Wednesday, August 12, 2020

U.p Pas: Kebatilan itu macam bangkai

SESUDAH SUBUH

SELEPAS hubungan dan kerjasama politik di antara Pas dengan Umno menjadi realiti baru pemimpin Pas berani untuk berkata benar dan mengakui apa yang didakwa sebelum ini. Hari ini sekurang-kurang dua pemimpinan Pas tampil memberitahu bahawa mereka bertanggungjawab menjadi orang yang diarah atau memainkan peranan untuk menyatukan Pas dengan Umno. 

Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan menjadi orang pertama mendedahkan kornologi agenda itu dan apa peranan dimainkannya selama ini. 

Ketika berucap merasmi mesyuarat Pas kawasan Kota Bharu beliau dilaporkan sebagai berkata, beliaulah mengusahakan untuk mengaturkan kerjasama politik antara Pas dengan Umno.

Usaha itu dilakukan sebaik beliau dilantik menjadi Setiausaha Agung Pas bagi mengganti Mustapa Ali dan ianya atas arahan presiden Abdul Hadi Awang? Pendedahan Takiyuddin menggemparkan. 

Hari ini gabungan dan kerjasama politik di antara Pas - Umno telah menjadi kenyataan dengan terbentuk apa dinamakan Muafakat Nasional (MN). Pas dan Umno telah menanda-tangani piagam MN di PWTC tahun lepas. Pas tentu gembira dengan gabungan itu dan merasakan ia bermakna apabila hari ini menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

 "Usaha ke arah penyatuan Melayu (Pas - Umno-P) dimulakan sejak 2015 selepas saya diamanahkan sebagai Setiausaha Agung Pas, usaha itu atas arahan presiden," demikian kata Takiyuddin. Pendedahan itu dikira berani dan menggemparkan dan ia seakan-akan menjadi kebanggaan si pendedah.

Takiyuddin dilantik menjadi Setiausaha Agung Pas sebagai mengganti Mustapa Ali yang sebelum ini memegang jawatan itu. Pertukaran jawatan itu sudah menimbulkan kehairanan dan persoalan kerana sebelum ini Mustapa dilihat orang hampir dengan Abdul Hadi dan bertindak menjadi mentor politik kepada Hadi. 

Apakah pertukaran itu bertujuan seperti mana didakwa oleh Takiyuddin itu? Jika benar begitu bermakna Mustapa tidak berminat untuk mengheret Pas bekerjasama dengan Umno. Kemungkinan ini ada asasnya apabila menjelang Piraum ke-14 Mustapa telah mengadakan kontak politik dengan Dr Mahathir Mohamad menerusi orang bernama Nordin Salleh cuba membawa Pas bersama Dr Mahathir menerusi Pakatan Harapan (PH).   

Mengejutkan.

Penjelasan Takiyuddin itu tentu mengejutkan kebanyakan ahli Pas yang selama ini diasuk dengan cerita Pas akan berkerjasama dengan Umno sebagai fitnah semata-mata. Mereka termasuk para pemimpin Pas yang cetek membaca alur politik menafikan sekeras-kerasnya perkara itu. Apabila ada sekumpulan dalam Pas mengatakan Pas akan bekerjasama dengan Umno ada pemimpin Pas menafikan dakwaan itu dan mempertahankan Pas sehingga ada yang mengatakan orang mengatakan Pas akan bekerjasama dengan Umno sebagai orang gila dan bodoh.

Pendedahan dibuat Takiyuddin itu tentu menyebabkan mereka yang sebelum ini bermati-mati menafikannya akan terkesima dan kebingungan. Tertanya-tanya sendiri dan suka tahu beza ular dengan belut. Atau mereka mungkin dalam keadaan keliru apakah ia benar atau pun tidak? Bagaimana pun bagi mereka yang sudah dapat menghidu awal-awal lagi hala tuju dan tindak tanduk Pas akan mendukung Umno hanya akan tersenyum.

Saya sendiri setelah memerhati lagak Pas dan menyedari ada para broker Pas intim dengan pemimpin Umno sudah memberi bayangan yang Pas akan bersama Umno, mendapat kecaman daripada jihad siber Pas. Mereka menuduh saya berbuat fitnah dan mereka-reka cerita. Begitu juga apa diterima Husam Musa apabila beliau mendedahkan hal ini beliau dikecam, bahkan pemecatannya daripada Pas adalah kerana menghalang usaha untuk membawa Pas bersama Umno. Apa yang didakwakan ternyata benar kini. 

Husam jadi mangsa.

Hari ini apa disebut dan dibayangkan selama ini menjadi kenyataan. Kenyataan dan pendedahan Takiyuddin mengesahkan segala-galanya. Apakah Takiyuddin berbohong dan ada motif lain di sebalik pendedahan dan pengakuannya itu?

Meneliti kenyataan Takiyuddin itu seperti ada sedikit yang kurang kena dengan pengakuannya apabila beliau dengan terang mengaitkan nama Abdul Hadi Awang. Apakah beliau sudah mendapat kebenaran daripada presiden, ataupun ia atas keberanian Takiyuddin yang kini seperti kemabukan kuasa sebagai menteri? Terlihat aksi Takiyuddin semacam sedikit over dos apabila dilantik menjadi menteri. 

Diharap pengakuan Takiyuddin itu direstui Abdul Hadi dan tidak akan berlaku krisis keyakinan dan silap strategi dalam Pas. Tetapi apabila berita mengenai pengakuan Takiyuddin itu khabarnya telah ditarik (delete) oleh portal berita parti itu, Harakahdialy, ia semacam ada sesuatu yang tidak kena pula. Kenapa perlu ditarik balik? 

Tidak perlu diulaskan di sini apakah status atau kenyataan Takiyuddin itu ada implikasi kepada parti itu atau pun tidak. Yang jelasnya, sesuatu yang selama ini dinafikan oleh Pas telah menjadi kebenaran. Anehnya semua orang Pas pula seolah-olah menerima dengan gembira pengakuan Takiyuddin dan tindakan Pas itu. Tidak kedengaran luapan kemarahan mana-mana pihak daripada Pas dengan pendedahan itu sedang selama ini mereka menafikan yang Pas sama sekali tidak akan bekerjasama dengan Umno? 

Menariknya selepas Takiyuddin mendedahkan apa yang menjadi rahsia dan dinafikan selama ini, timbul pula seorang lagi ahli Jawatankuasa Pas, Zuhdi Marzuki yang mengesahkan apa yang dicakapkan Takiyuddin itu. Bahkan menurut Zuhdi usaha untuk menggabungkan Pas dengan Umno itu dilakukan lebih awal daripada disebut Takiyuddin, yakni tahun 2011 lagi. Semacam ada maksud hendak  berlumba dan menunjukkan siapa lebih utama pula antara Marzuki dengan Takiyuddin. 

Menurut Zuhdi langkah menyatukan kaum Melayu melalui penggabungan Pas dengan Umno bermula tahun 2011 lagi dan usaha itu sehingga menimbulkan kemarahan pemimpin Pas (yang kini berada dalam Amanah) tidak menyetujuinya. 

"Saya yang mengusahakan penyatuan umat Melayu sejak 2011 lagi. Memang ramai dalam Pas yang tak setuju masa itu termasuk yang berada dalam Pan (Amanah) sekarang. Alhamdulilah sekarang berhasil," kata Zuhdi dipetik. 

Dengan penjelasan Takiyddi kemudian disahkan Zuhdi itu jelas apa dinafikan Pas selama ini benar dan sikap sebenar Pas sudah terbongkar. Apa yang terjadi itu tidak ubah seperti terbongkar bau busuk bangkai yang tidak dapat disembunyi. Langkah Pas menyembunyikan usahanya untuk bergabung dengan Umno selama ini tidak ubah seperti usaha untuk melindungi bangkai. Ia tidak akan berhasil, kerana bangkai itu seperti kebatilan yang tidak dapat disembunyikan daripada kebenaran dan bila kebenaran menjelma kebatilan akan musnah.

Secara peribadi kita tidak ada masalah dengan usaha dan kerjasama Pas dengan Umno itu kerana itu adalah tindakan politik terbaik dari satu sisi. Tetapi apa yang menimbulkan persoalan kenapa ianya dilaksanakan secara tersembunyi dan Pas pula menafikan usaha itu sebelum ini sehingga menuduh ia fitnah. Ahli Pas dibawah tidak diberi tahu secara jujur dan jelas akan agenda berkenaan dan menyebabkan pemimpin di bawah yang tidak terlibat dengan usaha itu berada dalam keadaan sindrom penafian.

Di kampung dan desa ada penyokong Pas yang bertumbuk dan bertampar apabila diceritakan yang Pas akan berkerjasama dengan Umno. Mereka yang menerima Umno sebelum ini sebagai kejam, zalim dan kafir tidak dapat menerima dakwaan itu menyebabkan ada yang menjadi iseng menampar sesiapa yang mendakwa Pas akan bekerjasama dengan Umno. Ada juga yang bertekad dan bersumpah kalau benar Pas akan bekerjasama dengan Umno mereka akan "lerak" Pas, maksudnya akan meninggalkan Pas. 

Anehnya setelah dakwaan itu sah, tidak ada apa-apa pula tindakan daripada orang-orang Pas yang sebelum tegas dan nekad untuk bertindak. Apakah kerana sudah merasai daging korban hari raya Haji tempoh hari semua jadi hilang ingatan dan lupa apa dijanjikan? 

Sehubungan itu di sini ingin dijelaskan sebagai ralat kepada pengakuan Takiyuddin dan Zuhdi itu, sebenarnya usaha atau agenda kerjasama Pas dengan Umno bukan bermula 2015 atau pun 2011, tetapi ia lebih awal daripada itu. 

Dan apa disebut Takiyuddin itu benar, bahawa orang yang bertanggungjawab untuk menggabungkan (ta'awun) politik Pas dengan Umno adalah Abdul Hadi Awang. Lantaran itu dalam sisi tertentu ketika Allahyarham Nik Abdul Aziz masih ada, terkesan berlaku perbezaan teknikal siasah antara beliau dengan Abdul Hadi. 

Satu peristiwa yang berlaku di Air Kuning menjelang Pirake - pilihan raya kecil parlimen Bukit Gantang menceritakan segala-galanya. Ilham awal untuk Pas bergabung dengan Umno bermula di situ. Dari tutur seorang yang hadir dalam mesyuarat itu, ketika berlangsung mesyuarat Lujnah Politik, Abdul Hadi Awang telah memaklumkan kepada mesyuarat yang Najib Razak ketika itu selaku Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Umno Perak telah menghubunginya menyatakan untuk bermuafakat dengan Pas. 

Malangnya ia dibantah oleh seorang ahli Lujnah yang hadir dengan mengatakan, "pada masa ini soal kerjasama dengan Umno tidak perlu dibangkitkan lagi". Kerana bantahan itu menyebabkan nawaitu itu tidak jadi dan dalam pilihan raya itu Pas meletakkan calon Mohamad Nizar Jamaluddin untuk berdepan dengan calon BN Ismail Safian. Pirake pada 7 April 2009 itu dimenangi oleh Pas. Ertinya cetusan dan "wahyu" untuk Pas berkerjasama dengan Umno tercetus sejak tahun 2009 lagi melalui "wahi" Abdul Hadi.

Seperti saya nyatakan tadi, kerjasama Pas - Umno itu adalah langkah terbaik untuk mengukuhkan Melayu dan mendaluatkan Islam salah satu Hukum Hudud. Tetapi apa yang tidak kenanya, agenda itu dilakukan secara tersembunyi dan tidak telus. Orang-orang Pas merasakan mereka ditipu dengan hubungan dan kerjasama itu. Hari ini semuanya sudah terbongkar dan Pas tidak dapat menafikan lagi. 

Kedudukan Pas dalam kerajaan PN hari ini bukan jawaban atau penebus dosa kepada penipuan dan kepalsuan yang membaluti Pas selama ini. Justeru wajar kalau Pas mengadakan muktamar khas untuk meratifikasi kerjasama yang dinamakan muafakat dengan Umno itu. Pas perlu memanggil satu muktamar khas bagi memaklumkan secara rasmi kedudukan Pas dengan Umno hari ini. Pas perlu mendapat mandat muktamar.

Selagi Pas tidak berbuat demikian, boleh dianggap kerjasama yang berjalan sekarang ini belum di endorse dalam muktamar dan ia akan dianggap adalah ilham para pemimpinnya sahaja menyebabkan ia tidak sahih. Apa dilakukan oleh Allahyaraham Mohd Asri Muda ketika hendak membawa Pas bersama Barisan Nasional (BN) tahun 1974 dulu perlu dilalui sama oleh Pas dizaman Abdul Hadi ini.

Tanpa membawa ke dalam muktamar, penggabungan dan kerjasama itu akan dicatat oleh sejarah yang ia adalah tindakan presiden menggunakan vetonya. Seharusnya perkara itu dibawa untuk mendapat  pandangan balas atau persetujuan daripada ahli-ahlinya. Kita tidak mahu apabila kerjasama itu diserlahkan dalam pilihan raya akan datang, menyebabkan ada penyokong dan ahli Pas bertindak balas seperti mana yang mereka ucapkan sebelum ini; kalau Pas berkerjasama dengan Umno mereka akan keluar meninggalkan Pas. Itu merugikan Pas. 

Dalam hal ini Pas jangan seronok sekejap tetapi dukanya berpanjangan. Pas juga jangan merasa ahli dan penyokongnya Pandir akan ikut apa sahaja yang disuruh. Sebab bila sampai ke satu titik mereka akan bertanya dan menyoal hak mereka sebagai ahli dan penyokong parti. 

Sebagai parti bergerak secara berjemaah dan menganjurkan membuat keputusan secara syura maka elok kalau kerjasama itu dibawa ke muktamar untuk mendapat pandangan ahlinya di muktamar itu nanti. Tindakan itu bersesuai dengan Pas sebagai sebuah organisasi yang mengamalkan prinsip Islam, jangan pula kelak Pas dianggap parti yang membelakangkan prinisp yang murni itu. [wm.kl.7:29 am 12/08/2020]

No comments:

Post a Comment