Sunday, January 27, 2019

PH jangan anggap dirinya arnab, Umno-Pas sebagai kura-kura

ULASAN PIRAKE CH

KEMENANGAN calon langsung BN Ramli Md Nor dalam Pirake Cameron Highlands sudah tentu disambut penuh kegembiraan, bakaran kemenyan dan dupa berkepul-kepul bukan sahaja oleh Umno, tetapi Pas juga. Pas berhak untuk tumpang seronok dengan kejayaan BN itu kerana kemenangan itu di atas sokongan dan suyfaat parti itu. Kemenangan itu adalah kemenangan bersama.

Bahkan, Paslah paling gembira dengan kemenangan itu. Bagi Pas kemenangan itu boleh melepaskan rasa geram dan marahnya kepada PH yang membentuk kerajaan sekarang ini. Kemenangan itu bagi Pas boleh dijadikan 'batu lastik' untuk melastik kepala orang-orang Parti Amanah Negara (Amanah) kerana mereka adalah bekas kawan dan sahabat mereka yang dianggap khianat kerana bersekongkol dengan DAP.

Sudah tentu Pas akan melakukan sesuatu lebih bermakna selepas ini. Perkara ini sudah pun dibayangkan oleh presidennya, Abdul Hadi Awang yang bersabda, apa-apa yang baik dicapai dalam pilihan raya itu akan diteruskan. Kesan kepada pilihan raya itu nanti katanya akan diguna pakai untuk merancang masa depan bersama.  Berdasarkan kenyataan itu sudah tentu Pas akan merapat dan memperketatkan lagi hubungan kerjasama.

Kerana pilihan raya itu membawa kesan positif, Pas tidak perlu menunggu lebih lama lagi untuk menggarapkan kerjasama menyeluruh dengan BN termasuk menyediakan terma-terma politik dan menandatanganinya untuk masa akan datang.

Pilihan raya itu juga sebagai testimoni buat orang-orang Pas, apakah mereka sedia patuh atau tidak kepada arahan pucuk pimpinan parti. Apabila BN menang besar, ia menjelaskan ahli bawahan Pas patuh, saamit naa, waata' naa, dengan apa yang disuarakan oleh pemimpinnya.

Jadi keraguan dan kebimbangan ahli bawahan akan protes dengan arahan-arahan baru pemimpin waima ia kontradik dengan pengangannya sebelum ini tidak timbul lagi.

Lagi pun dalam politik demokrasi ciptaan Barat ini, tidak ada strategi yang kekal dan fasis. Politik itu sendiri bersifat dinamik. Dengan apa yang berlaku tampaknya ahli Pas baik atasan dan bawahan dapat menerima politik matlamat menghalalkan cara, atau Machiavellianism.

Mengambil kira semangat kerjasama di Pirake itu, seandainya, kalau dalam Piraum lalu kerjasama mantap di antara keduanya mungkin BN masih berkuasa dan Najib Razak masih lagi jadi PM dan Hadi sudah pun mendapat imbuhannya. Tetapi sayang Pas "betat" membaca politik atau terlalu berhati-hati sehingga tertinggal perahu.

Mengenai pilihan raya kecil itu, berbagai ulasan dan kesimpulan yang dibuat oleh semua orang. Ada yang tuntas ada sebaliknya. Ada yang logik, ada rasional ada yang siniskal dan bersifat humours. Semuanya boleh diambil kira untuk dirumuskan mengikut persepsi dan selera sendiri-sendiri.

Di sini saya tidak perlu untuk menghuraikan panjang lagi, memberi ulasan kerana sudah banyak ulasan berbagai-bagai. Lagi pun sedikit sebanyak apa dibayangkan dalam posting sebelum mengundi di dalam blog ini sudah dibayangkan apa yang berlaku.

Awal-awal lagi dengan memerhati beberapa petunjuk 72 jam sebelum mengundi, Pirake itu berpihak kepada BN. Terbesar ialah apabila PH gagal untuk menguasai undi Melayu dan memecah benteng pertahanan BN di Dun Jelai. Semasa kunjungan Dr Mahathir Mohamad ke pekan Sungai Koyan, 24 jam sebelum mengundi untuk bertemu mata dengan masyarakat Orang Asli, tidak sampai 10 orang pun berwajah mirip peneroka Felda Sungai Koyan nampak menjenguk ke majlis itu?

Di situlah tanda awal kekalahan PH sudah kelihatan dengan jelas.

Cuma apa yang tidak terfikir, semasa membuat telahan,  bahawa PH tidak mudah untuk menang dengan majoriti dicapai BN. Ia tidak terfikir begitu besar sampai 3,238. Majoriti itu adalah besar apa lagi berbanding pencapaian dalam Piraum lalu hanya 597. Majoriti yang dikira munasabah  ialah dibawah 1,000. Tetapi apabila ia melepasi 3,000 lebih ia adalah besar dan mengejutkan.

Dalam pilihan raya semalam calon BN, Ramli Md Nor mendapat 12,038 manakala calon PH Monagaran 8,800 dan dua calon bebas, Salahuddin Ab Talib 314 dan Wong Seng Yee 276.

Bagaimana pun dari segi matematik politik pencapaian itu tidak boleh dibanggakan sangat oleh BN apa lagi untuk meletakkan parti itu sudah pulih dan mendapat keyakinan rakyat kembali. Ini kerana ia adalah kombinasi bersama Pas. Ia bukan pencapaian BN secara peribadi. Jika BN meraih undi tanpa Pas baru ia boleh dianggap kejayaan dan berlaku pemulihan sokongan kepada BN.

Sekiranya Pas ikut sama bertanding, kemungkin lain jadi corak pilihan raya itu. Kemungkinan ia mengekalkan status quo. Paling tidak kalau BN menang pun dengan majoriti sama dengan diperolehi dalam Piraum lalu sekitar 500 undi.

Dalam pilihan raya itu calon BN mengutip sebanyak 12,038 undi. Sekiranya jumlah undi dalam pilihan raya semalam, ditolak dengan undi Pas sebanyak 3,587 (seperti dalam pilihan raya lalu) ini bermakna undi BN sekitar 8,450 Ini menunjukkan status quo dan ia mengharuskan untuk PH memenangi pilihan raya itu.

Elemen yang penting diambil kita dalam sesuatu pilihan raya ialah angka. Walaupun PH kalah tetapi tidak banyak undinya merosot. Berbanding dengan pilihan raya lalu PH mengalami kekurangan sebanyak 910 undi sahaja.

Sementara penambahan kepada BN pula sebanyak 1,731 undi. BN tidak boleh mendabik dada menunjukkan kekuatanya kerana ia adalah kombinasi dengan Pas. Kemerosotan undi PH itu juga sedikit sebanyak disumbangkan kepada pengurangan jumlah peratus keluar mengundi, sebanyak 68.79% keluar mengundi, berbanding 78.49% dalam pilihan raya lalu. Ini bermakna ia berkurangan sebanyak 9.7%.

Apapun kalau kita menerima BN dan Pas sudah sah bersama, pencapaian itu membanggakan dan memberi petanda buruk kepada PH di masa akan datang. Boleh jadi juga kalau persepakatan sudah rasmi calon BN akan mendapat undi lebih besar. Dengan mengambil kira pola pengundian di kawasan seperti Cameron Highlands itu - luar bandar dan pendalaman, ia memberi keselesaan kepada BN.

Justeru pencapaian pilihan raya itu tidak boleh dijadikan bayangan kepada suasana politik di seluruh negara. BN tidak boleh jadikan asas di Cameron Highlands itu untuk meletakkan suasana baharu politik negara terkini. Kerana kita tahun Cameron Highlands, terutamanya Dun Jelai adalah kubu Umno dan semasa berlangsung pilihan raya kecil itu ia diwakili oleh Menteri Besar Pahang. Status wakil rakyatnya sebagai MB memberi signifikan besar dan memberi kelebihan tersendiri kepada parti diwakilinya.

Pencapaian BN itu boleh diperkirakan ia adalah gambaran terkini bahawa sokongan orang Melayu kampung masih kepada BN dan Umno. Mereka tidak mempedulikan kehadiran PH sebagai kerajaan. Bagaimana pun di kawasan pinggir bandar dan luar bandar pola dan pegangan politik masyarakatnya berbeza.

Ertinya BN tidak boleh menjadikan tanda aras hakiki dengan pencapaian di Pirake Cameron Highlands itu.

Di pihak PH pula kekalahan itu perlu diambil beberapa iktibar yang serius. Bukan bermakna apabila calon anda sudah menjadi calon parti kerajaan anda perlu selesa dan tidak perlu bekerja kuat. Saya nampak dalam Pirake itu jentera PH tidak sekuat jentera BN sesama pilihan raya umum lalu ataupun tidak sekuat dan semantap ketika Pirake Port Dickson dahulu. Persepakatan di antara empat buah parti tidak menyerlah. Masih ada yang membawa nafsu nafsi sendiri.

Misalnya semasa di Sungai Koyan saya tercari-cari di mana pos atau bilik gerakan PH yang digerakkan oleh PKR, Bersatu dan DAP. Yang ada hanya rumah (pos) yang digerakkan oleh Amanah. Ketiadaan rumah-rumah parti komponen ini menjadi jentera PH menunjukkan tidak ada persepakatan.

Apakah keadaan ini berlaku kerana PKR, Amanah dan Bersatu tidak menonjolkan disebabkan tidak senang dengan calon PH? Kalau benar begitu bermakna persepakatan dalam PH masih belum padu dan mendarah daging serta masih mengheret sentimen kaum dan agama masing-masing?

Seperkara lagi yang perlu diingat, PH tidak mempunyai apa-apa kelebihan sebagai parti kerajaan. Ini berlaku kerana kerajaan sekarang ini obses kepada konsep role of law kononnya untuk menjaga integriti kerajaan. Kerana obses kepada hal ini ada kalanya menampakkan PH kini semacam "tongol", tidak tahu diri dan sedar diri.

Bayangkan Dr Mahathir selaku perdana menteri untuk turun ke Sungai Koyan terpaksa menyewa helikopter swasta bagi mengelakkan daripada dikatakan menggunakan jentera atau kemudahan kerajaan. Tidakkah tindakan itu boleh dikatakan tongol atau berjurus tidak kena tempat. Jadi PH sebagai parti memerintah tidak mempunyai apa-apa kelebihan di sepanjang menghadapi pilihan raya itu.

Penjagaan integriti seperti ini atau menghormati role of law sampai ke takah ini bagi saya tidak praktikal dan menunjukkan kerajaan PH kini lurus bendul bukan lurus sodep.

Kegagalan PH menawan kerusi Cameron Highlands itu perlu dijadikan sempadan dan iktibar. Ia tidak boleh pasrah begitu sahaja dengan menganggap, kerusi itu memang kepunyaan BN, atau pun senario sebegitu sememangnya berlaku di kawasan luar bandar. Politik Pak Anih tidak boleh diamalkan. Ada beberapa perkara yang perlu dilihat serta diperbaiki oleh PH, seandaianya ia tidak mahu jadi parti yang memerintah sepenggal sahaja.

Sekiranya PH berpuas hati dengan keadaan yang ada, tidak mustahil BN - Umno dan Pas akan  terus bergerak mengambil semangat daripada kemenangan itu untuk mengejar PH dari belakang. Dalam hal ini PH jangan menganggap Umno dan Pas sebagai kura-kura demam yang cuba mengejarnya, yang menganggap dirinya Arab putih yang lincah. Nyanya nanti. [wm.kl.11:22 am 27/01/19] 

No comments:

Post a Comment