Bab Pertama
SAKIT NIKMAT MEMBAWA RAHMAT
DI MANA ku hendak mulakan penulisan buku, PINTU AJAL BELUM TERBUKA (Biografi pengidap kanser Limpoma) ini; merupakan sebuah catatan pengalaman sebagai penghidap kanser?
Kadang kala kebuntuan dalam mencari permulaan ini menjadikan kerja sesuatu penulisan tidak bermula. Berhari-hari fail atau folder yang sudah dibuka ditinggalkan sepi. Ada kalanya fail dan folder berkenaan terjeruk menjadi “masam” dan kusam begitu saja.
Lama kelamaan dilupakan, kemudian lupus bersama berakhirnya jangka hayat sesebuah laptop atau komputer. Begitulah nasib sesebuah karya atau idea seorang penulis.
Jadi biarlah aku memulakan penulisan ini dari mana-mana sahaja, janji penulisannya sudah bermula. Yang penting ia dimulakan dan tidak terikat dengan mana-mana format.
Dimana hendak mulakan penulisan ini?
Sedang mengedit manuskrip buku disebuah cafe. [2015] |
Nah, begitu juga dengan rangka atau format isi kandungan sesebuah buku yang aku rancangkan ini. Banyak projek penulisan yang tertinggal begitu sahaja. Sebaliknya yang jadi, menulis secara ikut suka hati. Rubbish. Janji siap kemudian dicetak. Soal apakah ia memenuhi tatacara sebuah buku formal atau tidak, usah peduli.
Keadaan ini berlaku kerana penghasilan buku tidak ada penyelia (adviser) dan buku-buku aku tidak ada editor khas menyemak dan menyuntingnya. Aku tidak punya wang secukup untuk membayar editor atau pembaca proof. Aku penulis, aku penyunting aku juga editor, kadang-kadang aku sendiri bertindak mereka konsep tata letak muka surat termasuk kulit buku.
Dan satu lagi aku jugalah yang menjualnya dengan bantuan Naimah isteriku. Peringkat awal membabitkan diri dalam dunia penulis kerja menyiapkan layout (susun atur) juga aku buat sendiri. Jadi aku bebas menulis tanpa terikat dengan peraturan atau pun format tertentu. Aku mengamalkan penulisan – journalisme bebas, punya style sendiri, MSO style.
Mungkin kerana itu juga buku-buku aku (buku politik) dan sewaktu dengannya, tidak dianggap buku yang ada standard memenuhi piawaian tertentu untuk dinilai menerima apa-apa anugerah? Bagi aku dan sekelompok dalam penulis buku-buku politik secara popular writing, yang penting buku “jalan” dapat dijual, pulang modal dan paling mustahak mesej yang dikandungnya dapat dihadam oleh pembaca. Ini subjek yang terpenting.
***
Sudah 51 buah buku aku hasilkan semua mengikut kaedah ataupun “geragang” yang aku cipta sendiri. Sama ada ia jadi atau memenuhi standard atau piawai sebagai sebuah buku atau tidak, itulah yang dapat dipersembahkan. Itulah bentuk dan rupa buku-buku aku. Ia terserah kepada penerimaan pembaca, kerana apa-apa perkara bersifat subjektif. Pokoknya aku berpuas hati dengan hasil kerja aku yang sudah masuk ke tahun 40.
Mengenai buku ini biarlah aku memulakan di mana-mana sahaja mengikut kesukaan dan keselesaan saya. Yang penting jadi dan sudah. Pasti.
***
Aku hendak mulakan dengan menceritakan prihal sakit sebagai satu anugerah yang penuh dengan nikmat. Agak bombastik bunyinya. Sakit satu anugerah dan nikmat? Mungkin perkataan “anugerah” itu boleh diterima pakai. Anugerah boleh dianggap sebagai pemberian (tertakdir), tetapi tentang nikmat itu mungkin sukar untuk difahami. Ia subjektif. Mana ada nikmat dalam sakit? Sakit adalah menyakitkan sesuatu yang azab. Sakit mengsengsarakan? Bukankah bermula daripada sakit akhirnya seseorang itu akan mati? Kematian sering kali dikaitkan dengan kesakitan, itu kelazimannya.
Apabila sebut sakit sahaja, maka terbayanglah bahana dari keadaan itu. Sakit, adalah kesusahan dan kesedihan dan tidak ada nikmat disebaliknya. Sakit suatu bencana dan musibah yang dirasai jasmani dan rohani. Justeru orang begitu takut dan menjaga diri agar tidak sakit. Sanggup habis beribu-ribu ringgit membeli ubat dan suplimen untuk mengelakkan daripada sakit. Sanggup menjual harta benda atau berhutang demi menyembuhkan sakit.
Sanggup berjumpa pakar perunding atau bomoh dan dukun untuk menjaga kesihatan bagi mengelakkan diri daripada sakit. Perbuatan dan ikhtiar itu semua ialah kerana takutnya kepada sakit. Tanpa mengira apakah ikhtiar itu logik atau mustahil ataupun syirik dilakukan demi untuk kesembuhan.
Usah cakap banyaklah, tidak perlu menanti sakit yang kronik, cukup sakit gigi sahaja menjadikan orang tidak senang duduk. Hilang segala tumpuan. Lenyap selera makan dan minum. Semua dipandang dan didengari tidak kena dan selesa. Pantang salah orang cakap atau melihat kelakuan sumbang—bertentangan dengan syariat, membuat kita marah dan geram. Apa lagi kalau sakit lebih besar daripada itu seperti sakit jantung, sakit buah pinggang, TB dan kanser, lagilah menakutkan.
Itulah realitinya. Jadi macam mana pula boleh dikatakan sakit itu sebagai satu nikmat? Ah, bohong?
***
Sakit sesuatu yang subjektif. Nilai sakit atau definasi sakit itu berbeza antara orang yang tahu alias kenal diri dengan orang yang jahil dan tidak kenal diri. Memang nisbi sakit itu satu hal tidak menyenangkan. Satu hal menjadikan kita tidak normal lagi. Tetapi bagi mereka yang kenal diri, tahu asal usul diri, dari mana ke mana dan siapa penciptanya, maka sakit dapat dianggapnya sebagai satu nikmat, satu anugerah tidak ternilai.
Mereka yang dapat melestarikan sakit itu akan menemui nikmat dan kelazatan disebalik sakit itu. Sebaliknya mereka yang menerima sakit itu satu keadaan menyeksakan dan tidak selesa, tetap akan menganggap ia sesuatu yang menyusah dan mengacau bilaukan keadaan. Orang sebeginilah menganggap sakit itu sesuatu hukuman dan peringatan (an nasihat) daripada Pencipta.
Mereka yang tidak mengenal diri akan merasai keadaan itu. Sakit sesuatu yang menyulit dan menyusahkan. Menjemu dan menyedihkan. Paling mendukacita lagi menerima sakit itu sebagai hukuman dan kafirah.
Walhal kalau kita kenal diri, tahu hujung jatuh mengenai diri kita, bahawa diri kita adalah makhluk baharu (mahadith), makhluk yang dijadikan bersifat baharu, makluk yang dicipta kita akan menerima sakit sebagai satu nikmat dan bukan satu kesengsaraan yang sengaja diletakkan ke atas pundak kita.
Atas keyakinan Pencipta, Tuhan tidak sengaja menjatuhkan sesuatu ke atas diri hambaNya dengan tujuan menyusahkan. Untuk apa Dia mencipta hamba kemudian menyeksakannya? Bukan itu sesuatu yang tidak adil? Hakikat itulah sepatutnya diterima. Sesungguhnya Dia tidak zalim melainkan bersifat maha Adil. (Al Adil).
Ertinya sakit yang dialami itu adalah sesuatu yang unik dan istimewa. Satu lumrah sifat berlawanan, sakit lawannya mati. Kalau kita dapat menerima hakikat itu dan berpegang demikian, disinilah yang dikatakan sakit itu satu nikmat yang penuh hikmat membawa sejuta rahmat. Janji kita mengerti mengenainya. Kita tidak akan bimbang dan takut kepada sakit. Pun begitu bukan semua orang dapat menerima hakikat itu. Hanya mereka yang kenal diri dan Pencipyanya sahaja dapat menghayatinya. Yang redha, seredha-redhannya terhadap sakit, menerimanya sebagai sesuatu yang indah.
***
Bagaimana untuk kita menerima sakit itu satu nikmat yang membawa rahmat? Aku kembali kepada apa yang aku alami sekarang ini. Mudah-mudahan apa yang aku lalui, pengalaman yang ditimba dapat dijadikan iktibar. Sebelum ini belum pernah aku mengalami sakit yang tahap atau darjah seperti kini – sakit yang diperkirakan membawa menemukan aku kepada sebuah kematian.
Selama berbelas-belas tahun aku mengidap gout, kencing manis dan darah tinggi sejak usia akhir 30an lagi. Namun nilainya atau darjah kebimbangan dan rasa cemas kerana sakit itu tidak seperti kali ini walaupun kadang kala bila diserang gout menyebabkan aku terpaksa berbaring dan merangkak untuk ke dapur atau bilik air. Alah bisa tegal biasa.
Semua “sakit-sakit” itu aku lalui persis seperti memakan kacang butir sahaja. Kenapa begitu? Kerana sakit itu tidak dikira mudah untuk membawa aku ke liang lahad. Sakit itu tidak dilihat serius dan kronik. Begitulah yang terpancar dan terfikir pada zahirnya.
Berbeza dengan kanser. Apabila aku disahkan menghidap kanser, penerimaan anugerah ini berbeza dengan penerimaan “anugerah” gout, kencing manis atau darah tinggi. Mungkin kerana tiga penyakit berangakai itu sudah lama ditanggung oleh aku, lebih 20 hingga 25 tahun menyebabkan kesakitan dan penyeksaannya tidak terasa lagi. Ia menjadi sebahagian daripada teman dan rakan akrab kepada kehidupan aku. Tidak berlebihan kalau aku katakan adakalanya ia sebagai penglipur lara sahaja.
Lagipun sakit atau penyakit itu tidak semerbahaya kanser. Kalau ia merupakan kawan, ia tidak seganas kanser. Ia bukan Mafia. Ia bukan "monster". Jarang diketahui penyakit itu membawa mati, walaupun ada yang menghadap Tuhan gara-garanya. Sebaliknya kanser sebut sahaja, menyebabkan orang akan berkerut kening bergerunyuk siku tulang. Terbungkam berjurus-jurus. Muka akan berubah serta merta.Tali harapan hidup juga menjadi putus "belepas". Dahi akan dibasahi keringat kecil nan hangat. Phobia kanser sebagai “silent killer” sungguh menakutkan. Nama kanser itu sahaja sudah menggerunkan kerana itu orang “tidak lalu” (tidak tergamak) untuk menyebutnya. Selisih malaikat 44 daripada menyebutnya. Perkataan “Kanser” itu sama erti dengan Malaikat Maut.
Mungkin kerana itu maka aku membuat penilaian berbeza mengenai penyakit ini, punya persepsi berlainan. Aku menjadi lebih fokus kepada kesakitan ini dan membawa jauh ke dalam diri. Menghayati secara mendalam dan membaca akibat dan natijahnya. Aku hadapi seperti sedang berhadapan dengan pita penamat dalam sebuah pecutan di lapangan olahraga, aku memerlukan tenaga sepenuhnya mahu menyudahi larian itu dan menang. Melupa segala-galanya yang lain dan memberi tumpuan sepenuh kepadanya. Penumpuan penuh itu menyebabkan aku terasak dan teradum dengan pelbagai bayangan kemungkinan.
Alhamdulillah, aku tidak lama berada dalam bayangan angan-angan mencari hakikat. Bertolak dari itu aku menjadi mudik semula ke hulu, kembali ke pengkalan yang telah ditinggalkan lebih setengah abad. Perjalanan aku menjejaki buana ini terlalu jauh melalui pelbagai liku, lembah dan bukit bukau. Kealpaan menjadi aku keliru antara haq dan batil.
Apabila sakit menyebabkan setiap malam aku kembali menjenguk ke dalam diri, bermuhasabah mencari erti dan membuat definasi demi definasi. Membaca dan mentafsir muril-muril kehidupan yang mengusang. Malam menjadi panjang dan ia berupa menjadi sebuah gua misteri kepada aku untuk mencari lubang keluar dan mengenali diri dengan lebih cerat lagi. Diri pula macam terkepung dalam kegelapan sedang diri tidak upaya merungkai untuk bolos daripada kepegapan itu.
Bila berjalan terlalu jauh, maka bukan sahaja banyak pengalaman baharu diperolehi, tetapi banyak sejarah lampau dilupakan. Segala kebaikan yang digenggam selama ini terlepas. Papan tanda perjalanan juga sudah terlupa, jadi robek dan jatuh disebabkan lama dan asyik berjalan. Justeru kesakitan itu mengembalikan aku kepada asal, berpatah balik ke jalan yang ditinggalkan. Sakit memberi kesempatan baik untuk menoleh semula ke belakang melihat jejak dan yang ditinggalkan yang sudah lupus. Daripadanya kita datang dan kepadaNya kita kembali. Inalilahiwanailahirojiun.
Setelah memahami erti dan hakikat ini aku kata sakit itu sebagai sebuah nikmat yang membawa rahmat. Sebuah anugerah yang sangat mahal untuk difahami dan ianya tidak ada terjual dimana-mana kedai atau gedung besar. Apa lagi dijual menerusi on line. Pun begitu aku tegaskan nikmat ini hanya berlaku kepada mereka yang mengenali dirinya sendiri. Bagi mereka yang tidak mengenali diri, tidak akan menemui apa lagi merasai nikmat ini dan jauh pula untuk menerimanya sebagai rahmat sebaliknya akan menjadi “istidraj” kerananya.
Bahkan mereka akan takut, merintih, menyesal dan terkilan dengan sakit yang ditanggungnya. Akan menganggap sakit itu sebagai satu kecelakaan. Suatu penganiayaan dan suatu ketidakadilan bah suatu kezaliman?.Merasakan dirinya dianiaya dan Tuhan tidak berlaku adil kepadanya. Subhanallah. (سبحان الله ). Lempar dan buanglah sejauh sayup mata memandang prangsaka itu.
Percaya dan yakinlah sebenarnya ia bukan begitu.
Perasaan dan andaian itu wujud kerana kelemahan dan kejahilan diri kita yang tidak mengenal siapa kita dan mengenali Tuhan kita. Orang yang sedemikian seperti tidak pernah tersua dengan cermin hikmat untuk memantulkan rahsia dirinya yang sebenar. Maka selamanya ia tidak dapat memerhati dan mengenali wajah dan dirinya. Namun apabila kita sudah memiliki cermin kita pasti mengenai raut wajah kita sendiri secara lebih yakin berbanding dengan apa ditilekkan oleh orang terhadap kita.
Sakit bukan kecelakaan tetapi satu ujian untuk diuruskan dengan baik. Jika kita memahami ini kita sesekali tidak kecewa dan sedih dimana perasaan itulah menjadi bebanan derita buat kita.
Selamat membaca.
Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
[wm.kl. 9:44 am 06/04/2021]
No comments:
Post a Comment