Thursday, May 31, 2018

Dr Mahathir kena jelaskan maksud pergerakan Anwar

GEJOLAK JIWA

Erat dan kekalkan persalaman ini selamanya.
DALAM seronok merayakan kemenangan Pakatan Harapan menerajui Malaysia, dan seronok campur was-was melihat susunan kabinet PH Dr Mahathir Mohamad, orang ramai terus dilanda dengan pelbagai persoalan.

Ada persoalan berat ada persoalan bersifat lelucon yang mudah sahaja berlalu di angin lalu.

Yang lelucon seperti pelantikan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan kurang sesuai, perkara itu mudah diatasinya.

Setelah beberapa hari Mohamad menduduki pejabatnya di Mindef, beliau telah menunjukkan kemampuannya untuk menjadi seorang menteri.

Kunjungan Setiausaha Pertahanan United Kingdom Gavin Williamson ke pejabat hari ini membuktikan Mohamad Sabu mendapat penghormatan dunia.

Demikian juga dengan pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, ditimbulkan rasa kurang berkenaan kononya oleh orang Melayu. Pelantikan Guan Eng dipertikaikan kononnya kerajaan PH akan dikuasai oleh DAP.

Tetapi setelah dikemukakan latar sejarah pelantikan orang Cina sebagai Menteri Kewangan sebelum pelantikan Guan Eng tidak menjadi isu lagi. Perlahan-lahan persepsi buruk itu hanyut ke longkang menuju laut.

Bahkan orang mulai seronok dengan sikap Guan Eng mendedahkan dan membongkar satu persatu penyelewengan di kementerian itu yang berlaku semasa Najib Razak menjadi menterinya. Banyak wang rakyat digunakan untuk membayar hutang 1MDB. Dedah Guan Eng setakat hari ini sebanyak RM7 billion digunakan (bail out) untuk membayar wang 1MDB.

Setelah itu orang perlahan-lahan melihat ketepatan Dr Mahathir melantik anak Lim Kit Siang itu.

Menggaru minda.
Ada pun perkara yang bukan mudah untuk diselesai kini yang sedang menular dan menggaru minda umum. Ia adalah mengenai peranan dimainkan oleh Penasihat Umum PKR, Anwar Ibrahim. Beberapa tindakan peribadinya menjadi perbualan waktu ini, dan tindakan itu juga dilihat di luar keinginan atau telahannya kepadanya sebelum ini.

Ia tidak lain dan tidak bukan, kerja rajinnya menyusuli istana demi istana bertemu dengan sultan dan raja. Ziarah mahabbah bulan puasa dilakukan Anwar itu perkara yang baik dan terpuji. Ia dituntut oleh agama Islam. Bagaimana pun ada sudut-sudut tertentu yang dilihat kurang manis atau pun boleh menimbulkan persoalan awal. Kehadirannya itu tidak diperjelaskan akan tujuan dan matlamatnya.

Ada mata dan hati kurang sedap melihat kerja baik itu mengandungi motif politik di sebaliknya. Mungkin tanggapan ini salah, tetapi itu yang sedang berlaku dan terjadi kini. Lumrah bahawa politik itu adalah persepsi tidak dapat dikikis dari konteks ini.

Saya tidak berhajat untuk menulis apa yang dipersoalkan itu kerana bagi mereka yang cekap membaca politik sudah tentu tahu, membaca kilau dalam kilau dengan apa yang berlaku itu.  Lagi pun memang kerja orang politik membaca makrifat politik untuk mengelakkan mereka tertipu dengan realiti nanti.

Persoalan yang hendak ditarik disini, apakah ziarah Istana dilakukan Anwar itu dalam pengetahuan Dr Mahathir. Bukan pengetahuan di bibir mata tetapi di dalam hati? Dr Mahathir perlu menjelaskan perkara ini dengan seberapa segera sebelum tanggapan buruk terus merebak. Pihak musuh-musuh PH sedang menanti dengan jerat untuk menjerut leher PH.

Penjelasan daripada Dr Mahathir sangat diperlukan bagi menyapu kabus yang tertempa di minda waktu ini. Isu ini sudah menjadi percakapan makin rancak dan menular.

Anwar mungkin boleh menjelaskannya, tetapi penjelasannya tetap tidak menimbulkan rasa puas hati umum. Peristiwa lama atau sejarah lama menjadikan keadaan itu wujud. Chemistry mereka berdua tetap akan dikenangkan. Apa lagi diperingkat awal perwujudan kabinet sudah ada pergaduhan mulut di antara Anwar dengan Daim Zainuddin.

Orang juga masih ingat sejarah hubungan Anwar dengan bekas Menteri Kewangan yang dilantik menjadi Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara itu.

Kita memahami dalam konteks sebuah kerajaan baharu seharusnya pihak Istana didekati untuk menyampaikan apa-apa maklumat baharu kerajaan. Mungkin ada mana-mana pihak Istana yang masih lagi percaya kerajaan BN akan menang maka mereka tidak sedar kepada kerajaan baharu. Atas matlamat itu atau sebagai masenger kerajaan maka Anwar lakukan ziarah istana itu. Dan itu baik.

Tetapi apakah ia sebahagian agenda kerajaan baharu? Ziarahi itu duty Anwar sementara menanti masanya diangkat menjadi PM? Mungkin ia, tetapi kita tidak mendengarnya. Makanya Dr Mahathir sebagai Pengerusi PH perlu menjelaskan hal ini secepat mungkin. Keadaan kini sudah berasap, memanas baik diredakan sebelum ia berapi membakar.

Saya mohon maaf kerana menulis dan membuat andaian-andaian begini, saranan begini yang mungkin tidak enak. Tetapi atas sifat saya sebagai pemerhati dan perakam sejarah kerdil politik menjadi tanggungjawab saya untuk mencatat demikian. Saya berpegang mengatakan yang benar itu meskipun pahit. [wm.kl.5:09 pm 31/05/18]

No comments:

Post a Comment