Wednesday, March 28, 2018

Nurul Izzah tidak perlu dibawa lari dari Lembah Pantai

PENDAPAT KECIL

Nurul Izzah tidak perlu pindah.
LAMA sebelum ini saya mendengar macam-macam mengenai Nurul Izzah Anwar berkaitan dengan kedudukannya di Lembah Pantai.

Pindahan semula persempadanan kawasan pilihan raya yang dikemukakan oleh SPR dan akan diluluskan oleh sidang parlimen yang berlangsung kini menjadi penyebab kenapa kedudukan Naib Presiden PKR itu menjadi tanda tanya.

Khabar yang didengar beliau akan beralih tempat kerana Lembah Pantai tidak selamat lagi baginya? Faktor utama, kerana berlaku perpindahan pengundi ke kawasan Lembah Pantai sekitar 7,000. Jelas pelan perpindahan itu strategi huduh (gerrymandering) oleh SPR untuk memenangkan calon BN.

Kerusi menjadi sebutan untuk Nurul Izzah sebelum ini Permatang Pauh, kawasan disandar ibunya (Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan merupakan kawasan kubu bapanya (Anwar Ibrahim) sejak tahun 1982. Selain itu Nurul Izzah juga dikatakan akan ke Bandar Tun Razak, kerusi yang disandang oleh Abdul Khalid Ibrahim.

Dan terbaharu, katanya Nurul Izzah akan dibawa keluar dari Wilayah Persekutuan ke kerusi Pandan pula kerusi yang disandang oleh Rafizi Ramli. Perkara ini dibayangkan sendiri oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, dalam ceramahnya malam tadi di Pandan yang mengatakan pemimpinan kanan PKR akan bertanding di Pandan.

Kebetulan Nurul Izzah juga hadir sama di ceramah berkenaan, maka dengan mudah orang meneka dan menyimpulkan pemimpin kanan itu adalah Nurul Izzah.

Ada logiknya kalau Nurul Izzah hendak dibawa ke Pandan atau Bandar Tun Razak kerana kedua-dua pemegang kerusi itu tidak lagi akan bertanding. Khalid sudah dipecat daripada PKR manakala Rafizi dihalang oleh undang-undang. Di kedua kerusi itu kedua-dua calon PKR menang besar dalam pilihan raya lepas.

Rafizi menang di kerusi parlimen Pandan dengan meraih majoriti sebanyak 26,729 manakala Khalid Ibrahim menang di Bandar Tun Razak dengan meraih majoriti 11,832. Jadi sekiranya Nurul Izzah dibawa ke kerusi berkenaan beliau dijangka akan menang mudah. Apa lagi di kedua-dua kawasan itu tidak terbabit dengan "operasi anjing" oleh SPR.

Adapun Permatang Pauh tidak ada sebab kuat untuk Nurul Izzah berhijrah ke sana kerana Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menghadapi apa-apa komplikasi undang-undang atau kedudukan dalam parti. Sebagai presiden parti serta bakal dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah perlu dikekalkan sekurang-kurang untuk satu penggal, sementara Anwar keluar penjara dan dibenarkan bertanding semula.

Untuk apa Nurul Izzah lari?

Sama ada di mana-mana termasuk Pandan yang dikira kawasan selamat bagi Nurul Izzah, saya masih mencari dan bertanya untuk apa beliau dibawa lari keluar daripada Lembah Pantai. Sebelum ini pun saya berhajat hendak berjumpa dengan ahli parlimen itu bagi menyakinkan beliau yang beliau tidak perlu keluar dari Lembah Pantai, tetapi gagal. Bagi saya beliau harus kekal bertahan di Lembah Pantai. Nurul Izzah tidak perlu gundah dan takut untuk terus bertanding di situ.

Sudah dua penggal Puteri Reformasi itu mewakili kawasan tersebut dan beliau menjadi giant killer kerana mengalahkan dua menteri. Tahun 2008 beliau mula memenangi kawasan itu apabila berjaya mengalahkan Shahrizat Abdul Jalil yang ketika itu Menteri Pembangunan Wanita dengan meraih 2,895 undi majoriti. Nurul Izzah mendapat 21,278 manakala Shahrizat Abdul Jalil 18,833 dan calon
Bebas 489.

Dalam pilihan raya 2013 Nurul Izzah berjaya mengekalkan kerusi itu apabila menewaskan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang ketika itu menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dengan majoriti 1,847 undi, Nurul mendapat 31,008 undi manakala Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin 29,161 dan calon Bebas 167

Track record Nurul Izzah di Lembah Pantai cukup menarik dan indah. Dengan kejayaan itu Nurul Izzah atau partinya tidak perlu gerum untuk berhadapan dengan BN waima siapa sekalipun diletakkan oleh BN. Ketika berhadapan dengan anak buah Najib, Raja Nong Chik dimana penggunaan wang begitu banyak sekali pun, Nurul Izzah masih mampu menang.

Dua penggal atau hampir 10 tahun Nurul Izzah bermukim di situ beliau cukup masak dan mesra dengan pengundi di Lembah Pantai. Penampilannya di Lembah Pantai sudah diterima oleh rakyat semua golongan dan bangsa; baik Melayu, China maupun India. Semua bangsa menerima beliau dan Nurul Izzah tidak kekok dengan pengundi di kawasan itu. Tidak kedengaran ada apa-apa bantahan dan rasa tidak puas hati kepadanya, melainkan dari kumpulan "pendolor" punggung kerajaan kleptokrasi.

Nurul Izzah ada nilai tambah sendiri. Kemunculannya di Parlimen bukan sahaja membangkitkan isu global, tetapi tetap memberi prihatin kepada kawasaanya. Bahkan Nurul Izzah seorang pemimpin masa depan negara yang sedang dalam pembinaan. Saya sendiri dalam buku meletakkan Nurul Izzah sebagai salah seorang calon bakal PM Malaysia.

Juteru Nurul Izzah juga tidak perlu takut dan bimbang kepada kehadiran 7,000 lebih pengundi yang dingungsikan melalui "operasi anjing" oleh SPR itu. Apa lagi kebanyakan mereka anggota polis dari Bukit Aman seperti mana diakui sendiri Nurul Izzah bahawa ada pengundi (anggota polis) membisik kepadanya memberi jaminan bahawa polis tidak semestinya mengundi BN.

Nurul Izzah atau partinya tidak perlu memikirkan untuk menyelamatkan Nurul Izzah dengan memindahkannya, tetapi perlu juga memikirkan tentang implikasi di Lembah Pantai. Memindahkan Nuurl Izzah ke mana-mana kawasan atas maslahat hendak menyelamatkannya, memberi kesan buruk kepada kawasan Lembah Pantai itu sendiri.

Nurul Izzah mungkin menang tetapi bagai mana nasib Lembah Pantai tanpanya. Kemenangan Lembah Pantai dalam saat PH mengharapkan kerusi lebih penting daripada memikirkan untuk menyelamatkan Nurul Izzah.

Perpindahan itu juga nanti akan memberi implikasi, Keadilan khususnya akan dituduh sebagai takut. Perpindahan itu akan diambil kesempatan oleh UBN untuk menyorak Nurul Izzah sebagai tidak bersedia untuk berhadapan dengan UBN. Tanggapan ini sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada PH. Sebaliknya kalau Nurul Izzah dikekalkan di Lembah Pantai ia mencerminkan keyakinan PH bahawa komponen itu sudah benar-benar diterima rakyat di mana jua kawasan.

Apakah Keadilan mahu menurunkan muka baharu di Lembah Pantai? Atau pun ingin menyerahkan kepada parti lain (PPBM)? Sejauh manakah kemampuan calon muka baru kelak. Tidakkah Nurul Izzah yang sudah berada di situ dua penggal mempunyai aset tersendiri, pengundi juga sudah serasi dengannya? Mungkin kehadiran lawan baru kumpulan Gagasan Sejahtera menakutkan Keadilan sehinggakan Nurul Izzah terpaksa dihijrahkan?

Saifuddin boleh dihantar ke Pandan.

Saifuddin pemimpin yang
menghormati ulama.
Sebaliknya penghijrahan Nurul Izzah itu untuk memastikan kerusi Pandan kekal kepada Keadilan atau PH, masih ada jalan lain lagi untuk menyelamatkan kerusi bakal ditinggalkan Rafizi itu. Sesiapa pun boleh dijadikan pengganti kepada Rafizi. Kawasan Pandan yang dianggap mempunyai pengundi bijaksana, letak siapa sahaja di situ ia akan menang, asalkan calon dari PH.

Dalam hal ini tokoh paling layak untuk dijadikan pengganti Rafizi, bagi saya tidak lain tidak bukan, Saifuddin Nasution Ismail. Saifuddin sangat afdal untuk diberi kerusi Pandan serta menjamin beliau akan berada dalam gelari parlimen demi membawa suara rakyat dan membongkar kebejatan kerajaan.

Satu sahaja alasan sudah mencukupi kenapa Setiausaha Agung PKR itu layak menjadi pengganti Rafizi kerana mereka seakan mempunyai kebolehan dan kehebatan yang sama. Keduanya terkenal sebagai pemidato yang sempurna, penuh dengan fakta dan statistik serta penyampaian yang senang difahami.

Keduanya berjaya menampilkan diri mereka sebagai pemimpin sedia menentang kemungkaran. Dan lebih penting tidak ada kepentingan diri. Mereka juga dilihat pemimpin PKR yang konsisten mempertahan dan memperjuangkan idealisme Anwar Ibrahim. Kalau dahulu saya melihat pengapit Anwar adalah Ezam Mohamad Nor dan Azmin Ali, tetapi kini Rafizi dan Saifuddin boleh mengambil tugas dan tanggungjawab itu.

Mungkin hasrat untuk menghijrahkan Nurul Izzah ke luar Lembah Pantai itu boleh difikir semula. PKR khasnya dan PH perlu menutup atau meleraikan harapan UBN untuk merampas Lembah Pantai yang sudah tentu impian mereka berkobar-kobar apabila mendapat tahun Nurul Izzah akan berpindah kawasan. [wm.kl.11:09 am 28/03/18]

2 comments:

  1. Nurul Izzah, Lembah Pantai will feel hurt should you "run" away. You are a fighter and not at all a coward. Antara u dgn Sharizat bezanya mcm bumi dengan langit. Lembah Pantai tahu semua orang BN adalah opportunists untuk mencari harta karun bukan fighter untuk rakyat mcm u. U teruskan fight di Lembah Pantai, and biarkan Allah menentukan apa jua kesudahannya. Yang pasti pengundi semua tahu siapa yang kotor dan siapa yang bersih. Orang bersih jauh lebih ramai dari orang kotor di Lembah Pantai itu. Saya yakin 75% Polis akan senyap2 sokong u, insya-Allah sebab Polis juga adalah bapa dan ibu kepada anak-anak yang dahagakan keamanan dan keadilan dan mereka juga amat benci dengan kerja-kerja kotor seperti rasuah dsbnya.

    ReplyDelete
  2. I wonder why Manivanan was not nominated this time just when PH has a good chance of becoming nxt government.

    ReplyDelete