Saturday, November 23, 2019

Anwar perlu berada dalam kabinet segera

STOP PRESS

Dr Mahathir dalam sidang akhbar memberi tahu
tidak mustahil Anwar akan dibawa ke kabinet.
DENGAN mengambil kira apa yang diucapkan oleh Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad "tidak ada sesuatu yang mustahil boleh berlaku" ia bermaksud termasuklah Presiden PKR Anwar Ibrahim dibawa masuk ke dalam kabinet dalam masa terdekat.

Apa yang berlaku itu bukan sesuatu mengejutkan jika ia tertakdir demikian bahkan itulah yang dinanti-nantikan.

Bahkan tindakan itu dikira terbaik dan langkah tepat untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan PH. Apa lagi kalau keperluan itu, membawa masuk ke dalam kabinet ekoran kekalahan teruk PH di Pirake Tanjung Piai yang lalu.

Dr Mahathir dalam sidang media selepas mesyuarat majlis presiden PH lewat petang ini memberi tahu, tidak mustahil kalau Anwar dibawa masuk ke dalam kabinet dengan menyebut-jawab "segala-galanya boleh berlaku" apabila merujuk kepada soalan wartawan yang bertanya apakah bekas TPM itu dibawa masuk ke dalam kabinet.

Dalam pada itu Anwar yang berada di sebelah kanannya sepanjang sidang media itu cepat mencelah, "saya tidak minta". Pencelahan Anwar itu dilihat bagi mengelakkan beliau memohon untuk menyertai kabinet, namun body languagenya tidak akan menolak kalau diminta berbuat demikian.

Sebelum ini Anwar beberapa kali menyatakan beliau berasakan tidak perlu untuk berada dalam kabinet dan sedia menyokong Dr Mahathir mengukuhkan kerajaan PH dari luar. Buat masa ini Anwar adalah pengerusi beberapa jawatankuasa khas Parlimen.

Dengan apa yang berlaku dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai 16 November lalu dimana hasilnya telah memberi persepsi buruk rakyat kepada kerajaan PH, sangat elok kalau Anwar membatalkan niatnya untuk tidak berada dalam kabinet ketika ini dengan sedia untuk berada dalam kabinet apabila dikehendakinya.

Dalam pada itu Anwar sendiri perlu menimbang sebaik mungkin langkah yang diambil kini, jika beliau berada dalam kabinet boleh menyuntik kekuatan kepada PH dan mengharmonikan gabungan itu maka beliau tidak perlu mengelak.

Bukan itu sahaja dengan beradanya beliau dalam kabinet ia tentu dapat menyakinkan dunia luar khasnya para pelabur yang selama ini memerhati dan melihat peralihan kuasa dalam kerajaan. Apabila Anwar berada dalam kabinet sudah tentu ia memberi gambaran peralihan kuasa sudah hampir tiba.

Sehubungan itu tidak perlu mempersoalkan layak atau tidak Anwar berada dalam kabinet. Beliau sebagai presiden PKR yang sah dan mendapat sokongan lebih 95% cabang parti itu lebih berkelayakan.

Soal siapa yang perlu dikorbankan untuk membolehkan Anwar dibawa masuk ke dalam kabinet itu terletak kepada budi bicara Anwar dan Dr Mahathir sendiri disamping kerelaan individu berkenaan. Semua pihak perlu menyokong langkah ini kerana ia adalah tindakan terbaik daripada Dr Mahathiur dan Anwar. [wm.kl. 8:19 pm 23/11/19]

No comments:

Post a Comment