Wednesday, May 3, 2017

Keikhlasan dan ketulusan seorang Mahfuz

PENGAMATAN

Mahfuz tegur pemimpin kerana dia sayangkan Pas.
Saya mengangkat kedua belah tangan, tabik hormat kepada Mahfuz Omar bagi menyatakan kekaguman dan penghormatan kepada ahli Parlimen Pokok Sena itu atas sikap berani, ikhlas dan jujur yang ada kepadanya selaku pejuang politik.

Mengikuti ucapannya dalam ceramah di Kota Bharu malam tadi, bagi saya Mahfuz bukan sahaja berjiwa besar tetapi telah memperhambakan dirinya 100 peratus untuk merealisasikan cita-cita perjuangan yang ditarbiahkan kepadanya selama ini menerusi parti agama itu.
Malam tadi Mahfuz mendedahkan gelora keluh resah, kekecewaan dan kedukaan kepada partinya Pas dengan apa yang berlaku yang terkandung dalam fuadnya selama ini. Malam tadi Mahfuz mendedahkan sikapnya dalam mengharungi kemelut dihadapi Pas kini. Ia suatu ucapan paling autantik dalam penilaian saya.

Mungkin selama ini orang melihat bekas Naib Presiden Pas itu sebagai seorang humorist  kerana pembawaan dirinya, melihat kepada apa dituturnya tidak serius. Mahfuz dilihat seorang yang senantiasa happy go lucky yang tidak pernah menangis dan berdukacita. Ucapan malam tadi walaupun nadanya masih ceria tetapi bagi orang memahami ilmu kejiwaan dapat menyelami apa yang berladum dalam dirinya. Kata-kata Mahfuz semalam lahir dari celah dhamir yang bersih dan ia menumpahkan simpatis kita kepada nasibnya.

Ucapan malam tadi adalah ucapan yang tulus, ikhlas yang penuh kebenaran. Ia bukan suatu hipokrasi dan retorik jauh sekali pengkultusan kepada mana-mana tokoh atas sifat mengampu seperti banyak dilakukan orang. 

Ini dapat dikesankan dari nada ucapannya, dan kalau beliau bukan seorang yang berjiwa kuat pasti Mahfuz akan menangis malam tadi kerana saking sedihnya mengenang nasib partinya yang kini berkecamukkan semacam anti klimeks. Dia sedih kerana bagaimana ahli-ahli dibawah yang berkorban dengan penuh keikhlasan untuk melihat Pas menjadi parti penuh berkat tetapi akhirnya semacam dipersenda oleh pemimpin dengan apa yang berlaku kini.

Sikap yang ditunjuknya sungguh mengkagumkan dan bukan mudah untuk dipraktikan. Hatta oleh mereka yang dianggap perfect, fakeh dengan ilmu Islam, tetapi belum tentu dapat bertahan dan sedia menghadapi tribulasi perjuangan khususnya dari dalaman sesama sendiri. Betapa tidak, dengan kemelut yang berlaku dalam parti agama (Pas) kini, dia dituduh dengan pelbagai tuduhan jelek dan jijik.

Mahfuz bukan sahaja dipecat dari jawatan dan jasa-jasanya diketepikan, malahan dicerca habis-habisan hanya kerana sejuring kesalahan, dia mengkritik pemimpin parti yang dilihatnya sudah melencong dari nawaitu asal. Walhal apa yang beliau lakukan masih dalam ajaran yang dibenarkan dan melaksanakan kewajiban berjemaah.

Paling menyedihkan beliau dihalau dari Pas. Ini satu hukuman dikira kejam dan tidak berperi kemanusiaan dilakukan ke atas bekas Naib Presiden Pas itu. Subhanallah, MasyaAllah... pun begitu bagi seorang pejuang berjiwa besar dan kental seperti Mahfuz beliau sedikit pun tidak terasa hati.

"Kalau Nabi Muhammad pun dihalau, apalah saya yang menjadi umatnya, kena halau itu adalah sebagai sunnahnya," begitulah selamba dan tenang Mahfuz memulangkan paku buah keras kepada para pembencinnya. Sukar untuk sesiapa menghadapi kecaman seperti mana diterima oleh Mahfuz. Di sinilah menyebabkan saya angkat tabik kepadanya dan menerima Mahfuz adalah seorang pejuang ulit yang bukan 10 orang ada dalam Pas.

Mungkin kalau beliau dikecam sebagai tiada prinsip, tidak wala', atau pun menjadi "harum manis" tidak menyedihkan kita mendengarnya. Itu semua adalah gurauan dan gelar-gelar yang selalu dihadapi oleh seorang pejuang dan pemain politik. Tetapi apabila dihalau macam anjing, ia satu penghinaan besar. Itu adalah tindakan paling sadis dan penuh keangkuhan.

Kalau hendak dikira, siapalah kalau dibanding dengan orang yang menghalaunya itu dengan Mahfuz. Orang berkenaan -- biarlah saya menyebut namanya, Mohd Amar Nik Abdullah, masih boleh dianggap berumur setahun jagung dan darah setampuk pinang berbanding dengan Mahfuz, tidak sepatut tergamak dilakukan begitu.

Nik Amar belum peranh menuruni lurah dalam perjuangan tetapi Mahfuz sudah lama meringkuk dalam penjara kerana keulitan perjuangannya. Mahfuz sudah lama berada dalam saf kepimpinan tertinggi parti sebagai Ketua Pemuda, Naib Presiden parti, namun Nik Amar masih merayap di bawah ketika itu. Hanya baharu sehari dua ini sahaja TMB Kelantan itu berada di atas cagak kekuasaan sebagai Naib Presiden dia sudah menunjukkan lagak. 

Jika kita ikhlas membelek sejarah perjuangan Mahfuz dalam Pas, ia bukan calang-calang. Mahfuz saya anggap sebagai soldadu dan askar bawahan dalam Pas yang berada di medan perjuangan. Beliau berkerja dan bertugas dengan penuh taat dan tanggungjawab. Dia menjadi hamba parti berdekad. Tidak mengira masa beliau menjelajah ke seluruh negara untuk membawa obor dan panji Pas. Saya masih ingat saya pernah mengiringinya ke satu ceramah di Kuala Lipis Pahang, kerana beliau memang tidak tahu memandu kereta.

Apakah Nik Amar melalui sunah-sunah berkenaan?

Kerana jiwa besar Mahfuz menyebabkan dia tidak peduli cemuhan kepadanya. Baginya kepentingan dan nasib partinya Pas lebih penting dari segala-galanya. Seorang pejuang kental sepertinya tidak pernah menghitung kepentingan diri, tetapi lebih menghitung kepentingan parti. Semasa Pas menguasai Kedah saya pernah "menawarkan" jawatan MB kepadanya tetapi ditolak dengan penuh kesyukuran. Itulah Mahfuz.

Keadaan dan hakikat ini tidak dapat dinilai oleh ahli-ahli Pas khasnya mereka yang tertuba dengan rasa taksub atau mabuk dalam idealisme Islam konsevertif mudah menuduh Mahfuz sebagai pengkhianat, tidak wala dan sebagainya apabila beliau menegur. Adik-adik yang baharu boleh berjalan dan pandai berkokok dalam Pas pasti tidak nampak akan segala budi jasa dan pengorbanan Mahfuz ini, jauh sekali mampu memahami seni berpolitik.

Seperti mana ujarnya demi sayangnya kepada parti menyebabkan dia cuba menegur pemimpin dan memberi solusi, tetapi sayang ia disalah anggap sebagai membantah keputusan dan dianggap sebagai pengkhianat. Seperkara menarik mengenai ulasan Mahfuz malam tadi mengenai persepsi buruk yang lekat kepada Pas kini apabila parti itu mengambil keputusan berpisah daripada kelompok pembangkang. 

Strategi itu bagi Mahfuz tidak elok kerana ia menimbulkan persepsi yang Pas memencilkan dari dari rakan pembangkang di mana natijahnya orang tidak akan memilih parti itu.

Begitu juga dengan ulasannya tentang sikap Pas yang membenci Amanah dan menganggap orang berada dalam Amanah sebagai pengkhianat. Pas menjadi prejudis sekali dengan Amanah dan tanpa usul periksa menganggap Amanah sebagai pengkhianat. Bagi Mahfuz tindakan Pas itu sebagai tidak pernah menilik kepada hakikat politik apa yang pernah berlaku kepada Pas sebelum ini.

Katanya jika Pas tidak berbaik dan bekerjasama dengan bekas-bekas "pengkhianat", tidak mungkin Pas berada seperti hari ini di Kelantan menjadi kerajaan. Mahfuz menarik perhatian kerajaan Kelantan yang dibentuk pada tahun 1990 itu adalah hasil kerjasama dengan "pengkhianat". Kenapa tidak, suatu masa dulu, orang yang memimpin Semangat 46, orang yang memimpin Berjasa yang bergabung dengan Pas membawa kemenangan 39 - 0 merupakan para pengkhianat kepada Pas.

Tengku Razaleigh Hamzah adalah bekas Pengerusi Umno Kelantan yang bertanggungjawab merampas kerajaan Pas tahun 1978. Mohamad Nasir bekas MB Kelantan dari Pas yang kemudian menjadi presiden Berjasa yang ikut sama menumbangkan kerajaan Pas bersama Tengku Razaleigh juga pengkhianat. Apa berlaku selepas itu, kerana sokongan para pengkhianat inilah akhirnya Pas berjaya memerintah Kelantan hingga ke hari ini, sudah 27 tahun.

Jadi kata Mahfuz jika berpandukan kepada sejarah itu, tidak ada sebab kalau Pas sekali lagi bekerjasama bersama "pangkhianat" baharu bernama Amanah untuk mempertahankan kerajaan yang ada kini. Analogi Mahfuz ini memang menarik dan ia sangat praktikal dalam dunia politik.

Menutup ucapan dalam ceramahnya malam tadi Mahfuz masih berharap agar Pas kembali bermahasabah dan membuat perhitungan tepat menjelang pilihan raya nanti. Apa diharapkan semoga Pas akan bersama pembangkang untuk muncul sebagai parti menjadi perlindungan kepada ummah.

Katanya orang ramai sangat berharap Pas menjadi tempat berlindung dan harapan itu boleh dipenuhi apabila Pas bersedia berbaik dengan pembangkang dan tidak akan bertindak bersendirian yang mana tindakan itu menyebabkan orang akan menganggap Pas sengaja memencilkan diri, membawa hati yang merajuk. 

Sesungguhnya masa masih ada untuk Pas menerima pandangan Mahfuz dan memperbetulkan nawaitu perjuangannya agar Pas terus menjadi sebuah parti yang dihormati lawan dan kawan.[wm.kl.5:26 pm 03/05/17]

2 comments:

  1. Manusia yang tidak belajar dari sejarah sebenarnya adalah manusia yang tidak pernah belajar apa - apa

    Hakikatnya, manusia berbangsa Melayu ini memang Bangsa Pelupa

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pokoknya masing2 nak rebut kuasa untuk cepat jadi kaya raya mcm org UMNO. Money is King.

      Delete