Tuesday, March 28, 2017

Wan Azizah ke hospital untuk dapat rawatan

MAKLUMAN

Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Dr Wan Azizah Wan Ismail dimasukan ke hospital pakar di Kampung Baru (KBMC) semalam untuk mendapat rawatan. Dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Setiausaha Politiknya, Rodzhiah Ismail, kemasukan Dr Wan Azizah itu untuk memberi ruang kerehatan serta membolehkan beliau mendapat rawatan penuh.

Dalam kenyataan dikeluarkan petang semalam, tidak dinyatakan presiden PKR itu menghadapi apa-apa masalah kronik yang membimbangkan.

Rodzhiah juga memaklumkan pihak ibu pejabat parti sangat menghargai semua pihak yang mengambil berat tentang kesihatan Dr Wan Azizah. Sehubungan itu bagi melicinkan proses menerima rawatan pihaknya menghadkan lawatan ke atas Dr Wan Azizah, atas kesulitan itu dipohon kemaafan.

Ekoran itu juga katanya Dr Wan Azizah tidak menghadiri sidang parlimen dan juga sidang DUN Selangor yang bermula semalam. Acara-acara parti dan peribadi lain juga dibatalkan.

Sekejap tadi saya menghubungi salah seorang pegawai peribadi presiden PKR itu, beliau menjelaskan tiada apa-apa yang membimbangkan, presiden hanya ke hospital untuk membuat rawatan secara menyeluruh sahaja.

"Sudah lama Kak Wan tidak mendapat atau membuat rawatan menyeluruh (medical check-up) kerana sibuk dengan tugas-tugas dan aktiviti politiknya. Jadi beliau masuk hospital untuk mendapat rawatan dan pemeriksaan menyeluruh," ujarnya lagi.

Pegagawai berkenaan juga memaklumkan semalam suaminya, Anwar Ibrahim ada bersama di hospital menziarahi Kak Wan. Katanya Anwar telah meminta agar Dr Wan Azizah dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), untuk mendapat pemeriksaan lanjut dan menyeluruh di sana.

"Insya-Allah tiada apa-apa, sama-sama kita berdoa, " ujar pegawai itu lagi.

Sama-sama kita berdoa semoga Presiden PKR yang dikasihi itu akan sehat segera, dan diharap orang ramai khasnya pendokong Pakatan Harapan (PH) amnya PKR khasnya memberi kerjasama baik untuk memudahkan perawatan dan memberi ruang kerehatan sepenuhnya kepadanya. [wm.kl.8:39 am 28/03/17]

No comments:

Post a Comment