Tuesday, August 14, 2018

Kebimbangan saya telah membunga realiti?

SUSUPAN SUBUH

Abdullah Sani kenyataannya
memanaskan pemilihan PKR.
SEJAK awal-awal lagi apabila melihat kepada bentuk kempen perebutan jawatan dalam PKR ia menimbulkan kebimbangan saya.

Seperti saya katakan sebagai pemerhati kecil acara itu menggusarkan hati saya. Berderau darah saya tatkala melihat cara Rafizi Ramli mengumumkan barisan calon-calonnya tempoh hari bertempat di sebuah hotel di Jalan Ampang.

Tambah berdebar lagi apabila mendapat tahu pasukan Rafizi akan mengadakan road show ke segenap negeri bagi menyampaikan maksud mereka.

Modal atau faktor kenapa pasukan itu menjelma, antara tujuan utama yang menjadi modal kempen ialah untuk memastikan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri selain ia ingin memastikan agenda Reformasi dilaksanakan.

Walaupun tujuan itu tepat dan menggembirakan Anwar, tetapi cara ia dilambungkan untuk menarik simpati ahli agak berlebihan dan memberi kesan negatif pula apabila orang menyuluh ianya direstui oleh Anwar.

Terma dipakai itu untuk memastikan agenda Reformasi dilaksanakan juga boleh diterjemahkan yang kerajaan Harapan di bawah Dr Mahathir Mohamad kini seakan menyimpang dari agenda berkenaan?

Jadi kenyataan.
Kebimbangan saya itu kini sudah mahu menjadi kenyataan. Walaupun ia bukan perbalahan dalam PKR, tetapi hasil kempen perebutan jawatan itu mencetuskan pertikaikan dan persepsi lain di luar. Segala-galanya ia berpunca daripada pendedahan ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid dilihat menjadi penyuara lantang bagi pasukan Rafizi menyebut Daim Zainuddin dan Dr Mahathir Mohamad ada agenda untuk menghalang Anwar jadi PM.

Apa yang hendak dikemukakan oleh Abdullah Sani dengan menyebut itu adalah untuk mendedahkan pengkhiaatan kepada lawannya Mohamed Azmin Ali. Tetapi yang sedikit silapnya ialah apabila beliau tersasur menyebut sama nama Dr Mahathir Mohamad.

Sejak 48 jam lalu kenyataan Abdullah itu bergerak seiringan dan sama-sama diberi perhatian umum dengan isu LGBT yang menghangat kini.

Apa disebut Abdullah Sani itu ia sesuatu yang wajar jika melihat dari konteks untuk beliau dan pasukan Rafizi hendak mempertahankan Anwar. Tetapi ia satu kenyataan yang merugikan dari sudut perpaduan Pakatan Harapan itu sendiri apabila ia mengaitkan dengan nama lain. Kerana itu dari sudut lain kenyataan dan pendedahan Abdullah Sani itu menguntungkan Azmin. Ini kesilapan.

Apa yang berlaku, kenyataan Abdullah Sani itu kerana bentuk kempen oleh puak Rafizi Ramli yang penuh emosi itu. Bagi pemerhati politik faham dengan apa disebut Abdullah Sani itu, benar hasil daripada pengamatan dan penghuraian politik berpandukan kepada chemistri yang berlaku di antara dua tokoh itu dengan Anwar.

Atas sifat politik itu rencam dan apa sahaja boleh berlaku, maka Abdullah Sani menyebut itu. Dan ia juga sebagai modal untuk menarik perhatian ahli PKR agar menyingkir Mohamed Azmin Ali dari jawatan disandangnya kini selaku timbalan presiden. Tampak sangat nafsu besar dan keseriusan Rafizi untuk menolak Azmin. Pun begitu ia masih relevan, tetapi yang silapnya menyelitkan dua nama itu.

Penyelitan dua nama itu jelas sekali kebencian puak Rafizi kepada Azmin. Nama Azmin sangat buruk kepada mata kumpulan Rafizi seakan Azmin tidak berguna satu sen pun kepada PKR dan jasa dan budinya tidak sedikit pun dikenang. Sikap melampau inilah membimbangkan saya kerana ia boleh mencetuskan sengketa. Walaupun Rafizi dan puaknya cuba menyakinkan perlawanan itu secara adik beradik, tetapi kebimbangan tetap ada apabila berpandukan kepada sejarah-sejarah perlawanan masa lalu serta kesadisan serangan terhadap Azmin.

Untuk menolak Azmin bagi menjadi keselesaan kepada Anwar masih wajar, tetapi ia perlu dengan cara berhemah, bagaikan menarik rambut dalam tepong. Sebaik-baik tindakan untuk menyingkir Azmin boleh dilakukan seperti kita menyimpan najis dalam rumah? Kita berak dalam rumah (jamban) tetapi baunya tidak menganggu alam sekitar kita.

Pendedahan berupa tuduhan dibuat Abdullah Sani itu sesuatu yang berat dan tidak wajar kem itu mengaitkan orang luar. Dr Mahathir telah pun memberi reaksi dengan meminta tuduhan itu dibuktikan. Keadaan ini telah memulakan suasana tidak kondusif dalam kempen perebutan jawatan PKR.

Sebagai seorang yang praktikal dan tegas, kenyataan balas Dr Mahathir itu menjadikan kenyataan Abdullah Sani itu sesuatu yang serius. Dr Mahathir menjadi fiilnya beliau tidak akan bersuara kalau sesuatu itu remeh dan tidak penting.

Bagi saya tindakan berlebihan Abdullah Sani yang terhasil dari ransangan cara kempen diketuai Rafizi penuh emosi itu telah memberi kesan buruk kepada pasukan Rafizi. Kenyataan Abdullah Sani telah menjadi back fire. Dan apa yang berlaku itu, khasnya apabila Dr Mahathir meminta bukti secara tidak langsung ia memberi simpati kepada Azmin. Dalam kata lain salah langkah dilakukan Abdullah Sani memberi laba percuma kepada Azmin.

Sekiranya Abdullah Sani tidak mengemukakan bukti konkrit terhadap dakwaan itu, simpati ahli PKR dan umum akan mengalir kepada Azmin. Walaupun Dr Mahathir di luar PKR tetapi suara dan aksinya turut mempengaruhi suasana pemilihan itu.

Mungkin Dr Mahathir pun tahu yang pengaitan namanya oleh Abdullah Sani itu tidak pun memberi kesan peribadi buruk kepada politiknya. Namun Dr Mahathir pula sengaja menampakkan ia serius dan sehingga beliau terpaksa meminta bukti kerana ingin memberi laba dan kempen psikologis pula untuk Azmin. Inilah padahnya kalau tidak bijaksana.

Semoga elemen-elemen yang boleh mengotori kerajaan Harapan dan juga diri sang tokoh yang mereka agungkan itu -- Anwar disepanjang kempen perebutan jawatan itu dijaga dan dipelihara oleh kedua-dua belah pasukan yang bertempur hari ini. Hendaknya jangan sokong membawa rebah kepada Anwar. Misalnya mengenai apa yang berlaku itu kalaupun Anwar menafikan penglibatannya, tetapi sains politik akan membabitkan dirinya.

Dan kesan buruk yang bakal berlaku atau calaran kecil yang sudah berlaku itu, terbit kerana sikap Anwar sendiri yang kononnya untuk membuktikan PKR sebuah parti mengamalkan demokrasi bebas. Saya telah menyarankan agar beliau membendung perlawanan itu, tujuannya bukan untuk kembirikan demokrasi dalam PKR tetapi mengelakkan calaran terhadapnya seperti apa yang terjadi.

Namun peringatan dan pengsyoran saya tidak dipedulikan. Orang PKR tetap beranggapan mereka parti terbaik yang boleh menghayati demokrasi dengan baik. Pertandingan kononnya menyuburkan demokrasi. Saya belum merasa begitu kerana politik orang Melayu (Malaysia) berbeza dengan politik orang Cina apa lagi dengan politik orang Barat. [wm.kl.7:14 am 14/08/18]

No comments:

Post a Comment