Friday, October 11, 2019

Isu peneroka tanah di Bukit Tandak

Sebahagian peneroka solat hajat
pohon selesaikan kemelut mereka.
PERISTIWA
SALAM Jumaat apa khabar semua, apa khabar para peserta tanah rancangan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Bukit Tandak yang kini sedang diuji oleh Allah. Mungkin kita sudah dapat serba sedikit maklumat berhubung apa yang berlaku di Bukit Tandak itu.


Seperti saya kata, Bukit Tandak termasuk dalam daerah kelahiran saya. Walaupun saya jarang pulang ke kampung sejak ketiadaan ayah dan ibu, tetapi perkembangan di Bukit Tandak dan di Rantau Panjang senantiasa dalam maklumat saya.
Seminit berlaku di sana, sudah sampai ke pengetahuan saya di Kuala Lumpur ini. Dunia kini sudah memiliki CCTV berskala 360 darjah.

Panjang dan besar cerita di Bukit Tandak sehari dua ini. Nama Bukit Tandak juga gah ke seluruh negara. Sebelum ini kalau orang tidak tahu di mana Bukit Tandak kini sudah mengetahuinya.

Dari laporan bebas di media sosial yang dibuat penuh sentimen politik semacam ada berlaku penzaliman ke atas penduduk khasnya peneroka Felcra di situ. Seolah-olah nasib mereka tidak dipedulikan oleh kerajaan Pam di Kelantan. Begitulah yang cuba digambarkan.

Untuk melihat isu Bukit Tandak ini, ia perlu dilihat kepada sejarah dan asal usulnya. Ia tidak boleh ambil pertengahan. Seperti kita melihat filem tidak boleh sekerat-sekerat. Kena tengok dari mula awal credit title hinggalah kepada penamatnya, The End. Dan jika mampu cuba selami pula penulis skrip dan pengarah sekali baharu kita dapat mengetahui kedudukan sebenarnya.

Nah, demikian juga dengan isu peneroka Felcra di Bukit Tandak itu. Di sini saya tidak mahu berpihak kepada mana-mana pihak dan mahu berdiri di garis tengah penuh keadilan. Berkata benar itu adalah lebih murni dan lebih baik dan itulah prinsip saya, yang kadang kadang orang tidak faham, khasnya bagi penjolok buah cempedak di luar pagar atau oleh si otak kemetot.

Setelah mendengar karangan laporan daripada pelayar sosial dan juga rakaman aduan dan dakwaan peneroka seperti dilapor media, serta menyaksikan upacara solat Hajat, kita akan meletakkan kesalahan ke atas apa yang berlaku itu kepada kerajaan seratus peratus, sedikit pun tidak kepada peneroka. Kita jadi simpati kepada peneroka dan merasakan peneroka itu dianiaya.

Cuba dengar penjelasan Nik Amar Huk Huk. Mungkin banyak perkara yang kita tidak setuju dengan tindak tanduk beliau. Tetapi berhubung penjelasan isu peneroka atau disebut peserta tanah rancangan itu, ada kebenarannya. Perkara mudah sahaja untuk difahami berkaitan isu itu.

Sinopsisnya begini, tanah itu mulanya diteroka oleh rakyat secara haram sejak akhir tahun 1960an. Kemudian ia diuruskan oleh Felcra secara sistematik dengan penanaman getah. Peneroka haram itu menjadi peserta yang diberi keuntungan hasil getah. Ada juga yang tinggal disitu menjadi pekerja dan ada yang tinggal di luar. Tanpa disedari dan tanpa kebenaran berlaku jual beli ke atas beberapa lot tanah tanah itu, atau bertukar tangan.

Setelah tempoh pengurusan oleh Felcra tamat maka tanah itu diserahkan kepada kerajaan Kelantan untuk diuruskan dan menentukan kedudukan tanah itu. Bagaimana pun kerajaan Kelantan tidak mengambilnya begitu sahaja, tetapi dipulangkan kepada rakyat, (peneroka) dengan kapasiti asal sebanyak enam ekar seorang.

Apabila tanah itu menjadi hak kerajaan, kerajaan mengurusnya semula untuk berlaku adil sesuai dengan slogan kerajaan "Membangun Bersama Islam". Semasa tanah itu diserahkan kepada Felcra untuk diuruskan ada peneroka yang disisihkan, mereka tidak diberi apa-apa keuntungan. Ini semua kerana permainan politik jahat. Mereka itu termasuk peneroka haram yang awal meneroka tanah berkenaan. Maka setelah tanah itu diuruskan semula, kerajaan bercadang untuk membahagikan tanah itu sama rata termasuk kepada sebahagian peneroka disisihkan itu.

Kerana peneroka ramai tanah sedikit, maka dicadangkan agar pembahagian sebanyak tiga ekar setiap panama, bukan enam. Dengan cara itu peneroka awal yang disisih sebelum ini juga disenaraikan semula untuk mendapat sama tanah itu dengan kepasiti tiga ekar seorang. Jumlah itu juga sesuai dengan dasar baru kerajaan yang menetapkan mana-mana tanah kerajaan rakyat boleh memiliki tiga ekar sahaja.

Apa didakwa Nik Amar Huk Huk, ada peserta tanah rancangan itu terdiri daripada pegawai kerajaan, berada diluar dan sebagainya dimana mereka tidak pun layak digelar peserta/peneroka, adalah benar. Dua tiga kes berhubung kes itu dalam pengetahuan saya. Bahkan ada juga lot-lot yang dijual dan telah bertukar tangan.

Penjelasan tambahan ini diharap menenangkan keadaan dan memberi maklumat yang benar. Diharapkan juga penyelesaian dibuat kerajaan berhubung kes tanah di Bukit Tandak itu dengan penuh keadilan, bersifat kerakyatan dan tidak menzalimi mana-mana pihak.

Dan kepada para pemain politik janganlah gampang memperdagangkan isu tanah Bukit Tandak itu sebagai modal politik. Jangan jadi penyala api sebaliknya jadilah pengurai bara yang baik dan bijaksana. Horas. Trims. [wm.kl.8:16 am 11/10/19]

No comments:

Post a Comment