juga tidak diabaikan apabila terbinanya hospital Kuala Krai yang bernilai RM288 juta yang kini hampir siap.

Manakala projek yang dalam proses perancangan kini projek keretapi laju (ERCL) yang bakal merubahkan landskap pembangunan di Kelantan. Di samping itu pembinaan pusat perdagangan, kompleks kerajaan, Mahkamah dan sebagainya sudah terlaksana. Pertambahan peruntukan dalam RMK -11 untuk Kelantan yang ketara tinggi berbanding sebelum ini menjelaskan akan perubahan tersebut.

Dalam hubungan ini, perubahan sikap dan perkembangan ini dapat digunakan Umno untuk mempamirkan parti itu kini sudah rasional di mana ia secara tidak langsung memberi keuntungan kepada Umno. Umno menjadi makin dekat dengan rakyat dan merasakan mereka diraikan serta prihatin kepada nasib rakyat Kelantan yang diabaikan selama ini.

Apabila menyebut ini maka ia tidak boleh diketepikan ketulusan Mustapa Mohamed dan juga Ahmad Yakob sebagai pemimpin utama kedua-dua buah parti. Tindakan Mustapa jauh berbeza dengan langkah diambil oleh pemimpin Umno sebelum ini baik di zaman Annuar Musa maupun Dr Mahathir Mohamad menjadi pengerusi Umno Kelantan.

Soalnya apakah cukup semua itu untuk memberi keuntungan dan impak kepada Umno seterusnya membolehkan Umno menambah 15 lagi kerusi disamping mengekalkan 12 kerusi sedia ada?

Bagai saya semua itu belum cukup. Pembangunan yang disediakan tidak mudah dianggap budi yang perlu dibalas oleh rakyat kepada BN dengan mengundinya. Seperti mana dinyatakan di atas tadi rakyat sudah sedar semua pembangunan itu adalah tanggungjawab mana-mana kerajaan yang tidak boleh diletakkan ia adalah usaha ikhlas Umno seratus peratus.

Ertinya segala kemajuan dan apa dilakukan Umno itu tidak merupakan modal besar untuknya mengambil alih Kelantan. Perubahan itu bukan menjadi faktor penentu. Ia sama dengan isu perpecahan dalam Pas kini. Ada faktor atau pun syarat lain untuk membolehkan Umno memerintah Kelantan.

Kemantapan Umno

Sebaliknya bagi saya apa yang penting ialah kemantapan Umno itu sendiri dan sejauh mana gerak kerjanya untuk menawan Kelantan. Juga kesungguhan dan kesediaan para pemimpinnya untuk berkorban demi Kelantan dan sedia melupai kepentingan diri. Sejauh manakah Umno kini sudah mantap, bersedia dengan tulus ikhlas untuk mengambil alih teraju Kelantan?

Ramzi Ab Rahman
Sehingga sampai parlimen dibubarkan Umno kena meneliti perkara ini. Mengejapkan perpaduan dan mensucikan hati untuk rakyat Kelantan. Satu-satu masalah Umno yang tidak boleh dielakkan dan sudah menjadi tradisi dan budaya ialah perbuatan CAS KENTING. Apakah budaya ini masih ada dan subur dalam Umno. Sikap menidak dan mernyokong yang lain sekiranya diri sendiri tidak dicalonkan apakah masih akan berlaku.

Sesungguhnya budaya ini menjadi fobia kepada pengundi. Mereka tidak yakin akan perpaduan dalam Umno. Ketidakyakinan pengundi ini sama dengan mereka tidak yakin kebersihan pemimpin Umno apabila mereka menjadi kerajaan nanti mereka akan urus negeri dengan baik. Sejarah masa lalu bagaimana kerakusan kerajaan Umno dalam membaham harta rakyat menyebabkan rakyat akan terhitung-hitung dan berfikir banyak kali untuk memberi undi kepada Umno seterusnya mengangkat mereka menjadi kerajaan.

Keraguan ini perlu diusahakan Umno menghapusnya dari pemikiran rakyat. Mustapa Mohamed kena memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku perbuatan cas keting. Dan paling mustahak beliau juga perlu berkrar dan menggubal piagam kerajaan yang bakal dibentuk nanti.

Alwi Che Ahmad
Tengku Razaleigh
Selain daripada itu beliau juga kena memberi keyakinan kepada rakyat terhadap Umno. Salah satu langkah ialah memperkenalkan calon-calon wibawa dalam pilihan raya kelak. Sebolehnya Umno perlu merombak hingga 70 peratus calon-calon lalu yang kalah dan ada juga yang menang, tidak perlu diletakkan sebagai calon. Cukuplah jangan bawa mereka menjadi calon lagi.

Mereka yang pernah bertanding tiga kali atau empat kali sama ada kalah atau menang, walaupun pemegang jawatan penting di peringkat bahagian perlu direhatkan. Mereka kena ganti dengan muka baharu. Golongan profesionalisme dalam Umno perlu diberi peluang diangkat jadi calon.

Kecuali calon itu dapat memberi daya tarikan kepada pengundi, seperti Mustapa Mohamed, Ramzli Abdul Rahman, Tengku Razaleigh Hamzah dan Md Alwi Che Amat. Alasan kenapa mereka ini boleh dipertimbangkan kerana mereka menjadi aset tersendiri kepada Umno dan dilihat berjaya memuaskan hati rakyat di kawasan masing-masing. Tokoh yang walaupun terkenal dengan kepintaran berpolitik tetapi sudah terleset dengan skandal, rasuah dan betina janganlah diletak menjadi calon kerana ia damagekan Umno.

Selain dari itu Umno juga perlu komited kali untuk untuk menjadi peneraju Kelantan. Siapa dia bakal menjadi MB Kelantan perlulah dipamerkan awal-awal. Sekiranya Umno bersetuju Mustapa menjadi MB, Mustapa hendaklah diletakkan bertanding di kerusi DUN sahaja. Dengan meletakkan Mustapa bertading dua kerusi, ia mengelirukan rakyat, apakah Mustapa hendak dijadikan menteri atau pun MB? Mustapa sendiri perlu membuat pilihan tepat.

Kesimpulannya apakah Umno sudah cukup energy untuk merampas Kelantan dengan segala perancangan, perubahan dan pendekatan itu. Jawabanya masih kabur? Ia juga nanti akan terpulang dan tergantung kepada sejauh mana perkaitan politik antara Umno dengan Pas dan juga kemaraan dan kemunculan Amanah.

Bhg ke - II, kita tilik pula nasib Pas. [w.walk.4:22 pm 12/03/17]

No comments:

Post a Comment