Tuesday, December 15, 2020

Iktibar daripada kegagalan untuk tolak Bajet

SUSUPAN MALAM


Muhyiddin dan the geng berdoa selepas
Bajet diluluskan.
DENGAN lulusnya Bajet 2021 hari ini setelah diadakan undi belah bahagi 111 sokong 108 tolak dan seorang berkecuali, maka tamatlah senipol
(sinema politik) untuk rampas kuasa dan menjatuhkan Muhyiddin Yassin dari kerusi perdana menteri menerusi Bajet 2021. 

Usaha secara insentif yang mula digerakkan awal bulan Disember berakhir hari ini dengan penuh kedukacitaan bagi penonton senipol yang menanti dengan harapan ia berakhir secara happy ending. 
Harapan untuk melihat Muhyiddin jatuh sudah khalaf. Atas berkuburnya harapan itu sama-samalah kita mentalkinnya dan meredakan kekalahan berganda untuk menolakkan Bajet itu.

Tidak perlu untuk saya mengungkitkan larangan dan peringatan saya terhadap projek berkenaan yang sesia. Awal-awal saya sudah katakan projek itu akan gagal apabila pada pusingan pertama di peringkat dasar pembangkang sudah gagal mencari nombor untuk menggeser Bajet itu dengan membawa kepada pengunduran Muhyiddin. Bila awal kalah akhir juga akan kalah. Kalah tetap kalah.

Ada alasan kenapa saya mengata demikian dan optimis ia gagal. Pertama kerana pembangkang sudah berpecah dan tidak seiya sekata lagi, apabila OT95 membawa caranya dan Anwar yang jadi ketua pembangkang dengan haluannya. Keadaan ini menterjemahkan kegagalan itu. Walaupun mereka masih duduk dalam blok pembangkang tetapi masing-masing sudah membawa mimpi berlainan. Dalam hati masing-masing sudah tidak suci dan tulus, yang mana sikap begitu tidak akan direstui Tuhan. 

OT95 dengan agendanya untuk mengagalkan impian Anwar bersikeras dengan caranya dan terus menggoncang locing untuk menarik sang tikus yanga da dalam kelompok PH. Ternyata tarikan locing OT95 itu berjaya apabila PH tidak berada dalam keadaan solid dan sekata. Keyakinan kalangan pembangkang sendiri berbolak balik. 

Jadi berdasarkan itu, pembangkang yang awal-awal lagi kekurangan nombor dan memerlukan dukungan daripada parti mendukung kerajaan tidak mungkin akan berjaya. Apa lagi janji-janji dipihak pembangkang pula dibuat oleh mereka yang ada masalah yang banyak melihat kepentingan mereka daripada kepentingan rakyat. 

Beberapa oknum dalam Umno walaupun menunjukkan sokongan dalam masa sama menjadikan sokongan kepada pembangkang itu sebagai modal untuk menebus kedudukannya yang bermasalah. Dalam erti kata lain sokongan itu hanya pura-pura sebaliknya ia digunakan sebagai strategi untuk melepas diri. 

Apa jadi setelah Zahid menyatakan akan sokong pembangkang. Tidakkah dia dipanggil dan berunding dengan Muhyiddin?

Zahid Hamidi, Najib Razak adalah orang bersalah dan memerlukan syufaat Muhyiddin sebagai PM. Mereka berdua memikirkan nasib diri dan kebebasan diri lebih penting daripada menjatuhkan kerajaan walaupun atas kepentingan rakyat. Bagi mereka pergi mampus soal rakyat.  

Sudah tentu apabila ia ditawar sesuatu untuk kepentingannya ia akan mungkir janji. Iyarat apa yang dikehendaki Zahid dan Najib itu sudah nampak apabila Teuku Adnan Mansor yang didakwa atas kesalahan rasuah telah dibebaskan walaupun tanpa dilepas. Itu trip sahaja. 

Saya yakin selepas ini akan ada pula bahagian untuk Zahid dan Najib. Perlepasan aset Umno Pahang yang disita SPRM hari ini juga sebahagian tanda dan hadiah atas apa yang berlaku. 

Berdasarkan senario itulah makrifat politik saya membisikan penolakan Bajet itu dengan mengharap sokongan Umno tidak akan berjaya. Bukan sahaja Umno tetapi ada dua pihak lagi tidak senang kalau Bajet itu ditolak dan Muhyiddin berundur, yakni OT95 dan Warisan dari Sabah.

Ternyata apa yang saya ramalkan menjadi kenyataan hari ini. Sebenarnya senipol ini tamat lebih awal lagi, apabila pusingan pertama gagal. Tetapi manusia itu degil dan orang politik itu sendak dengan pengharapan dan kejeluahan nafsu. Dicua dan ditry juga akhirnya terjerumus jatuh berdebak makan tanah. BNA.

Apa pun ada beberapa pengajaran dapat dikutip daripada apa yang berlaku, khasnya kepada orang yang ingin jadi PM dan didambakan untuk jadi PM dan juga PH. Ambillah iktibar atas apa yang berlaku itu kecuali anda suka dipatut ular yang sama berulang kali. Antara apa yang boleh dikutip ialah:
  1. Jangan lagi selepas ini percaya dan mengharapkan muafakat dengan musuh. Muafakat dan mengharap untuk mendapat sokongan daripada Umno yang dipimpin Zahid Hamidi samalah dengan mengharap sokongan daripada OT95. Kedua-duanya sudah ada sejarah busuk yang perlu diingati sepanjang masa. Anggaplah mereka anjing yang akan menghidu tahi walaupun tidak makan.

  2. PH hendaklah bermuafakat dan saling mempecayai sesama sendiri apa pun akan terjadi. Tiga buah parti yang bertompok dalam PH, PKR, DAP dan Amanah sudah melalui suka duka bukan baru tetapi sudah berdekad, mereka hendaklah istiqamah bersatu dan senantiasa ingat api dan bara perjuangan lampau. Malangnya di hujung-hujung ini ada semacam keraguan sesama sendiri. Kenapa? Tertelen syiling ke?

  3. Kehilangan kerajaan PH disebabkan pengkhianatan tidak boleh dibalas dengan pengkhianatan kerana ia meletakkan PH sama kotor dengan PN. Kesucian dan integriti ini akan dinilai oleh rakyat dan politik immoral bukan sesuatu yang diharap dan dibanggakan dan ia bukan termasuk dalam reformasi.

  4. Sesudah semua selesai, baiklah PH memberi tumpuan kepada Piraum ke - 15. Jadikan pilihan raya itu sebagai peluang untuk menebus kehampaan dan mencapai kemenangan sejati serta memenuhi aspirasi rakyat. Dalam kesediaan ini PH perlu bulat tekad sesama sendiri dan tidak lagi berbelah bagi untuk ikut sama bekerjasama dengan mana mana pihak. Masing-masing perlulah bertaubat nasuha dan mandi air kubang Pak Haji Mahmod yang "bergotu" buta tu.

  5. Carilah angka daripada rakyat dalam pilihan raya nanti untuk memerintah bukan mengharap angka tambahan daripada musuh yang khianat.

  6. Angan-angan dan keyakinan PH akan berjaya dalam pilihan raya akan datang apabila bergabung dengan OT95 dan Warisan tidak perlu dijadikan agenda utama. Jangan letak itu sebagai perioriti. Idea mewujudkan gagasan perdana pembangkang itu mengarut sahaja. Tiga buah parti yang ada dalam PH sudah mencukupi bertindak menjadi gabungan besar. PH kena terima mereka itu (parti-parti kecil) sesudah pilihan raya kelak bukan sebelum apa lagi menghadapi secara bersama dengan pembahagjan kerusi. Kalau hendak berpakat tunggulah selepas pilihan raya.
Pada pilihan raya itu nanti, pemimpin veteran termasuk Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan lain-lain jadikan pilihan raya itu pertarungan terakhir, selepas ini kalau kalah berhenti dan berundurlah. Politik ini harus diserahkan kepada golongan muda pula. Janganlah menjadi mamia politik. Cis sekali lagi. BNA.

Itulah beberapa iktibar dan pengajaran yang boleh diambil daripada apa yang berlaku hari ini. Kalau apa disebutkan itu tidak dipedulikan dan PH tidak mahu move ke hadapan, ibarat kata perjuangan pembangkang yang dipikul oleh oder ini akan berlalu begitu sahaja. Ingat kekalahan dalam Piraum akan datang akan memberi kekuatan dan kelebihan untuk pengkhianat terus menguasai negara ini. Justeru pastikan Piraum ke-15 menjadi milik rakyat, dan jadikan medium untuk kembalikan mandat rakyat.

Sebelum itu ingin hendak sebutkan di sini, pengkhianatan yang disebut itu ia juga termasuk diri PH sendiri, bukan semata-mata pihak pengkhianat. Pengkhianatan oleh diri sendiri lebih bahaya daripada pengkhianatan di luar. Tak percaya cuba ambil najis sendiri dan letakkan di hidung, ia lebih busuk dari wap yang keluar dari jambtan Ali Baba Bujang Lapok. Wallahualam. [wm.kl.10:03 pm 15/12/2020]

No comments:

Post a Comment