Monday, July 22, 2019

Himpunan di atas dua bukit...

ULASAN LEWAT

Antara tetamu Vip di majlis Azmin.
MALAM tadi telah berlangsung dua himpunan di dua bukit; satu di Bukit Segambut di kediaman Anwar Ibrahim dan satu lagi di Bukit Melawati di kediaman Menteri Besar Selangor.

Kedua-dua dibuat di atas bukit, lokasi yang agak tinggi dan mempunyai kenyamaan berbeza. Kedua-dua himpunan itu membawa maksud yang sama, untuk mendapat petunjuk dan keampunan daripada Allah swt.

Baguslah kalau pihak penganjur majlis itu masih ingatkan Tuhan. Dan bagus dan membawa berkat pula kepada setiap yang menghadiri majlis berkenaan. Majlis, apa lagi yang paling baik dan mulia melainkan majlis ilmu? Tanpa kita nampak majlis itu turut sama dihadirin para malaikat.

Himpunan di rumah Anwar adalah himpunan rutin dan sudah menjadi amalan Anwar sejak lama dahulu. Majlis semalam dinamakan majlis, "Pelancaran Zikir dan Salawat Nurul Anwar," yang dipimpin oleh Kiyai dari Indonesia.

Golongan marhaen di majlis Anwar.
Sementara majlis di kediaman MB Selangor pula bertemakan: "Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran". Doa selamat untuk menolak apa dikatakan fitnah ke atas Menteri Ekonomi Azmin Ali berkaitan penyebaran video lucah Haziq, dan kesyukuran kerana Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador telah "melindunginya" daripada kes video menjijikkan itu.

Anwar memberi pesan dan nasihat,  agar jangan jadi
mereka yang merebut harta. 
Apapun kedua-dua majlis itu tidak dapat dielakkan daripada ia dianggap sebagai majlis politik kerana isu video lucah Haziq yang berlaku kini, dan kebetulan pula kedua hostnya adalah presiden dan timbalan kepada sebuah parti, Keadilan.

Agak malang dan mendukacitakan dua pimpinan tertinggi parti berada di dua majlis yang antara satu sama lain ini dianggap ingin bersaing di antara satu sama lain?

Kita yakin himpunan di kediaman MB Selangor itu tidak diadakan sesegera itu kalau bukan kerana isu video lucah itu. Justeru ia seakan dibuat semacam hendak bersaing atau sabotaj majlis di rumah Anwar yang ditetapkan lebih awal lagi.

Namun hakikatnya majlis di rumah Anwar berbeza dengan majlis di kediaman MB Selangor itu. Majlis di rumah Anwar adalah majlis rutin, ia bukan baru atau diadakan apabila timbul sesuatu isu. Bagi mereka yang sudah biasa dengan majlis keagamaan anjuran Anwar tidak pelik dan mudah menganggap ia adalah himpunan politik murahan yang diadakan kerana ada "tempua bersarang rendah."

Bukan baru Anwar mengadakan majlis agama, tazkirah, usrah dan sebagainya. Sejak memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) lagi beliau menjadikan rumahnya tempat berusrah dan menganjurkan majlis keilmuan, tahlil, bacaan Yassin dan solat hajat. Bagaimana pun mereka yang tersenggang dengan gerak juang Anwar tidak merasai akan kewujudan majlis itu dan mengira ia diadakan apabila timbul sesuatu isu.

Tidak jadi masalah.
Tidak menjadi masalah kalau Azmin atau sesiapa hendak menganjurkan majlis berdoa untuk Azmin Ali atau sesiapa yang ditimpa musibah. Tetapi yang menjadi kemusykilan kenapa ia diadakan di premis kerajaan seperti kediaman rumah MB itu. Kediaman MB Selangor itu adalah premis kerajaan. Sepatutnya premis itu dijaga tanpa membabitkan dengan himpunan politik murahan.

Kerajaan PH sangat mengutamakan soal integriti, ketelusan serta tidak melakukan penyelewengan secara wewenang, tetapi apabila rumah MB digunakan untuk bersolidariti untuk seorang ahli politik, ia menjadi sedikit cacat.

Azmin boleh mengadakan majlis untuk berdoa kepada Tuhan dan menolak fitnah terhadapnya itu di rumahnya sendiri atau di kediaman rasmi disediakan kerajaan di Putrajaya. Atau kalau rumahnya sempit dan tidak cukup ruang beliau boleh tempah mana-mana hotel lima atau enam bintang di Kuala Lumpur. Apakah maksud memilih kediaman MB itu untuk merangsang orang hadir kerana maklumlah kediaman MB sesuatu tempat eksklusif? Jika itu motifnya jika dibuat di hotel saya yakin tetamunya lebih ramai lagi.

Ke Bukit Segambut.
Malam tadi saya hanya berkesempatan ke Bukit Segambut sahaja tidak ke bukit Melawati. Teringin juga untuk menjenguk ke Bukit Melawati untuk melihat suasana dan juga bertemu kawan-kawan lama semasa Reformasi. Tetapi malang saya tidak memiliki Khawasul Qhawas yang memecah wajah dua atau tiga wajah. Bukan tujuan saya hendak membandingkan himpunan mana yang lebih besar dan ramai kalau saya berkesempatan ke kedua-dua majlis itu.

Cuma saya ingin tahu bagaimana watak dan martabat mereka yang hadir ke Bukit Melawati. Yang jelasnya mereka yang hadir di Bukit Segambut adalah mereka yang setia dengan Anwar sejak dari era Reformasi lagi. Kebanyakan mereka saya kenal, orang yang berpeluh pelai di jalan raya baik berdemonstrasi untuk membebaskan Anwar maupun membela rakyat. Mereka golongan marhaen yang tidak memiliki apa-apa kedudukan dan jawatan.

Mereka bukan terdiri daripada menteri atau pun pemegang jawatan dalam agensi-agensi kerajaan. Mereka juga tidak merupakan para kontraktor atau pedagang besar. Semasa memberi ucapan ringkas Anwar tidak pun mengumumkan sesiapa yang hadir, sama ada menteri, atau penjawat penting parti.
Jelas dari sini Anwar tidak mahu mengaitkan majlis malam tadi dengan politik walaupun saya percaya ada orang kenamaan di majlis itu.

Ia berbeza dengan majlis di Bukit Melawati, apabila Azmin mengumumkan seorang demi seorang VIP yang hadir dan berdiri bersamanya. Untuk apa Azmin membuat pengumuman itu kalau tanpa motif untuk menunjukkan sokongan kepadanya? Siapalah Azmin tanpa Anwar.

Dari sini orang dapat mengetahui siapa yang menggunakan majlis agama untuk berpolitik secara murah? Tidak perlu saya menghurai panjang, kerana semua dapat akses majlis malam tadi melalui pelbagai media sosial yang ada kini dan masing-masing boleh membuat penilaian sendiri.

Cuma bila mengenangkan majlis semalam, membaca dan mendengar ucapan kedua pemimpin itu, saya sukar apabila Azmin meminta supaya media massa tidak proveke atau melaga-laga beliau dengan Anwar. Kata Azmin, beliau masih bersama Anwar selaku timbalan presiden, sementara Anwar sebagai presiden. Satu pernyataan yang perlu disambut baik.

Sementara itu Anwar pula sempat memesan kepada wartawan yang mengerumuninya  di majlis semalam untuk mendapat komen politik. Anwar meminta wartawan agar tidak mempolitikan majlis yang diadakan itu dan menghormati privacy yang ada. Kenapa Anwar bersikap begitu, beliau tidak suka isu ketegangan beliau dengan Azmin ekoran video lucah berpanjang.

Anwar meminta wartawan menghormati majlis agama. 
Semalam Anwar sedikit terkilan sehingga terpaksa meninggi suara kepada wartawan, menjelaskan agar wartawan menghormati majlis tanpa cuba menimbulkan persoalan politik.

"Majlis ini majlis ilmu, majlis spiritual yang tidak sepatutnya dipolitikkan, dan anda (wartawan) perlu menghormatinya, tolonglah..." katanya Anwar. Mungkin sikap Anwar malam tadi agak kurang diplomasi, tetapi sebenarnya beliau berterus terang dan meminta sangat wartawan memahami keadaan dan tidak mempolitikkan semua keadaan.

Mungkin wartawan baharu, tidak mengetahui rutin yang diadakan di rumah Anwar. Ertinya mereka tidak membuat homework atau sengaja diarahkan oleh bos mereka untuk mendapat berita sensasi. Benar juga kalau Anwar maupun Azmin tidak begitu melayani wartawan khasnya berkaitan isu yang sedang menghangat kini kerana ia boleh menambahkan suasana buruk. Api yang sedang marak kini tidak perlu disimbah minyak.

Dasar media massa suka mensensasi berita kerana mereka mengharap ranking yang tinggi dan juga pembaca yang banyak untuk survive mereka. Mereka tahu modal terbaik untuk mereka ialah melagakan dua singa adik beradik itu. Pun begitu disebalik menjaga nyawa syarikat masing-masing mereka juga harus menjaga kepentingan orang lain dan bersikap penuh etika.

Kesimpulannya kedua-dua majlis di Bukit Melawati dan Bukit Segambut malam tadi, tidak banyak membawa kesan dan perubahan kepada apa yang ada melainkan ia dilihat satu pertembungan persaingan di antara Anwar dan Azmin sahaja. Pertembungan dan perlawanan semalam tidak dimenangi oleh sesiapa pun kerana saya percaya ramai yang menyesali atas apa yang berlaku. Mereka, rakyat yang mengharap mereka naik bersama, kesal dengan apa yang berlaku.

Kedua pemimpin itu seharusnya berada dalam satu majlis mengorak langkah bersama, bukannya saling cuba hendak menunjukkan keras kepala. Mereka sudah menggagaskan begitu lama perjuangan ini (Reformasi), melalui seribu liku dan kesengsaraan, masakan saat mahu mengapainya mereka berebutan. Lebih-lebih kepada Azmin yang dari sinoritinya dia adalah junior kepada Anwar harus lebih tunduk.

Kesetiaan ada haknya disebutkan Azmin itu juga tentu boleh dibalas oleh Anwar kerana kebaikan dan tolak ansurnya selama ini dengan Azmin juga ada had dan batasnya. [wm.kl.10:47 am 22/07/19] 

No comments:

Post a Comment