Thursday, January 10, 2019

Jika sistem penggiliran diteruskan Tengku Abdullah akan jadi Agong ke 16?

RENCANA KHAS

Tengku Abdullah, Raja Nazrin dan Tengku Ibrahim
PELETAKAN jawatan Sultan Muhammad Ke V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 Ahad lepas bukan satu petaka besar kepada negara, bagaimana pun ia satu kejadian agak mengejutkan.

Pengunduran baginda tanpa sebab dijelaskan secara konkrit itu sedikit mengilankan dan menghampakan, lebih-lebih bagi rakyat negeri Kelantan yang dianggap negeri asing kerana pemisahan politik selama ini.

Rakyat Kelantan berharap dengan sultannya bersemayam di atas singgahsana itu, sultan mereka sedikit sebanyak dapat merubah persepsi dan aksi politik negara ini khasnya di negeri itu. Tidak dapat dinafikan nasib Kelantan tidak sebaik negeri-negeri lain selama ini.

Apabila Tengku Faris Petra Sultan Ismail Petra mengangkat sumpah menjadi Yang di-Pertuan Agong, rakyat Kelantan menyambutnya dengan penuh gembira dan bersyukur. Apa diharapkan kesempatan itu akan membawa keberkatan dan kelebihan kepada Kelantan Darul Naim.

Itulah harapan besar rakyat Kelantan. Namun sayang sejuta kali sayang, panas tidak sampai ke petang bumi Kelantan tertimpa juga dengan hujan airmata dengan apa yang telah berlaku. Apa paling mengilankan baginda berundur sebelum separuh penggal perkhidmatan selama lima tahun.

Baginda baru menjadi Yang di-Pertuan Agong masuk ke tahun kedua. Baginda mengangkat sumpah pada 13 Disember 2016.

Telah menjadi nasib negeri Kelantan, sultan mereka tidak dapat menghabiskan tempoh memegang jawatan tertinggi negara itu sampai habis. Sebelum ini nenekanda baginda Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang sebelum ini menjadi Yang di-Pertuan Agong ke 6, juga tidak sempat menamatkan tempoh perkhidmatan kerana selepas tiga tahun memegang jawatan baginda mangkat.

Sehubungan itu kini timbul persoalan umum, sultan atau raja daripada negeri manakah yang akan mengganti tempat Sultan Muhammad ke V itu. Mengikut perlembagaan kekosongan itu perlu diisi seberapa segera yang boleh kerana ia membabitkan pentadbiran dan perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

Kini timbul sedikit perdebatan dan semacam kontroversi pula siapa pengganti Agong itu. Sepatutnya situasi dan kekalutan ini tidak perlu berlaku pun, kerana formula atau petua untuk memilih seseorang sultan menjadi Agong sudah sedia ada.

Penggantian ini boleh berlaku secara senyap dan penuh tertib yang diuruskan oleh Majlis Raja-Raja (MRR) yang mempunyai kuasa mutlak menentukan penjawat itu menurut peraturan-peraturan seperti dimaktub dalam perlembagaan serta tradisi yang sudah sedia berlaku.

Tetapi nampaknya polemik dan kontroversi itu tidak dapat dielakkan. Soal siapa pengganti Agong ini tetap menjadi persoalan dan membentuk aura suspen di kalangan rakyat. Bagi rakyat yang obses dengan perkara ini semacam kedudukan negara kini seolah tidak sah kerana tanpa Yang di-Pertuan Agong.

Barangkali beginilah stail dan budaya Melayu, mereka tidak mudah akur kepada ketetapan dan tradisi yang sedia ada. Begitu juga dengan apa-apa persetujuan yang telah dicapai, tidak diyakini atau sedia dipatuhi.

Seperti siapa pengganti Dr Mahathir Mohamad sebagai PM, walaupun sudah ada persetujuan selepas Dr Mahathir, adalah Anwar Ibrahim, tetapi ada yang mahu mengugat dan mengubahnya? Usaha itu menyebabkan persoalan siapa PM selepas Dr Mahathir terus menjadi pertanyaan dan ia satu perkara belum tertitik nokhtah.

Maka begitu juga dengan pelantikan Agong baharu ini yang perlu dimuktamadkan pada 24 Januari ini. Jika diikutkan kepada tradisi, adat penggiliran akan diteruskan. Kalau mengikut penggiliran, maka persoalan ini tidak timbul dan menjadi polemik dan cakap-cakap lagi. Sudah tersedia sultan yang akan mengambil atau memenuhi jawatan itu.

Walaupun sistem penggiliran itu bukan peraturan rigid dan wajib, tetapi itulah amalan dilakukan raja-raja sebelum ini bagi menunjukkan pelantikan itu berjalan dengan teratur dan penuh beradat. Dan selama ini setelah 15 pelantikan Agong ia berjalan penuh beradat dan berdaulat tanpa menimbulkan apa-apa ketulahan?

Menyelak media massa, baik cetak, elektronik dan media sosial, kini ada lebih daripada satu nama sultan yang ditayang sebagai layak atau patut dinobatkan sebagai Yang di-Pertuan Agong baru. Mereka ialah Sultan Perak, Raja Nazrin Muizzuddin Shah Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah , Sultan Johor, Tengku Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan terbaharu Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Mulanya nama Raja Nazrin berada diurutan teratas dan baginda dilihat sesuai memandangkan baginda kini sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan berkebetulan pula telah menjadi pemangku menjalankan tugas-tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong selama dua bulan sepanjang Sultan Mohammad ke V memohon bercuti atas alasan kesihatan.

Kedudukan itu menyebabkan orang menyuluh Raja Nazrin adalah pengganti yang sesuai. Maka disiarkan gambar baginda bersama Perdana Menteri yang ceria dan sumringah yang “dipukul” semasa baginda menjalani tugas-tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong. Ia menampakan keberadaan Raja Nazrin itu amat serasi.

Bagaimana pun nama Raja Nazrin disulami pula dengan nama Sultan Johor,  Tengku Ibrahim. Tengku Ibrahim yang sebelum ini dikatakan banyak mengalah(?) (bermurah hati), tiba-tiba dikatakan bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong baru. Mungkin kerana senggangan usia berbanding dengan Raja Nazrin menyebabkan ia dilihat lebih senior.

Baginda sendiri juga digambarkan berminat untuk berada di singgahsana itu. Spekulasi mengatakan Dr Mahathir akan menghadap baginda hari ini (Khamis 10 Januari) semakin merancakkan spekulasi itu. Ia juga seakan memberi gambaran keinginan Tengku Ismail untuk menjadi Agong.

Dicelah-celah dua nama sultan itu kini muncul pula satu nama lagi. Tiba-tiba sahaja nama Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah ikut sama disebut untuk diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong. Disebabkan Tengku Abdullah kini sebagai Pemangku Sultan, maka baginda akan ditabal sebagai Sultan Pahang terlebih dahulu.

Usaha dan adat istiadat untuk penabalan itu khabar sedang diatur. Tengku Abdullah yang berada di London dikatakan telah dipanggil pulang untuk urusan itu.

Sekarang ini ada tiga nama yang dispekulasikan akan diangkat sebagai Agong bagi menggantikan  Sultan Muhammad Ke V.

Sebenarnya berdasarkan sistem penggiliran di kalangan raja dan sultan ketiga-tiga mereka layak dan mempunyai argument kuat untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke 16. Kerana kesemua sultan atau raja negeri-negeri lain sudah dua kali menjadi Agong. Hanya sultan dari negeri Perak, Johor dan Pahang baharu sekali, atau satu pusingan.

Untuk rekod sistem penggiliran ini bermula dengan Sultan Negeri Sembilan dan berakhir dengan sultan Perak 1994. Jadi penggiliran yang kedua harus dimulai dengan sultan Negeri Sembilan dan seterusnya.

Dan sekiranya formula penggiliran diambil kira, daripada ketiga-tiga Sultan itu, Sultan Pahang dikira sebagai berhak sekali. Berikut diturunkan senarai Sultan yang pernah berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong.

1. Negeri Sembilan: 31 Ogos 1957 - 1 April 1960
Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad

2. Selangor: 14 April 1960 - 1 September 1960
Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah

3. Perlis: 21 September 1960 - 20 September 1965
Almarhum Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail

4. Terengganu: 21 September 1965 - 20 September 1970
Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin

5. Kedah: 21 September 1970 - 20 September 1975
Almarhum Tuanku Al- Haj Abdul Halim Mu’ adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah

6. Kelantan: 21 September 1975 - 29 Mac 1979
Almarhum Tuanku Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim

7. Pahang: 26 April 1979 - 25 April 1984
Sultan Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah

8. Johor: 26 April 1984 - 25 April 1989
Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail

9. Perak: 26 April 1989 - 25 April 1994
Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Ghafarullahu-lah

10. Negeri Sembilan: 26 April 1994 - 25 April 1999
Almarhum Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman

11. Selangor: 26 April 1999 - 21 November 2001
Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj

12. Perlis: 13 Disember 2001 - 12 Disember 2006
Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail

13. Terengganu: 13 Disember 2006 - 12 Disember 2011
Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah

14. Kedah: 13 Disember 2011 - 12 Disember 2016
Almarhum Tuanku Al- Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah

15. Kelantan: 13 Disember 2016 - 6 Januari 2019
Sultan Muhammad V - meletak jawatan

Dari senarai dan giliran ini menampakkan kepada kita dengan jelas sultan mana lebih patut dan berhak. Diingatkan sepanjang proses penggiliran Sultan diangkat menjadi Yang di-Pertuan Agong selama ini tidak pernah melanggar jujutan ini.

Sebenarnya soal memilih sultan mana untuk jadi Agong tidak timbul sebab kita sudah ada formula atau kaedah tersendiri. Yang jelas dan hak mutlak memilih Agong terletak kepada MRR.

Justeru kita rakyat tidak perlu gaduh dan bimbang. Ia bukan menjadi hak rakyat untuk memilih Agong. Negara atau kaedah dan formula sudah ada. Perdana Menteri sendiri tidak boleh mencampuri hak mutlak itu. Sekurang-kurang tiga elemen yang menentukan pelantikan seseorang Agong, pertama adat, kedua tradisi dan ketiga perlembagaan.

Tiga elemen ini menjadi asas kepada pemilihan mana-mana daripada sembilan sultan yang ada. Jika ada unsur lain menodai tiga elemen ini nescaya pemilihan dan pelantikan itu akan cacat.

Sebagai kesimpulannya, bagi saya dari tiga Sultan yang kini dispekulasikan atau dilobi untuk diangkat menjadi Agong, Sultan daripada negeri Pahang lebih layak. Sekiranya pemilihan Sultan Pahang untuk menjadi Agong, maka sudah tentu Tengku Abdullah yang kini menjadi pemangku Sultan Pahang akan ditabal terlebih dahulu sebagai Sultan.

Berdasarkan peraturan dan amalan itu, maka Yang di-Pertuan Agong ke 16 akan jatuh kepada Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Dan sekiranya pemilihannya akan jatuh kepada nama lain daripada Tengku Abdullah atau bukan Sultan Pahang maka ada sedikit semacam kecacatan dalam sistem penggiliran ini. [wm.kl.2:50 pm 10/01/19]

No comments:

Post a Comment