Thursday, October 15, 2020

Tan Sri jagalah kehormatan diri

SURAT TERBUKA

YAB Tan Sri Muhyiddin bin Mohd. Yassin,
Gambar kenangan saya dan isteri
bersama Muhyiddin dan isteri.  

Perdana Menteri Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri,
Putrajaya, Malaysia.  

اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ ٱللَّهِ وَبَرَكاتُهُ

PERTAMA-TAMANYA saya panjatkan doa kepada Allah Swt memberikan keafiatan dan keberkatan di dunia dan akhirat kepada Tan Sri sekeluarga dan kita semua di sepanjang masa. Jua diberikan taufik dan hidayah serta inayah-Nya berlipat kali ganda. 

Diharap Tan Sri tidak terganggu menerima kehadiran warkah ini dari rakyat marhaen yang sedang memerhati Tan Sri.  
Sebelum saya menulis lebih panjang dan jauh, elok saya memperkenal diri saya kepada Tan Sri agar luahan saya ini jadi lebih bermakna dan ia terlihat dari pancaran nurani yang murni. Untuk maklumat Tan Sri saya seorang penulis kerdil yang menjadi pencatat, perakam sejarah politik negara ini. Saya tidak menyertai mana-mana parti politik, tetapi tetap punyai kecenderungan dan sokongan sendiri kepada parti dan individu terpilih, salah seorang adalah Tan Sri.

Kita jarang berjumpa jauh lagi duduk-duduk santai bersembang. Saya tidak ada keperluan apa-apa dengan Tan Sri, begitu juga Tan Sri dengan saya. Pemerhatian saya terhadap Tan Sri tidak lebih dan tidak kurang selaku penulis kecil kepada Tan Sri tokoh pemimpin. Cara hidup dan sosial Tan Sri berbeza dengan cara hidup dan bersosial ahli politik lain. Kegemaran dan kesukaan Tan Sri bermain golf, kebetulan tidak menjadi kegemaran saya pula. Itu menjadi sempadan menjarakkan antara kita.

Sebagai ahli politik Tan Sri adalah seorang ahli politik yang pernah tercatat dalam buku saya. Tan Sri adalah salah seorang ahli politik yang saya hormati terutamanya dari segi gaya penampilan Tan Sri, kenyataan-kenyataan, gaya bekerja Tan Sri dan juga idea. Dari pemerhatian saya Tan Sri seorang yang tegas dan bertanggungjawab. Paling menarik adalah kerana latar belakang Tan Sri yang lahir dari rahim keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran agama Islam. Sosok seperti inilah yang didambakan.  
Untuk pengetahuan, pertama kali saya menatap wajah Tan Sri ialah dari sekeping gambar yang dibawa oleh abang saya pada tahun 1982. Gambar itu ketika Tan Sri mengerjakan Haji dirakam dalam sebuah khemah di Padang Arafah. Saya tidak pasti macam mana Tan Sri boleh berada bersama abang saya. Mungkin satu rombongan? Persepsi saya mudah sahaja, kalau dalam usia muda seseorang itu sudah ke Makkah menunaikan Haji bermakna dia hampir seorang yang kuat beragama dan beribadat.

Walaupun saya selaku penulis politik baik dan berkawan dengan kebanyakan ahli politik, tetapi seperti saya katakan, kita jarang bersua apa lagi berbicara fasal politik. Tan Sri seorang ahli politik yang tidak suka bergaul, tidak mesra dan tidak suka lepak di warung kopi atau cafeteria di hotel dengan wartawan. Tan Sri seorang kuat bekerja.

Tan Sri seorang yang tampak serius jarang bercanda. Kawan-kawan Tan Sri juga selektif. Pertama kali saya menyapa dan kita bersalaman semasa Tan Sri hadir diupacara Membatai di Semenyih, Selangor menjelang Ramadhan sekitar awal tahun 2000 ketika Tan Sri menjadi Menteri Pertanian. Saya masih ingat ketika itu Tan Sri pakai topi ala-ala cowboy.

Seorang kawan menarik tangan saya dan memperkenalkan saya kepada Tan Sri. "Ini penulis Tan Sri, MSO.." kata kawan saya. "Oh iya, saya kenal, ini penulis hebat. Banyak buku-bukunya saya dah baca. Apa buku you terbaru?" Begitu kata dan tanya Tan Sri berbasa basi sambil rujuk kepada penulisan saya yang mengkritik pemimpin Umno dalam buku-buku saya. Antara yang teruk kena kritik ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim selain Tan Sri Muhammad Taib, Datuk Seri Mohd Najib Razak, Tan Sri Rahim Tamby Chek, Tan Sri Annuar Musa dan lain-lain.

Tan Sri, saya tidak pernah kritik bahkan saya reseved kerana faktor tadi. Saya simpan dalam hati saya Tan Sri pemimpin masa depan. Saya kagumi dan melihat Tan Sri seorang nasionalis dan mempunyai pegangan agama yang mantap sesuai untuk jadi pemimpin negara bagi membela Melayu dan rakyat marhaen. Didikan dan ilmu agama dikira membantu Tan Sri nanti menjadi seorang pemimpin yang adil, insaf dan prihatin.  

Semasa dalam Umno apabila Datuk Anwar Ibrahim sudah ditendang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad melalui konspirasi jahat (1998) saya berharap Tan Sri akan berganding dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan Datuk Seri Mohd Najib Razak, Tan Sri diharap menjadi regu Tun Abdullah (Pak Lah). Bagi saya Datuk Seri Najib anak bangsawan tidak sesuai untuk jadi pemimpin. Kalau Tan Sri berganding dengan Pak Lah tepat kerana kedua mempunyai fahaman dan didikan agama kerana latar belakang orang tua. 

Saya tidak kritik Tan Sri dan mengharap Tan Sri akan jadi pemimpin yang baik. Apabila Tan Sri berani menentang Datuk Seri Najib dalam skandal 1MDB dan sehingga dipecat daripada UMNO, saya sangat salute dan keberanian Tan Sri itu mengesahkan apa yang saya bayangkan sebelum ini. 

Oh ya, sebagai untuk merapatkan lagi diri saya dengan Tan Sri saya sebutkan balik pertemuan kita paling baru dan paling akhir. Ia terjadi sewaktu Tan Sri masih lagi belum menjadi perdana menteri, bahkan sebelum berlangsungnya Piraum ke-14, perjumpaan berlaku di majlis perkahwinan anak kepada ahli Yang Berhormat Datuk Idris Jauzi di Sungai Buloh. Tan Sri hadir bersama Puan Sri memakai baju sedondon warna peach.  

Kulit buku menyebut 
Muhyiddin calon PM
.
Di majlis itu sempat kita berbicara sepatah dua kata dan saya menceritakan tentang buku saya berjudul "Siapa PM selepas Najib" saya memaklumkan kepada Tan Sri dalam buku itu ada saya sebut Tan Sri salah seorang bakal atau berpotensi jadi perdana menteri. Ada saya letakkan gambar Tan Sri di kulit buku berkenaan. Bererti saya mengharapkan Tan Sri akan jadi PM suatu hari nanti. Tan Sri minta saya kirimkan senaskah buku berkenaan ke pejabat. 

Pertemuan itu membawa erti dan sungguh membahagiakan saya kerana Tan Sri berada di pihak rakyat, meneruskan perjuangan bersama Pakatan Harapan yang juga menjadi harapan saya untuk menumbangkan kerajaan kleptokrasi. Apa lagi kebetulan juga Tan Sri berada bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali, dimana Tan Sri pernah bersamanya dalam Team Wawasan satu ketika dahulu. Sebagai seorang mengkagumi Tan Sri perubahan dan keberadaan Tan Sri itu amat-amat menggembirakan saya.

Dipendekkan cerita Pakatan Harapan (PH) yang mana parti pimpinan Tan Sri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berada sama dalam gabungan itu menang Piraum ke 14 dan dapat membentuk kerajaan. Tan Sri dilantik menjadi salah seorang anggota kabinet memegang jawatan Menteri Dalam Negeri (KDN). Saya tidak mahu timbulkan apa-apa cerita tidak sedap berlaku di sebalik pelantikan itu dan "perbalahan" yang terjadi semasa pembentukan kabinet. Tetapi saya bersama rakyat yang mahukan berlaku perubahan sangat seronok dengan kemenangan PH itu.
Saya yang mengkagumi kepimpinan Tan Sri sangat berharap kerajaan baru akan menjadi lebih baik daripada kerajaan Tan Sri sertai sebelum ini. Dalam kegembiraan kerana menang itu tiba-tiba diberitakan Tan Sri sakit, menghidap Kanser Pankreas sehinggakan Tan Sri didesas desuskan akan meninggalkan dunia politik. Berita ini mengejutkan sekali. Ia seperti terdengar sebuah perkhabaran buruk. Kanser, satu penyakit yang tidak mahu didengari oleh sesiapa pun kerana misteri dan mitos mengenainya.  

Berita Tan Sri sakit "terlatas" ke telinga saya dan ia sebuah berita mempengaruhi emosi saya kerana saya juga menghadapi Kanser. Saya sangat faham. Apa lagi terdengar ura-ura yang Tan Sri mahu berundur daripada politik sebagai escape menyelamatkan diri menyebabkan saya lebih concernt. Mungkin tindakan dan rancangan itu terbaik. Tetapi ia memberi pemahaman dan tindakan berbeza dengan sikap saya ambil. 

Diam-diam saya mewalangkan akan keadaan Tan Sri. Saya berusaha untuk mendapat maklumat dan bertemu dengan Tan Sri untuk bercerita perihal Kanser dan berkongsi maklumat mengenainya. Saya tahu ia tidak perlu dan mustahak kerana Tan Sri lebih mampu untuk mengatasinya dari segi kewangan berbanding saya. Tetapi kerana sayang kepada Tan Sri saya jadi terpanggil. Ini semua berlaku tanpa dirancang dan mungkin kerana diri Tan Sri sudah berada sejak lama dalam diri saya, maka hadir insiden membolehkan maklumat saya sampai kepada Tan Sri? 

Suatu hari saya ditemukan dengan seseorang bergelar Datuk Ghafar yang merupakan kawan Tan Sri sejak dari muda. Saya difahamkan Datuk Ghafar ini kawan baik Tan Sri yang banyak membantu dan bersama Tan Sri baik ketika senang maupun susah. Beliau juga jadi orang kepercayaan Tan Sri sekaligus menjadi penasihat politik khasnya dari aspek strategi. 

Pertemuan dengan Datuk Ghafar itu seperti orang mengantuk disorong bantal buat saya. Saya dapat bergongsikan pengalaman saya untuk Tan Sri. Luluh hati saya sewaktu berjumpa dengan Datuk Ghafar apabila beliau memberi tahu Tan Sri sudah nekad untuk berundur dari politik. Keluarga Tan Sri sudah sepakat dan membuat keputusan Tan Sri perlu berehat dan tidak berkecimpung dalam politik lagi, jelasnya. Kononnya cara itu untuk menyelamatkan Tan Sri. 

Apa yang diputuskan oleh keluarga Tan Sri seperti mana diceritakan Datuk Ghafar itu mengesankan saya. Betapa saya fikir ketika itu kalau keputusan itu diteruskan ia tidak memberi apa-apa kebaikan kepada Tan Sri, bahkan ia membahayakan. Lalu saya memberi tahu kepada Datuk Ghafar agar minta Tan Sri tidak mengambil keputusan berundur dalam politik. Saya memberi tahu Datuk Ghafar, untuk melawan dan meredakan Kanser bukan dengan cara melarikan diri daripada umum, atau meninggalkan tugas dan tanggungjawab yang sedang dipikul. Kanser kata saya kepada Datuk Ghafar perlu dilawan bukan berkompromi. 

"Datuk bagi tahu Tan Sri jangan mengaku kalah, jangan kompromi, beliau kena teruskan perjuangan politiknya. Datuk nasihatkan Tan Sri jangan give-up dengan Kanser. Katakan kepadanya kalau dia berundur daripada politik, ia akan mempercepatkan proses merebaknya Kanser. Kanser tidak boleh mengaku kalah.

"Kalau mengaku kalah dia akan mengalahkan kita. Kalau kita patut mati setahun lagi kita akan mati enam bulan lebih awal kalau mengaku kalah," Begitulah kata saya kepada Datuk Ghafar, beliau mendengarnya penuh hati-hati.

"Datuk kena bagi harapan dan semangat kepada Tan Sri, katakan kepadanya dia harus teruskan perjuangan dan katakan yang dia diharapkan rakyat akan jadi PERDANA MENTERI. Rakyat bergantung harap kepadanya. Jangan mengaku kalah kepada Kanser, jangan!" tegas saya.

Seminggu kemudian saya berjumpa lagi dengan Datuk Ghafar di Petaling Jaya. Pertemuan ini memberi kegembiraan kepada saya apabila diberitahu Tan Sri tidak jadi berundur dan akan terus berjuang. Saya menerima perkhabaran itu penuh kesyukuran dan sujud seperti sebuah kejayaan buat saya sendiri yang mengidap Kanser kerana dapat mempengaruhi seorang pesakit yang berhadapan dengan seribu perasaan yang membayangi diri. 

Tan Sri, untuk pengetahuan saya ada minta untuk berjumpa dengan Tan Sri sendiri bagi berbicara soal Kanser tetapi sayang tidak berlaku. Saya difahamkan Tan Sri dikenakan lockdown oleh keluarga Tan Sri. Bagaimana apa-apa yang hendak saya kongsikan dengan Tan Sri, saya diminta menulis kemudian akan disampaikan kepada Puan Sri, dan Puan Sri akan sampai kepada Tan Sri... itu permintaan Puan Sri. 

Pencapaian Tertinggi.

Tan Sri kini sudah menjadi perdana menteri ke-8, satu kedudukan dan pencapaian tertinggi buat Tan Sri secara peribadi. Ia juga menjadi piala kepada setiap orang yang mengharapkan Tan Sri sukses dengan tanggungjawab itu. Di sini saya ingin mengucapkan TAHNIAH kepada Tan Sri atas pencapaian itu. Tentunya yang lebih menggembirakan saya kerana Tan Sri dapat melawan Kanser. Sebagai orang yang menghidapi penyakit Kanser Lymphoma ikut tumpang bersemangat bersama Tan Sri.

Bersama Muhyiddin dan Idris Jauzi.
Hakikat hari ini sesudah Tan Sri menjadi PM selama kira-kira lapan bulan, Tan Sri dilihat bukan lagi
dibayangi maut dek Kanser. Tan Sri sudah dapat mengenepikan dan ignore Kanser jauh daripada diri itu satu kejayaan. Tetapi "pemergian" Kanser itu kini bergantian pula dengan masalah tugas dan tanggungjawab sebagai orang nombor wahid negara. 

Ikhlas saya katakan, sebagai penghidup Kanser saya terkilan dan tersinggung apabila ada orang cuba menekan perasaan Tan Sri dengan Kanser. Cuba menurunkan paksa Tan Sri dengan menggunakan penyakit sebagai alasan.  Ingin saya katakan kepada Tan Sri, bahawa Kanser bukan pengakhir hayat kepada seseorang. Jadi Tan Sri tidak perlu terhimbau dengan history Kanser.

Bagi saya Tan Sri sudah menang melawan Kanser yang dibanggai saya. Tan Sri kini bukan lagi diancam sel Kanser tetapi diancam oleh tugas dan tanggungjawab sebagai perdana menteri. Sel atau virus tanggungjawab sebagai perdana menteri lebih mencabar daripada sel dan virus Kanser sebenarnya. 

Oleh kerana Tan Sri sudah lulus dalam ujian melawan Kanser dan sudah pun menjadi PM, maka Tan Sri sudah boleh dianugerahkan piala kemenangan. Pada saya bagi Tan Sri sudah cukup segala-galanya. Sudah sempurna belakanya. Saya tahu Tan Sri cuba berusaha untuk berbuat sesuatu kepada negara ini, sebagai legasi... seorang PM. Covid-19 sangat mencabar kreadibiliti Tan Sri sebagai seorang PM. Tetapi Tan Sri harus ingat dan insaf bukan semua yang kita impi dan harapkan itu akan diperolehi. Tuhan tidak memberi semua dan tidak pula menarik semua. 

Bagi saya sesungguhnya Tan Sri sudah cemerlang dan nama sudah pun ditatah dalam kitab sejarah bangsa sebagai PM. Dengan kemelut, serangan yang bertubi-tubi ini dari pelbagai sudut dan pihak, elok kalau Tan Sri BERUNDUR bukan mengalah tetapi menghormati kepada keadaan. Bukan bermakna saya suruh Tan Sri serahkan kepada Datuk Seri Anwar, tidak, tetapi mungkin dalam diri Tan Sri masih ada sisa-sisa ehsan dan nilai budi buat menyemak kembali liku-liku keberadaan Tan Sri di puncak hari ini. Bukankah insan bernama Datuk Seri Anwar yang juga merupakan rakan dan sahabat Tan Sri membuka jalan surta emas ke Putrajaya itu kepada Tan Sri itu?

Tan Sri perlu ingat gemetar jabat salam dan rintik keringat Tan Sri ketika bersalam dengan Datuk Seri Anwar dalam gelari mahkamah saat berjanji dan berbai'ah demi rakyat. Ingat dan hayati sebaik mungkin Tan Sri. Sesudah itu apa kata kalau Tan Sri merestui bahawa perdana menteri selepas Tan Sri adalah Datuk Seri Anwar.

Bagaimana cara dan thoribnya itu tentu ada teknikalnya. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Sayang ditimang-timangkan, benci dihina-hinakan. Biarlah Tan Sri dihormati bukan dicemuhi seperti mana Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan dikenang sebagai orang tua (OT95) tidak mengenang budi dan khianat.

Selamat Tan Sri di dunia dan akhirat.
Salam Hormat,

MOHD SAYUTI OMAR (MSO),
Penulis Kerdil lagi Marhaen Dipinggir Kota. 
Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. 
[wm.kl.3:15 pm 15/10/2020]

No comments:

Post a Comment