Friday, October 5, 2018

Fahami tujuan pilihan raya kecil Port Dickson diadakan

ULASAN


Anwar mara terus mara..
berlari menuju Puterajaya.
BERBAGAI tafsiran dan ulasan dibuat ke atas pilihan raya kecil (Pirake)  P 132 Port Dickson. Ada yang sengaja buat-buat tidak faham kenapa pilihan raya berkenaan diadakan dan mengecam kewajarannya.

Apabila kerusi itu dikosongkan bukan kerana wakilnya meninggal, atau hilang kelayakan, ertinya ia ada misi tertentu di sebalik pengosongan itu. Situasi itu sudah memberi maklum kepada yang mahu tahu dan mahu reti.

Naif sangat kalau orang tidak mahu memahami pilihan raya itu diadakan. Kecuali bagi mereka yang iri hati dan benci ia tidak perlu dipertikaikan lagi. Dalam hal ini kerana pilihan raya itu diadakan khas untuk Anwar, jadi mereka membenci Anwar Ibrahim akan mempamerkan rasa tidak suka dengan Anwar akan mencari seribu helah untuk menafikan kewajaran pilihan raya itu tidak perlu diadakan.


Bagi yang bencikan Anwar, menganggap pilihan raya itu membazirkan wang negara dan menyusahkan rakyat, maka ia tidak wajar diadakan. Bagi mereka memahami demokrasi dan sistemnya, dangkal sangat anggapan demikian, seolah-olah jika tidak diadakan pilihan raya itu peruntukan untuknya sekitar RM3.6 juta dapat diselamatkan. Berapa banyak pembangunan dapat dijana dengan peruntukan sebanyak berbanding dengan natijah Pirake itu. Jika Anwar menjadi ahli parlimen kemudian PM, pasti pendapatannya lebih daripada jumlah itu.

Di sini, sebelum saya mengulas lanjut, saya ingin mengucapkan syabas kepada bekas ahli parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah yang sanggup mengosong kerusi berkenaan bagi membolehkan Anwar bertanding.

Tindakan itu adalah satu pengorbanan bukan sahaja untuk rakyat PD, tetapi rakyat Malaysia seluruhnya, mereka yang mengimpikan Anwar menjadi Perdana Menteri perlu berterima kasih banyak kepada Danyal. Danyal, nampak jasa dan buktinya itu akan dikenang orang apabila mengetahui penggantinya itu (Anwar) bakal dinobatkan sebagai PM.

Penyertaan Anwar di pilihan raya itu, sebenarnya sesuatu yang sudah dijanjikan awal-awal lagi, maka ia tidak pantas dipersoalkan apa lagi dituduh kemaruk jawatan. Mereka yang tidak mahu tahu dan sengaja menjadi pandir sahaja mempertikainya. Mereka itu juga yang cemburu dan mendendami Anwar.

Walaupun penyertaan itu ia agak cepat, tetapi itulah hakikatnya. Pakatan Harapan (PH) telah mencapai kata sepakat sebelum pilihan raya umum lagi, bahawa Anwar yang berada dalam penjara ketika itu akan mengambil alih selepas keluar kelak. Penyertaan Anwar itu tentu bertolak daripada alasan yang kukuh dan logik.

Anwar - Dr Mahathir adalah roh dan jasad PH.
Jadi sementara beliau bebas, maka Dr Mahathir dipersetujui untuk memimpin negara sebagai perdana menteri. Langkah itu juga dipersetujui sama oleh Dr Mahathir dan para pemimpin parti PH yang lain. Jika Dr Mahathir tidak bersetuju tidak mungkin beliau sedia berkolaborasi dengan parti PKR, DAP dan Parti Amanah Negara yang lebih awal membentuk kerjasama dengan PKR.

Perlu difahami PH itu sendiri wujud kerana persetujuan mereka berdua -- Dr Mahathir dan Anwar. Merekalah merupakan roh dan jasad kepada PH manakala pemimpin parti lain merupakan pancara idera utama. Tanpa persetujuan mereka berdua PH tidak akan wujud dan tidak pula menjadi gabungan menumbangkan BN.

Pas tidak senang.
Yang jelas kurang senang dengan pilihan Pirake itu ialah Pas. Parti pimpinan Abdul Hadi Awang itu nampaknya menimbulkan masalah dengan pilihan raya itu dan mencari-cari helan untuk menyatakan ia tidak wajar. Penyertaan empat calon bebas lain termasuk Mohd Isa Samad, bukan sesuatu yang menjadi masalah dan jadi penganggu agenda Anwar, sebaliknya penyertaan Pas jelas bermaksud itu.

Jika Pas sebuah parti siasah yang berpandangan jauh dan berstrategi, parti itu tidak perlu menyertai pilihan raya itu dan memberi laluan kepada proses penggantian Dr Mahathir dengan lenang. Jika itu Pas lalukan sedikit sebanyak Pas akan mendapat manfaat daripada hasilnya nanti. Pas barang kali lupa yang mereka mempunyai dua buah kerajaan negeri yang mengharapkan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan, apa lagi apabila Anwar menjadi PM kelak.

Dalam hal ini Umno walaupun tidak bermoral tetapi lebih cerdik daripada Pas. Parti itu tidak meletakkan calonnya dan memboikot pilihan raya berkenaan. Pemboikotan itu dilihat terbit daripada ilham presiden Umno Zahid Hamidi yang juga merupakan anak buah Anwar yang berselekong dengan Najib. 

Namun tidak begitu bagi Pas. Ia cuba menimbulkan persepsi buruk khasnya hubungan Anwar dengan Dr Mahathir. Pas menyertai pilihan raya itu dengan harapan ia sebagai atas perestuan Dr Mahathir. Itu yang Pas ingin tonjolkan dan persepsi itu yang diingini. Di sini gunanya Pas mahu menunjukkan hubungan kedua mereka itu dalam bermasalah. Tetapi nawaitu Pas ini nampaknya sirna hari ini apabila Dr Mahathir menyatakan beliau akan turun berkempen untuk Anwar pada 8 Oktober nanti.

Ada dua isu dimainkan oleh Pas sebagai modal yang dilihat bertujuan mengagalkan agenda Anwar untuk jadi PM. Mulanya Pas menimbulkan kegelojohan Anwar untuk jadi PM. Kononnya bagi Pas langkah Anwar bertanding untuk menjadi perdana menteri itu sebagai tindakan kemaruk dan tidak digalak oleh Islam.

Dalam hal ini para penceramah Pas sampai mengemukakan hadith Nabi kononnya Islam melarang sesiapa yang kemaruk untuk menjadi pemimpin. Mereka yang membaca Hadith ini tanpa mengkaji keadaan semasa,  lupa bahawa keperluan untuk Anwar menjadi PM bukan sehari dua, tetapi ia wujud sejak 20 tahun lalu. Gerakan Reformasi yang mereka sendiri juga menyertainya dahulu antara lain bertujuan untuk menobatkan Anwar sebagai PM, bukannya Abdul Hadi Awang.

Yang mahukan Anwar menjadi PM bukan dirinya sendiri tetapi rakyat. Kalau pun sejuta kali Anwar mengininya jika rakyat menolak beliau tetap akan gagal menjadi PM. Para penceramah Pas yang berhati busuk dengan Anwar sengaja merekayasakan perkara ini bagi menimbulkan kebencian kepada Anwar.


Takiyuddin kata Anwar hilang kelayakan. 
Mengenai pengampunan.
Kedua Pas mempersoalkan kelayakan Anwar. Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan dalam satu sidang akhbar menyeru pengundi agar tidak memilih Anwar kerana jika Anwar menang ia akan dibatalkan kerana Anwar tidak layak dari segi undang-undang untuk menyertai pilihan raya itu.

Alasan Takiyuddin kenapa Anwar tidak layak kerana tidak mendapat pengampunan penuh (free pardon) daripada Yang di-Pertuan Agong. Dalam tafsiran ilmu kepeguamannya, Takiyuddin berpendapat Yang diPertuan Agong hanya memberi pengampunan sekadar membebaskan Anwar dari penjara dan bukan kebebasan penuh (full pardon) melayakkan Anwar bertanding dalam pilihan raya.

Mustahil sebagai seorang pengamal undang-undang Takiyuddin tidak memahami apa maksud pengampunan bebas yang dinyatakan dalam kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Istana Negara. Seharusnya beliau mendapat penjelasan lanjut daripada pihak Istana mengenai hal itu sebelum membuat tanggapan melulu agar tidak diketawakan umum. Bukankah Pengurus Pilihan Raya Port Dickson telah menerima borang pencalonan Anwar dihari penamaan calon 29 September. Tidakkah dengan penerimaan itu bahawa Anwar sah dan layak untuk bertanding?

Sebenarnya apa ditimbulkan Takiyuddin itu sebagai tektik dan helah semata-mata. Apabila beliau menyeru agar pengundi tidak mengundi Anwar sebaliknya mengundi calon Pas, apa diingini agar calon Pas memenangi pilihan raya berkenaan. Itu motifnya. Tidakkah sekiranya apa yang didakwakan Takiyuddin itu benar kalau pun calon Pas atau mana-mana calon lain menang nanti juga terbatal apabila dibantah menggunakan alasan penyertaan Anwar sebagai tidak layak?

Cara atau taktik Pas itu sangat buruk. Dari sisi politik pula penyertaan Pas itu tidak memberi apa-apa keuntungan politik kepadanya bahkan ia menggambarkan sikap tidak istiqamah Pas dalam prinsip siasahnya. Jika penyertaan itu sebagai fardu kifayah kenapa di Pirake Balakong Pas tidak menyertainya?

Seperti saya sebut diatas tadi, seharusnya Pas memberi laluan membiarkan proses penggantian pemimpin daripada Dr Mahathir kepada Anwar secara licin dan lancar, dimana kalau itu Pas lakukan parti itu akan turut mengutip manfaatnya.

Kenapa Pas tidak nampak  perkara ini? Hari ini khabarnya Selentia, juga sudah mencari Anwar di Port Dickson atas alasan kehadirannya sebagai pemerhatian politik. Sesekali sekala elok juga Pas menerima pakai ilmu politik Selentia yang tidak bermoral itu kerana ia ternyata lebih bermanfaat daripada politik bermusuh, benci membenci dan berpegang kepada syariah yang longgar seperti mana diamalkan Pas selama ini.

Masa masih ada kalau Pas ingin membaiki semula nawaitunya dengan mengarahkan calonnya (lupa nama) untuk menarik diri dan Pas menyatakan sokongan kepada Anwar.  [wm.kl.6:37 pm 05/10/18]

3 comments:

  1. Salam! Letihnya diriku memikirkan. Sejak aku mula mengundi pada 1986 PAS pilihan hati. Tapi aku tak faham kenapa dalam kes ini mengapa Anwar begitu dibenci. Apakah Anwar hanya akan dipuja setelah mati. Bagiku Manfaat akan diperolihi oleh semua rakyat Malaysia yang punya hati. apa lagi masyarakat Melayu Islam sejati. Aduhai saudaraku hentilah berbalah begini. Bimbang keberanianmu dicabut Ilahi.

    ReplyDelete
  2. Pas bertanding salah.tak bertanding cakap angkat bendera putih..semua salah pas..

    ReplyDelete
  3. Bila Danyal kosongkan kerusi PD dan PRK perlu diadakan semula (untuk Anwar) Pas yang suci sudah menunjukkan benci dan dengkinya kepada Anwar. Berbagai komen keluar dari saf Pas.

    Terkeluar dari mulut Haji Hadi kata biar Tun M TAMATKAN sepenggal sebagai PM!

    Tapi Haji Hadi yang sama sewaktu nama Tun M dicadangkan oleh Pakatan Harapan sebagai calun PM dari PH mengatakan orang sudah tua duduk rumah bermain dengan CUCU!

    Dia jugak kata rakyat Malaysia dan pengundi PD kena belajar dari negara Amerika yang memilih Presiden negara dari seorang yang tak bermoral. Haji Hadi kata Anwar tak bermoral......

    Dia lupa Pas dapat Terengganu tahun 1999 dulu bila Anwar yang tak bermoral itu cabar Tun M pada tahun 1997/8. Dia jugak lupa tahun 2004 dia hilang kembali Terengganu. Kenapa?

    Kalau Anwar tak bermoral, adakah Haji Hadi seorang pemimpin yang maha suci, bersih dan syumul itu cekap dan mahir mentadbir Terengganu?

    Politik Haji Hadi tak kemana jika dibandingkan dengan cermat dan bijaknya Ustaz Fadhil Noor dan TGNA berpolitik.

    Sudah sampai masanya Haji Hadi beri laluan kepada Tuan Ibrahim sebagai Presiden Pas yang baru.

    ReplyDelete