Monday, January 4, 2021

Berlakukah kerjasama PH dengan Umno?

ULASAN

DESAS desus kemungkinan PH akan bekerjasama dengan Umno boleh menjadi berita awal tahun 2021 yang mengejutkan tetapi ia bukanlah sesuatu menghairankan kerana politik itu bersifat dinamika. Apa-apa sahaja boleh berlaku dalam dunia politik. Yang jelas ura-ura kerjasama Umno - PH itu lebih menarik dari idea Grand Coalition yakni politik "Grekok". 

Kerjasama Umno - PH satu dinamika baru politik yang menarik, suatu sejarah, adapun Grekok itu tidak lebih dari usaha untuk memakai baju baru kepada patung lama sahaja. 

Persoalan kini timbul sejauh manakah kerjasama Umno dengan PH itu? Apakah ia sesuatu yang logik atau sebaliknya. Dengan menerima politik itu sebagai serba mungkin ia bukan hal yang pelik dan aneh. 

Kalau jadi kerjasama itu, pertanyaan yang lahir apakah ia akan membawa kepada Piraum ke-15 akan datang atau hanya bersifat sementara sahaja bagi mencapai niat dan impian bersama? Mengikut makrifat siasah saya, ia bersifat sementara tidak akan kekal sampai membentuk kerjasama holistik membawa ke dalam Piraum.

Semua faham ura-ura kerjasama itu berlaku ia atas keinginan dan amarah Umno yang terbit atas rasa frustasi Umno dengan rakan mereka dalam PN khasnya PPBM. Sebenarnya awal-awal lagi Umno tidak senang dengan kerjasama itu. Mereka menegaskan kerjasama dengan PPBM dan Pas itu hanya di peringkat parlimen sahaja. Ertinya ia bersifat sementara untuk menyokong menumbangkan kerajaan PH tidak lebih dari itu. Dan pendirian Umno dalam hal ini nampaknya konsisten.

Yang menjadi sedikit masalah kepada Umno, pendirian itu, untuk bekerjasama dengan PH tidak diterima secara sekata dalam Umno. Pemimpin Umno berbelah bahagi mengenai pendekatan itu. Ada yang menjadikan DAP sebagai hambatan. Ada pula yang tidak bersetuju dan tidak mahukan kerjasama itu sampai ke dalam pilihan raya, khasnya mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan PN. 

Mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan dan mendapat ghanimah sebagai menteri dan sebagainya berharap kerjasama dengan PN itu kekal kerana mereka memikirkan soal kedudukan mereka. Mereka ini lebih memikirkan tembolok berbanding nasib partinya. 

Sebaliknya bagi pemimpin Umno yang dapat menghidu kerugian dengan kerjasama itu tidak setuju dan mahu putuskan hubungan dengan PPBM.

Ada munasabahnya kalau ada pemimpin Umno mencurigai PPBM. Salah satu yang menyebabkan Umno marah apabila PPBM mencuri ahlinya.  

Terdapat 16 orang ahli Parlimen Umno yang dicuri oleh Bersatu.  Bukan sahaja Umno sesiapa pun tidak dapat menerima perkara ini. Wajar kalau Umno marahkan kepada PPBM dan akan berakhir dengan menarik diri daripada kerajaan PN. Tidak guna Umno berkawan dan menyokong pencuri. 

Apa menjadi masalah kepada Umno, dan ini mengecewakannya apabila kawan ta'awunnya (Pas) yang sama-sama menyokong kerajaan PN sudah larut dalam dakapan PPBM mahu kekal dalam kerajaan. Paling mendukacitakan Pas menunjukkan keintiman dan kerap ke dalam kamar dengan PPBM sedang muafakat awal bersama Umno. Sikap Pas menyebabkan ada pemimpin Umno menuduh Pas tidak boleh dibuat kawan. 

Apakah perkembangan dan kerenah ini menyebabkan Umno akan melakukan "istidraj" akan bekerjasama dengan PH?

Jangan terkejut.

Kalau Umno bersama PH jangan terkejut. Wajar kalau Umno mengambil jalan itu untuk melepas angin sebagai membela diri dan maruahnya. Bagaimanapun seperti dikatakan tadi kebersamaan dengan PH bukan kekal, ia bersifat sementara sahaja. Umno kekal dengan nawaitunya untuk kembali menguasai semula negara. Umno dengan PH hanya sebagai meneruskan hasratnya yang terganggu, yakni mahu mendesak parlimen dibubarkan. Itu sahaja.  

Dalam melihat ura-ura kerjasama ini semua pihak kena faham, apa yang dicadang awal-awal oleh Umno dahulu ialah mendesak agar parlimen dibubarkan. Mereka tidak ada niat pun untuk merampas  kerajaan. Dengan bersama Pas membentuk MN, tidak akan tercapai melainkan dalam pilihan raya. 

Hubungan ta'awun Umno - Pas berubah, apabila Pas beralih angin setelah mendapat jawatan dan merasakan keempukan kerusi menteri berbanding dengan belakang unta yang dinaikinya selama ini. Itulah kemalangan buat Umno setelah mencelikkan orang buta, setelah mereka dapat melihat dilupa  segala jasa-jasa bomoh. Itulah yang boleh diibaratkan yang berlaku ke atas Pas kepada Umno.

Justeru kalau Umno bekerjasama dengan PH bukan bersifat kekal, tetapi sementara untuk menumbangkan kerajaan PN sahaja.

Makanya PH terutamanya Keadilan perlu berhati-hati dengan janji dan persetujuan Umno jika ia benar. Apa yang perlu difikirkan bukan kerajaan, tetapi persediaan menghadapi pilihan raya. Itu lebih afdal. Saya melihat kerjasama dengan Umno itu (jika berlaku) adalah untuk membubarkan parlimen sahaja. Kerajaan PN boleh ditumbangkan tetapi apakah manfaat kepada PH selepas itu, dalam pilihan raya nanti. Kalau dalam pilihan raya nanti ia tidak memberi manfaat, bermakna usaha kerjasama seperti menolak kereta mampos dapat menelan asap sahajalah.

Diharap PH tidak akan terkena sekali lagi dengan tawaran manis Umno. Apapun apakah kerjasama untuk menumbangkan kerajaan PN itu berjaya atau tidak ia terjawab pada Rabu ini apabila MKT Umno bersidang dan membincang desakan 143 bahagian Umno yang mahukan Umno memutuskan kerjasama dengan PPBM. 

Sekiranya MKT bersetuju dengan desakan 143 bahagian Umno itu, ia juga tidak secara automatik kerajaan PN akan tumbang kerana penolakan itu adalah dalam pilihan raya, bukan sebelumnya. Boleh jadi juga Umno membuat solusi awal mengenai kerjasama dengan PPBM itu memboleh mereka menentukan kerusi-kerusinya dan calon yang akan diletakkan awal-awal. Umno menegaskan mereka akan bertanding di 98 kerusi parlimen. 

Nota: kerjasama Umno dengan PH walaupun tidak mustahil tetapi masih mustahil. [wm.kl.8:41 am 04/01/2020]

No comments:

Post a Comment