Wednesday, January 10, 2018

Pinggirkan suara pahat dan murai...

DAKI KONVENSYEN

Keampuhan PH terletak kepada kesetiaan pada janji.
SELEPAS rumah yang dibina beberapa lama, siap, maka pahat pun berbunyi itu perkara biasa. Yang pelik dan kurang baiknya apabila pahat itu menjadi-jadi bunyinya. Ia bukan lagi boleh membaiki kecacatan atau mengindahkan senibinanya tetapi akhirnya boleh meruntuhkan rumah yang indah itu.

Jika pahat itu diluar store pak tukang membina rumah itu tidak menjadi masalah, tetapi ada pahat dalam store si tukang sendiri riuh berkokok.

Begitulah juga dengan konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang mengarisnyatakan beberapa persetujuan berdasarkan prinsip dan dasar maufakat mereka. Mauduk besar diumumkan dalam konvensyen itu yang menjadi intipatinya ialah menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon TPM dan juga mengumumkan pengagihan kerusi dalam kalangan empat parti komponen PH.

Selain itu konvensyen itu mengumumkan bahawa Anwar Ibrahim akan diangkat menjadi perdana menteri beberapa bulan selepas Dr Mahathir memegangnya. Ini persetujuan dan ini perjanjian terpenting.

Apa yang didedah dan dicapai itu semua itu telah dibahas dan diperhalusi dalam beberapa mesyuarat dan pertemuan-pertemuan sebelumnya, kemudian akhirnya ia disepakati untuk diumumkan dalam konvensyen pada 7 Januari lalu.

Kita tidak fikir rumusan kepada apa dideklarasikan dalam konvensyen itu dibuat secara ad hoc atau pun tanpa mengira baik dan buruk dari segi politik PH. Perhitungan dari segenap sudut dan penjuru tentu diambil kira.

Dan biasa juga kalau ada pihak yang tidak puas hati dengan sesuatu, seperti mana sang pahat tadi. Benarlah kata orang, rambut sama hitam tetapi hati berbeza. Mulut manis ju*** masam. Pakatan sebuah komponen mempunyai empat buah parti berlainan ideologi tetapi mempunyai matlamat tunggal untuk menumbangkan kerajaan UBN menyingkirkan Najib Razak sang kleptokrasi.

Gubal empat irama menjadi sebuah lagu

Bila ia menghimpunkan empat buah parti mempunyai empat warna ia bukan perkara mudah untuk dicapai. Bagaikan ada empat buah irama untuk digubah menjadi sebuah lagu asyik, indah dan merdu. Ia bukan perkara gampang. Untuk menggabungkan empat warna menjadi satu warna bernama Harapan, tidak sesenang difikirkan.

Ia memerlukan kemahiran, kebijaksanaan dan tolak ansur yang tinggi untuk membentuknya. Keredhaan juga penting. Kita yakin semua kerja-kerja penyatuan dan penggubahan itu dibuat atas satu matlamat untuk menyelamatkan negara dan membela rakyat oleh mereka yang bersetuju negara kini sedang menghadapi keadaan runcing di era Najib. Inilah roh kepada Pakatan itu.

Justeru semangat awal ke arah penggabungan itu tidak boleh dilupakan, ia perlu ada dan dihayati semua orang selamanya. Gelora dan nekad untuk membina kerajaan baru bukan sahaja dalam dewan konvensyen, tetapi juga harus meledak dan bergema ke luar. Bagaikana azimat yang senantiasa dipakai pada tubuh sang pahlawan untuk menyakinkan bahawa dirinya memiliki kekuatan dan kuasa kebal, nah begitu juga PH dengan semangat itu.

Rasa tidak puas hati

Timbul beberapa rasa tidak puas hati di sebalik konvensyen dan persepakatan itu oleh sebilangan pihak dan individu. Dua perkara besar, tampaknya bukan mudah untuk dipersetujui, Dr Mahathir diangkat sebagai calon PM, dan kedua kaedah pembahagian kerusi. Isu pertama tidak begitu kecuh sangat, ia hanya berlegar di kalangan individu tertentu sahaja dalam PKR.

Mereka yang taksub kepada Anwar yang bertindih dengan amarah peribadi dan menolak Dr Mahathir atas dosa lalu sukar menerima konsensus itu. Apakah mereka tidak memahami maknawi politik atau sengaja buat-buat bodoh kerana ada agenda sendiri?

Dr Mariah Mahmud
Peringatan diluahkan Naib Ketua Wanita PH, Dr Mariah Mahmud, agar dalam PH jangan ada gunting dalam lipatan dan juga memwujudkan agenda dalam agenda seharusnya dihadam sebaik mungkin. Peringatan itu merupakan pra syarat utama untuk melihat PH berjaya.

Kalau ada yang bertindak menjadi gunting dalam lipatan, api dalam sekam dan terus menyusun agenda tersendiri secara senyap dan berhelah, nescaya pakatan itu akan gagal. Kesan dari kegagalan itu menurut Dr Mariah ia mengecewakan rakyat.

"Jangan persia-siakan harapan rakyat, jangan..." begitu tekan Dr Mariah dengan sebak membunga di dada menyebabkan banyak mata yang basah mengikuti ucapannya. Saya sendiri merinding bulu roma mendengar ucapan bersemangat Dr Mariah yang berbaur dengan emosi itu.

Makanya hal remeh temeh jangan ada dalam PH.  Suara keikhlasan dan harapan tinggi dipancarkan Dr Mariah sebagai mewakili kaum wanita itu harus dihormati dan disegani.

Paling dikesalkan ialah apabila konvensyen sudah selesai, baru ia dipertikaikan? Apakah mereka ini sudah menunjukkan tentangan semasa dalam mesyuarat sebelum ini? Kalau benar begitu, apabila konsensus sudah dibuat tidak, ketidaksertujuan perlu diperpanjangkan ke luar sehingga dihidu oleh pihak lain. Jika ia sudah dibincang dan dibawa oleh mereka yang diberi tanggungjawab membincangnya, maka ia perlu diterima tanpa banyak soal, dan jangan sangsi kepada para perunding yang diberi mandat itu.

Cuba memahami maksud persepakatan dan kerjasama, disini tentulah perlu ada semangat tolak ansur dan berlebih kurang. Kita boleh mempertahan pandangan kita dalam mencari kata sepakat. Tetapi selepas kata sepakat dicapai secara majoriti kita kena menghormatinya. Menentang akan dianggap kita sebagai jahat atau pandir dalam berjemaah.

Anehnya Anwar Ibrahim sendiri memberi mesej jelas menyetujui dan menyanjungi konsensus itu. Jadi tidak ada sebab kalau orang lain mencurigainya. Semua pihak kena patuh dan akur kepada keputusan pemimpin, begitu gesa dan harap Anwar. Dalam konteks ini ialah menerima prinsip PH itu sendiri. Jadi kenapa harus ada yang engkar cuba menunjukkan ego pandai sendiri? Inilah jenis pemimpin bersifat sang pahat yang merosakkan.

Zuraidah Kamaruddin
Kenyataan dikeluarkan oleh Ketua Wanita PH Zuraidah Kamaruddin meluahkan tidak setuju kepada Dr Mahathir dicalonkan sebagai PM sesuatu yang bukan sahaja janggal tetapi menunjukkan "kebabilan" wanita berkenaan memahami politik maufakat.

Zuraidah telah menjadi pahat yang merosakkan seni binaan atau menjadi murai yang berkicau tatkala dahan jatuh menimpa batang. Janganlah jadi seperti murai berkicau sampai "bercongek" ekor tanpa tentu fasal dan iramanya pincang.

Anda sebagai ketua wanita PH yang mana wanita dilihat terbuka dan ikhlas dalam perjuangan seperti digambarkan oleh Dr Mariah sepatutnya menambahkan kosmetik menganggunkan lagi semangat wanita bukan mendedahkan sifat buruk wanita menerusi kedudukan anda sebagai pemimpin utama.

Mungkin dengan sikap dan telatah Zuraidah itu wajar kalau wanita PH menilai tokoh wanita lain untuk dipanggung di tempat disandangnya itu.

Kecewa dengan pembahagian kerusi

Mengenai pembahagian kerusi ada anak-anak pahat berbunyi menyatakan ketidakpuasan hati mereka. AMANAH Johor katanya memulaukan konvensyen itu kerana sedih dengan pembahagian kerusi, di mana parti itu diperuntukan hanya dua kerusi parlimen daripada 26. Begitu juga ada suara-suara menganggu di Wilayah Persekutuan juga sedikit di Perak.

Tindakan diambil oleh AMANAH Johor memulau konvensyen itu telah merosakan reputasi dan maruah AMANAH sebelum ini yang dilihat sebagai parti yang profesional, progresif yang dibina atas asas keikhlasan dan ketulusan untuk menjadi wadah perjuangan rakyat selepas kecewa dengan PAS.

Lagipun pembahagian kerusi itu bukan merendahkan AMANAH di Johor jauh sekali membelakang kesaksamaan kerana ia masih ada ruang lagi untuk diperbincangkan. Dalam hal ini tidak baik kalau ada pemimpin mana-mana parti cuba menganggu konsensus itu hanya disebabkan tidak berpuas hanya dengan pembahagian kerusi dimana aksi itu boleh disuluh kerana bernafsu.

Salahuddin Ayub
Dalam hal ini semangat ditunjukkan oleh Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub dan juga Pengarah Pilihan Raya AMANAH, Dr Mohd Hatta Ramli wajar dicontohi. Mereka tenang dan bersikap tasamuh.

Seperti mana kata Salahuddin, pintu perundingan mengenai pembahagian kerusi itu masih terbuka. Mengenai masalah di Wilayah Persekutuan beliau yakin ia akan dapat diselesaikan dengan baik. Beliau sendiri sebagai pemimpin meletakkan kekecewaan AMANAH Johor itu kepada kebijaksanaan pemimpin PH seluruhnya menyelesaikannya.

Benar kata Dr Hatta, tidak ada guna bertanding banyak kerusi kalau kalah. Katanya bertanding adalah untuk mencapai kemenangan. Mengenai AMANAH tidak diperuntukan satu kerusi pun di Wilayah Persekutuan beliau berkata, pintu perundingan masih terbuka dan beliau juga yakin akhirnya AMANAH akan diberi satu kerusi sagu hati.

Dr Hatta Ramli
Dalam pada itu katanya beliau percaya kenapa AMANAH tidak diberi satu pun kerusi di Wilayah Persekutuan setelah ia dibuat dengan beberapa pertimbangan tertentu dimana sudah tentu ianya untuk kebaikan bersama. Makanya kebijaksana pemimpin perlu diterima dan jangan mudah mentafsirnya sebagai satu ketidakadilan.

Semangat  dan sikap seperti Salahuddin dan Dr Hatta itulah yang perlu ada dalam diri setiap pemimpin PH dan juga ahlinya. Sikap itulah menunjukkan keampuhan jiwa seorang ahli politik tulen, dimana mereka lebih berfikir ke arah kebaikan, penyatuan daripada cuba memecahkan kesatuan dengan meletakkan kepentingan diri di depan.

Begitu pun setiap apa rasa tidak puas hati berkaitan pembahagian kerusi itu ia akan diberi perhatian oleh semua pemimpin PH khasnya Pengerusi Dr Mahathir Mohamad. Semasa berucap menutup konvensyen, beiau sendiri memahami pembahagian kerusi itu ada pihak yang tidak berpuas hati. Apabila beliau sendiri menimbulkan bermakna beliau memahami keadaannya dan sudah tentu akan diberi perhatian.

Mereka yang mahu kerusi lebih, atau meminta kerusi itu diberikan kepadanya kerana yakin ia boleh mendatangkan kemenangan. Maka Dr Mahathir demikian juga dalam apa-apa keputusan dan pertimbangan semulanya, mengkaji kerusi-kerusi yang dipertikai dan dituntut itu, juga pasti meletakkan kemenangan sebagai "kelayakan" utama untuk diserahkan kepada mana-mana pihak.

Sudah pasti Dr Mahathir juga tidak mahu diserahkan mana-mana kerusi kepada mana-mana pihak jikalau kerusi itu tidak menjamin kemenangan.

PH yang dibentuk atas semangat maufakat, maka teruskan semangat itu hingga ke akhirnya, jangan ia terkorban dan dikorbankan dijalanan. [wm.kl. 8:04 am 10/01/18]

6 comments:

  1. Semoga semua parti dlm PH bersatu & berfikiran terbuka..focus utk tumpaskan BN..

    ReplyDelete

  2. assalamualaikum pak sayuti,

    selalunya disaat pembahagian kerusi dan pemilihan calun untuk PRU/PRK menjadi neraca untuk menilai yang mana politikus yang ikhlas, yang mana politikus munafik mementingkan jawatan dan kedudukan.

    tanpa mengira samada politikus bersongkok tinggi, politikus berserban besar, politikus berjubah labuh, politikus bersisipkan keris pendek atau keris panjang...ramai yang kecundang dan gagal berlapang dada apabila tidak terpilih untuk menjadi calun bagi kawasan yang di idamkan.

    kata kata keikhlasan dalam perjuangan kononnya untuk rakyat tanpa mengharapkan balasan akan menjadi rhetorik kosong dan menyerlahkan sifat munafik yang selama ini tersembunyi didalam perut boroi masing masing.

    ikhlaskan lah perjuangan anda untuk kebaikan rakyat dan mendapatkan keredhaan Allah SWT. Jangan jadikan rakyat sebagai perkakas untuk memenuhi nafsu politik peribadi yang munafik dan terkutuk disisi Allah SWT.

    elakkan lah diri dari terjerumus dalam "celaka didunia, neraka diakhirat" akibat sikap politik munafik yang terkutuk itu.

    ReplyDelete
  3. Dicadangkan mana-mana pahat yang berbunyi tersebut dibuang/dikeluarkan dari setor PH. Diganti dengan yang baru. Yang sedia bekerja demi untuk menjayakan misi PH. Bukan demi kepentingan diri sendiri atau untuk pihak-pihak yang tertentu.

    ReplyDelete
  4. Masing-masing yg perangai macam PAHAT dan Murai ni akan berbunyi bila-bila(selagi nafsu mereka tak dipenuhi),abaikan, fokus terus ke depan,yang beri undi pada anda semua Rakyat,yang menentukan menang kalah juga Rakyat,POLITIK jenis pahat berbunyi ni banyak membuang masa untuk dipikir.macam ayam telur sebiji riuh sekampung.dalam mana-mana organisasi, atau parti politik jenis manusia hipokrit,munafik ni memang ada sampai ke hari kiamat,Harapan agar semua kepimpinan PH tidak termakan hasutan luaran dan dalaman yang sifatnya seperti PAHAT ini.Musuh dalaman itulah yg memporak perandakan kesatuan PH untuk bergerak.Moga Allah permudahkan pembentukan MALAYSIA BARU dibawah kepimpinan PH sekarang ini.jangan kecewakan kami rakyat Malaysia.

    ReplyDelete
  5. Elok tukang tukang kayu yang masih memahat rumah yang siap dibina ini diawasi sebelum jadi lebih teruk..buat rumah dalam rumah

    ReplyDelete
  6. Zuraidah tu penyaksub Azmin..ada agenda lain tu

    ReplyDelete