Sunday, May 19, 2019

Ketua Pengarah Yapeim tunggu hari untuk terima hukuman

ULASAN

Fuziah Salleh
BUKAN mudah untuk orang menerima kerencaman politik dan segala macam tektik dan strateginya (Machiavellianism) untuk memenangkan sesebuah parti. Penyokong dan simpatisnya akan melakukan apa sahaja tindakan, hatta dilarang agama demi mengharap partinya menang. Apa lagi mereka yang mengira partinya memberi rezeki dan meletakkanya di tempat istimewa maka lagilah seseorang itu akan bermati-matian mempertahankannya.

Begitulah apa berlaku kepada seorang lelaki gantang, yang dikatakan sebagai Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim). Apabila ditularkan klik videonya yang memberi kata dua dan ugutan kepada kakitangan dibawahnya, ia sungguh memedihkan telinga. Saya sendiri tatkala mendengarnya sakit dan pedih anak telinga. Hentaman dan sindirannya sehingga menyebabkan terkeluar sisa-sisa tahi telinga. Teruk.

Seperti mana ditular itu, lelaki gantang itu memberi amaran kepada kakitangan jangan memilih PH kalau mahu senang. Beliau memberi gambaran sekiranya kerajaan BN tumbang masa depan mereka tidak terjamin, kemungkinan semua akan hilang kerja dan terpaksa balik kampung tanam jagung.

Tidak cukup itu demi untuk memastikan kerajaan Kleptokrasi pimpinan Najib Razak kekal berkuasa beliau mengugat akan membuat semakan dengan pihak SPR satu persatu bagi menentukan kakitangannya undi BN atau PH. Oh sampai begitu sekali.

Itu boleh dimaafkan lagi, tetapi apabila dengan sinis menyuruh kakitangannya meminta kerja dengan DAP sekiranya PH menang, ia berunsur rasis, perkauman. Kata-kata ugutan itu tidak wajar dizahirkan oleh seorang bertaraf seorang ketua, Ketua Pengarah di institusi ada kaitan dengan agama.

Jika kata-kata itu daripada orang bawahan tidak menjadi masalah, kerana mereka cetek ilmu dan penuh emosi. Tetapi kalau seorang Ketua Pengarah berbuat dan berlagak begitu ia sangat menyesal dan mengecewakan.

Kerajaan yang didokongnya telah kalah 9 Mei 2018. Sepatutnya apabila kerajaan didokongnya kalah, KP itu sewajarnya meletak jawatan secara terhormat. Dia kena bertanggungjawab dengan apa yang diucapkan dan harus malu kepada diri sendiri. Namun dia masih tercatuk di situ. Masih mendampingi menteri-menteri dalam kerajaan hari ini. Disebabkan dia tidak segera mengambil tanggungjawab itulah saya kira kenapa klik video itu disebarkan sebagai peringatan kepadanya.

Sikap tidak bertanggungjawab ke atas yang dilakukan itulah menambahkan kemarahan orang ramai khasnya dikalangan penyokong PH. Bagaimana mereka tidak marah, mereka yang begelumang untuk menguasai kerajaan, tiba-tiba menang tetapi Ketua Pengarah seperti itu masih tercokol disitu, tanpa ada apa-apa tindakan diambil ke atasnya. Bagi mereka muka-muka oportunis begitu tidak perlu menempel di mana-mana sudut dalam kerajaan. Mereka tidak patut diberikan tempat kerana ada ramai lagi sang setia berkebolehan dapat memenuhinya.

Disebab saking marah itulah, apabila kerajaan seperti masih mendiamkan diri tanpa tindakan, menyebabkan berbunyi berbagai kecaman kepada sikap kerajaan itu. Ia termasuklah terhadap Timbalan Menteri di Jabatan Perana Menteri, Fuziah Salleh yang mengeluarkan kenyataan menyerahkan nasib KP itu kepada Lembaga Pengarah Yapeim. Sebenarnya apa yang disebutkan Fuziah itu adalah prosuder yang diamalkan, tetapi lantaran kemarahan ia dilihat sebagai kerajaan berlembut.

Saya juga mempunyai fikiran dan perasana sama tatkala mendengar kenyataan Fuziah itu. Bagaimana pun saya masih meletakkan kenyataan beliau "profesional", maksudnya berpegang kepada peraturan yang ada. Sebagai Timbalan Menteri, beliau perlu menuturkan mengikut peraturan yang ada. Apa-apa tindakan yang perlu diambil henaklah mengikut prosuder.

Kita faham dengan cara Fuziah itu. Seperti mana katanya, kerajaan PH tidak bersikap membalas dendam untuk bertindak ke atas mana-mana pegawai kerajaan apa lagi mengambil kira atas apa-apa yang lepas kerana cara itu tidak ia tidak profesional.

Tetapi bukan semua orang dapat menerima kenyataan Fuziah itu. Luapan kemarahan dan geram mengatasi kewarasan dan peraturan yang perlu dipatuhi.

Sebenarnya ada betulnya kata-kata dan sikap diambil Ahli Parlimen Kuantan itu. Sekiranya PH bertindak kejam dan bersikap membalas dendam, ia tidak ada bezanya kerajaan PH dengan kerajaan BN sebelum ini. Kenyataan beliau itu lebih untuk menunjukkan perbezaan cara kerajaan PH mentadbir.

Di zaman kerajaan BN, mana-mana kakitangan yang tidak cenderong kepadanya akan ditukar dan dikenakan tindakan. Usahkan untuk mengecam mengugut seperti dilakukan KP Yapeim itu, untuk hadir mendengar ceramah pembangkang (ketika itu) pun mereka akan dikenakan tindakan tata tertib bahkan ada yang ditukar tempat kerja dan sebagainya.

Misalnya ada mereka yang menyertai demostrasi membangkitkan Reformasi diambil tindakan sehingga dipecat kerja 24 jam.

Tindakan kejam dan zalim begitulah yang cuba dibeza dan dielakkan oleh kerajaan PH hari ini seperti disebut Fuziah itu. Justeru semua pihak kena faham kenapa kalau Timbalan Menteridi Jabatan Perdana Menteri itu mengeluarkan kenyataan demikian. Dan sememangnya mengikut prosuder dan tatacara kerja, proses untuk dikenakan tindakan mesti melalui saluran tertentu bukan langsung oleh mana-mana menteri walaupun mereka ada "kuasa" itu.

Berbalik kepada isu KP Yapiem itu dengan memahami kenyataan Fuziah itu, saya tidak fikir pihak Lembaga Pengarah Yapeim atau Menteri sendiri tidak peka mengenai masalah itu. Isu KP itu tentu sudah sampai ke pengetahuan mereka.Sebelum klik video itu ditular pun saya rasa sudah ada maklumat mengenai tindak tanduk KP itu. Sudah tentu ada orang dalam yang memaklumkan kepada menteri?

Apabila ia tular, maka maklumat itu menjadi luas dan sahih. Sekiranya ada usaha untuk menutup dengan tujuan hendak selamatkan KP itu ia tidak boleh dilakukan lagi. Budu sudah terdedah kepada orang ramai. Dan sesiapa yang cuba membelanya, mereka pasti akan dimarahi.
Dan laporan polis oleh Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil menyebabkan kasus itu sudah menjadi rasmi. Polis akan menjalankan siasatan berhubung klik video itu. Sekiranya siasatan menunjukkan orang yang bertutur dalam klik video itu, KP dimaksudkan itu, tidak ada sebab lagi untuk tidak diambil tindakan. 
Apabila Fuziah pula mengatakan ia akan diserahkan kepada ahli Lembaga Pengarah, ini bermakna proses siastaan sudah pun bermula dan tindakan tetap akan ada. Kita semua hanya perlu sabar dan berikan sedikit masa untuk melihat natijahnya.
Klik video lelaki gantang sebagai Ketua Pengarah Yapeim itu, statusnya tidak sama dengan klik audio yang menyerupai suara Nik Abduh Nik Abduh Aziz yang hebuh dahulu. Dalam kes Nik Abduh itu hanya ada suara sahaja, tetapi tidak ada wajah. Berbeza dalam kes KP itu ia bukan sahaja ada audio tetapi visual sekali. Jelas nampak misai cuma tidak boleh dibilang berapa urat sahaja.

Dengan memahami prosuder yang perlu dilalui oleh pihak-pihak tertentu dalam mengambil tindakan ke atas KP itu, kita semua perlu tenang dan bersabar. Apa yang perlu diterima, ialah biarlah tindakan dan proses itu diambil sesuai dengan kehemahan kerajaan hari ini yang mengamalkan ketelusan dan mementingkan integriti dengan mengikut prosuder yang sedia ada.

Mengambil kira kehangatan isu ini, saya percaya ia akan diselesaikan dalam kadar segera. Orang bertanggungjawab perlu diberi hukuman setimpal "kesalahan" yang dibuatnya. Boleh jadi juga sebelum Lembaga Pengarah membuat keputusan, orang berkenaan terlebih dahulu mengambil langkah memikul tanggungjawabnya itu. Itulah sebaik-baiknya. Kalau kita jahat dan kotor, jangan sampai orang menggelarkan kita jahat dan kotor elok kita sendiri mengambil langkah mengelakkan tuduhan itu dilempar kepada kita.

Dan diharap juga kepada pihak berwajib khasnya Lembaga Pengarah tidak akan membuat pertimbangan ke atas apa-apa yang tidak wajar untuk menuntaskan isu ini. Tindakan secara profesional perlu diambil. Saya diberi tahu orang berkenaan katanya kini sedang mencari lalang perlindungan? Katanya dia sudah memberi tahu seseorang yang dia adalah ahli sebuah parti dalam PH.

Menjadi ahli parti kepada mana-mana parti komponen PH itu tidak boleh diterima untuk memaafkan atas perbuatan yang dilakukan. Komponen parti dalam PH tidak seperti parti agama dimana jika menjadi ahlinya ia akan menjadi ahli syurga secara automatik. Tidak.

Kalau saya jadi beliau, saya bertanggungjawab atas apa yang dikatakan itu. Saya tidak akan tunggu sampai Lembaga Pengarah Yapeim mengumumkan tindakan dan hukuman, sebaliknya berundur lebih awal meninggalkan jawatan itu kerana kerajaan yang ada sekarang ini bukan lagi kerajaan BN, tetapi kerajaan PH dimana salah sebuah parti yang menjadi tunggak dalam kerajaan PH ialah DAP, parti yang disuruh oleh lelaki gantang itu untuk mendapatkan kerja.  [wm.kl.1:26 pm 19/05/19]

No comments:

Post a Comment