Tuesday, August 20, 2019

Belasungkawa untuk Utusan Malaysia yang belum mati

SUSUPAN PETANG

SEBELUM Manghrib tadi saya cuba menghubungi bekas wartawan kanan Utusan Malaysia semata-mata untuk mengetahui perkembangan akhbar berbahasa Melayu kedua tertua (52) selepas Berita Harian (62) itu untuk mengetahui macam mana nasibnya.

Apakah ia akan tidak diterbitkan esok seperti mana digembar gempurkan. Malangnya, sosok yang saya hubungi tidak mengangkat panggilan saya.

Terus saya jadi penasaran. Dalam portal berita belum ada maklum mengenai nasib Utusan Malaysia dan juga anaknya Kosmo yang turut sama dikatakan meneruma nasib sama.

Hanya baru selepas Maghrib tadi disiarkan berita memaklumkan kedua akhbar itu akan terus terbit esok disamping itu pihak pengurusan mengumumkan kenaikan harganya sebanyak RM0.50.

Hati saya lega, tumpang lega membaca berita pemakluman itu.

Sesungguhnya saya menumpang dukacita kalau akhbar itu tidak diterbitkan apa lagi terus ditutup. Walaupun saya tidak ada sentimental value dengannya kerna tidak berkerja, tetapi rasa sayang dan mencintainya tetap ada di jiwa saya. Penutupannya satu kemalangan kepada bangsa Melayu dan negara.

Akhbar itu besar peranan dalam membangun minda dan saksiah bangsa dan negara. Siapa pun tidak dapat menafikan peranannya. Mungkin kita tidak bersetuju apabila kita berada di satu pihak bertentangan dengan falsafah dan idelogi dikendungnya. Tetapi kalau kita berdiri di garis tengah memahami dan mengerti tugas dan peranan sesebuah media sepertinya mungkin kita boleh tidak terlalu marah dengannya. Kita hanya boleh menyesali disamping berdoa agar ia menjadi sebaik yang kita ingini.

Saya orang media tentu mengasihi dan menyintai Utusan Malaysia. Ketiadaannya sangat mengilankan. Saya melihat ia sebagai aset bangsa Melayu, apa lagi dalam ketika akhbar berbahasa lain terus bermaya.

Lagi pun apa lagi toys dan menu minda kepada orang seperti saya kalau bukan media seperti surat khabar salah satunya Utusan Malaysia selain buku. Apa yang tersangat terasa dan terkesan oleh saya ialah apabila memegang Utusan Malaysia, terasa saya memegang tangan dan hati Melayu. Tidak seperti memegang Berita Harian seakan memegang tangan Malaysia.

Perasaan tatkala memegang Utusan Malayisa berbeza dengan memegang akhbar lain, hatta Berita Harian walaupun ia seratus peratus berbahasa Melayu. Berita Harian adalah kembar seiras dengan The New Straits Times. Ia ala-ala kebaratan sedikit atau "janggak" (moden). Berbeza dengan Utusan Malaysia yang kembar seiras dengan kakaknya Utusan Melayu yang lebih awal sakit kemudian menemui maut.

Tiada kepentingan.
Saya tidak ada apa-apa kepentingan dengan akhbar berkenaan. Saya tidak pernah menjadi karyawannya. Tetapi sebagai orang Melayu dan berkebetulan pula pernah menjadi warga akhbar, jadi wartawan dan penerbitan akhbar sendiri (Siasah) sangat tahu susah payah, cabaran dan halangan menerbitkan sebuah akhbar. Apa yang menyedihkan sangat, memahami apabila akhbar atau penerbitan yang kita bangunkan dengan keringat dan air mata terpaksa diberadukan.

Dengan menggali perasaan dalam diri dan pengalaman itulah, apabila mendapat tahu berita akhbar Utusan Malaysia hendak ditutup saya tumpang sedih dan berdukacita. Saya sepanjang hari tadi, bahkan sejak malam tadi semacam kehilangan sesuatu yang saya tidak tahu apa.

Syukurlah pengimbauan perasaan itu tidak berpanjangan apabila mendapat berita pemakluman akhbar itu terus diterbitkan. Sama dengan pencita media lain saya juga berharap dan berdoa semoga Utusan Malaysia tetap hidup dan berpijak di bumi ini dengan memainkan peranannya selama ini. Dalam melihat Utusan Malaysia kita perlu pisahkan dengan Umno baru ia dapat mencipta sebuah perasaan yang jilah terhadapnya.

Janganlah kita bertindak lebih daripada itu hanya kerana kita tidak senang dengan haluannya. Kita harus rasional dan bersikap profesional dalam hal ini. Semoga pihak pengurusan dan penanggungjawabnya diberikan kekuatan dan keyakinan untuk terus melestarikan akhbar berkenaan. Saya setuju Utusan Malayisa adalah lambang kepada jiwa dan fiil orang Melayu yang perlu dipertahankan.

Ledakan media siber hari ini bukan alasan untuk kita melupainya, kerana ia berjasa mengepung sejarah besar untuk kita.

Ia mencaci, ia dengki, ia khianat, ia mefitnah, ia merajuk, ia bergaduh, ia mengadu domba, ia mencerca, ia memutar belit, dan ia memiliki apa-apa sahaja sifat yang ada kepada orang Melayu kerana Utusan Malaysia adalah akhbar milik Melayu berwajah Melayu dan berhati Melayu. Sebagai Melayu kita sangat faham mengenainya. [wm.kl.8:05 pm 20/08/19]

No comments:

Post a Comment