Saturday, August 26, 2017

Pakatan Harapan Kelantan siap sedia untuk tawan Kelantan

SELEPAS SUBUH

Bersama mengibar Jalung Gemilang. 
Peristiwa permulaan yang bakal melakarkan satu lagi sejarah besar dalam politik di Kelantan telah berlaku di Machang Kelantan pagi Jumaat semalam.

Peristiwa itu ialah peluncuran Pakatan Harapan Kelantan (PHK) yang membentuk satu entiti politik baru mengandungi empat buah parti, Keadilan (PKR), DAP, Parti Amanah Negara Malaysia (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi dinilai oleh rakyat Kelantan.




Mohamad Sabu sedang menyampaikan ucapan.
Buat pertama kali semalam empat buah bendera parti itu dikibar dengan penuh bersemangat oleh para pemimpin mereka bersama rakyat dalam majlis yang merindingkan bulu roma dan menegakkan bulu tengkuk. Semalam rasmi tegak bersamalah tiang bendera "Mata", "Roket", "Gunung" dan "Bunga Raya" dan akan berkibar di seluruh penjuru negeri Cik Siti Wan Kembang.

Peristiwa itu berlangsung di sebuah tapak khas di Machang Kelantan.

Kesemua pemimpin besar PH hadir. Kehadiran itu menjelaskan mereka tidak pernah gusar dan kecut dengan segala macam halangan dan cabaran yang sedang dan akan dihadang ke atas mereka.

Sebahagian lebih 2,000 yang hadir.
Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Pakatan Harapan PBBM Dr Mahathir Mohamad yang juga selaku pengerusi PPBM. Hampir semua pemimpin tertinggi PH, termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu yang juga timbalan Presiden PH, penasihat DAP, Lim Kit Siang, (DAP), Ketua Wanita Keadilan Zuraidah Kamaruddin yang juga selaku Ketua Wanita Pakatan Harapan di mana mereka sebagai mewakili parti masing-masing.

Tentunya yang ada bersama, yang buat pertama kali menzahirkan keakraban dan keazaman mereka di sebuah pentas ialah Penasihat PH Kelantan yang juga Naib Presiden Amanah, Husam Musa, serta pengerusi bersama PH Kelantan, Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Pengerusi Keadilan Kelantan Abd Aziz Kadir, pengerusi PBBM Kelantan Kamaruddin Md Noor dan pengerusi DAP Kelantan Chua Chin Hui.

Inilah pertama kali hampir semua pimpinan tertinggi PH berhimpun di Kelantan terutamanya dari Kelantan. Turut sama hadir pemimpin PH lain termasuk Zaid Ibrahim, Mohd Sobree Shafei yang juga selaku ketua sekretariat PHK. Majlis peluncuran semalam adalah simbolik kepada perpaduan PH Malaysia seluruhnya. Mungkin selepas upacara semalam, ia akan diikuti oleh negeri-negeri lain juga yang akan meluncurkan PH negeri masing-masing. Dan yang belum membentuk struktur kepimpinan akan segera melakukannya.

Sejarah akan berulang.

Dari konteks Kelantan majlis semalam ia telah menjadi pra sejarah, kerana dengan nekad, kesungguhan dan keazaman tinggi ditunjukkan orang ramai di majlis itu tidak mustahil selepas ini Kelantan akan jatuh ke tangan PH. Sejarah sebenar akan dapat disaksikan selepas Piraum akan datang. Jika dilihat kepada sejarah-sejarah atau moment politik di Kelantan sebelum ini, senario yang tertunjuk oleh PH kini ada keirasannya.

Sewaktu kerajaan Kelantan diambang kejatuhan tahun 1978 dahulu, suasana sebeginilah juga yang dipamerkan oleh rakyat. Rakyat datang dari segenap ceruk pekan dan kampung tanpa diupah atau diangkut menghadiri setiap himpunan. Yang datang terdiri dari semua lapisan dan gender. Mereka tidak mempedulikan kepada ugutan, caci maki, sumpah hamun hatta tuduhan mengatakan mereka kafir dan sebagainya, demi memberi sokongan kepada parti atau komponen baru.

Bukan itu sahaja, sejarah kejatuhan kerajaan di Kelantan ia tertunjuk apabila dalam parti pemerintah berlaku perpecahan, dan dalam masa sama juga musuh-musuh dapat menyatukan diri membentuk entiti atau pakatan baru sebagai alternatif.

Kerajaan Pas berusia 18 tahun,  jatuh tahun 1978 apabila Umno bersatu dengan Berjasa dan rakyat tidak dapat menahan kemarahan mereka kepada kerajaan ketika itu. Hasilnya kerajaan Pas jatuh hanya menang dua kerusi sahaja. Begitu juga dengan kejatuhan kerajaan BN 12 tahun, pimpinan Mohamad Yaacob jatuh apabila, Pas bersatu dengan Semangat 46 dan rakyat kesal dengan kerakusan Umno memimpin negeri. Kesannya UBN kalah semua 52 kerusi Dun dan Parlimen.

Nah, senario atau keadaan yang wujud tahun 1978 dan 1990 lampau kini menjelma semula yang sudah pasti akan membawa kesan dan natijah yang sama. Penyatuan pembangkang kini, bukan dengan dua entiti tetapi ada empat entiti, Amanah, PPBM, Keadilan dan DAP. Tentunya mereka ini akan disokong oleh rakyat yang kecewa dengan gelagat pemimpin kerajaan yang ada hari ini dan juga kegagalan pemimpin memenuhi atau melakukan beberapa perubahan yang dijanjikan kepada mereka sejak 27 tahun lepas.

Justeru, peristiwa di Machang semalam, sedang berputik ke arah itu. Ia akan menjadi sejarah seperti yang berlaku di Bukit Abal atau Kok Lanas suatu waktu dulu. Didua tempat dan dua peristiwa itulah Pas mengumpul kembali kekuatannya untuk bangkit selepas kalah teruk.

Majlis semalam memberi amaran awal kepada Pas Kelantan untuk bersiap sedia membungkus tungku lekar dan tikar bantal untuk kembali menjadi dagang seperti dahulu. Signal atau pelawaan Amanah sebelum ini agar PAS bersikap lebih terbuka dan menginsafkan keadaan juga sudah berakhir. Dengan terluncuranya PHK semalam maka tiada lagi apa-apa pujukan, rundingan untuk Pas bersama PH bagi mengekalkan kerajaanya yang ditinggalkan oleh Nik Aziz. Maka Pas tidak boleh memandang remeh dengan peristiwa semalam.

Mulai semalam Pas perlu menginsafi diri bahawa dirinya kembali akan menjadi dagang kecuali ia mengambil keputusan berani mengumumkan atau mendaftarkan pernikahan gelap mereka yang berlaku sekarang dengan Umno di mahkamah.

Sabotaj.

Selain itu signifikan dari berlansungnya majlis senalam juga, ia merupakan "paku rapat jik" (kemas kemin) ke atas susunan jabatan tangan empat buah parti di Kelantan; Amanah, PPBM, Keadilan dan DAP. Selepas ini tidak akan kedengaran lagi PKH retak dari dalam atau bersifat pepet di luar rencung di dalam. 

Tompokan ikan busuk.
Selain kekompakan  pemimpin yang terpamer semalam, apa yang merujakan ialah apabila rakyat atau orang ramai sanggup datang walaupun suasana di tapak perasmian itu tidak kondusif. Ia bukan sahaja becak dan lecah kerana malamnya hujan lebat, tetapi ada perbuatan sabotaj untuk menghalang orang ramai daripada mendatanginya.

Khabarnya di sebelah malam, ada "hantu jembalang" telah melemparkan perut ikan dan ikan busuk di sepanjang jalan besar berdekatan tapak majlis itu menyebabkan keadaan bau busuk "bangar". Saya sendiri terkesan apabila memasuki ke kawasan berkenaan tiba-tiba hidung disumbat dengan bau macam bangkai biawak.

Waktu saya tiba masih kedapatan banyak tompokan perut ikan di sepanjang jalan. Katanya terdapat beberapa beg plastik perut ikan yang tidak sempat ditabur dan diecerkan. Kerana baunya dahsyat menyebabkan para petugas dan pengawal keselamatan itu terpaksa menyiramnya dengan klorok untuk mengurangkan baunya. Beberapa plastik perut atau ikan busuk yang tidak sempat diecerkan dikambus oleh petugas.

Seorang pertugas cucur klorok.
Kandatipun majlis itu disabatoj tetapi ia tidak sedikitpun menghalang orang ramai menghadirinya. Mereka masing-masing mengalpakan bau itu dan terus melangkah menuju ke tapak perluncuran. Mereka tanpa segan dan jijik memijak perut ikan dan ikan busuk itu berjalan menuju tapak peluncuran penuh bersemangat dan rasa jengkil.

Inilah dikatakan bila hati sudah marah dan diri dikuasai semangat, apa sahaja dilakukan tidak akan pedulikan. Mereka pijak dan lanyak sehingga akhirnya perut ikan dan baunya hilang. Di pentas juga tidak ada mana-mana pemimpin yang berucap menarik perhatian mengenai perbuatan jahat itu. Semua ini berlaku apabila masing-masing sudah bersemangat dan tidak mahu memperdulikan apa sahaja halangan dan rintangan mendatang.

Bagi saya pula perbuatan sabotaj itu satu ujian kepada pendukung Pakatan Harapan. Dengan adanya ujian itu dan mereka melepasinya (lulus) dengan baik bermakna semangat rakyat untuk melihat perubahan sangat tinggi. Lulus ujian.

Pihak penganjur majlis itu mungkin perlu berterima kasih atas perbuatan hantu jembalang itu kerana ia telah dapat menilai sejauh mana dan sekuat mana semangat rakyat menyokong perubahan PH yang hendak lakukan. Tanpa prejudis katanya perut-perut ikan busuk itu dibawa dari pelabuhan Tok Bali di Semerak? Siapakah yang berhati perut ikan busuk sukar untuk dikesan?

Dengan terluncurnya PH Kelantan, ia menunjukkan kepaduan dan nekad parti-parti gabungan PH untuk menawan Kelantan sangat tinggi. Kejayaan majlis semalam, menempatkan empat orang pemimpin PH yang sebelum ini dilihat belum lendik, menjelaskan mereka sudah siap siaga untuk bergerak sederap menuju ke peti undi, bagi menumbangkan kerajaan Pas Kelantan.

Sebahagian lagi kehadiran.
Mungkin kehadiran dan kejayaan majlis semalam tidak boleh ditilik dari segi angka. Jumlahnya tidak berskala besar tetapi majlis itu sangat mantap.  Saya difahamkan kehadirannya diluar jangkaan tuan rumah. Kemunculan wajah-wajah veteran baik lelaki dan wanita menunjukkan akar umbi memberi sokongan kerana mahukan perubahan. Cuma golongan muda masih kelekaan atau belum dapat merasai kesangsaraan hidup gara-gara kleptokrasi lalu kini masih kurang.

Tumbangkan kleptokrasi.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Kebangsaan kemudian lagu Jalur Gemilang. Saat nyanyian lagu Jalur Gemilang, dapat dirasakan betapa pemimpin dan rakyat bersatu sama-sama mengangkat dan mengibar jalur gemilang menandakan sayangnya kepada negara ini. Terserlah apa yang tersemat dalam hati, saat jalur gemilang dikibarkan, mereka mahu menumbangkan kerajaan klepktokrasi.

Sebahagian dari kaum wanita yang hadir.
Dalam tinjauan rengkas dan bertanya mereka yang menemui saya, rata-rata masing-masing menyatakan, PH perlu melupaka Pas. Mereka setuju dengan penegasan Dr Mahathir yang menyebut tidak perlu berunding dengan Pas lagi. Manakala Husam dalam konotasi lebih lunak membilang, agar selepas ini jangan ada khilaf lagi untuk bersama Pas. Pandangan kedua-dua pemimpin ini disokong penuh oleh rakyat. Kenyataan itu juga perlu menjadi kunci untuk tidak berubah lagi.

Kesungguhan yang terpancar dari majlis semalam apabila, PH sudah mengumumkan janji atau tawaran rakyat kepada Kelantan yang disampaikan oleh Penasihat Amanah PH Kelantan, Husam Musa. Ada enam Perkara yang diumumkan sebagai permulaan, ia mengcakupi;

1. Tadbir Urus Kerajaan.
2. Pengurusan Kewangan dan penjanaan ekonomi.
3. Pengurusan sumber asli dan alam sekitar.
4. Sosial dan keselamatan.
5. Islam.

Menurut Husam tawaran itu sebagai permulaan atau appetizer, masih banyak tawaran lain yang akan dikemukakan. "Jika ia diibaratkan kepada menu tawaran itu hanya berupa ulam-ulaman, kueh mueh ataupun air minuman, tetapi tawaran besar nasi dagang, ayam panggang, kambing golek belum lagi," ujarnya disambut dengan tepukan membanggakan. Sendanya ia tidak boleh diumum kesemua tawaran kerana bimbang akan ditiru oleh Pas.

Selain itu turut sama disenaraikan beberapa kelemahan kerajaan Kelantan hari ini yang perlu ditangani atau pun diperbaiki. Kelemahana ini menjadi komitmen PH untuk mengubahnya demi rakyat Kelantan. Kelemahan dan kecacatan inilah juga menyebabkan kerajaan berslogankan "Membangun Bersama Islam" hari ini dilihat sebagai terbengkalai. Antaranya ialah:

A. Kelemahan kepimpinan dan pentadbiran.
B. Kewangan dan Ekonomi.
C: Kerosakan ekologi.
D: Pengursan hasil mahsul negeri.
E. Sumber manusia.
F. Perkhidmatan bekalan air.

Segala kelemahana yang berlaku dalam kerajaan Kelantan yang menyebabkan kerajaan Kelantan rugi, termasuk kerana disaman atau pembangunan tidak seimbang akan diatasi oleh PH. Sekiranya PH diberi mandat memimpin Kelantan ia mampu melaksanakan atau memenuhi kehendak rakyat yang diperdayakan oleh Pas dengan menggunakan agama itu kerana dalam PH mempunyai pakar-pakar dalam bidang diperlukan apabila kebanyakan mereka adalah pemimpin profesional yang lebih praktikal dalam tindakan dan ideanya.

Kesimpulannya dengan peluncuran PHK semalam, tiada lagi masa untuk para pemimpin dan pendukung untuk meriba tangan dengan memasang angan-angan tanpa bertindak, atau berpolemik sesama sendiri sehingga membawa "kerajukan" yang merugikan semua pihak.

Yang paling penting juga ikatan dan komitmen dalam parti perlu diperkejapkan lagi, terutamanya dalam parti Keadilan. Hayatilah maksud dan makna nama parti itu sendiri, "Keadilan" dan nekad dengan seruan pemimpin anda, "lawan tetap kawan", dan "lawan sampai menang. Rahsia dan kunci kejayaan ialah nekad dan bersatu. [wm.kl.7:00 am 26/08/17]

Glosori:

Raoat jik = kemas kemin, kuat.
Bangar = busuk kohong, busuk yang meloyakan. 

5 comments:

  1. teimakasih atas rencana kamu,Pak...semoga sihat sihat sampai melihat dan meraikan kerajaan pimpinan baru

    ReplyDelete
  2. Saya pernah ke KB tiga atau empat tahun lpas. Memang sedih juga.
    Mudah2an bila PH memerentah kelak, Ktan akan lebih makmur dan maju.
    Tahniah buat PH.

    ReplyDelete
  3. Insha allah, kejayaan akan menyusul

    ReplyDelete
  4. Bau busuk perut ikan yang ditabur melambangkan busuk perut mereka yang berkuasa.

    ReplyDelete
  5. Silakan bertanding di Kelantan geng2 Harapan. Kita negara demokrasi, jangan ragu dan bimbang. Menang atau kalah adat bertanding. Rakyat Kelantan cerdik menilai wakil yang ingin memimpin mereka.

    ReplyDelete