Dengan hormat agung,
Mengunjungi Al Fadhil Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.
Presiden Parti Islam seMalaysia (PAS), di tempat.
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Syukur saya ke hadrat Allah swt kerana taufik dan hidayat, sir dan tajalli-Nya dapat saya siapkan surat ini yang dituju kepada Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. Izinkan saya membahasakan dirinya sebagai "Ayah Chik" pada sepanjang membicarakan isi surat ini.
Sebelum memulakan bicara dihamparkan sebidang doa panjang agar Ayah Chik diberikan kesihatan dan kesejahteraan oleh Allah swt serta dipelihara segala jasa pengorbanan perjuangannya menjadi pahala merenjisi lalu ke Jannah. Diberkati segala doa dan munajak Ayah Chik yang tidak pernah letih mengangkat tangan memohon keampunan dan kesejahteraan kepada sekalian kita hamba di Malaysia ini.
Allahyarham Tun Razak dan Mohd Asri Musa. |
Apapun itu terserah kepada pentafsiran masing-masing, saya bagaimana pun tetap dengan prinsip; "HANYA KITA MEMAHAMI DIRI KITA". Namun saya percaya masih tersisa orang ikhlas dan suci hati dengan saya serta mengenali saya, tidak akan terkaget dengan ulah saya ini.
Sesungguhnya saya tidak pernah peduli apa yang orang kata kepada saya apabila setiap kali saya menulis dan memperkatakan mengenai Ayah Chik. Itu adalah hak dan tanggungjawab mereka kepada Ayah Chik yang mereka juga sayang, sanjung dan hormati seperti mana saya juga. Tanggungjawab itu sesungguhnya saya hargai. Lagi pun saya walaupun sebagai pengulas politik, tetap dianggap atau diperhati umum seperti mana juga pengulas bola sepak dalam game bola sepak, walaupun tidak turun padang tetapi tetap dikritik.
Saya memahami itu semua. Mereka yang sayang dan kasih kepada Ayah Chik tidak dapat menerima teguran, hatta penggunaan bahasa kurang sopan sekalipun. Menyebut atau memanggil Ayah Chik dengan sebut Haji Hadi, atau Hadi, atau Guru Hadi, tidak memakai "Ustaz", pun sudah cukup membuatkan para penyayang Ayah Chik jadi berang. Belum lagi mengibaratkan Ayah Chik seperti "ikan keli dalam besen". Tindakan itu menunjukkan betapa sayang dan kasihnya mereka kepada Ayah Chik. Mahalnya rasa hormat dan menggunungnya rasa kagum kepada Ayah Chik. Baguslah.
Sebenarnya mereka yang marah itu tidak pernah tahu saya juga mempunyai perasaan dan naluri sama terhadap Ayah Chik. Sebahagian daripada adik-adik yang menyayangi dan menyanjungi Ayah Chik, hanya baharu muncul sehari dua ini sahaja. Mereka keluar bagaikan kelkatu selepas hujan dan tatkala malam disinar neon dari celah-celah lubang dan rongga-rongga busut.
Bahkan ada yang duduk sebaris dalam saf kepimpinan dengan Ayah Chik sendiri pun, mereka hanya baharu dapat menghidu wangi attar Ayah Chik belum pun sampai sedekad dua. Untuk pengetahuan, saya memuji dan memuja Ayah Chik sewaktu janggut dan misainya masih hitam dan dia masih sangat "kacak macak" lagi.
Wartawan kerdil.
Sewaktu Ayah Chik bersyarah dalam ceramah di Bukit Abal di Pasir Puteh tahun 1978/79, sayalah wartawan kerdil yang menjadi tukang lapor ucapan Ayah Chik dalam akhbar Watan. Kalau tidak salah saya isi ucapan beliau mengenai fahaman Assobiyyah itu disiarkan di muka hadapan tabloid tersebut. Saya menjaja berita itu ke segenap penjuru kampung.
Saya tidak mahu mengungkitkan kehebatan Ayah Chik dan pegangannya waktu itu mengenai bahaya fahaman Assobiyah. Kesungguhannya dalam serangan terhadap fahaman itu menyebabkan semua orang mengetahuinya, bahkan dunia mengetahuinya. Kehebatan dan keberanian Ayah Chik diiktiraf oleh media antarabangsa. Majalah berbahasa Inggeris (Time) yang terkenal juga pernah meramalkan Ayah Chik bakal menjadi pemimpin masa hadapan.
Dan ramalan itu menjadi kenyataan pun, apabila hari ini Ayah Chik adalah Timbalan Presiden Persatuan Ulama seDunia. Suatu pengikhtirafan yang belum pernah diterima oleh mana-mana tokoh agamawan di negara ini hatta oleh arwah "Murrabi zaman" Tokguru Nik Abdul Aziz sendiri. Ayah Chik bukan kebanggaan Malaysia sahaja tetapi se Nusantara tumpang rasa bertuah. Apakah apabila saya mengkritik Ayah Chik maka saya tidak pernah mengikhtiraf anugerah itu dan terbatal segala penyanjungan saya kepadanya sebelum ini? Begitulah secara simplistik dianggap oleh orang-orang mengasihi Ayah Chik.
Hari ini juga orang tidak pernah jemu dan lekang menyebut nama Ayah Chik. Nama Ayah Chik setanding bahkan dari sisi tertentu lebih hebat daripada nama Tun Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Datuk Seri Mohd Najib Razak. Ayah Chik berada di takhta tersendiri.
Saya tidak mahu membicarakan akan ketinggian dan kehebatan Ayah Chik dalam lembaran rengkas ini. Apa yang saya hendak perkatakan memberi sedikit pandangan serta ulasan kepada cara Ayah Chik berkancah politik dalam situasi dan perkembangan politik kontemporari negara ini.
Mungkin pandangan kecil saya ini dianggap, melukut di hujung gantang, yang hadirnya tidak memberi apa-apa makna dan erti, ada pun tidak mengenapkan gantang, tiada pun tidak mengurang cupak. Tetapi atas hak dan kebebasan bersuara dengarlah.
Fahami politik Ayah Chik.
Saya sangat memahami pegangan dan iktikad politik Ayah Chik. Ianya bersendi dan bersandar serta bertunjang prisip dan dasar Islam. Islam adalah akidah politik Ayah Chik. Pegangan dan tunjang ini sama dengan saya juga. Cuma apa yang berbezanya ialah bagaimana cara akidah politik itu hendak dipertegakkan menerusi gerakan siasah. Itu sahaja yang berbezanya. Pun begitu saya tidak menolak dan menidak akan teknik dan pendekatan yang diambil oleh Ayah Chik, walaupun ia dilihat oleh saya khasnya, ianya agak sedikit "goyang" atau merugikan parti PAS.
Ayah Chik mempunyai pandangan basirah yang tinggi. Dapat melihat jauh ke hadapan mencecah ke dalam ghaibul ghaib. Saya hanya melihat dari luar pagar ke atas fizikal yang ada. Tentunya penglihatan kita berbeza sama sekali. Saya nampak sesuatu yang tersuluh dan mampu dijangkau dengan mata zahir, berbeza Ayah Chik melihat dengan basirah -- mata batin. Makanya kerana perbezaan alat (ilmu) ini jika ada perselishan orang lain tidak berhak mengatakan saya salah sama sekali dan Ayah Chik betul belaka.
Indahnya dalam soal ini Ayah Chik memahami. Tidak pernah sekali Ayah Chik marah dan menegur saya. Saya buktikan, apabila Ayah Chik tidak memanggil saya untuk meluahkan kata nasihat atau memarahi saya baik langsung atau tidak. Tidak. Mungkin juga riuh randah di luar kritikan saya kepada Ayah Chik tidak pun singgah ke pendengaran Ayah Chik. Ayah Chik bersikap tawakus dengan saya penuh kejujuran dan keikhlasan.
Ayah Chik perlu berani.
Baiklah apa yang hendak saya sampaikan disini ialah mengenai bacaan saya kepada politik atau gerak nadi siasah yang Ayah Chik lakukan kini yang mana menimbulkan kemusykilan ramai. Ramai yang menganggap PAS sekarang ini bergerak ke belakang, bahkan dikatakan tidak inteligen dengan langkah diambil oleh Ayah Chik itu. Semuanya adalah kerana Ayah Chik mengamalkan politik MATANG dan SEJAHTERA yang membawa PAS ke arah bergabung dengan Umno. Tidak ramai nampak dan menyedari maksud politik Ayah Chik itu.
Saya konsisten mengenai keperluan PAS bergabung dengan Umno. Dari dahulu lagi saya menyokong penuh. Sebagai orang yang ada pegangan sendiri dan tidak taksub dengan idealogi politik saya merindui penyatuan dan keamanan. Justeru apabila Ayah Chik melancarkan piagam Kerajaan Tanpa Pembangkang (UG), saya adalah antara orang yang mendokong dan mahu melihat ia menjadi kenyataan.
Ramai orang tidak menyedari yang saya bergerak bagi merealisasikan kerajaan UG itu. Saya tidak perlu memberi tahu semua orang akan sesuatu kerja baik yang saya lakukan kerana adakalanya kerja kita perlu dirahsiakan. Saya tidak peduli apa yang orang anggap kepada saya kerana saya ada keyakinan dan pegangan sendiri yang tidak mudah dipengaruhi. Saya mahu melihat Melayu bersatu. Dengan perpaduan Melayu, ukhwah akan mewujud kerana yakin dengan perpaduan itu -- Melayu akan mendapat banyak manfaat.
Saya selalu sebutkan sebagai contohnya macam mana harmonisnya kehidupan orang Melayu di era wujudnya kerajaan campuran PAS dengan Umno tahun 1971. Hasil kerjasama itu segala macam elemen buruk yang terbentuk dari persengketaan Umno dan PAS sebelum itu terhapus sama sekali. Contoh paling besar ialah, tiada kejadian takfiri sesudah itu. Begitu juga dengan manfaat dapat diceduk oleh orang Melayu dari aspek pembangunan material dan kerohanian.
Ertinya Ayah Chik, saya bersetuju kalau Ayah Chik dan PAS amnya mengembalikan era kegemilangan bangsa Melayu yang dicapai menerusi kerjasama itu. Mengenai hal ini saya merintisnya sejak di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM lagi. Gagasan Perpaduan Melayu antara pemainnya adalah saya dan ia di sokong oleh Ayah Chik dengan cerminan politik baharu UG.
Hari ini penghalang kepada UG sudah pun tiada lagi. Mereka terasing dalam sebuah bekas bernama Parti Amanah Negara. Mereka bukan penentang perpaduan tetapi punyai pandangan dan kepercayaan berbeza. Sekarang adalah cukup selesa untuk Ayah Chik melaksanakan agenda tertangguh itu. Apa yang hendak saya sampaikan di sini Ayah Chik tidak perlu takut kepada kritikan itu. Apa yang penting Ayah Chik perlu mencipta sejarah, dan sejarah yang hendak dicipta ada kalanya mengorbankan darah dan maruah sekali. Namun dalam neratif (perkisahan) disepanjang mewujudkan sejarah itu ia tetap akan dikenang.
Yang dihormati Ayah Chik. Orang di luar diri saya tidak faham mengenai diri saya. Melihat kritikal saya kepada Ayah Chik dianggap sebagai penghinaan saya kepada Ayah Chik. Mereka sebenarnya tidak tahu ke mana hujung jatuh yang hendak saya bawa. Umpama mereka melihat saya sedang memegang sebuah layang-layang untuk dianginkan. Sebelum saya menganjurnya mereka sudah meneka ke arah mana saya hendak anginkan layang-layang itu. Apakah mereka makrifat mengenai diri saya?
Iya saya memang kritikal dengan Ayah Chik. Ia ada sebab musabanya juga. Sebanya kerana Ayah Chik tidak bertegas dengan pendirian asal yang sejalur dengan saya. Ayah Chik dilihat cair dengan tekanan dari dalam PAS sendiri dan sedangkan Ayah Chik memiliki kuasa prerogatif sebagai presiden. Gambaran senario ini saya kira Ayah Chik dapat menangkapi intipati lembaran ini.
Untuk tidak menjadikan surat ini panjang dan berjela-jela saya rengkaskan maksud dan menuju ke maudu'nya kepada Ayah Chik.
Demi agama dan bangsa:
Ayah Chik harus ambil pendirian tegas dan berani untuk menyatukan PAS dengan Umno. Baca menyatukan Melayu. Untuk ini Ayah Chik tidak perlu bimbang dan waswas agenda ini merugikan PAS kerana ia Insya-Allah ianya akan didokong oleh semua orang Melayu. Slogan mencapai keredhaan adalah tepat untuk melaksanakan agenda ini.
Penyatuan atau kerjasama hendaklah dibuat sebelum pilihan raya. Umno dan PAS hendaklah bertanding atas satu lambang untuk berhadapan dengan mana-mana pembangkang. Mekanisma ini mungkin PAS sertai BN atau bertanding sendiri tetapi diberi laluan -- tanpa ganggu oleh BN (Umno).
Kenapa saya menyarankan ini kerana melihat kepada tabir ilmu siasah saya ke situlah gerak hati PAS kini. Mekanisme atau tektik digunakan oleh PAS untuk dilihat berpisah dan tidak berpakat dengan Umno dengan bertanding tiga penjuru, tidak menguntungkan PAS. Bahkan ia bakal memberi bahana besar. Keraguan kepada Umno sesuatu yang sukar untuk dicabut. Inilah saya sebut sebagai lubang besar buat PAS.
Kalau pun Ayah Chik cuba melindungi PAS dari maksud ini, tetapi orang sudah pun ketahui. Minda politik hari ini bergerak cepat, jadi berterus terang dan berani adalah lebih baik. Di dalam selimut tebal mana sekalipun Ayah Chik dan PAS menyembunyikan maksud ini orang tetap tahu atau terhimbau baunya. Nah, jadi alang-alang orang tahu dan berteka teki Ayah Chik nyatakan sahaja secara berterus terang dan berani.
Untuk itu Ayah Chik perlu mengistyharkan kerjasama itu secara tersurat, seperti apa dilakukan Oleh Tan Seri Mohd Asri Muda dengan Tun Abdul Razak Hussein pada 1 Januari 1971. Keberanian dan kebenaran itu boleh ditiru, dimana pada tanggal itu menjadi tarikh keramat buat bangsa Melayu seluruhnya apabila Umno - PAS mewujudkan kerajaan campuran. Ayah Chik berrhak untuk mencipta satu lagi tarikh keramat buat Melayu selepas ia dicipta pada tahun 1946, 1971 maka inilah masa ketiganya 2017.
Masa masih tersisa untuk bergerak ke arah itu. PAS dan Umno masih boleh mewujudkan kerajaan campuran khasnya di negeri-negeri Terengganu dan Kedah. Ayah Chik boleh bertemu Datuk Seri Najib dan berbincang untuk membentuk kerajaan bersama di negeri-negeri itu dengan memasukkan wakil PAS ke dalam kerajaan.
Saya penuh yakin kalau kerjasama dan kolaborasi ini boleh dibuat kedua-dua parti, PAS dan Umno akan selamat dan mencapai kemenangan besar. Dan orang Melayu dan mereka beragam Islam akan mendokong sepenuhnya. Pernayatuan itu akan wujud apa yang saya namakan sebuah kerajaan Melayu - Islam terbesar di rantau ini.
Akhirnya Ayah Chik, saya berundur diri dengan harapan semoga lembaran saya yang tertulis "dalam mimpi" ini akan menjadi kenyataan jua hendaknya. Terima kasih kepada sesiapa yang sudi membaca isi surat ini kemudian memahaminya, dan paling saya berteirma kasih kepada Ayah Chik (kalau surat ini sampai ke pendengarannya). Atas kekhilafan di sepanjang bicara ini dipohon kemaafan jua daripada Ayah Chik dan Allah s.w.
Salam hormat,
MOHD SAYUTI OMAR.
Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
9 Mei 2017.
[wm.kl.11:50 am 09/05/17]
Assalamualaikum tuan MSO.
ReplyDeleteSaya juga tidak melihat PAS atau TGHH sebagai naif dalam berpolitik. Malah mereka yang berkata demikianlah yang naif sebenarnya. Ini kerana mereka tidak melihat dari perspektif yang sebetulnya. Masakan TGHH yang cukup berpengalaman dalam politik, dan sudah makan garam dengan politik UMNO boleh terpedaya dengan tipu helah UMNO? Saya ulas panjang sudut pandang ini dalam artikel saya di sini:
http://cheahmad.blogspot.my/2016/12/halatuju-pas-sebagai-blok-ketiga.html
Saya juga menyokong perpaduan di antara PAS dan UMNO, SEKIRANYA, ia memberikan lebih manfaat daripada mudharat. Bagaimana manfaat ini boleh dicapai? Iaitulah dengan memberikan PAS kuasa dalam pemerintahan pusat. Maka syaratnya ialah sekurang2nya PAS diberikan beberapa posisi dalam kabinet sekaligus dapat memberikan impak yang nyata. Jika pemimpin PAS diberikan portfolio Jamil Khir misalnya, sudah tentu banyak perkara yang dapat diperbaiki dan tatakelola yang lebih baik dapat diperkenalkan dalam pengurusan JAKIM, TH, MAIWP, YAPEIM dan lain-lain yang secara langsung menguntungkan umat Islam.
Perihal di atas juga saya ulas dengan panjang lebar di sini:
http://cheahmad.blogspot.my/2014/09/7-sebab-mengapa-pas-perlu-pertimbang.html
Tahniah Tuan MSO..
ReplyDeleteBiar terang tanpa pakai lampu..kecuali kampung atau rumah yg belum dikunjungi TNB atau Pusat Zakat
Terima kasih ulasan dan cadangan yg baik
ReplyDeleteNiat tidak menghalalkan cara. Mungkin benar TGHH sudah lama berpolitik. Tetapi kematangan yang tidak kunjung tiba dgn selewat usianya menterjemahkan apa yang ada kini.. Usah berbicara soal perjuangan jika takut..Nah disitu lah kayu ukurnya bagi sesiapa tidak kira lama atau pun baru.
ReplyDeleteJerat tidak pernah melupakan mangsa..
ReplyDeleteHakikatnya PAS sedang berlalai..
Pengalaman lama tidak semestinya guru yang baik kerana sejarah menunjukkan PAS sudah banyak kali jatuh di lubang sama..
Terbaik..
ReplyDeletememudahkan org ramai buat pilihan
Saya kurang setuju dengan pandangan tuan MSO supaya diujudkan Kerajaan Perpaduan di antara PAS dan UMNO. Ini adalah kerana negara ini adalah negara berbilang agama dan kaum. Jika ia menjadi kenyataan, kesabilan negara akan terjejas dan ia memberi kesan buruk kepada politik, ekonomi dan sosial negara oleh kerana tidak puas hati akan timbul di kalangan penduduk Malaysia yang berbilang agama dan bangsa tentang hak-hak mereka. Tambahan pula, parti yang dominan akan menjadi besar kepala dan seterusnya membuli parti-parti yang kecil dan lemah oleh kerana tidak mempunyai suara yang ramai di dalam DUN ataupun parlimen. Dalam berpolitik dan pentadbiran negara, kita perlu tolak ke tepi hal-hal bangsa dan ugama kerana ia adalah hal-hal peribadi. Kita perlu tumpu kepada hal-hal yang lebih penting seperti kestabilan negara di mana semua rakyat bersatu tanpa merasa terpinggir dan mempunyai perasaan bersama serta tidak mengira warna kulit, kepercayaan mahupun keturunan.
ReplyDeleteSalam ayah ti, mingkin pengetahuan saya tentang siasah politik malaysia ini masih ditahap nayi berusia 7 hari lg. tapi bila ayah ti membuat lontaran minda tentang penyatuan umno dan pas, saya menjadi skeptikal tentang ini. Saya tertanya tanya tentang rakan parti umno iaitu mca dan mic? Apakah pandangan mereka( mic dan mca). Kalau penyatuan ini betul betul berlaku, kita akan menyaksikan peta politik yg baru bakal terpeta falam politik moden malaysia. Wassalam ayah ti
ReplyDelete