Sunday, March 8, 2020

Kenapa Muhyiddin beria nak jumpa Mahathir?

ULASAN

MUHYIDDIN Yassin cuba memulihkan semula hubungannya dengan Dr Mahathir Mohamad setelah seminggu berpisah dengan Pengerusi Bersatu itu. Beliau telah menulis surat untuk berjumpa dengan bekas PM ke 7 itu.

Bagaimana pun Mahathir telah memberi syarat agak tegas, minta Muhyiddin putuskan dahulu hubungan dengan pemimpin Umno yang terpalit dengan rasuah, baru mungkin permintaan Muhyiddin itu akan dipenuhi.

Mahathir mengakui menerima surat Muhyiddin itu tetapi beliau tidak memberi jaminan akan bertemu PM tidak cukup nombor itu kerana memikirkan apakah keperluannya.


Kenyataan atau jawaban Mahathir itu menunjukkan beliau tegas dengan pendiriannya sebelum ini yang enggan bekerjasama dengan Umno sekiranya ia disertai sama oleh beberapa pemimpinnya yang rasuah atau menyalahgunakan kuasa.

Muhyiddin sebelum ini telah meminta Mahathir bersama menubuhkan kerajaan baharu tanpa DAP, bagaimana pun Mahathir tidak sedia menerimanya kerana cadangan Muhyiddin itu mahu bersama Umno.

Pemimpin yang dimaksudkan Mahathir yang terpalit dengan kotoran itu, Ahmad Zahid Hamidi, Teuku Adnan Mansor, Najib Razak, Abdul Azeez Rahim, Bung Mokhtar Radin dan lain-lain. Bagi Mahathir mereka itulah merupakan penyangak, pencuri dan penipu yang mengepalai kerajaan kleptokrasi.

Sebelum ini Mahathir melahirkan rasa sedih atas tindakan Muhyiddin yang sanggup bersekongkol dengan pemimpin Umno berkenaan bagi membolehkan dia dipilih jadi perdana menteri. Perbuatan Muhyiddin itu melukai hati Mahathir dan juga ia dianggap sebagai telah membelakangkan dia sebagai pengerusi parti.

Apa yang boleh difahamkan kenapa Muhyiddin memberanikan diri menulis surat dan minta untuk berjumpa dengan Mahathir, menunjukkan beliau tidak yakin dengan kedudukannya hari ini. Muhyiddin dipilih sebagai PM penuh kontroversi dengan sokongan ahli parlimen berkelebihan satu atau dua undi sahaja. Kedudukan itu menyebabkan kabinetnya nanti adalah kabinet minoriti dan kerajaan bakal dibentuknya bagaikan telur di hujung tanduk.

Sehingga ke hari ini sesudah seminggu angkat sumpah sebagai PM, Muhyiddin masih belum mengumumkan barisan kabinetnya. Apakah beliau berhadapan dengan masalah, sehingga terpaksa berjumpa dengan Mahathir. Apakah perjumpaan itu ada sesuatu perkembangan yang Muhyiddin hendak jelas dan bantuan daripada Mahathir?

Terdengar juga dalam tempoh 72 jam ada usaha untuk mempelawa beberapa orang bekas menteri PH untuk bersama Muhyiddin. Menteri itu katanya termasuk daripada DAP sama.

Persoalan kini apakah Mahathir akhirnya akan sedia untuk berjumpa dengan Muhyiddin dan mendengar apa yang hendak diperkatakan nanti? Dan kalau mereka berjumpa pasti ada perkembangan baharu yang membentuk persoalan menarik.

Sekiranya Muhyiddin tetap tidak mengumumkan barisan kabinetnya bermakna Muhyiddin kini sangat terdesak untuk mendapat nasihat dan bantuan Mahathir.

Apakah Muhyiddin sedia untuk membelakangkan pemimpin Umno yang tidak diingini Mahathir itu, ataupun beliau akan terus bersama mereka? Persoalan ini mencetuskan satu polemik baharu pasca beliau mengangkat sumpah sebagai PM ke-8.

Mungkin polemik ini menyebabkan barisan kabinet Muhyiddin tidak dapat diumumkan lagi minggu depan? Ada cakap-cakap Muhyiddin akan mengumumkan kabinetnya Selasa atau Rabu depan. Bagaimana dengan perkembangan terbaru ini mungkin pengumuman itu akan ditangguh lagi. [wm.kl.8:53 pm 08/03/2020]

No comments:

Post a Comment