Sunday, December 30, 2018

Bersatu ambil alih tugas dan tanggungjawab Umno

ULAS UCAPAN DASAR

Dr Mahathir sedang menyampaikan ucapan.
DEWAN PICC bergema dengan laungan “Hidup Tun”, “Hidup Tun” oleh lebih 1,200 perwakilan di perhimpunan agung ke- 2 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM). Laungan itu beremosi sebaik sahaja Dr Mahathir selesai menyampaikan ucapan dasarnya.

Cara Dr Mahathir “landing” — mengakhiri ucapannya dengan sedikit emosi menyebabkan perwakilan tersentuh lantas bangun memberi tepukan dan laungan semangat buatnya. Para pemerhati dan tetamu khas termasuk Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Hasanuddin Md Yunus juga ikut sama terkelam.


Saat suasana ini berlaku, momentnya sungguh menghiris jiwa apabila kelihatan ada perwakilan yang menggelapkan air mata kerana ianya tersentuh perasaan.

Antara tetamu khas, Hasanuddin, Anwar dan Kit Siang.
Kata-kata, Dr Mahathir yang membayang dan bertanya apakah beliau masih boleh berucap lagi pada tahun depan, menguasai perasaan hadirin menyebabkan mereka bangun melaung memberi semangat dan tepukan gemuruh. Kata-kata Dr Mahathir itu diterima dengan konotasi berbagai, tetapi yang jelasnya sesuatu yang membimbangkan.

Siti Hasmah ikut terkelam mendengar ucapan Dr M.
Wajah isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali juga kelihatan dibaluti kesayuan tatkala mendengar Dr Mahathir mengucap dan bertanya demikian. Umum tahu usia yang dimiliki PM itu kini adalah usia yang sudah penghujung.

Dalam usia 94 tahun tidak seharusnya beliau berdiri di rostrum menyampaikan ucapan sedemikian rupa. Setelah 22 tahun beliau menjadi PM, seolah-olah tempoh dua dekad itu belum boleh merehatkan beliau daripada berjuang untuk bangsa dan negara.

Dr Mahathir mengambil 50 minit menyampaikan ucapan dasarnya yang ikut disiarkan secara langsung oleh televisyen swasta dan streaming. Beliau membangkit dan memberi penekanan kepada soal membina Melayu, menstrukturkan agenda untuk memulihkan negara yang dirosakan oleh kerajaan UBN.

Beliau memberi keyakinan dan semangat bahawa masa depan Melayu berada di tangan banga Melayu sendiri. Pesanan dan penawar ini sesuatu yang asas sekiranya Melayu ingin maju dan setanding dengan bangsa lain.

Dalam membina kekuatan diri dan menjaga maruah bangsa juga beliau mengingatkan bukan ada jalan mudah, dan perlu bersikap berdikari. Untuk menyaksikan bangsa Melayu kuat dan dapat berdiri teguh beliau sekali lagi konsisten dengan pegangannya agar Melayu tidak terus diberi "tongkat".

Pengerusi PBBM itu juga tegas mengatakan komitmennya dan tanpa apologetik untuk memperjuang dan membela maruah bangsa. Beliau tidak peduli kepada cemuhan dan tuduhan ke atasnya.

Ujarnya biarlah beliau dituduh rasis kerana memperjuangkan bangsa, asalkan bangsanya tidak ditimpa nasib buruk.

“Tidak mengapa saya dikatakan rasis, tetapi asalkan bangsa saya tidak ditimpa keburukan,” ujarnya disambut tepukan bergemuruh perwakilan menggemai seluruh dewan.

Kesediaan Dr Mahathir untuk menerima apa saja tuduhan dan tanggapan kerana membela bangsa itu satu pengorbanan besar sekaligus menunjukkan iltizam beliau kepada bangsanya.

Mengenai maksud dan tanggungjawab persidangan itu, menurutnya ia dibuat bukan kerana kehendak perlembagaan atau takut kepada RoS semata-mata, tetapi bersidang untuk menyelamatkan bangsa. Dr Mahathir memperbetulkan persepsi terhadap sesuatu perhimpunan atau persidangan seumpama itu.

“Kita bersidang untuk menyelamatkan bangsa kita,” tegasnya. Ertinya persidangan seperti itu bukan wewenang tetapi harus diisi dengan sesuatu yang penuh bermakna dan membawa erti. Persidangan seperti itu bukan sekadar menjadi penghubung atau medan pertemuan sambil menguatkan ukhwah sesama ahli parti, tetapi menatijahkan erti perjuangan.

Seperti biasanya, Dr Mahathir, walaupun bangkit menjadi PM kedua, tidak pernah lekang daripada stailnya berucap. Subjek atau elemen yang tidak ditinggalkan ialah sinisme. Dr Mahathir suka menyinis dan menyindir dalam ucapannya. Ini cara Dr Mahathir dan menjadi identitinya.

Kali ini beliau mengungkit kepada mereka yang masih menerima dan mempercayai kepada Umno yang baginya sudah rosak total. Beliau menyebut ada orang percaya dengan Umno dimana masih mengharap parti itu dimana jika bergabung dengannya ia boleh membentuk kerajaan dan boleh jadi pemimpin kerajaan.

Beliau menempelak agenda dan kepercayaan kepada Umno itu sebagai ia hanya angan-angan Mat Jenin sahaja kerana Umno sudah tidak ada apa-apa lagi.

Dr Mahathir tidak menyebut atau menuju khusus kepada sesiapa mengenai rancangan atau persepakatan dengan Umno itu tetapi sesiapa yang memakan lada pasti akan merasai pedasnya.

Mengulas mengenai Umno selanjutnya, beliau kata parti itu sudah tidak ada apa-apa harapan lagi kerana ia dimusnahkan oleh pemimpinnya sendiri. Umno sudah rosak yang dirosakkan oleh pemimpinnya sendiri dan ia tidak boleh diharap untuk membela bangsa Melayu lagi.

Begitu juga dengan Pas, beliau membayangkan ada yang cuba untuk berbaik dan berpakat dengan Pas dengan harapan dapat membentuk kerajaan. Beliau tidak menghalang tetapi menyatakan keraguannya kepada Pas.

“Bagi saya Pas bukan pilihan,” katanya ringkas tetapi cukup menikam dan menjelaskan sikapn cengengnya kepada parti agama itu. Beliau mengucapkan demikian setelah mengenal akan telatah politik "congek cak dong" parti itu.

Lebih dua kali dalam ucapan itu Dr Mahathir menegaskan PBBM adalah parti Melayu yang memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan Bumiputera. Penjelasan itu menunjukkan PBBM kini telah secara global mengambil alih kedudukan dan fungsi Umno yang musnah atau terpesong daripada perjuangan asal sejak 2013, tepatnya selepas Najib mengambil alih.

Dalam ucapan itu juga Dr Mahathir memberi penjelasan serta menyapu kebimbang berkaitan dengan kemasukan ahli Umno ke dalam parti itu boleh menimbulkan masalah. Beliau memberi jaminan wakil rakyat Umno yang menyertai PPBM tidak akan dilantik menjadi pemimpin sehingga pilihan raya ke 15.

Mustapa Mohamed
Bagaimana pun beliau membayangkan, mereka bekas ahli Umno akan diterima setelah mereka menunjukkan kesetiaan dan keikhlasan untuk membela Melayu. Sebelum diterima mereka harus membuang budaya Umno dan mesti melalui ujian kesetiaan. Dan tidak salah kalau PPBM atau Dr Mahathir sendiri mengambil manfaat daripada mana-mana ahli Parlimen Umno yang bersamanya seperti Mustapa Mohamed dan lain-lain.

Kehadiran individu seperti Mustapa itu sebagai bekas menteri berpengalaman dan dikenali sebagai orang kuat bekerja bermanfaat untuk kerajaan.

Penjelasan itu membuang keraguan sesetengah pihak yang mengira kemasukan beramai-ramai ahli Umno ke dalam PBBM boleh menggugat kedudukan mereka, terutamanya yang kini memegang jawatan penting dalam kerajaan seperti menteri. Golongan menampakkan alergik dengan mereka ialah dari kalangan Armada.

Dalam masa sama juga penegasan itu bagi menghentikan tanggapan dalam komponen PH sendiri yang resah dan meraban dengan kemasukan beberapa ahli parlimen Umno ke dalam PPBM, ketakutan itu tidak berasas langsung dan kebimbangan (kebencian) kepadanya sehingga ada yang melepas jawatan, tindakn itu sesuatu yang dangkal dan politik orang belum baligh. [wm.kl.10:35 am 30/12/18]

No comments:

Post a Comment