Tuesday, September 10, 2019

Annuar cuba meluruskan bayang yang belok

REAKSI ATAS REAKSI

Mujahid dan Annuar perkatakan
soal Piagam penyatuan Pam - Umno.
ANNUAR MUSA sebagai engin utama penyatuan Umno – Pam (Pas), telah mengeluarkan kenyataan media sebagai menjawab tulisan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Mujahid Yusof yang mempertikaikan Piagam penyatuan Pam dengan Umno yang akan ditanda tangani 14 September ini. Saya telah membaca kenyataan media Annuar itu dua kali dan cuba memahaminya.

Saya akan cuba mengupas dan menjawab persoalan ditimbulkan Annuar berkaitan dengan tulisan Mujahid itu. Jawaban dan ulasan saya secara berurutan dengan point-point yang beliau berikan. Kurang satu point untuk menjadikan 20 point yang diperkatakan oleh Annuar.

Di sini saya siarkan sepenuhnya kenyataan beliau, manakala ulasan, kupasan dan jawaban saya disusuli dibawahnya.

KENYATAAN MEDIA

1. Meneliti tulisan YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Naib Presiden AMANAH, mengenai PIAGAM UMNO-PAS yang bakal ditandatangani pada Sabtu 14 September ini, membuatkan saya tertanya-tanya ‘igauan’ apa yang sedang beliau lalui, yang membuatkan beliau menulis dalam keadaan berteka-teki dan cuba meramalkan apa intipati Piagam itu.

Ulasan saya: Mujahid tidak mengigau tetapi berada dalam realiti dan beliau mengupas bukan penaka berteka teki tetapi berdasarkan fakta disertainya, ada contoh dan sanadnya. Kronologi.

2. Lebih menganehkan beliau semacam tidak dapat menyembunyikan niat serongnya, apabila beliau cuba membuat “prejudgement” dengan memberi nilaian yang negatif walaupun beliau sendiri ternyata tiada sebarang maklumat mengenai apa itu Piagam UMNO-Pas.

Ulasan saya: Tidak ada maksud prejudgement dalam hal ini kerana beliau mengupas berdasarkan kepada fakta, juga kenyataan didengari daripada kedua-dua pemimpin yang hendak bergabung itu, dan jika ia cuba memberi nilai negatif itu sesuai kerana beliau berada di pihak bertentangan. Takkan Annuar jahil politik?

3. Keseluruhan tulisan beliau tersasar jauh apabila cuba membandingkan HPU914 dengan Majlis Pembentukan PAKATAN RAKYAT (PR) 2019 di Shah Alam. Jelas sekali beliau cuba meraba-raba di dalam kegelapan. HPU914 bukan majlis pembentukan satu GABUNGAN PARTI ALTERNATIF YANG BAHARU..belum lagi saudara Yb Dr Mujahid. Harap saudara dapat bersabar dan mengawal keresahan saudara.

Ulasan saya: Tidak tersasar dan tepat kerana HPU914 berbeza dengan Pembetukan Pakatan Rakyat (saya rasa dimaksudkan Annuar ialah Pakatan Harapan, sebab tahun disebutnya 2019 dan tempatnya di Shah Alam. Pakatan Rakyat tidak dibentuk di Shah Alam dan pada tarikh itu). Tak mengapa silap biasa dilakukan oleh manusia yang bernafsu, kena ralat. Mungkin dalam hal ini yang mengigau Annuar bukan Mujahid.

Kata Annuar HPU914 bukan pembentukan gabungan parti alternatif yang baharu. Kita tunggu ke mana hujung jatuhnya nanti. Saya rasa Annuar terjamah batunya sendiri dalam gelap, mengenai penafiannya ini.

4. UMNO dan PAS bukan parti berusia dua atau tiga tahun. UMNO dan PAS juga bukan serpihan kecil yang desperado mencari gabungan untuk hidup menerusi formula rapuh yang menggadai prinsip, maruah dan harga diri sehingga sanggup bersekongkol, membajai dan menyirami politik yang ternyata menyanggah kepentingan agama, bangsa dan falsafah asas negara. Ia kini semakin jelas negara dan rakyat sedang diheret secara songsang menuju kehancuran.

Ulasan saya: Benar Umno dan Pas bukan parti sehari dua, bahkan mereka mempunyai DNA yang sama. Kenapa kepentingan untuk berpiagam baharu wujud hari ini. Kenapa selama ini Annuar sejak kenal politik menentang dan melawan Pas. Semasa menjadi Menteri tidak terlintas untuk membantu Kelantan, bahkan menutup pintu pembangunan untuk Kelantan. Bukan ini sikap hipokrit?

Yang mengheret songsang rakyat hari ini bukan PH tetapi gabungan yang baharu hendak dibentuk itu cuba melahirkan sebuah gabungan yang sonsang. Mengenai Pam ini Annuar mungkin belum lupa dalam ceramahnya di Pengkalan Chepa satu masa dahulu beliau pernah bertanya, siapa lebih cerdik antara beliau dengan Nik Aziz.

5. UMNO dan PAS ada perancangan sendiri. Ia akan diketahui apabila sampai masanya. Sudah pasti ia sukar diramal oleh orang seperti Dr Mujahid, yang sedang tenggelam dalam kolam politiknya sendiri. Tergapai-gapai dan semakin lemas di kolam yang cetek.

Ulasan saya: Mengenai masa depan gabungan itu, bukan sahaja sukar diramal Mujahid dan sesiapa, Annuar juga. Politik itu bersifat dinamik. Dahulu Umno bergasak dengan Pas hari ini berbaik apabila sama-sama sakit. Apakah selepas sakit sembuh sedikit, tidak mungkin bergasak kembali. Politik sukar untuk telah. 

6. UMNO dan Pas mengambil langkah yang asas tetapi penting. Ummah yang parah berpecah-belah perlu disatu-padukan. Islam dan Pribumi adalah KELOMPOK TERAS kepada kewujudan negara bangsa. Ia merupakan TIANG SERI POLITIK NEGARA. Sekiranya ia patah atau lemah, politik negara tidak mungkin berdiri tegak. DI sinilah RAPUHNYA GAGASAN PH yang dianggotai oleh Dr Mujahid.

Ulasan saya: Setuju dengan pandangan itu, tetapi ke mana Annuar hendak lempar dan bolehkan nafikan suasana amalan politik multi racial yang berlaku hari ini. Bagi saya mereka yang ingin berkelompok secara assobiyyah adalah perbuatan tidak praktikal dan bercanggah dengan suasana dan realiti. Akan gagal atau kalau dicuba juga bakal menimbulkan ketidaktentuan dalam negara. Cara Umno dan Pam lakukan itu seakan mahu meruntuhkan pembangunan bangsa dan negara yang menjadi agenda selama ini.

7. Justeru, bukan soal survival UMNO atau Pas yang menjadi perhitungan. Apa maknanya jika sekadar 'survive' seperti PAN dan PPBM dalam PH sekarang. Itu bukan model yang mahu dibina oleh UMNO dan PAS.

Ulasan: Bohong kalau penyatuan itu bukan demi survive kedua parti itu. Islam bukan sahaja suruh mengikat tali sesama Islam, tetapi ia juga perlu mempedulikan bukan Islam. Inilah “bisa” dan hebattnya Islam. Di sinilah hikmah atau fatanahnya PH berbanding dengan Umno dan Pas mahu kembali ke zaman jahiliah politik assobiyyah.

8. Ketika ini, UMNO dan Pas berganding bahu mengubati luka parah kesatuan ummah. Kita secara komited mahu mendekatkan yang jauh dan menyatukan yang bercerai-berai. Selari dengan ajaran Islam itu sendiri, kita mengikat semula dengan Tali Allah, menyatukan ummah seperti mana diatur Rasulullah SAW. Taawun, sebelum tercipta Tahaluf.

Ulasan saya: Ummah Melayu belum parah tetapi ia sengaja direkayasakan oleh Umno dan Pas demi kepentingan politik mereka. Apa yang terikat kemas dalam perlembagaan mengenai hak Melayu, bahasa Melayu, Islam dan sebagainya sengaja dibutakan oleh parti Annuar.

9. Justeru pada 14 September 2019, bukan untuk mengumumkan PAKATAN BAHARU, dengan 'Common Policy Framework' (CPF) yang baharu. Belum lagi, masih terlalu awal dan setiap langkah disusun rapi agar serentak dan sederap.

Ulasan saya: Iya, tetapi dia sedang menuju ke arah itu. Apa guna bertunang kalau tidak diijab kabul, dan apa guna kalau sesudah ijab kabul dua-dua tidur berasingan. Cis.

10. Insya-Allah kita ada 'roadmap' yang bakal kita kembangkan secara organik. Kita tidak membawa TOTAL SOLUTION secara sekelip mata. Biar itu menjadi rahsia kami buat masa ini.

Ulasan saya: Apa maksud road map itu? Bukankah ia ke arah kerjasama politik lebih mendalam yang dinafikan itu. Annuar cemas untuk membawa total solution ini, seperti pembahagian kerusi dalam pilihan raya kelak. Di situlah nanti akan menyerlahkan kemunafikan bersama.

11. Malah apa yang bakal diisytiharkan, hanyalah SATU MUKA SURAT YANG MERUPAKAN RINGKASAN, dan dinamakan sebagai PIAGAM, manakala dokumen terperinci antara PAS dan UMNO yang juga ditandatangani pada 14 hb ini kekal sebagai dokumen dalaman kedua-dua parti.

Ulasan saya: Kenapa diisytiharkan satu muka surat sahaja dan dokumen lain menjadi rahsia Pas dan Umno. Nampak piagam ini hendak perdaya kaum lain dan ia bercirikan assobiyah yang tidak sesuai dalam konteks politik Malaysia. Penyembuyian butiran piagam ini bakal menjadi masalah kepada penggabungan ini. Kenapa tidak sahaja dicatat secara terang dalam Piagam itu, bahawa yang akan dinobatkan sebagai PM ialah Abdul Hadi Awang?

12. UMNO dan Pas amat kenal dengan siapa kami berdepan. Maka langkah kami langkah berhemat, langkah cermat insya-Allah.

Ulasan saya: Perdepanan atau yang dihadapi Pas dan Umno ialah DAP. Dalam bahasa umumnya bukan Islam. Kenapa sebelum ini Umno boleh bersama MCA, MIC dan lain-lain? Kenapa tiba-tiba hari ini tidak boleh dan memerangi mereka. Kalau selama ini Umno rugi, itu menunjukkan pemimpin Umno tidak bijasaksana. Apakah Umno kira mampu berhadapan dengan mereka apabila bergabung dengan Pas yang hanya tahu mengata dan mencerca tetapi tidak punya political strategi?


13. Yang pasti UMNO dan PAS akan bergerak dengan mendukungi aspirasi rakyat, menjadi lidah mata dan telinga rakyat, serta menjulang harapan jujur rakyat.

Ulasan saya: Ini juga retorik hendak sedapkan hati dan maniskan mulut. Sloganisme.

14. PENYATUAN UMMAH bukan bersifat 'one off' atau 'one event program'. Ia akan kita gerakkan sebagai satu gelombang rakyat. Rakyat pelbagai kaum, agama dan latarbelakang yang diharmonikan secara penuh kesedaran atas prinsip dan cara yang dipandu oleh Islam itu sendiri.

Ulasan saya: Sudah nampak ke mana hala tujunya, ke arah kerjasama politik. Tetapi kenapa sembunyikan, ceritalah secara jujur. Penyembunyian ini satu masalah besar kepada agenda itu.
15. Kerangka membina semula harus kukuh. Bukan penyelesaian mi segera yang kita cari. Jika tidak, kita AKAN MENGULANGI KEGAGALAN PH SEPERTI YANG SEDANG KITA SAKSIKAN SEKARANG. Ia amat mengecewakan rakyat.

Tidak perlu ulasan.

16. Formula PH ternyata palsu atau 'fake'. Penuh sandiwara. Janji-janji yang lunak mengecewakan rakyat. Baharu beberapa bulan mendapat mandat, mereka bercakaran sesama sendiri. Mereka tidak pernah fokus dengan agenda rakyat. Mereka masih dalam keadaan 'denial mode' dan menyalahkan orang lain. Mereka cuba memberikan gambaran situasi “lebih buruk dari yang sebenar” yang kemudiannya benar-benar menjadi lebih buruk. Pada masa yang sama mereka terpalit dengan skandal demi skandal yang amat memalukan. Setiap minggu negara berdepan dengan berita buruk yang akhirnya menghapuskan sama sekali 'FEEL-GOOD FACTOR' di kalangan rakyat. Semakin hari semakin ketara negara diperintah oleh satu rejim KAKISTOCRACY (kerajaan atau pemerintahan yang HOPELESS). Kerajaan yang songsang sifatnya.

Ulasan saya: Apakah skandal demi skandal itu? Di sini Annuar cuba menyembunyikan skandal dialami Najib Razak yang kini didedahkan di mahkamah hampir setiap hari. Apakah bentuk pecakaran sesama sendiri dalam PH, melainkan ia dicipta oleh Umno dan Pas dan disebarkan dalam grup WhatsApp, membisikkan suara syaitan menerusi grup WhatsApp jika mereka benar dan berani sebutkan secara terbuka bukan "bersoksek soksek" dalam grup WhatsApp?

17. Sebab itu UMNO dan PAS mahu membina sesuatu yang KENTAL (SOLID) dan TULEN untuk Malaysia. Bukan membina HARAPAN palsu.

Ulasan saya: Janji dan hajat penuh retorika.

18. Tak usahlah ada pihak yang cuba meramal atau melakar apa yang kami mahu lakukan berdasarkan firasat yang serong. Sebagai dua buah parti yang telah melalui pasang surut dan suka duka politik tanah air, UMNO DAN PAS akan bergabung tenaga secara jujur lagi luhur untuk membawa penyelesaian kepada aspirasi rakyat yang selama ini hampa dan mengecewakan. UMNO dan Pas akan berjuang mempertahankan setiap asas Perlembagaan dan Rukun Negara yang sedia terbina. UMNO dan PAS akan mempastikan MUAFAKAT yang baharu benar-benar membawa Malaysia yang majmuk menjadi sebuah negara yang harmoni, bersatu padu serta lebih maju.

Ulasan saya: Untuk membuat sangkaan dan ulasan, ia adalah hak semua orang dalam negara demokrasi. Memperjuangkan perlembagaan dan rukun negara bukan hak mutlak Umno dan Pas, semua orang bernaung di negara ini, menjadi tanggungjawab mereka. Jadi Umno dan Pas tidak perlu menjual yang mereka patriotik dan pembela negara dan agama. Apa yang dilakukan oleh kedua-dua parti itu sudah difahami rakyat.

19. Kami yakin kami lebih mampu melakukannya demi kepentingan rakyat.

Ulasan saya: Semua orang yakin dengan apa yang dikerjakan, kecuali orang gila.

MUAFAKAT KAMI MUAFAKAT RAKYAT

Ulasan saya: MUAFAKAT MENGELIRUKAN RAKYAT.

Tan Sri Annuar Musa
SEKRETARIAT TA'AWUN UMNO-PAS
10 Muharram 1441/
10 September 2019. [wm.kl.11:48 am 10/09/19]

No comments:

Post a Comment