Friday, January 22, 2021

Sikap kita dalam berhadapan dengan Covid

SUSUPAN PETANG

Saya bersama sdr Mustaffa Kamil
dan di sebalah adalah bukunya
.
SETELAH setahun kita bergelomang dengan pandemik Covid-19 banyak pengajaran yang kita perolehi dan banyak lagi yang perlu kita mendalami dan melakukan muhasabah diri. Tanpa mengambil "teori Pandir" kita kena mengaku kelemahan alias kedegilan (kebabilan) kita dalam menangani pandemik ini.

Saya lihat kegagalan kita jelas kerana kita menghadapinya dengan cara sifat dan sikap semulajadi kita. Kita orang Malaysia, khasnya orang Melayu. 

Kenapa saya meletakkan kesalahan ini kepada orang Melayu, kerana bangsa Melayulah obses terhadap negara ini, mahu memilikinya tanpa berkongsi dengan bangsa lain. Hatta segelintir ada yang menafikan penglibatan bangsa atau etnik lain. Apa lagi kerajaan Curitokrasi sangat berbangga dengan kerajaan Melayu - Islam.

Apabila kita meneliti attitud orang Melayu, perangai, sifat dan sikap orang Melayu yang hangat-hangat tahi ayam, kita tidak perlu berdukacita dengan apa yang berlaku. Macam mana perangai orang Melayu dan sifat dan fiil semulajadinya masih kekal dan dijadikan turutan hingga ke hari ini walaupun orang Melayu sudah menempuhi alam pendidikan dan menerima tempias ketamadunan sejak lebih 500 tahun lampau.

Antara sifat negatif popular orang Melayu sombong, besar diri, keras pedal. Rasa pandai yang tidak mahu diajar dan macam-macam lagi. Mustaffa Kamil Ayub dalam bukunya "MEMBANGUN INSAN & TAMADUN: Mendepani Cabaran Abad 21," di dalam Bab 13 "Membina Melayu Baharu: Melakar Mufakat Baharu" menceritakan teori "L" mengenai orang Melayu. Teori "L" adalah teori mengenai sifat dan peribadi orang Melayu.

Menurut Mustapa terdapat, 54 peribadi negatif orang Melayu yang dihimpun dan dikutip, nama atau sifat atau gelar tersebut datang dari berbagai dialek dan bahasa pertuturan lingua franca.  

Peribadi bermula dengan huruf "L" itu ialah; Lemah, Lembek, Lewat, Lalai, Lambat, Lelap, Lalok, Loklak, Lembab, Letih, Lesu, Longlai, Liat, Liar, Liut, Lagak, Leceh, Lacat, (baca mulut), Lacut (mendera dengan memukul), Laga, Lagha, (melakukan perkara yang melalaikan),

Lait, Lahif (daif), Lajat (teruk), Laju, (dalam konteks merempit), Lalang (tiada prinsip), Lamban (tidak cepat berkerja), Lampar (suka berselerak), Lacat (terlanjur kata lepas cakap), Lancung (tidak jujur, curang), Lacur (gagal, malang, buruk laku, sundal), Lancang (tidak senonoh, tidak sopan, biadap), Langgah (ketawa dengan kuat dan berlebih-lebihan), Lemak, Lantam (bongkok, sombong), Lapuk (pemikiran ditekak lama), Lapor (mengadu suka mengadu), Lara, Laram (bergaya, lagak membuang masa).

Lata (rendah taraf hina), Latah, Lengah, Laung, (perlahan lambat), Leber (meleleber, perut meleber), Lebun, (tipu, penipuan), Lekeh, Lepak (tebiat melepak), Lewat (sambil lewa), Leweh (cuai, lalai), Lokah (tidak kemas berpakaian), Loket (kedekut, bakhil, kikir, lekas marah, garang), Lorat (dalam kebingungan, dalam kesulitan, susah), Loyar buruk, Lucah (hina, keji, tidak senonoh, kata-kata tidak sopan. 

Kerana men'gepong sifat dan peribadi itulah menyebabkan Melayu gagal, pencapaiannya lambat berbanding dengan bangsa lain. Kegagalah kita membendung pandemik Covid-19 juga boleh dikaitkan dengan sifat-sifat dan fiil ini. 

Dibuat peraturan SOP untuk menghadapi pandemik tetapi tidak dipatuhi. Penguatkuasaan pula bertompok tidak serata. Tidak ada ketegasan, kalau pun ada di peringkat mengadakan peraturan, tetapi pelaksanaan berjalan sekarat jalan. Sambil lewa.

Satu contoh klasik dan menjadi pertuturan macam mana seorang menteri hanya dikenakan denda RM1,000 kerana melanggar SOP Covid, tetapi berbeza dengan dihukum ke atas rakyat biasa, sampai didenda RM8,000 dan penjara?

Hal-hal sebegini ia bukan saja menunjukkan berlaku ketidak adilan tetapi tidak tegas. Berjalan sekerat jalan dan tindakan sambil lewa ini sebenarnya berlaku dalam banyak aspek yang boleh kita lihat dan saksi dengan mata kepala sendiri. Sikap acuh tidak acuh ini berlaku dalam semua aspek. Banyak perkara dalam kerajaan Melayu - Islam hari ini yang tidak konsisten.

Ambil sahaja contoh bagaimana pihak penguatkuasaan tempatan (PBT) dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. PBT diwujudkan dengan memberi kuasa kecil tertentu untuk kelestarian kehidupan manusia dan alam sekitar di sesuatu kawasan. Misalnya diwujudkan peraturan untuk membina rumah atau penempatan. 

Diwujudkan berbagai akta atau ordinan kecil dengan hukumannya sekali bagi yang melanggarnya atau melakukan kesalahan. Bangunan atau rumah yang hendak dibina dalam kawasan PBT itu dikenakan syarat tertentu menyediakan pelan dan sebagainya. Begitu juga dengan rumah kedai dan bangunan yang hendak dibina dan peraturan beroperasi semuanya diperlukan menyediakan pelan. 

Tujuan syarat itu bagi melestarikan kawasan berkenaan. Pembinaan rumah, bangunan bersistematik sesuai dengan prasarana yang bakal dibina atau disediakan di masa depan. Pendeknya persiapan itu sesuatu yang professional dan berpandangan jauh ke depan. 

Tetapi apa kesudahannya segala peraturan atau ordinan itu, ia dilanggar sewenang-wenangnya. Kawasan yang dikhasnya untuk green zone (kawasan hijau) di sesuatu taman itu hanya berlaku dan berjalan lurus beberapa ketika sahaja, kemudian ia dicerobohi. Pinggir jalan (kaki lima) di rumah-rumah kedai dibina bangunan tambahan baik bersifat sementara atau kekal. Pembinaan itu mencacatkan dan mengkhianati pelan asal.

Begitu juga dengan rezab atau simpanan jalan untuk tujuan landskap pengindahan, pantang ada ruang kosong akan dibina bangunan untuk menjalankan perniagaan. Anehnya pula pihak berkuasa beri lesen sementara pula. Sementara ini bukan setahun dua tetapi berpuluh tahun. 

Hanya itu sebahagian contoh. Banyak lagi contoh pencerobohan menunjukkan kita tidak menghormati kepada peraturan yang kita buat sendiri. Baik pihak penceroboh dan juga penguatkuasa undang-undang.

Selain fenomena itu menggagalkan agenda kita, rasuah atau tumbuk rusuk juga menjadi elemen perosak. Walaupun ada penguatkuasaan kerana rasuah ia jadi tidak berfungsi. Kesalahan boleh dilindungi dengan rasuah. Selagi sikap dan budaya ini ada, penguatkuasa tidak akan berjaya. Akhirnya ia membawa kemusnahan. 

Nah, demikian juga dengan Covid. Walaupun sudah dibuat SOP, pantang larangnya yang keras tetapi ia tidak dipatuhi. Walaupun ada undang-undang untuk bertindak kepada pesalah - mereka yang degil, ia tidak berkesan. Kenapa, kerana penguatkuasaanya tidak tegas. Buatlah apa-apa peraturan dan akta jika tidak ada ketegasan dalam bertindak ia tidak mencapai tujuan. 

Kesimpulannya kenapa kita gagal menangani Covid-19 adalah kerana sikap dan perangai yang sudah menjadi budaya disebut tadi.

Saya ingin sebut apa yang berlaku di beberapa buah negara yang sudah "tenang" dengan Covid seperti Norway, New Zealand Australia dan lain negara itu boleh dicontohi dan diambil iktibar. Pada Covid gelombang ketiga, negara-negara itu seperti tidak terkesan langsung. Buat masa ini New Zealand antara terendah kes Covid sebanyak 2,276. 

Kenapa New Zealand dan negara-negara berkenaan seperti dapat menanngani Covid sebab utama kerana rakyat mereka berdisiplin dan pihak berkuasa tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan. [wm.kl.12:08 pm 22/01/2021].

Glossori:

Meng'epong = mendukung, mengelek.

Teori Pandir = teori untuk melindungi kesalahan atau kerugian diri sendiri dengan mengatakan orang.

No comments:

Post a Comment