Tuesday, November 6, 2018

Kenapa harus curigai MP Umno sertai Bersatu?

ULASAN 

PENGHIJRAHAN bekas pemimpin Umno khasnya yang berstatus sebagai wakil rakyat tidak disenangi dan dibuat berbagai andaian dan tohmahan. Terutamanya desas desus ada bekas-bekas menteri kanan akan menyertai Bersatu mereka dianalogi dengan berbagai cara. Penghijrahan dan desas desus itu diberi pandangan negatif oleh para pemimpin parti PH sendiri.

Klimeks timbul kebimbangan itu apabila A Kadir Jasin menulis mendedahkan ada 40 orang wakil rakyat akan menyertai Bersatu. Kenyataan Kadir itu agak ekstrem. Saya pula melihatnya lebih kepada gimik. Gempar politik semata-mata dimana ia adalah kepakaran orang seperti Kadir selaku seorang journalist.

Saya telah memberi penjelasan dari sumber yang saya tahu, apabila ada mesej personal yang dihantar kepada saya bertanya sejauh mana kebenaran apa dinyatakan Kadir itu. Tanpa menafikan keseluruhan angka itu, memang ada wakil rakyat Umno dikenal pasti bahkan telah berjumpa dengan Dr Mahathir Mohamed, tetapi jumlahnya tidaklah sampai 40 orang. Dari risikan dan sumber saya kalau pun ada angka yang akan menyertai Bersatu tidak sampai 10 orang.

Penyertaan ahli parlimen Jeli Mustapa Mohamed ke dalam Bersatu hanya beberapa harti selepas Kadir membuat kejutan, dianggap permulaan desas desu itu. Penyertaaan Mustapa itu seakan boleh diterima sebagai kenyataan Kadir itu benar, sekaligus menyebabkan pemimpin PH, termasuk Anwar Ibrahim sendiri terganggu tidur. Juak-juak dan golongan "taasubiyyah" Anwar pantas membedal tindakan itu dan ada yang menyifatkan 40 orang yang dinyatakan Kadir itu sebagai sebagai "40 penyamun" dalam filem Ali Baba dengan 40 Penyamun.

Parti Amanah Negara juga terikut tidak selesa dengan gimik Kadir itu apabila timbalan presidennya Salahuddin Ayub memberi peringatan dengan menyifatkan penghijrahan wakil rakyat Umno itu sebagai pelarian politik. Beliau mengingatkan agar PH berhati-hati menerima pelarian politik. Gelajaran pelarian itu agak busuk sedikit kerana pelarian adalah orang yang tidak ada negara sendiri yang hidup terpaksa merempak. Sedangkan bagi saya "pelarian" itu sebenarnya penghijrahan (imigran) yang dirancang.

Kenapa harus bimbang dengan penghijrahan itu kalau pun ada? Para pemimpin PH tidak perlu gopah gapah membuat kenyataan yang orang boleh faham maksud dan maknannya dimana akhirnya menggambarkan kenaifan diri sendiri. Sepatutnya pemimpin PH melayan desas desus itu dengan lebih lunak dan menggambarkan politik bertahap tinggi. Lebih penting cuba membaca untung dan lada di sebalik apa yang berlaku demi negara bukan diri sendiri.

Di sini sekali lagi saya nak tegaskan, bahawa angkanya tidak sampai 10 orang pun. Walaupun ada rundingan termasuk untuk membawa wakil rakyat Umno secara en-blok, tetapi ia tidak semudah itu. Ada pemimpin Umno mencadangkan kemasukan itu bukan secara individu tetapi seharusnya secara en-blok seperti mana berlaku kepada parti Semangat 46 dulu. Namun ia tidak dipersetujui. Ertinya kini ura-ura itu 40 orang wakil rakyat Umno hendak sertai Bersatu itu palsu dan gagal.

Perlu difahami.  Daripada jumlah 48 orang wakil rakyat Umno yang tinggal kini mereka terbahagi kepada tiga kelompok. Satu yang berminat dengan Bersatu, satu lagi yang mahu Umno terus kekal sebagai pembangkang berprinsip, dan satu lagi yang mahu menjadi kuasa tambahan kepada Anwar Ibrahim untuk jadi PM.

Puak yang mahu jadi kuasa tambahan kepada Anwar ini diketuai oleh Zahid Hamidi. Manakala kumpulan yang berminat untuk menyertai Bersatu ialah wakil rakyat terdiri daripada bekas menteri yang berpotensi untuk dilantik menjadi menteri. Sementara kumpulan ketiga pula mahu terus mengekalkan Umno sebagai parti yang mencabar kerajaan PH. Nampaknya Tengku Razaleigh Hamzah lebih cenderung kepada kumpulan ketiga ini.

Sebelum ini kesemua 52 orang wakil rakyat Umno telah menyerahkan diri mereka kepada Zahid. Mereka akur apa sahaja keputusan dan tindakan Zahid. Katanya mereka sudah menanda-tangani surat kuasa (SD) dan diserahkan kepada Zahid. Mereka akan mengikut apa sahaja keputusan Zahid.

Kenyataan Dr Mahathir pula perlu diteliti. Kata beliau bukan semua wakil rakyat Umno boleh menyertai Bersatu. Beliau memberi jaminan kepada mana-mana wakil rakyat yang tidak ada kes mahkamah yang akan diterima. Ertinya bukan semua.

Kenyatan Dr Mahathir ini apa yang dapat ditafsirkan beliau mahu mereka yang bersih sahaja. Bukan itu sahaja keperluan untuk menerima ahli Umno ini khasnya di kalangan bekas menteri kerana beliau ada maksud dan keperluan tersendiri. Beberapa orang bekas menteri yang katanya telah berbincang dengan Dr Mahathir dan Muhyiddin Yassin atau disebut berpotensi ialah termasuk Hishamuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Idris Jusoh selain Mustapa Mohamed menjadi orang terawal.

Keperluan mereka ini saya nampak bagi membantu Dr Mahathir untuk mengukuhkan kabinetnya. Sebagai seorang PM Dr Mahathir harus memikirkan kedudukan dan kemantapan kabinetnya bukannya berseronokkan dengan jawatan sebagai imbuhan. Baginya keperluan menggerakkan kabinetnya itu lebih penting selepas mendapat kuasa. Tidak ada guna dia menjadi PM dan memimpin negara jika tidak dapat mencapai matlamatnya. Dr Mahathir seorang yang sangat praktikal.

Keperluan itu juga logik sekali kerana terdapat beberapa menteri dalam kabinet kini tidak berkemampuan kerana berbagai sebab. Masih ada yang belum mengetahui bidang tugas yang boleh dilakukan dengan jawatan eksekutif itu. Justeru ada keperluan untuk mereka ini harus ditukar ganti. Keberadaan mereka dalam kabinet akan mencacatkan kabinet Dr Mahathir.

Di sinilah Dr Mahathir memerlukan mereka yang berpengalaman untuk menggerakkan kabinetnya. Tidak ada guna melantik orang yang tidak dapat menjana kabinetnya kerana ia merugikan masa, tenaga dan wang.

Bagi Dr Mahathir soal seseorang itu penyokong kuat parti atau tidak, tidak perlu apabila beliau sudah mendapat kuasa. Kuasa yang ada sekarang ini adalah untuk memenuhi segala apa yang dijanikan kepada rakyat. Maka itu apa yang beliau fokus kini ialah keberkesanan kabinet.

Saya rasa kalau agakan ini benar, Dr Mahathir hanya akan melakukan pertukaran anggota kabinet yang melibatkan daripada partinya sahaja. Beliau tidak akan mengusik menteri-menteri dari parti lain. Jadi menteri atau parti komponen lain tidak perlu bimbang dengan langkah Bersatu menerima wakil rakyat Umno itu. Kedudukan menteri mereka tidak akan terganggu dan diganggu oleh Dr Mahathir. Nasib dan masa depan mereka akan ditentukan oleh parti mereka, itu adalah konsensus.

Oleh itu kepada menteri (dari Bersatu) yang merasakan mereka tidak mampu elok redha dan bersedia untuk ditukarkan. Dan mereka yang mempertahankan menteri itu perlu dilihat dari sudut kejayaan dan prestasi menteri itu bukan kerana dilihat kepada peluang yang mereka perolehi daripada menteri itu, misalnya dapat kerja baik apabila menteri itu mengambil mereka bekerja.

Sementara menteri dalam parti-parti lain yang lemah, ia boleh diserahkan kepada pertimbangan pemimpinnya. Pemimpin yang baik ialah sedia mengorban dan insaf diri. Jangan jadi menteri kerana kita ada peluang tetapi hasilnya nol. Jika berpegang dengan sikap itu maka kerajaan Harapan tidak akan ke mana. Menteri yang tidak berfungsi adalah menteri yang makan gaji buta.

Dalam pada itu Anwar Ibrahim sendiri juga tidak perlu cemas dengan desas desus yang berlaku. Beliau juga pasti mahukan barisan kabinet yang kompeten apabila beliau jadi Perdana Menteri nanti. Apakah Anwar mahu jadi PM, sebagai memenuhi impiannya sedangkan anggota kabinetnya bertaraf cap ayam?

Makanya, desas desus penghijrahan wakil rakyat Umno khasnya yang berpotensi untuk menjadi menteri memperkuatkan kabinet Dr Mahathir hendaklah diterima dengan baik dan tidak perlu dicurigai berdasarkan sentimen dan emosi. 

Menteri jangan takut dan bimbang dengan kedudukan mereka. Jika mereka yang mampu dan dapat tunjukkan prestasi, mereka tidak akan diapa-apakan. Perlu diingat setelah lima bulan lebih kabinet dibentuk dan anda menjabat jawatan menteri, Dr Mahathir memberi markah buku rekod anda sekitar 40 hingga 50 sahaja. Anda perlu tambahkan peratus hingga 60 hingga 70 dalam tempoh sebulan lagi. saya yakin jika anda gagal anda akan dibuang dan digantikan dengan orang lain. [wm.kl.11:26 am 06/11/18]

No comments:

Post a Comment