Wednesday, July 29, 2020

Apakah keputusan besar Umno menurut Zahid?

SESUDAH SUBUH

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam reaksi awalnya setelah Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 72 tahun dan denda RM240 juta, Umno akan membuat keputusan besar. Bunyi macam ada mesej penting di sebalik kata-kata Zahid itu. Apa? 

Orang mula berteka teki, mentafsir dan menanti kata-kata Zahid dengan pelbagai tafsiran dan adunan perasaan. Ada juga meragui kenyataan Zahid itu dan mencongak sebesar manakah keputusan besar itu? Besar betis, besar paha atau pun sebesar kelingking.
Ini kerana dalam sejarah hidup Zahid dia suka buat gempar dan mengeluarkan kata-kata bersifat teka teki yang kemudian tidak ada jawaban sampai ke sudah. Sudah berguni kenyataan dan kata-kata bersifat politik dikeluarkan, semuanya terburai begitu sahaja tanpa ditunaikan. Kesangsian itu ditambah dengan sikapnya yang tidak ada pendirian dalam politik. 

Kalau boleh dipercayai ada dua kemungkinan di sebalik kenyataan dan kata-kata Zahid itu. Pertama beliau mengambil tanggungjawab meletak jawatan sebagai presiden Umno. Itu adalah langkah terbaik. Zahid kena mengambil tanggungjawab itu kerana beliau adalah sang setia dan penyokong kuat Najib Razak.

Antara kenapa Najib berdegil untuk terus berkuasa dan enggan mengundurkan diri bila isu 1MDB timbul sehingga menyebabkan Umno hilang kuasa, adalah kerana disokong oleh Zahid selaku timbalan Najib. Apabila Muhyiddin Yassin yang mengkritik Najib dan dipecat Zahid sedia memikul tanggungjawab menjadi pembantu Najib sebagai timbalan perdana menteri. 

Zahid adalah pembela utama Najib dan juga Rosmah Mansor. Apabila mahkamah telah membuktikan segala tuduhan ke atas Najib (walaupun masih belum muktamad sama ada ke penjara atau tidak kerana dalam proses rayuan), tetapi keputusan semalam menjawab apa yang selama ini disembunyikan Najib kepada Zahid dan orang lain juga, maka wajar Zahid bertindak. 

Dengan cara itu beliau dilihat bertanggungjawab dan menyelamatkan Umno. Umno perlu dipimpin oleh orang yang bersih dan berwibawa dan perlu disapukan daripada bayangan Najib. Zahid selamanya dalam mentadbirkan Umno akan dilihat sebagai prokasi Najib. 

Apa lagi Zahid sendiri sedang mengerudi pintu penjara dan sedang mengecat tembok penjara untuk menjadi penghuninya bersama Najib. Beliau juga sedang menghadapi puluhan tuduhan seperti Najib. Langkahnya bercuti daripada menjalankan tugas sebagai presiden Umno sebelum ini patut disudahi dengan berundur secara terhormat. Zahid tidak perlu tunggu sehingga "dunia politik" khiamat. 

Kedua, mungkin beliau akan membuat keputusan mengejutkan menggunakan kuasanya sebagai presiden menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN. Umum tahu kerajaan PN dibentuk atas sokongan Umno bersama Pas. Zahid mencuri bersama Muhyiddin. 

Tetapi kemungkinan ini sangat sukar tetapi tidak mustahil. Soalnya apakah dalam keadaan Umno berpecah tiga atau empat kini, Zahid ada kekuatan itu dan arahannya itu akan dipatuhi?  Tidakkah mereka yang kini sudah berada di atas kerusi empuk sedia mematuhi kehendaknya. Kalaulah itu keputusan besar dimaksudkan, Zahid tidak akan mendapat sokongan padu. 

Dalam Umno mepunyai anggota parlimen tidak sampai 30 orang, Zahid tidak boleh menggunakan kuasanya itu untuk "mengajar" Muhyiddin yang dilihat tidak sedikit pun bersimpati dengan Najib dan membalas budi Najib yang ikut menanda tangan SD untuk menyokong Muhyiddin untuk jadi PM dengan cara drastik itu menarik sokongan. Zahid akan gagal dia akan malu dua kali. 

Kenyataan Muhyiddin sebagai reaksi kepada keputusan mahkamah itu tentu kurang disenangi Zahid dan juga Najib. Muhyiddin seakan tidak menunjukkan simpati apabila berkata dan meminta semua pihak kena menghormati proses undang-undang. Kenyataan itu dilihat sebagai sikap Muhyiddin terhadap apa yang berlaku.

“Kerajaan menghormati keputusan mahkamah dan menggesa semua pihak terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi bebas dan berkecuali,” demikian kenyataan Muhyiddin. 
 
Kalau Zahid menarik balik sokongan kerajaan PN memang boleh jatuh. Tetapi apakah jaminan yang diingini itu tercapai. Kalau diam-diam Zahid sedia menjatuhkan kerajaan PN dan mengharap kerajaan PH akan tumbuh balik, apakah maksud disebalik tindakan itu terlaksana? Kalau Zahid mengira pertukaran kerajaan itu mengubah keadaan, ia satu kesilapan besar, ia tidak akan berlaku sama sekali.

Saya tidak fikir PH sedia menukar prinsip hanya untuk jadi kerajaan dengan memaafkan orang dituduh di mahkamah yang selama ini diserangnya bertubi-tubi. Itu bukan caranya. Dan retentan daripada kemungkinan kedua itu tidak akan berlaku. 

Makanya keputusan besar dimaksudkan Zahid itu bagi saya kalau ianya berlaku adalah Zahid BERUNDUR dan serahkan kepada tokoh lain, sementara dia bersiap sedia untuk bersara atau menghuni penjara bersama Najib. Masih ada tokoh berwibwa untuk memimpin Umno dan memulihkannya, antara Tengku Razaleigh Hamzah. Status Tengku Razaligh sebagai penasihat Umno boleh diperluaskan.  [wm.kl.9:10 am 29/07/2020]

No comments:

Post a Comment