Monday, June 11, 2018

Perlu bijak membaca dan layan masej Dr Mahathir

ULASAN

Dr Mahathir mengaku sudah tua tetapi tetap menunjukkan
kegagahannya.
KENYATAAN Dr Mahathir Mohamad semasa berucap pada persidangan Nikkei di Tokyo yang menghantar masej beliau akan menjadi PM selagi rakyat memerlukan diharap ia bukan serius.

Walaupun itulah hakikat yang kedengaran kini, tetapi adalah baik kalau PM itu tidak mengotakan apa yang dikatakan itu. Maksudnya menuruti sangat kehendak rakyat yang kini setengah mahu mengambil kesempatan atas keberadaanya di kerusi nombor satu itu.

Demi untuk kelestarian kerajaan PH, beliau harus akur dengan janji yang dibuat sebelum ini yang juga menjadi konsensus bahawa beliau hanya akan menjadi PM dua tahun sahaja kemudian akan diserahkan kepada Anwar Ibrahim. Hendaknya rakyat juga tidak terpanggil dengan tawaran Dr Mahathir itu.

Kenyataan Dr Mahathir di Jepun malam tadi tentu menggelisahkan sesetengah pihak. Saya tidak fikir ia menyenak hati Anwar kerana beliau seorang yang bertaraf "negarawan", yang berpengalaman dan sudah arif, tetapi kenyataan Dr Mahathir itu boleh menganggu tidur para penyokongnya terutama yang mengelilingi Anwar dan sudah lama mahu menobatkan bekas Presiden Abim itu ke cagak PM.

Semua pihak harus kenal Dr Mahathir, apa lagi irama politiknya yang macam keadaan cuaca, sukar untuk diramalkan. Politik Dr Mahathir persis keadaan ramalan cuaca, adakalanya tepat ada kalanya meleset. Ada ketika ramalan mengatakan esok hari mendung, tetapi sebaliknya ia cerah cuaca. Ada kala pula diramalkan cerah tetapi tiba-tiba bertukar menjadi gelap dan ribut kencang disertai kilat pacar memancar.

Dalam melihat warna politik Dr Mahathir ini orang akan phobia dengan apa yang berlaku pada penghujung tahun 1998. Tragedi itu perlu dielakkan, kerana kalau ia berulang kembali kerajaan PH yang kini sedang digilai rakyat boleh musnah. Pihak lawan (BN) yang kini sedang merana sangat suka kalau perulangan peristiwa 3 September 1989 itu berulang.

Ingin saya mengingatkan dalam mentafsir setiap kata-kata Dr Mahathir dan melihat aksinya ialah kepada Anwar sendiri. Beliau hendaknya jangan mudah terpancing dan terikut dengan tari golongan tertentu yang menjadi pendukungnya membuat desakan yang bukan-bukan. Sebaik-baik sepanjang tempoh peralihan dua tahun dijanjikan beliau bersabar. Perjalanan Anwar ke kerusi PM bak berjalan di atas titian benang.

Baik-baik mengail tengiri, jangan terkena ikan temparang. Pembayang maksud pantun itu hendaklah dihayati setiap masa dan waktu. [wm.kl.12:32 pm 11/06/18]

No comments:

Post a Comment