Monday, September 2, 2019

Dirgahayu Anwar sempena tragedi tragis 2 September

KENANGAN REFORMASI

Enam buah buku awal saya mengenai sukaduka
dan perjuangan Refromasi Anwar.
HARI ini 2 September satu tarikh yang mungkin bagi kita biasa sahaja. Ia seperti hari-hari dan tanggal semalam yang tidak ada apa-apa kenangan buat kita.

Daunan September gugur bagaikan daunan bulan-bulan lain juga. Kecuali mereka yang lahir hari ini, berkahwin hari ini atau memiliki peristiwa menekan jiwa ia tetap akan mengingati tarikh ini.

Salah seorang insan yang tidak mungkin melupai detik ini ialah Anwar Ibrahim. Ia memberi makna tersendiri buatnya, keluarganya dan setiap orang yang mengasihi dan menyokong perjuangannya berkongsi kedukaan dengan detik ini.

 Tidak mungkin Anwar boleh melupai begitu sahaja apa yang menimpa dirinya pada hari 2 September 1998, 21 tahun lampau.

Hari dan detik ini juga boleh dianggap hari pengkhiatan buatnya dan setiap orang yang yang mengimpikan beliau untuk memimpin negara ini pada suatu masa.

Hari ini pada tahun 1998, beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan semua jawatan lain. Sebelah malamnya pula beliau dipecat sebagai anggota Umno. Pemecatan Anwar sungguh mengejutkan bukan sahaja kepada pemerhati politik dalam negeri, tetapi seluruh dunia.

Pemecatan yang diumumkan di atas kertas tiga perenggang oleh Perdana Menteri itu begitu kontrakdik dengan jalur perjuanganya selama berdekad sebelum itu. Bukan tiga hari beliau memikirkan untuk menerima pelawaan Mahathir menyertai Umno, dan bukan sedikit patah perbicaraan dan persetujuannya, tetapi kemudiannya beliau dibuang dengan tiga perengang sahaja. 

Tugas saya.
Saya mempunyai tugas tersendiri dalam melihat peristiwa itu. Bagi saya pemecatan Anwar itu sebagai satu tindakan zalim oleh Dr Mahathir Mohamad. Pemecatan itu suatu tragedi dan sejarah luka buat bangsa Malaysia.

Dalam catatan saya di bab dua dalam buku Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa saya menulis:

Tanggal 2 September kini telah tercatat di dalam sejarah bangsa Malaysia, sebagai satu tanggal yang cukup ngilu dan mengejutkan. Satu tarikh yang mengejutkan, menyentak hancurkan tali sukma jiwa dan melumpuhkan seluruh pembuluh jantung. Tarikh itu akan dikenang sebagai satu detik yang banyak menggugurkan air mata bangsa Melayu, khasnya bagi mereka yang merindu akan mampirnya seorang mujadid di abad ini. MS 21. 

Saya sebenarnya bukan orang untuk membela Anwar kerana saya sebelum itu adalah pengkritik Anwar. Apa yang berlaku kepada saya suatu yang ironis. Keadaan inilah mungkin menyebabkan saya dituduh dan dianggap dengan tuduhan yang cemar dan jijik termasuk oleh pendokong Anwar sendiri yang kini sudah pun jauh meninggalkan Anwar.

Perasaan kemanusiaan saya dan kebencian kepada tindakan politik sadis Dr Mahathir terhadap Anwar, yang saya kira zalim dan di luar tindakan manusia normal politik berbudayakan bangsa, menyebabkan saya bangkit membela Anwar tanpa diajak dan disuruh oleh sesiapa.

Saya tidak ada apa-apa untuk membela Anwar melainkan sebatang pena yang harganya tidak sampai RM10.00 yang didokong oleh mesin taip buruk. Saya menulis buku berjudul SUMPAH DAN AIRMATA Reformis Bangsa, sebagai suatu pembelaan. Buku ini bersifat informatif dan catatan rakaman simpati saya kepadanya dengan merakam detik-detik tragis menimpanya sebahagian besarnya saya saksi sendiri khasnya apa yang berlaku di kediaman Anwar setelah beliau dipecat.

Buku pertama saya itu sedikit istimewa kerana kebetulan hanya saya penulis kerdil yang berada di kediaman Anwar itu yang terletak di Bukit Perdana Kuala Lumpur. Saya dapat saksi dengan penuh pengamatan kekelam kabutan keluarganya dengan tindakan Mahathir itu.

Saya saksikan juga macam mana histeria penyokongnya menerima kejadian itu. Ratusan penyokong setianya berhimpun di luar kediaman sampai melimpah ke Jalan Raya, semata-mata mahu menunggu perkembangan lanjut selepas Anwar dipecat. Semua suka duka, rintihan dan tangisan ekoran peristiwa itu jatuh ke dalam mata dan hati saya.

Kemunculan buku saya itu bukan bersendirian serentak itu muncul penulis lain yang menulis kisah Anwar dan gerakan reformasinya dengan versi berbeza dan dari kepentingan masing-masing. Apa yang terserlah buku-buku yang lahir ketika itu banyak yang menghentam dan cuba mengambuskan Anwar.

Pembelaan dan perakaman perjuangan Anwar, - sukadukanya menghadapi tirani fitnah yang dicipta konspirator oleh saya bukan dengan sebuah buku itu sahaja. Selepas itu saya menulis beberapa buku lain sebagai kesenimbungannya.

Buku yang merakam cinta dan
perjuangan Dr Wan Azizah.
Ada lima buah buku yang boleh dianggap jilid-jilid Reformasi yang mengikuti buku Sumpah dan AirMata itu. Buku itu ialah Anwar Dizalimi (1998), Anwar Comeback (2004), Kemelut Mahathir - Abdullah Bagaimana Anwar (2006), Siapa Berhak Ganti Pak Lah (2007) dan Jalan Pintas ke Putrajaya Anwar PM Dalam Penantian (2008).

Dan perlu juga disebut di sini selain enam buku menjadi jilid atau volume Reformasi, saya juga menulis buku berjudul Cinta dan Perjuangan Nonaku Azizah, (1999) di mana dalam buku ini mengisahkan keperitan dan sukaduka Dr Wan Azizah sebagai isteri sang pejuang yang diringkukan dalam penjara.

Buku ini adalah buku pertama mengenai Wan Azizah dimana sebelum ini ia tidak ditulis oleh mana-mana penulis. Sebuah temuramah saya dengan Wan Azizah dirakamkan dalam buku ini dan menjadi intipati kepada buku ini.

Yang menariknya dalam buku ini saya nukilkan kisah pertemuan Dr Wan Azizah dengan Anwar dan pernikahan mereka tanpa medenai lorong percintaan yang panjang seperti pasangan lain.

Hari ini sudah 21 tahun, saya bergelut dengan merakam dan menghurai nasib dan perjuangan Anwar serta menanti hujung jatuhnya. Tidak berhenti. Saya tidak pernah jemu dan letih membela dengan pena, berdoa agar beliau dapat memenuhi harapan rakyat kepadanya untuk menjadi pemimpin nombor satu negara ini. Apa yang orang tidak ejek dan perli saya dengan tugas ini, namun saya teruskan juga.

Sepanjang 21 tahun lalu, saya sempat menjelajahi gerakan Reformasi ke seluruh negara khasnya semasa Anwar hadir menemui rakyat. Saya hanya berhenti menjejakinya dan programnya tatkala saya uzur selama tiga tahun apabila dihimpit kanser.

Perlu saya sebut, semua penerbitan dan penulisan buku-buku mengenai Anwar dan reformasi itu adalah hasil usaha saya sendiri sahaja tanpa sebarang tajaan. Berbagai tuduhan dan fitnah juga muncul mengelilingi diri saya atas usaha itu namun ia tidak pernah saya pedulikan. Fitnah paling galak ialah tuduhan saya sebagai penulis upahan.

Ingin saya tegaskan (tanpa meminta dan memaksa sesiapa mempercayainya), buku-buku di era Reformasi yang saya tulis dan terbitkan tidak ada penajaan. Syukur masalah kewangan tidak pernah timbul buat saya kerana buku-buku dihasilkan ketika itu, mendapat sambutan. Kalau boleh saya namakan entiti atau golongan yang mendokong (sponsor) saya ialah para reformis dan rakyat yang cinta dan gilakan Anwar. Merekalah pembela buku-buku saya dan pendokong kerjayajuang saya.

Menyerahkan buku PBP kepada Anwar. 
Ternyata Anwar adalah tokoh dan idola rakyat yang bukan mudah dipancung kerjayanya. Seribu fitnah melandanya ditangkis dengan sejuta pembelaan oleh rakyat. Justeru walaupun era pembukuan kini lembab dan mengendur, namun buku-buku bervariasi Anwar masih menjadi pilihan.

Sebagai buktinya buku terbaharu saya, PENJARA BUKAN PUSARA: Anwar Ibrahim PM Yang Didambakan, cetakan awal sudah pun kehabisan stok. Penerimaan dan permintaan kepada buku mengisahkan kehebatan dan keulitan Anwar sebagai pejuang bangsa dan negara ini menandakan bapak Reformis itu masih popular dan didambakan.

Kepada Anwar diucapkan dirgahayu sempena 21 tahun sempena tarikhnya dipecat yang dijadikan detik tanda bermulanya perjuangan (Hijrah) demi rakyat yang tanpa ada titik akhirnya. Lawan tetap lawan. Semoga selamat dan berjaya.  [wm.kl.10:01 pm 02/09/19]

No comments:

Post a Comment