Sunday, May 13, 2018

Faktor rakyat Kelantan tolak PH

MENYOROT POLITIK KELANTAN

KE MANA saya pergi saya akan ditanya mengenai nasib Pakatan Harapan (PH) di Kelantan. Entah kenapa saya seolah-olah menjadi papan hitam untuk ditulis dengan pertanyaan dan persoalan itu. Selama saya berada di pusat pengawalan (kem berhimpun) wakil-wakil rakyat PH di sebuah hotel di Petaling Jaya, setiap kawan dan orang mengenali hubungan saya dengan Kelantan bertanya tentang negeri ku itu.

"Kenapa Kelantan dan apa jadi dengan Kelantan, Tokti?" Semua bertanya dengan mempamerkan  bayangan wajah sedih mendukacitakan.

Mereka hairan dan anih dengan apa berlaku di Kelantan, nasib yang menimpa PH. Kelantan dan Terengganu menjadikan dua buah negeri yang seakan tersisih dari negeri-negeri di sebelah pantai Barat. Penyisihannya begitu ketara sekali apabila PH tidak mendapat satu kerusi pun di negeri berkenaan hatta sekadar untuk dijadikan benih untuk menanam di musim mendatang.


Mereka tidak percaya yang PH Kelantan akan mendapat telur (kosong). Riak terkini di Kelantan yang berlaku semasa hari penamaan calon, kemunculan putera sulung Nik Abdul Aziz, Nik Omar menyebabkan mereka tidak percaya apa yang ternatijah kemudiannya. Ia sungguh-sungguh membuatkan mereka mengeluh dan menggeleng-geleng kepala tanpa disedari penuh ketidakpercayaan.

Memang kemunculan putera sulung Nik Abdul Aziz itu dihari penamaan calon menambahkan nilai kepada PH. Tiba-tiba sahaja meletup suatu gelombang dan kejutan dengan kemunculan Nik Omar itu. Dunia jadi semacam tersentak dan bergegar dengan tiba-tiba ekoran kehadirannya memegang panji PH. Dalam sekelip mata juga nama Nik Omar meniti dari bibir ke bibir. Ia bukan saja menggemparkan Kelantan bahkan auranya hingga terbias sampai ke Putrajaya Kuala Lumpur.

Kunjungannya ke Putrajaya untuk berceramah bersama Dr Mahathir di malam sehari sebelum pilihan raya mendapat sambutan luar biasa. Seramai 450 ribu orang yang mengikut live menerusi Facebook, menjadikan anngka itu memecah rekod.

Di kalangan rakyat Kelantan tiba-tiba berasakan kemunculan Nik Omar itu sebagai penjelmaan semula Nik Aziz yang sudah pun hilang dipandang mata sejak tiga tahun lalu. Lantas harapan besar diletakkan kepada Nik Omar. Tindakan beraninya itu kerana penyertaanya dikatakan tidak mendapat restu keluarga disambut meriah oleh penyokong PH. Dipercayai rakyat Kelantan khasnya yang berada di garis tengah akan bersimpati kepada PH menerusi Nik Omar yang menampilkan perwatakan ayahnya.

Nik Omar dilihat sebagai pemuda yang keluar dari gua al-Khafi untuk membantu Husam Musa yang berseorangan di Kelantan atau hanya di dampingi beberapa rakan yang sudah tidak begitu harum lagi, serta oleh pemain politik amatur. Saya sendiri yang mengikut jejak Nik Omar sebaik selepas beliau disahkan menjadi calon menyifatkan beliau adalah jelmaan Tok guru Nik Aziz, menjadi pengganti Allahyarham Nik Aziz di mana kemunculan itu untuk membantu Husam dan Kelantan.

Namun sangkaan itu meleset. Harapan besar yang disangkut di bahunya tidak sampai matlamat. mungkin kerana ia bergerak dalam batas masa kerana kemunculan di saat-saat akhir. Gelombang atau kegemparan dibentuk Nik Omar itu tidak memberi bekas besar hatta gagal pula untuk menenggelamkan kampung halamannya sendiri di Pulau Melaka Pengkalan Chepa. Nik Omar juga tertumus di Chempaka. 

PH Kelantan bukan hanya tidak mampu mendapatkan satu kerusi bahkan banyak calon-calonnya hilang wang pertaruhan. Kekalahan calon PH itu termasuk juga Husam yang dijangka dapat menawan satu kerusi parlimen Kota Bharu juga turut syahid. Rata-rata calon PH untuk kerusi Dun memperolehi undi sekitar 2,000 sahaja berbanding dengan Pas antara 5,000 hingga 7,000.

Apa yang berlaku kontras dengan apa diramalkan. Saya sendiri sebenarnya tidak meletak angka yang tinggi kepada pencapaian PH, cukup kalau setakat menang di tiga kerusi Dun dan satu parlimen. Sekiranya PH berjaya meraih lima hingga tujuh kerusi Dun saya mengira PH sudah pun boleh menguasai Kelantan dengan syarat Putrajaya dikuasai oleh PH.

Hari ini PH berjaya menawan Putrajaya, tetapi malangnya PH gagal menang di Kelantan. 

Yang dilihat dan terhakikat sebelum ini sangat berbeza sekali. PH tidak menang walaupun satu kerusi. Sejak awal lagi bila ditanya mengenai Kelantan saya menjawab "di Kelantan PH belum cukup power". Saya tidak fikir kalau Kelantan akan jatuh ke tangan PH seperti di negeri-negeri sebelah barat banjaran Titiwangsa. Pandangan saya kontras dengan mereka lain yang sangat menyakini PH akan berhasil di Kelantan.

Ketika ditanya tentang Kelantan dan kekalahan teruk PH, saya tidak menjawab dan berjanji untuk menjawabnya dalam blog. Nah, pagi ini saya ada masa untuk menulis bercerita kenapa PH gagal untuk memiliki walaupun satu kerusi di Kelantan dan mengapa Pas yang diharapkan akan "rebah bertungging" di Kelantan masih utuh malahan bersemangat.

Keunikan orang Kelantan.

Alasan utama saya kenapa PH tidak menang di Kelantan dan Pas dapat mengekalkan kerajaan peninggalan Tok guru secara lebih bergaya lagi ialah kerana keunikkan orang Kelantan. Apa yang berlaku dalam Piraum itu menggambarkan keunikan orang Kelantan terus kekal. Orang Kelantan tidak mudah untuk bergerak mengikut arus perdana, dan ia suka menentang arus. Inilah jati diri bangsa Kelantan.  Orang ke kanan ia ke kiri saat orang ke kiri ia akan membeluk ke kanan. Apakah sikat dan sifat ini sesuatu yang dinamik atau pun sebaliknya?

Selama lebih 60 tahun rakyat Kelantan tidak mempedulikan UBN walaupun parti itu menguasai Malaysia. Kejayaan UBN selama ini membawa pembangunan kepada negeri-negeri diperintahnya sedikit pun tidak meruja dan mempesonakan mereka.  Hanya tahun 1978 rakyat Kelantan mengalih rasa kepada Umno itu pun hanya 12 tahun sahaja selepas itu tahun 1990 mereka kembali mendakap Pas semula.

Orang Kelantan seakan seronok berada di pihak pembangkang dan mereka bangga memiliki kelainan itu. Waktu Malaysia dikuasai UBN tetapi rakyat Kelantan tetap mahu bersendirian kekal dengan sikapnya dengan memilih Pas. Hari ini pun begitu saat PH sebahagian daripada rakannya memiliki Malaysia, Pas masih kekak di takak lama. 

Itu sifat semulajadi orang Kelantan yang unik dan dibangga-banggakan. Orang Kelantan tidak merasa susah dan boleh hidup sendiri. Semangat berdikari sangat kental dalam diri mereka menyebabkan mereka berasa tidak perlu bergantung hidup dengan kerajaan Pusat. Kaum yang berani dan degil tetapi tidak membawa kecemerlangan duniawi adalah orang Kelantan.

Justeru walaupun sudah ada gelombang akan menenggelamkan kerajaan UBN, tetapi rakyat Kelantan pada 9 Mei lalu tetap mahu kekal sebagai pembangkang. Mereka bukan terus mendakap Pas tetapi langsung tidak memberi setitik ruang kepada PH, menerusi Amanah yang dipimpin oleh Husam. Orang Kelantan masih mempercayai undi Pas menjadikan ruang kuburnya terang benderang.

Adapun faktor yang secara sainspolitik yang boleh dihuraikan kenapa PH kalah di Kelantan, mungkin faktor ini juga boleh dipakai untuk Terengganu adalah:

1. Orang Kelantan baik muda atau tua masih sayang kepada Pas. Doktrin yang ditanam oleh pemimpin Pas, bahawa parti itu adalah sebahagian agama masih terlekat kental dalam hati orang Kelantan. Mereka terus menerima konsep Pas adalah agama.

2. Orang Kelantan kurang percaya kepada PH yang akan berperanan untuk membawa dan mengembangkan agama di negeri seperti Pas, kerana di dalam PH tidak ada individu atau sosok yang dilihat ulama. Mereka memerlukan tokoh seperti itu bagi mengekalkan jolokan Kelantan sebagai Serambi Makkah.

3. Orang Kelantan juga percaya dan "makan" kepada taburan isu mengatakan PH menjadi alat kepada DAP. Sebagai masyarakat yang "suntuk" terlindung dengan pelbagai maklumat mereka mudah mempercayai dakwah itu yang dibawa bersama oleh UBN dan Pas.

4. Kajian Invoke mengatakan Pas tidak akan mendapat satu kerusi di Kelantan menjadi daya rangsang utama kepada rakyat Kelantan yang berada di luar untuk balik mempertahankan Kelantan. Kenyataan dibuat Invoke itu satu propganda yang melampau yang menyentuh maruah rakyat Kelantan menjadikan mereka menjadi tidak waras untuk mengekalkan Kelantan kepada Pas. Kajian Invoke dari konteks Kelantan menjadi "back fire" sebab orang Kelantan mempunyai semangat provincial yang tinggi.  

5. Kemenangan Pas itu juga sehingga dapat menambahkan empat kerusi Dun lagi, memberi gambaran mereka tidak boleh menerima Umno, juga atas dasar keturunan. Walaupun Umno mengemukakan seorang tokoh yang marhaen yang kuat bekerja seperti Mustapa Mohamed mereka tetap juga tolak kerana Mustapa tidak dilihat sebagai ulama tidak berkopiah dan berserban.

6. Kesimpulannya sentimen agama dan kepukan di Kelantan masih menebal. Elemen itulah menjadi benteng kepada Pas yang terus mahu menggelarkan diri mereka sebagai parti agama. Penolakan rakyat Kelantan kepada Umno dan PH dan hanya menerima Pas itu menunjukkan kejumudan politik rakyat Kelantan dan berpegang kepada sifat Qannah yang tebal.

6. Lain-lain faktor ialah dari segi strategi, kelemahan jentera pilihan raya PH dan juga kekurangan tenaga kewangan. PH dalam pilihan raya lalu bukan sahaja berhadapan dengan Pas yang memiliki kerajaan di Kelantan tetapi juga dengan UBN. Sekiranya PH berhadapan secara berdepan, mungkin parti itu memperolehi beberapa buah kerusi.

Itulah antara pemerhatian awal saya kenapa PH gagal untuk memenangi satu kerusi pun di Kelantan dan juga membawa kekalahan UBN untuk menawan Kelantan. [wm.kl.12:32 t/hari 13/05/18]

24 comments:

  1. Sayangkan PAS tapi bertebaran cari makan dinegeri lain. Dimana sayang dan jati diri mereka ? Semestinya kalau begitu sekali kasih kepada PAS mereka mengharungi kesusahan kepayahan hatta hidup sebagai penganggur di bawah ketiak PAS.
    Malang sekali mereka enggan memberi peluang kpd BN atau PH untuk mengubah Jelatan tg lebih denamik.
    Agak majoriti pengundi kelantan ADUN2 nya dari kalangan2 lebai2 dan ustaz2. Dengan mereka anggap ini adalah kerajaan Islam.

    ReplyDelete
  2. 'Apa yang berlaku dalam Piraum itu menggambarkan keunikan orang Kelantan terus kekal. Orang Kelantan tidak mudah untuk bergerak mengikut arus perdana, dan ia suka menentang arus. Inilah jati diri bangsa Kelantan. Orang ke kanan ia ke kiri saat orang ke kiri ia akan membeluk ke kanan'.
    Ingat ambo dulu2 masa memandu atas jalanraya...signal kok kiri belok kanan, signal kok kanan belok kiri.

    ReplyDelete
  3. Orang Kelantan selesa di bawah tempurung mereka di Kelantan.. Mereka selesa dijamin masuk syurga seperti mana mereka percaya Ibrahim Libya mati syahid.
    Yang merantau balik dan terus mengukuhkan lagi tempurung itu..

    Tetapi menjadi *******k bila keluar Kelantan menikmati segala kemudahan dan pembangunan.

    Jati diri apakah itu?

    ReplyDelete
  4. Pada hakikatnya PAS menang bukan hujah lawan hujah, fakta lawan fakta tapi dengan fitnah dan ugutan yg konon nya PH akan menukar kerajaan Kelantan dari Serambi Mekah kepada Serambi Maksiat yg kakan mendatangkan bala Allah SWT yg lebih teruk dari banjir tahun 2014.

    Itulah intipati bahan kempen PAS Kelantan khususnya semasa PRU-14.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sambungan:

      Hakikat banjir besar 2014 di Kelantan adalah akibat tangan tangan yang rakus mengaut hasil mahsul hutan balak tanpa batasan peraturan.

      Delete
  5. Kelantan ada sejarah permusuhan yang tebal dengan Tun M.. Ceramah Tun M Menyifatkan Pejuang Memali mati katak dapat dimanipulasi sepenuhnya oleh jentera kempen PAS. Kes saman 90 juta yang dapat dipusingkan merupakan antara faktor kemenangan besar PAS di saat akhir.. Harap Husam dapat melangkah ke Putrajaya walaupun rakyatnya tidak nampak apa kelebihan Dato Husam di sana.

    ReplyDelete
  6. Masalah dari hujah Tokti ialah ia tidak menjelaskan kemenangan PAS di Terengganu yang selama ini merupakan kubu kuat UMNO-BN dan ia juga tidak menjelaskan kemenangan PAS menguasai 15 Dun di Kedah.

    Hakikatnya ialah orang Kelantan terus memilih PAS kerana ia sesuai dengan cara hidup mereka. Begitu juga untuk pengundi di Terengganu dan Kedah.

    Tidak ada benarnya orang Kelantan memilih PAS kerana mereka jumud atau tidak sedar akan keberadaan politik alternatif. Yang pasti, orang Kelantanlah yang lebih faham tentang propaganda kerana berdekad dibawah PAS, orang Kelantan sering diserang propaganda UMNO-BN melalui RTM, Utusan Malaysia dan lain-lain.


    Kemenangan PAS di Kelantan tidak boleh dilihat secara berasingan dengan kemenangan PAS di Terengganu dan Kedah.

    Hakikatnya ialah kemenangan PAS adalah terdorong oleh penolakkan terhadap UMNO-BN, yakni sama dengan kemenangan PH itu sendiri.

    Jika rakyat Kelantan memilih PAS dari PH, apa salahnya ?

    Hakikatnya, rakyat Kelantan telah lama menolak UMNO-BN.

    Orang Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Perak, Kedah dan Terengganu baru sedar betapa pekongnya UMNO-BN.

    Ini menjadikan orang Kelantan lebih bijak, lebih berani dan lebih introspektif.

    Orang Kelantan ada sebab menolak PH termasuk Amanah.

    Ada sebabnya.

    Apakah mungkin kita semua akan lihat sebab-sebabnya nanti ?

    Jadi jangan terlebih-lebih mengutuk orang Kelantan atau menyalahkan orang Kelantan kerana menolak PH.



    ReplyDelete
    Replies
    1. Di Kedah, penduduk memang terkesan dengan pemerintahan UMNO.
      Isu harga getah yg amat murah berbanding harga ikan temenung (kembong) yg mahal amat mencengkam kehidupan rakyat. Bagi keluarga yg tidak dibantu anak-anak yg bekerja atau anak-anak masih bersekolah, kehidupan mereka amat menyesakan.
      Momokan kekuatan DAP dalam PH juga sedikit sebanyak menjadi faktor penolakan terhadap PH.
      Tetapi, sebenarnya aa yg berlaku di Kedah, pengundi PAS majoritinya masih setia dengan PAS tetapi undi UMNO yg banyak beralih kepada PH. Ini dapat dikesan seawal pertandingan akhir Piala Malaysia dimana isu MB Kedah di"boo dan isu pemecatan Mukhris drpd kerusi MB.

      Delete
  7. ph menang di pusat n pas di negeri ada baik nya juga...selepas ini mgkn jkkkp akan dimansuhkan...dan ini petanda utk ph agar berpegang pada janji...

    ReplyDelete
  8. Seruan belum sampai,jika dalam Masa Lima tahun jika pakatan berjaya menunaikan janji janji mereka , mengapa rakyar tidak boleh memilih pakatan, bukti nyata perlu dilihat, Masa depan masih cerah jika individu ikhlas berjuang

    ReplyDelete
  9. Sepertimana yang dijelaskan oleh Tokti, faktor kekalahan berkemungkinan dari isu agama dan bangsa. Ketiga negeri yang dimenangi dengan kelebihan kerusi seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah memang dikenali kuat dengan agama dan penduduk majoriti melayu. PAS berjaya memainkan isu isu agama dan DAP dengan sebaik baiknya dinegeri negeri ini.

    ReplyDelete
  10. Selagi "ketotokan" rakyat kelantan kpd pas selagi itu lah PH atau BN takkan dapat menguasai kelantan. Selagi doktrin yg hanya PAS adalah agama Islam meguasai pemikiran rakyat kelantan selagi itu la mereka takkan boleh menerima pendekatan politik baru. Kesombongan dan keangkuhan pemimpin pemimpin PAS kelantan dalam memaki hamun lawan semacam suatu yang boleh diterima oleh mereka. Sayang sekali nama negeri sahaja serambi mekkah tp akhlak pemimpin dan cara pemikiran rakyat kelantan tidak mencerminkn keindahan gelaran tersebut.

    ReplyDelete
  11. Mereka memang kerana byk ugutan agama cth lawan ulama lawan syiar Islam , akhirat nanti lepas bila tanya. Anak derhaka dan juga isu mahathir Sit mahathir nak selamatkan anak dia nak jadi pm
    Itu isu yg berlegar di antara walaun dan mak saya sendiri
    Anak muda yg duduk di luar mungkin takut di label seperti di atas
    Ambe rasa kalau PH berjaya buktikan lebai tu tak serupa bikin seoerti kes rasuah dan 90 juta duit UMNO mungkin pas akan pupus di Terengganu tapi tidak di kltn
    Pas survive kerana ada TGHH yg di anggap ulama maksum

    ReplyDelete
  12. Saya hairan kenapa berlaku peningkatan kerusi pas di empat negeri,iaitu kltn,terengganu,perak dan kedah sebaliknya pas kalah teruk di negeri sebelah selatan tanah air,hipotesis mengatakan pas terus sinonim dengan parti memperjuangkan islam dikkltn tak berapa kuatlah,saya berfikir ada kemungkinan ada deal umno-pas sebab tiba2 undi di empat negeri tersebut meningkat sebaliknya dinegeri lain kalah teruk,adakah kemungkinankah terjadi UG dalam gelap sebelum election ?

    ReplyDelete
  13. Pada pendapat saya kemenangan Pas ada lah dari perjanjian dan persefahaman yg dibuat umno pas dimana pernah dikatakan Pas mengambil negeri2 tertentu dan umno ambil selebihnya dan Pas meletakkan banyak calon Parlimen sebagai spoiler kepada PH dimana Pas tahu ia tidak boleh menang.

    ReplyDelete
  14. Royalti minyak boleh diberi kpd kelantan dan Tganu tapi mesti melalui Jkuasa khas yg dianggota oleh PH dan Pas supaya setiap sen wang tersebut sampai kpd rakyat bukan digunakan utk parti.

    ReplyDelete
  15. Saudara Firham

    Saya rasa saudara silap faham apabila beranggapan TokTi mengutuk orang Kelantan kerana menolak PH. Sila baca berulang kali agar faham sepenuhnya. Sebaliknya apa yang cuba diusulkan oleh penulis bahawasanya orang Kelantan memiliki jatidiri yang tinggi dan mampu melawan arus.

    Kepada saya biarkanlah mereka membuat pilihan sendiri. Orang Kelantan bukannya bodoh. Jika kerajaan PAS gagal membangunkan negeri itu atau melakukan dasar-dasar yang tidak disenangi, mereka mungkin mengubah kerajaan. Bukan sekali, bukannya dua malahan berkali-kali rakyat Kelantan menukar kerajaan. PAS tak boleh terlalu yakin sebenarnya.

    Sementara itu AMANAH tidak semestinya berkubur atau terus pudar bersama kegagalan mempeolehi sebarang kerusi, asalkan obor perjuangan terus dinyalakan.

    ReplyDelete
  16. Tun M telah berjanji segala penyelewengan dari regim terdahulu akan di bongkar termasuklah kes rm90 dan kita masih menunggu kes yang sedang berjalan di UK.Jika ada dan dapat dijejaki duit rakyat digunakan untuk kempen PRU 14 sama ada oleh BN atau PAS akan mengundang sati lagi penubuhan Suruhanjaya Pendengaran Awam diRaja dan kesemua nya akan terbongkar.Sehingga ke saat itu rakyat akan mengetahui bagaimana rupanya hati dan sandiwara ulama Pas.

    ReplyDelete
  17. Pada pendapat saya sebagai rakyat kelantan, punca utama penolakan ph di kelantan berpunca daripada kurangnya kempen ph. Bayangkan di tempat saya (parlimen k. Kerian, dun p. Tumboh) tiada 1 pon pondok/ meja panas yang didirikan untuk tujuan kempen. Hanya pas dan bn sahaja ada. Sehinggalah ke hari mengundi, pondok pas dan bn siap didirikan seawal pagi di depan sekolah tempat mengundi. Di pondok itulah para pengundi akan singgah untuk check pendaftaran mengundi dan yang paling penting untuk semak sumbangan kepada pengundi luar yang balik mengundi. Pondok bn siap sedia nasi bungkus utk para pengundi. Dalam hati saya tertanya2 di mana pondok ph? Tiada. Sehinggalh lebih kurang pkul 12.00 tghri pondok ph baru didirikan.Melihat kepada perkara ini, saya sudah jangka ph tak akan berjaya menawan hati rakyat kelantan.

    ReplyDelete
  18. Kekalahan bn akan menjadi turning point untuk PAS melebarkan sayapnya di kawasan majoriti melayu yg dikuasai oleh umno khususnya yg semakin lemah.pas akan jadi pembangkang yg paling kuat dalam pru15 nanti.pas telah menghidupkan kembali usrah antara ahli setiap cawangan selepas pru 14.dgn trend sokongan politik yg semakin terbuka akibat penolakan terhadap bn pas akan mengisi ruang kosong akibat lemahnya umno.

    ReplyDelete
  19. Bodohnya dia ni. Tak cukup ilmu nak buat andaian tanpa ada data nak support. Apapun semua andaian anda salah... sbb jelas semuanya berasaskan kpd pkr-fed info... bodih gila... tutuplaj aje blig tuan

    ReplyDelete
  20. Banyak saya terima komen tambahan dan reaksi daripada posting saya ini. Ada yang saya lepas dan ada juga tidak kerna ada komen dari orang gila atau baru keluar dari wad gila. Yang terbaru saya lepas ini menarik, Abe Salor.. dia menamakan dirinya suruh saya tutup blog ini. Bukan mudah untuk tutup blog ini atau berhenti menulis, seperti anda juga bukan mudah untuk tidak membaca blog ini. Blog ini tertutup dengan sedirinya jika anda tidak mengaksesnya.

    ReplyDelete
  21. Dari pemerhatian saya, orang kelantan ini memilih pas hanyalah disebabkan islam, mereka percaya hanya pas yang akan mendaulatkan islam, ini supaya melindungi anak anak mereka dari kerangka islam. mereka berfikir hanya pas sahaja yang berjuang untuk islam,parti amanah anak suruhan dap...Tun M pun bagi mereka menjadi tungangan DAP...whualam

    ReplyDelete
  22. Tok Ti.
    PRU 14 telah berjaya merobohkan satu tembok pemikiran yang telah didoktrinkan selana 60 tahun. Tanpa umno, Melayu merempat. Bahawasanya umno dan BN sahajalah yang mampu mentadbir negara Malaysia yg tercinta ini.
    Satu lagi tembok besar yang berlegar di Kelantan dan Terengganu serta sebahagian Kedah. Pas itu Islam dan Islam itu PAS.

    ReplyDelete