Wednesday, September 23, 2020

Sidang akhbar Anwar kalutkan keadaan

ULASAN 

Anwar mengadakan sidang akhbar
dengan diapit isterinya dan SUA PKR.
SIDANG khas Anwar Ibrahim bertempat di sebuah hotel di ibu negara tengah hari tadi sempat membentuk gelombang politik yang penuh dengan teka teki. 

Kenyataan dibuat Anwar itu berlaku tanpa ada angin dan ribut justeru ia mengejutkan banyak pihak. Tiba-tiba sahaja beliau dengan penuh yakin memberi tahu media yang beliau sudah mempunyai nombor mencukupi dan mengisytiharkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin jatuh.

“Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh. Maklumat selanjutnya akan saya maklumkan selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Bilal Shah dalam masa terdekat. Insya-Allah,"  katanya dalam sidang akhbar itu.

Kenyataan Anwar itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada berbagai pihak dan turut juga menjadi panik di sektor tertentu negara. Kenyataan itu nampak seperti benar apabila Anwar mengaitkan nama Yang diPertuan Agong, apa lagi menurutnya beliau sepatutnya menghadap Yang diPertuan Agong semalam tetapi tertangguh apabila Agong mendapat rawatan di IJN.

Kenyataan itu seolah-olah apa didakwa Anwar itu sudah mahu berlaku dan hampir berlaku. 

Apa yang berlaku itu membingungkan dan penuh tanda tanya. Bagaimana pun ia menjadi sedikit  misteri  dan pelik kerana sidang itu dibuat bersendirian tanpa hadir sama pemimpin PH baik daripada Amanah dan DAP mendampingi Anwar dalam sidang itu. Apakah pemimpin Amanah dan DAP sengaja tidak dijemput?

Di sepanjang sidang akhbar itu yang dilihat menemani Anwar hanya isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail. Keterbatasan yang hadir ini mungkin kerana mematuhi SOP Covid? Ia bukan ganjil.

Maklumat memberi tahu Anwar akan mengadakan sidang khas tersebar sejam malam tadi, tetapi bersifat embargo sehingga jam 8:00 pagi tadi. Maklumat itu dikeluarkan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Mulanya saya sendiri kurang yakin dengan maklumat itu dan menganggap ia hanya gimik liar atau pun sebagai vandalisme politik semata-mata, tetapi setelah mengesahkan dengan sumber rapat dengan Anwar menyebabkan saya jadi tertunggu-tunggu mengenainya, tetapi tidak sampai menyangka pengumuman mengenai nombor apa lagi jatuhnya kerajaan PN.

Sidang akhbar Anwar tadi sesuatu yang cukup berani dan bertanggungjawab kerana beliau mengisythihar yang kerajaan Muhyiddin telah tumbang dan seolah beliau sudah mendapat perkenan Agong untuk mengambil alih sebagai Perdana Menteri. Sidang media itu juga berisiko tinggi buatnya kerana ia boleh menjejaskan integriti politiknya kalau apa didakwa itu tidak benar.

Untuk beberapa jam selepas sidang akhbar itu diadakan ia telah benar-benar mengalutkan keadaan. Mereka yang kesekian lama mendambakan Anwar sebagai PM sudah bersorak dan sebak menangis. Berpuluh panggilan telefon yang saya terima dari kawan jauh dan dekat ingin mengetahui cerita lanjut berhubung sidang media itu. 

Timbul juga tanda tanya apakah Muhyiddin yang dijadualkan akan membuat perutusan khas di sebelah petangnya ada kait dengan sidang akhbar Anwar itu.  

Bagaimana pun selepas beberapa jam kemudian setelah satu pihak demi satu pihak membuat kenyataan menjawab dakwaan Anwar itu ia menjadi reda. Muhyiddin yang muncul dalam sidang media khasnya tidak membayangkan yang beliau tertekan dengan kenyataan Anwar itu. 

Ketua-ketua parti politik masing-masing yang bersekongkol dengan Muhyiddin menubuhkan kerajaan PN membuat kenyataan menafikan kerajaan PN tumbang dan mengakui yang ahli parlimen masing-masing kekal dengan parti dan tidak ada seorang pun yang belut menyokong Anwar. 

Kenyataan ketua-ketua parti atau kumpulan itu daripada Pas, MCA, GPS, semua menyatakan sokongan sokongan kepada Muhyiddin melainkan kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi yang negatif apabila beliau mengakui beliau tidak ada kuasa untuk mencegah mana-mana ahli parlimen Umno dan BN daripada menyokong Anwar. 

Kenyataan Zahid itu kemudian dijadikan sebagai asas dan modal berlaku perpindahan sokongan daripada ahli parlimen Umno dan BN kepada Anwar bagi mencukupi nombor dan disifatkan Saifuddin sebagai bukti kerajaan Muhyiddin sudah tumbang.

Manakala kenyataan dikeluarkan oleh Istana Negara yang memaklumkan memang Yang diPertua Agong menyatakan kesediaan untuk menerima menghadap Anwar Ibrahim dan isteri, menjadi bukti terhadap apa yang disebut Anwar dalam sidang akhbar berkenaan.

Sehingga saat ini sidang akbar Anwar dan dakwaannya walaupun dinafikan keras oleh pihak PN, tetapi  masih menjadi misterius apabila Yang diPertuan Agong dengan tiba-tiba terpaksa dirawat di IJN. Seandai Al-Sultan Abdullah tidak ke IJN mungkin ia sudah menjelaskan keadaan sebenarnya. Tegasnya walaupun ia diragui dan diperolok tetapi ia belum menamatkan persoalan mengenai apa didakwa Anwar itu. 

Kesimpulannya walaupun apa disebut Anwar itu sesuatu yang pernah berlaku sebelum ini dan sudah disinis pahit oleh Dr Mahathir dan beberapa yang lain menjadikan ia sebagai cerita dan gimik politik, namun ia masih tetap satu topik menarik untuk difikirkan dan ianya sempat menyebabkan tidur orang politik termasuk Muhyiddin dan barisan anggota kabinetnya tidak lena seperti malam-malam sebelumnya sehinggalah Anwar dipanggil menghadap Agong nanti.

Dan bagi saya pula matlamat dan tujuan sidang akhbar oleh Anwar itu mencapai tujuannya, (yakini untuk Anwar jadi PM) sekiranya berlaku perpindahan sokongan ahli parlimen Umno kepada Anwar, atau pun berpatah balik Azmin Ali dan gengnya kepada Keadilan dan apabila Muhyiddin Yassin melepas jawatan. Tanpa berlaku dua dari tiga itu ia tidak mencapai matlamat daripada sidang akhbar berkenaan. [wm.kl.8:23 pm 23/09/2020]

No comments:

Post a Comment