Sunday, May 5, 2019

Memburu Sein Ta Lone Myanmar

CATATAN PERJALANAN
[Siri Pertama]
  
Pemandangan sebahagian bandaraya Yangon
dari jendela pesawat.
TANGGAL 1 Mei lalu saya ke Myanmar dalam misi apa yang saya namakan "kemanusiaan" dan “perdagangan”. Misi ini bukan misi tanggungan kerajaan atau pun diatur mana-mana agensi. Ia lebih kepada misi peribadi yang pernah dilalui saya sebelum ini; Misi Kemanusiaan.
  
Sebelum ini sudah beberapa misi seumpama itu diadakan atas inisiatif Senator Husam Musa yang ikut saya serta, seperti Aceh semasa dilanda tsunami 2004, dan juga ke Turki dalam membantu pelarian anak-anak yatim Syria dan lain-lain.

Dan kerana pemergian atau musafir menjelang Ramadhan 1440/2019 saya ke Myanmar bersama Husam yang baru dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Pertanian Kemubu, maka saya namakan misi "kemanusiaan dan perdagangan". Husam dengan kapasiti itu sudah tentu berjalan sambil terus mencari dan menimba idea untuk menggerak agensi yang baru diamanahkan kepadanya itu.

Sebagai simbolik lawatan, Husam dipersembahkan
dengan Sein Ta Lone. 
Dan saya pula selaku sang pencatat perjalanan ini akan lebih memberi tumpuan kepada hal ehwal kemanusian negeri yang dahulunya dikenali dengan Burma ini.

Sebagai negara tua di Asia Tenggara yang telah melalui berbagai evolusi kerajaan, daripada sistem beraja kepada pemerintah Junta (tentera) kepada demokrasi sosialis, ia mempunyai sejarah hidup dan kehidupan tersendiri yang terlipat dan sesetengahnya tidak pernah diongkar.

Burma atau Myanmar yang mendapat kemerdekaan hampir serentak dengan negara-negara Asia Tenggara lain (1948) jadi seperti tertutup kerana sistem pemerintahannya selama ini, khasnya semasa berada di bawah pemerintah Junta. Dari konteks kemerdekaan Myanmar merdeka lebih awal sembilan (9) tahun berbanding dengan negara kita.

Hasrat lama.

Sebenarnya, sudah lama saya berhasrat untuk sampai ke negara ini bagi mengetahui dan menyelidiki apa yang ada di sebaliknya. Burma atau Myanmar tidak banyak diketahui tentangnya, kecuali perihal sungai Irrawaddy yang membentuk delta atau lembah yang subur untuk pertanian.

Manakala hutannya pula pernah mengeluarkan hasil balak yang bermutu tinggi. Disamping itu Myanmar juga terkennal dengan industri perlombongan dan mengeluarkan batu pertama (bahan mineral) bermutu tinggi, seperti Delima, Zamrud, Jed dan lain-lain.

Itulah yang diajar dalam buku Ilmu Alam (Geografi) yang menjadi silibus pada tahun 70an dahulu.

Kecantikan mango Sein Ta Lone hingga
disebutkan sebagai berlian.
Mengenai kemanusiaan dan sifat dan kehidupannya dimana-mana buah negeri tidak ada dalam buku Ilmu Alam, atau Geografi, atau diceritakan secara mendalam.

Hal ini dapat kita ketahui hanya dengan cara menapak sendiri ke sesuatu negeri itu. Begitu juga dengan keadaan manusia dan suasana di negeri-negeri lain, kita akan dapat menghadaminya dengan menjejak sendiri ke sesebuah negeri itu. Inilah falsafah dan tujuan pengembaraan yang dituntut oleh agama.

Apa yang menyebabkan saya menanam hajat kesekian lama untuk ke Myanmar ialah sejak meletusnya tragedi pembantaian dan agenda etnik cleansing ke atas masyarakat Rohingya di negeri atau propinsi di sebelah Utara ibu negeri itu di Yangon.

Di mana di Arakan yang kini dikenali dengan nama Rakhine berlaku pembantaian manusia sejak lebih 200 tahun lalu ekoran pencerobohan kerajaan Burma ke atas Arakan. Ia menjadi kian menggila pada era tahun 2000-an dan boleh dianggap kemuncak maha zalim semasa pemerintah Junta dibawah pimpinan Jeneral Ne Win. Plan pembasmian Rohingya 20 tahun (Rohingya Extermination Plan), adalah pengistyharan perang dan penghapusan etnik beragama Islam itu yang dilakukan oleh kerajaan Junta.

Itu yang ditanggapi oleh dunia luar.

Laporan media massa yang dibuat secara tidak adil memberi gambaran buruk terhadap apa yang berlaku di Arakan itu. Dan kita di luar ini pula disumbat dengan pelbagai kejadian sadis dan zalim ke atas saudara seagama kita di Arakan itu. Bukan sahaja masjid, rumah ibadat mereka dibakar, tetapi kampung halaman mereka juga rentung, harta benda dirampas.

Kejadian itulah yang mengajak kita untuk mendekatinya dan menyebabkan air mata kita tidak pernah kering menangis nasib mereka. Seluruh umat Islam di dunia bersimpati dan berdoa untuk Rohingya.

Sehingga sekarang sudah lebih sejuta kaum Rohingya telah mengungsi menjadi pelarian ke negeri-negeri lain, termasuk sampai ke negara kita sendiri. Kejadian yang disifatkan sebagai kezaliman terhebat di Asia itu memanggil sesiapa sahaja untuk ke sana. Dan saya juga tidak terlepas merasa simpati tinggi terhadap apa dialami oleh kaum Rohingya.

Sejarah dan nasib masyarakat Islam Rohingya yang kini masih belum ada penamat dan terus menjadi cerita ini akan dikisahkan diepisod lain jika ada kerajinan dan jika ada kesempatan. Di posting ini saya hendak mencatat mengenai permergian pertama kali ke Myanmar ini bersama Husam dan empat anggota rombongan yang lain dibawah misi; Kemanusiaan dan Perdagangan.

Memburu Sein Ta Lone.

Seperti saya sebut tadi misi Husam ke Myanmar berbeza dengan misi peribadi saya walaupun ia bergumpul maskud yang sama untuk memburu kelazatan Sein Ta Lone, sejenis mango (pauh) yang dihasilkan oleh bumi Myanmar. Sein Ta Lone, kedudukannya (mutu) sama dengan Alphonso atau Bangapalli di India atau pun Harum Manis di Malaysia. Sein Ta Lone yang beraroma wangi dan rupa bentuk dan warna yang kekuningan lumus (cerah). Ia menjadi buah kebangsaan Myanmar.

Ia mango yang termahal di Myanmar menyebabkan ia juga digelar sebagai berlian. Harga perkilo sampai mencecah puluhan RM dan menjadi hidangan wajib (pembuka selera) orang-orang kaya dan Raja.

Idaman ini wujud sejak tahun lepas lagi, khasnya setelah kami selesai memburu berbagai jenis mango di New Delhi India. Husam, seperti mana diketahui beliau adalah politis ilmuan yang mempunyai citarasa dan hobi yang pelik dalam dunia pertanian. Kehebatan beliau dalam bidang pertanian menjadi pilihan tepat sebagai Pengerusi Kada oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.

Tidak sia-sia Salahuddin memberi peluang kepada Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan itu untuk membantunya di kementerian itu dengan melantik menjadi Pengerusi Kada.

Justeru saya cukup yakin pemergian Husam ke Myanmar membawa misi satu dalam dua tujuan, untuk menikmati Sein Ta Lone dan mencari idea-idea dan teknik baharu dalam bidang pertanian khususnya penanaman dan penghasilan padi. Misi itulah juga yang diharp-harapkan Salahuddin.

Kedatangan kami ke Myanmar tidak kekok, kerana ia dipermudahkan apabila kedatangan kami disambut oleh dua ahli perniagaan rakyat Malaysia. Kebetulan pula kedua mereka berasal daripada Kelantan, Tan See Seng dan Wan Rusli Wan Hassan. Tan berasal di Kota Bharu, manakala Wan Rusli berasal dari Semerak Pasir Puteh. Mereka sudah lama berhijrah menjalankan perniagaan di Myanmar, pada masa negara itu masih lagi dibawah sistem pemerintah Junta.

Sdr Wan Rusli di sebelah kiri saya. 
Keberadaan Tan dan Wan Rusli di Myanmar mengesahkan mengenai sifat dan keberanian orang Kelantan merantau dan berdagang jauh di bumi orang. Sebenar selain mereka berdua ada beberapa lagi rakyat Malaysia yang menjalankan perniagaan di Myanmar khasnya dalam bidang perikanan. Abang Tan, Tan See Lim memiliki retoran, My Kitchen.

Jadi kami ke Myanmar adalah untuk memburu Sein Ta Lone. Sebenarnya Husam telah merencanakan awal-awal permergian ke Myamanr. Dua ahli perniaaan asal Kelantan yang sudah bermukim lebih 20 tahun di Yangon itulah menjadi penghubung kami dan secara tidak langsung sebagai pemandu pelancong.

Sesampai kami di lapangan terbangan antarabangsa Yangon, kedua merekalah menyambut kedatangan kami berlima. Mereka ini saya kira mempunyai konteks dan kenalan vvip ramai di Myanmar, apabila kami diberi laluan khas untuk urusan passport di laluan Diplomatik.

Bukan itu sahaja ruang dan peluang kami berjumpa dengan beberapa pihak berkuasa dan pengusaha dan ahli perniagaan termasuk dengan seorang menteri kabinet juga atas pertolongan dan jasa mereka. [sitiwan. prk. 11:10 pm 05/05/19] Bersambung.

No comments:

Post a Comment