Thursday, August 3, 2017

HARAPAN hantar warkah kepada Agong untuk murnikan perlembagaan

KENYATAAN

Dr Mahathir menunjukkan warkah kepada media.
Para pemimpin Pakatan Harapan (Harapan) tidak pernah berhenti dari terus melakukan aksi dan tindakan untuk menjaga maruah dan kedaulatan negara dari kerakusan penguasa hari ini terutamanya perdana menteri Najib Razak yang banyak bertindak di luar kehuluran perlembagaan untuk kepentingan politiknya. 
Walaupun tindakan para pemimpin Harapan itu ianya hanya melayang di angin lalu sahaja, tetapi mereka tidak pernah berputus asa terus menggunakan apa sahaja instrument bagi memperbetul apa-apa perkara yang pincang dan "pekel" dari sudut pandangan mereka. Maruah dan keselamatan negara bagi mereka mengatasi segala yang lain.

Petang semalam pemimpin tertinggi Harapan telah berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan warkah pandangan kepada Yang DiPertuan Agong memohon perhatian Agong supaya menilai semula pelantikan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan seperti mana diumumkan perdana menteri 7 Julai lalu.

Pada penilaian mereka pelantikan itu sebagai mencabuli perlembagaan negara, kerana berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan tidak dibenarkan dilanjutkan selepas penjawat itu mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan. 

Justeru pelantikan semula Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 4 Ogos ini menyalahi semangat perlembagaan. Apa dibimbangi ia akan menimbul implikasi lain termasuk perbicaraan selepas 4 Ogos (pelantikan) itu menjadi tidak sah. 

Penyerahan warkah itu dilakukan sendiri oleh Pengerusi Harapan, Dr Mahathir Mohamad bersama-sama Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang Ketua Pembangkang DAP di parlimen yang mewakili DAP dan Dr Mujahid Yusof Rawa mewakili Amanah. Mereka diiringi beberbelas pimpinan Harapan yang lain serta orang ramai. 

Rakyat berdoa semoga usaha Harapan untuk memurnikan perlembagaan negara itu dan supaya tidak akan berlaku krisis kehakiman akan mendapat perhatian Yang Dipertuan Agong. Yang pastinya kenapa mereka tidak mahu Md Rauf kekal di situ pastilah ada sebab-sebab dan dalil yang nyata. 

Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan media berhubung perkara itu:

KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN

Hari ini, kami telah menyembahkan warkah kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membawa ke perhatian Tuanku YDPA beberapa perkara seperti berikut:

1. Isu perlantikan semula jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada 7 Julai 2017 adalah mencabuli Perlembagaan Perlembagaan.

2. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, jawatan Ketua Hakim Negara mahupun Presiden Mahkamah Rayuan tidak dibenarkan dilanjutkan selepas penjawat itu mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.

3. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan juga, perlantikan dua jawatan yang diumumkan itu adalah dibuat oleh Tuanku YDPA di atas nasihat YAB Perdana Menteri; maka Tuanku berhak untuk menampilkan perkara ini untuk diputuskan Mahkamah sebelum ianya berkuatkuasa.

4. Perlanjutan semula jawatan Ketua Hakim Negara yang disandang YAA Tan Sri Md Raus Sharif akan berkuatkuasa dalam masa dua hari lagi, iaitu pada 4 Ogos 2017.

5. Sekiranya perkara ini tidak ditangani segera, ia akan mewujudkan satu krisis kehakiman kerana kesemua perbicaraan ataupun keputusan selepas 4.8.17 akan menjadi TIDAK SAH. Malah sistem pentadbiran badan kehakiman yang juga dikendalikan oleh Ketua Hakim Negara akan menjadi cacat disebabkan badan kehakiman tidak diuruskan hakim yang sah di sisi Perlembagaan.

6. Di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan, cuma Tuanku YDPA yang boleh membuat rujukan permasalahan perlembagaan untuk ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.

7. Justeru, kesemua kami yang mewakili keempat-empat parti gabungan dalam PAKATAH HARAPAN, melalui warkah ini menyeru agar Tuanku YDPA melaksanakan budibicara Tuanku untuk membuat satu rujukan ke Mahkamah Persekutuan berkenaan persoalan samada pelantikan semula itu sah ataupun tidak.

8. Ini adalah untuk menjamin Tuanku YDPA dapat memelihara keluhuran perlembagaan Malaysia daripada dicemari, demi kepentingan dan kesejahteraan Rakyat dan negara.

YBhg Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi Pakatan Harapan
Pengerusi PPBM

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Pakatan Harapan
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN

YB Lim Kit Siang
Ketua Parlimen DAP

YB Datuk Dr Mujahid Yusof
Naib Presiden AMANAH
2 Ogos 2017
[wm.kl.6:42 am 03/08/17]

No comments:

Post a Comment