Tuesday, January 28, 2020

Program Strategik Petronas - Agrobank satu lagi sejarah

ULASAN PETANG

Salahuddin: Kerjasama program strategik Agrobank -
Petronas buka dimensi baru.
HARI ini termertai perjanjian program usahasama strategik di antara Petronas dengan Agrobank untuk memperkasakan golongan B40. Program bersama antara agensi MOA itu dengan konglomerat petroleum ini dikira julung-julung kali dan suatu lagi sejarah buat kedua-dua entiti berkenaan.

Program itu dimeterai hari ini dengan disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Dengan termertai program ini bermakna, satu lagi peluang dan ruang disediakan untuk kalangan B40 bagi memperbaiki tahap kehidupan mereka khasnya dalam aspek pertanian. Program ini adalah sejajar dengan hala tuju dan garis panduan MOA untuk membangun dan membantu petani dan peladang.

Azmin dan Salahuddin menyaksikan pemeteraian
program strategik Petronas - Agrobank.
 
Pelaksanaan program itu sangat bermakna kepada MOA kerana ia sudah tentu dapat menambah baik serta penyediaan peluang pekerjaan (perniagaan) kepada golongan B40 khasnya yang berminat dengan dunia perniagaan berhubung kait dengan sektor pertanian, perladangan dan perikanan.

Program bersama Petronas itu juga secara tidak langsung memberi tambahan peruntukan kepada MOA untuk membela nasib komuniti pertanian.

Sebelum ini Salahuddin tidak pernah diam dan jemu berusaha untuk mendapat pelbagai bentuk tambahan modal, semangat dan aspirasi bagi menjayakan program agromakanan seterusnya meletakkan kementerian itu sebagai sebuah kementerian utama pemancu ekonomi dan keselamatan negara.

Usaha beliau itu nampak tidak sia-sia apabila terbentuk kerjasama menerusi program berkenaan hari ini.

Bakal lahirkan usahawan baru.
Betapa tidak program berkenaan bakal melahirkan usahawan baharu serta tingkatkan “keupayaan” usahawan yang sedia ada disamping bagi tingkat kerjaya mereka. Program itu juga sudah tentu akan menambah bilangan usahawan sedia ada, dimana sejak tahun 2016 seramai 6,000 usahawan dibangunkan bawah Unit Agropreneur.

Menerusi program berkenaan, Agrobank bertindak sebagai penyalur pinjaman yang menyediakan mikro kredit kepada peserta.

Difahamkan para peserta diberikan bantuan kewangan berupa pinjaman dari RM1,000 hingga RM5,000 sebagai modal permulaan menjalankan perniagaan. Pemberian pinjaman ini boleh mencecah daripada RM10,000 hingga RM300,000 bagi mana-mana perniaga berhajat untuk membesar perniagaan mereka termasuk membina kilang-kilang kecil.

Sementara itu, menerusi peruntukan RM100 juta dari Petronas itu dijangka seramai 3000 usahawan baharu akan muncul. Unjuran pencapaian program ini dalam masa lima tahun dijangka seramai 90,000 peserta.

Angka ini tidak mustahil sekiranya para usaha dapat mengikut dan akur dengan peraturan dan kaedah bayaran balik yang dikenakan. Ketepatan dan kebertanggungjawaban peserta membayar balik menjamin penerusan melahirkan usahawan baru.

Berhubung dengan kaedah bayaran balik, program itu yang dikendalikan Agrobank sepenuh tidak akan bertindak kejam, seperti merampas balik segala barangan perniagaan sekiranya peserta gagal membayar balik pada tempoh yang ditentukan, sebaliknya mereka akan diberi bimbingan untuk lebih bertanggungjawab sehingga mereka berjaya.

Semua boleh sertai.
Berhubung peserta program ini, sesiapa sahaja boleh memohon sebagai peserta asalkan mereka dari golongan B40. Mereka yang dipilih akan diberikan bimbingan khusus daripada pegawai Agrobank mengikut masa dan tempuh ditetapkan dalam bidang pengurus perniagaan, booking, pemasaran, teknik pertanian dan sebagainya.

Agensi MOA seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), LKIM, LPP, KADA, MADA dan sebagainya bertanggungjawab untuk memilih atau mengenal pasti peserta. Begitu juga MPKK, Penghulu atau Ketua Kampung dan sebagainya boleh mengemukakan mana-mana peserta untuk mengikuti program ini dan mendapat pinjaman.

Dalam pada itu Salahuddin semasa berucap pada majlis pemeteraian program itu, menzahirkan rasa gembira dengan kerjasama Petronas dengan agensi (Agrobank) dibawah kementeriannya itu yang disifatkan, ia adalah melaksanakan iltizam bersama bagi menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Kerjasama strategik di antara Petronas dan Agrobank adalah sejajar dengan hala tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani: Prioriti dan Strategi 2019-2020 yang telah dilancarkan pada tahun lalu,” kata Salahuddin.

Jelasnya, hala tuju itu dirangka berasaskan tiga dimensi sektor agromakanan iaitu sekuriti makanan negara, pembangunan ekonomi luar bandar serta penggalakan pelaburan swasta dan perdagangan antarabangsa.

Dalam pada itu apa diutamakan, kerjasama strategik ini juga telah memenuhi empat daripada lima halatuju utama kementerian, antaranya untuk memoden dan meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara serta menjadikan pertanian sebagai satu sumber pendapatan menguntungkan untuk petani, penternak, nelayan dan agropreneur muda.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Amanah, menyatakan optimis menerusi program itu akan melahirkan usahawan berstatus jutawan dan global masa depan dengan mengambil kita apa yang berlaku sebelum ini.

Beliau menyebut, kejayaan dua tokoh perniagaan yang telah dilahirkan oleh Agrobank yang bermula dengan modal kecil, Ramly Mokni bersama isterinya, Shala Siah Abdul Manap yang mengusahakan burger, dan Yap Yun Fook yang mengusahakan ternakan, (Evergreen Livestock Sdn Bhd).

Katanya, Ramly memulakan perniagaan daging burger secara kecil-kecilan dengan bermodalkan RM2,000 tahun 1978, yang dibuat secara kecil-kecilan di rumahnya, hari ini telah muncul sebagai pengusaha burger terkenal, menjadi sebutan ramai serta telah jadi ikon Agrobank.

Dengan dilancar program berkenaan Salahuddin berharap ia menjadi rebutan para usaha muda atau mereka yang berminat dalam dunia perniagaan, khasnya berasaskan komoditi pertanian, penternakan dan perikanan. [wm.kl.1:37 pm 28/01/2020

No comments:

Post a Comment