Sunday, August 23, 2020

Umno sang gajah dan gembala yang sakit

ULASAN

KEKALAHAN dan kehilangan kerajaan pada 10 Mei 2018 memberi kesan besar kepada Umno-BN. Kekalahan itu seolah-olah menjadi parti Melayu itu terhuyung hayang dan masih berputar kepeningan sampai kini. 

Begitulah orang tidak pernah mengalami kekalahan, belum ada pengalaman pahit dan memeritkan apabila ditimpa musibah  menjadikan ia berpinar biji mata. Nasib Umno seperti orang kaya kedekut yang rumahnya terbakar. 

Habis harta benda, emas dan wang ringgitnya hangus dan yang tinggal puing-puing berdebu dan berkabut. Siang malam bersedih mengenangkan harta benda yang sudah jadi debu dan puing-puing berterbangan. Sesuai dengan kejatuhan yang teruk, sukar untuk Umno bangkit walaupun sudah diusahakannya. 

Umno juga laksana seperti warga emas yang jatuh ke dalam longkang sedalam 10 kaki, sulit untuk dia melompat naik ke atas. Dicuba, bergantung dan berpegang tetapi tangan dan jari jemarinya lemah gemulai, tidak kuat. Justeru Umno memerlukan pertolongan dan bantuan untuk naik dari lubang dan selamat dari terus ditimbus oleh kejatuhan berbahana itu. 

Umno sebenarnya bernasib baik. Tuhan masih menghulurkan tali penyelamat buatnya apabila Pas yang selama ini bergaduh dan berperang dengannya berdekad telah menghulurkan tangan pertolongan. Kesediaan Pas menghulur salam itu atas faktor sangat sentimental value yakni semangat Melayu dan rakan seagama. Umno kena berterima kasih sebanyak-banyak kepada Pas. 

Tengku Razaleigh layak
memimpin Umno. 

Pertautannya dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dilihat sudah kemas dan baik. Ia sudah memberi hasil dan menatijahkan satu keputusan yang bagus lagi menyakinkan. Beberapa pilihan raya kecil (Pirake) yang dihadapi secara bersama dengan Pas menunjukkan pencapaian baik apabila menang bergaya. 

Empat pilihan raya kecil mengesahkan keberkesanan kerjasama antara dua parti Melayu tertua itu, di Cameron Highland, Serendah, Tanjung Piai dan terbaru di Chini Pahang.  Kejayaan besar calon-calon BN di pilihan raya itu sangat manis dan memahatkan kebersamaan orang Umno dan Pas untuk menyelamatkan negara. 

Pilihan raya kecil Slim, Perak yang sedang berlangsung sekarang ini belum tentu hasilnya seluman seperti Tanjung Piai atau Chini. Ada sedikit kecurigaan untuk calon Umno mencapai kejayaan seperti dicatat pada empat Pirake itu mengenangkan perkembangan semasa kini seperti muafakat Umno - Pas sedikit terganggu. 

MN, kerjasama atau ta'awun Umno dan Pas belum diikat dengan kemas. Ia sekadar menandatangani satu piagam sahaja, dan usianya masih belum sampai setahun. Ertinya kekukuhan kerjasama itu masih belum benar-benar teruji. Persiapan ke atas pengukuhan itu seperti sedikit terganggu dengan berlakunya rampasan kuasa (kudeta) pada 25 Februari 2020 yang menggulingkan kerajaan PH. 

Tumbangnya kerajaan PH itu diseronoki oleh Umno. Kejatuhan kerajaan PH menjadikan luka dan kecewa Umno sedikit terubat dan terbela kerana kerajaan yang mengambil tempatnya selama lebih 60 tahun tumbang. Namun hakikatnya, kejayaan itu tidak boleh disambut dengan obor dan api pesta kesyukuran oleh Umno kerana ianya sebagai menumpang sahaja. 

Kerajaan PN dibentuk hari ini tunjangnya bukan Umno. Umno hanya sebahagian sahaja, lebih tepat sebagai penyendak. Kerajaan hari ini diterasi oleh Bersatu dan serpihan PKR yang dibawa oleh Azmin Ali untuk mengkhianati PKR dan Anwar Ibrahim. Ada pun Umno dan Pas hanya pengenap nombor sahaja. Kerana itu Umno tidak boleh mendabik dada mendakwa ia adalah atas usahanya. 

Bubar parlimen.
Pada mulanya apabila ada ura-ura kerajaan PH bermasalah Umno dan Pas tidak terfikir mereka akan bersama Bersatu dan kumpulan Azmin untuk membentuk kerajaan. Apa yang mereka harapkan daripada kemelut PH itu adalah pembubaran parlimen membolehkan pilihan raya diadakan. Umno dan Pas mengharapkan diadakan pilihan raya untuk membentuk kerajaan Melayu - Islam pertama.Mereka optimis kalau diadakan pilihan raya saat itu mereka akan menang.

Lantaran itu pembentukan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin itu bukan atas kehendak hati nurani Umno dan juga Pas. Ia bukan agenda Umno. Kebersamaan mereka dalam PN membentuk kerajaan itu secara kebetulan sahaja. Dari sudut lain pembentukan kerajaan atau dengan kehadiran Bersatu dan kumpulan Azmin itu secara tidak sedar telah menganggu permuafkatan Umno dengan Pas. 

Kenapa dikatakan tragedi Sheraton itu mengganggu kerjasama Umno dengan Pas, kerana gara-gara tragedi itu MN yang dibentuk itu kini terusik apabila wujud pula Perikatan Nasional (PN). Kewujudan PN ini tidak diatas kehendak dan restui Umno. Kewujudan PN membuka senario lalu mengganggu kerjasama Umno -Pas. Piagam yang ditandatangani Umno - Pas seperti terurai.

Sebab itu mulanya presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkeras tidak mahu Umno menyertai PN dan mahu kekalkan MN. Bahkan beliau mengeluarkan kenyataan bahawa MN hanya bersama di peringkat parlimen bukan dalam bentuk kerjasama politik. Beliau juga mengumumkan MN keluar daripada PN. Bukan Zahid sahaja, tetapi beberapa pemimpin kanan lain juga termasuk Naib Presiden Khaled Nordin, Mahadzir Khalid dan Ismail Sobri Yaacob tidak senang hati dengan kehadiran PN. 

Belum putus.
Sehingga hari ini kedudukan Umno dalam PN masih belum putus lagi. Ada pendapat pro kontra mengenai perkara itu. Keadaan inilah menjadikan Umno kini ketidaktentuan ke mana hujung jatuhnya. Apa lagi dengan sikap Pas yang kini sedia menyatukan diri dengan mana-mana pihak sahaja asalkan mereka dapat menjadi sebahagian kerajaan. Umno sendiri cukup kenal dan faham tentang musibah persetiaan yang pernah dibuat oleh Pas. 

Pas kini ditimpa kejutan budaya mulai merasai enak dan lazat menjadi kerajaan dan berkuasa. Kerana keenakkan itu mereka seperti sudah tidak melihat Umno dan PN itu penting lagi. Pas memikirkan dirinya lebih utama daripada mana-mana pihak. Ia boleh diperhatikan kepada sikap Pas yang awal-awal lagi bersetuju untuk menjadi jawatankuasa penaja pembentukan PN untuk didaftarkan. 

Keadaan Umno hari ini seperti dibuli oleh Pas. Dan Pas yang mengamalkan politik pragmatis itu tidak mengalami apa-apa kerugian kalau ia bersikap begitu. Pas adalah gergaji mata bulat atau pun menjadi sang cencorot (shrew) yang boleh meleperkan tubuh untuk memasuki mana-mana lubang walaupun kecil sekali pun. Sebaliknya yang akan rugi dan terjepit kelak adalah Umno serta sekutunya yang lain. 

Kenapakah keadaan ini menimpa Umno? Dimana dan apakah puncanya? Sebenarnya tidak sukar untuk menilai dan mengetahui sebab musabab kenapa berlaku situasi ini. Semuanya ia terletak atau puncanya kepada orang yang menjadi presiden Umno pada masa kini, iaini Ahmad Zahid Hamidi. Zahid boleh diibaratkan sebagai gembala gajah yang tidak tahu untuk mengembalai gajah sehingga beliau tidak dapat memanfaatkan kuasa gajah yang besar itu.

Umno umpama seekor gajah besar yang gagah perkasa. Kewujudannya sejak berdekad dan telah menunjukkan kehebatan dan kegagahan serta banyak jasanya. Umno adalah parti memperjuangkan kemerdekaan dan pernah menjadi kerajaan dan memerintah Malaysia sejak tahun 1955 lagi. Seharusnya keperkasaan gajah bernama Umno itu dimanfaatkan sebaik mungkin dan ia tidak boleh dipermain dan diremehkan. 

Namun disebabkan sang gembalanya kini tidak berpengalaman, tidak ada ilmu untuk menggerak dan menggunakan gajah yang besar itu, maka jadilah Umno seperti hari ini diperkotak katikkan oleh parti-parti lain yang jauh lebih kecil dan baru berbanding dengannya. Umno kini sudah jadi macam gajah kurus yang takut melihat air. 

Satu bukti menunjukkan kegagalan Zahid dalam melihat keperkasaan Umno nilai sahaja kepada komposisi dalam pembentukan kerajaan PN. Kalau diikut kepada kapasiti dan peranan dimainkan Umno tidak sepatutnya parti Melayu itu dilayan seperti melukut dalam kerajaan PN. Bayangkan Umno memiliki 38% kerusi parlimen tetapi ia diberikan 28% jawatan dalam kerajaan dengan sembilan (9) jawatan menteri dan sembilan (9) jawatan timbalan.

Manakala Bersatu yang memiliki 26% ahli parlimen tetapi menguasai 34% jawatan dalam kerajaan dengan 11 jawatan menteri dan 24 timbalan menteri.  Manakala parti-parti lain, GPS empat (4) jawatan menteri, Pas tiga (3) menteri dan MCA, MIC dan PBS masing-masing satu menteri. 

Dilihat kepada peratus pemilikan kerusi parlimen itu Umno tidak sepatutnya berada dibawah Bersatu sebuah parti baru apalagi kejayaan menumbangkan PH itu pun disokong oleh Umno dan Pas. Tetapi kerana presidennya tidak berusaha untuk membela partinya, maka berlakulah apa yang berlaku itu. Di sini jelas bahawa Zahid sebagai presiden tidak bijak mengambil kesempatan dan sekaligus menjadikan partinya sebagai tonggak kepada kerajaan PN, Umno hanya musafir lalu sahaja dalam kerajaan PN. 

Sepatutnya kalau Zahid bijak beliau boleh bertarik tali dengan Muhyiddin dengan mendesak dan menuntut kedudukan lebih istimewa kerana jikalau tanpa sokongan Umno yang sudah bermuafakat dengan Pas tidak mungkin Bersatu dan kumpulan serpihan PKR serta GPS berjaya menumbangkan kerajaan PH.  Zahid tidak menggunakan aset dan peluang itu. 

Tetapi seperti dikatakan tadi kerana Zahid bukan seorang gembala yang handal dan mengetahui bahawa gajah yang dikendarainya berkuasa tinggi, maka jadilah apa yang berlaku sekarang. Umno ditangan Zahid menjadi gajah cacat dan tempang yang takut untuk menyeberangi sungai. 

Gajah putih perkasa.
Orang Umno harus membaca dan memahami nasib dan masa depan Umno atau gajah dibawa kendarai gembala yang tidak berpengalaman itu berketurunan Jawa Ponorogo itu. Orang Umno harus sedar bahwa mereka memiliki seekor gajah putih perkasa untuk membela bangsa dan negara. Gajah itu menjadi harapan bangsa harus dipandu dengan baik oleh seorang yang mahir dan bertrampilan. Jangan sia-siakan keberadaan sang gajah itu.

Sebenarnya gajah bernama Umno itu masih boleh dimanfaatkan. Kecacatan dan ketempangan bukan pada fizikal tetapi pada akal gembalanya. Kehebatan dan kegagahannya untuk bekerja demi negara bangsa masih boleh diperlakukan. 

Cuma Umno harus mengenali dan mencari seorang gembala yang handal, bijak dan benar-benar reti seluk belut menggunakan kuasa gajah dan juga hal ehwal hutan belantara (politik) yang kronik dan rumit. Sebolehnya kalau hendak cari gembala biarlah seorang tokoh yang belum pernah terjatuh dari belakang gajah, ataupun terlumur dengan najis atau sedang berada dibirai jerat maut. Mereka yang tahu membezakan mana gading dengan kuku gajah bukannya yang tahu hanya duduk selimpuh di atas rengganya sambil meneguk tuak masam.  

Mereka yang sudah tercemar, terpijak najis gajah, atau pernah dicakar harimau, tidak boleh lagi diambil atau dibiarkan untuk menjadi gembala kerana ia sudah ada sial dan majalnya. Tokoh-tokoh atau gembala lama seperti Najib Razak juga sudah tidak relevan lagi. Dalam hal ini apa yang tampak antara tokoh dalam Umno yang boleh diambil atau diberikan tugas mengembala gajah bernama Umno adalah Tengku Razaleigh Hamzah. Kenapa. Bersambung. [wm.kl.6: 40 pm 23/08/2020]

Glosorri:
Rengga = tempat duduk atas belakang gajah.

No comments:

Post a Comment